http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1801642
Sumber: bernama.com | Tarikh kemaskini: 21/12/2019
KUALA LUMPUR, 21 Dis -- Pelaksanaan semula cukai eksport minyak sawit mentah (MSM) mulai bulan depan dijangka tidak menjejaskan permintaan terhadap komoditi tempatan itu di Kesatuan Eropah (EU), menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Kalyana Sundram berkata pasaran EU kurang bimbang dengan mekanisme harga dan lebih mengambil berat mengenai kualiti dan kemampanan produk, yang boleh ditawarkan oleh MSM Malaysia.
“Apa yang akan berlaku ialah, untuk pasaran yang memilih MSM - terutamanya India, yang memilihnya berbanding minyak sawit ditapis - mereka mungkin mencari harga yang terbaik di peringkat global.
“Oleh itu, eksport MSM kita ke India mungkin berkurangan berikutan cukai, tetapi terdapat penggiat lain di India yang juga membeli produk minyak sawit ditapis, dan mereka akan terus membeli.
“Secara keseluruhannya, cukai eksport MSM tidak akan memberi impak yang besar kepada industri,” katanya kepada Bernama selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Pengilang India Global Kedua di sini hari ini.
Kalyana berkata setakat ini pada tahun ini, EU telah mengimport sebanyak 2.2 juta tan minyak sawit dari Malaysia berbanding 1.91 juta tan untuk keseluruhan 2018.
Daripada 2.2 juta tan itu, katanya, sebanyak 1.4 juta tan digunakan dalam industri makanan manakala baki 800,000 tan untuk industri tenaga boleh baharu di benua itu.
“Malaysia bernasib baik kerana jaminan kualiti minyak sawit dan kerjasama jangka panjang kita dengan beberapa syarikat multinasional makanan utama di Eropah,” katanya.
Mengenai pelan EU untuk menghentikan biofuel sawit menjelang 2030, katanya Malaysia akan membuat aduan dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia mengenai langkah EU itu, dan dijangka mencari pasaran baharu untuk tambahan 800,000 tan minyak sawit.
“Kami akan mencari pasaran baharu di Afrika, ASEAN, China atau India, dan ia akan dilihat sebagai penjenamaan semula atau menumpukan semula destinasi minyak sawit Malaysia,” katanya.
Ditanya sama ada cukai eksport MSM akan menjadikan komoditi tempatan kurang kompetitif dalam pasaran global, Kalyana menolak kebimbangan itu berikutan Indonesia akan turut mengambil pendekatan yang sama pada tahun depan.
Kerajaan Indonesia dilaporkan berkata pada September bahawa ia akan mengenakan levi eksport bagi produk MSM dan derivatifnya mulai 1 Jan, 2020.
“Oleh itu, semuanya adalah normal,” kata Kalyana.
Awal bulan ini, Lembaga Minyak Sawit Malaysia berkata kerajaan akan menaikkan duti eksport untuk pembelian Januari kepada lima peratus daripada kadar pengecualian semasa selepas mengira titik rujukan untuk pembelian Januari pada RM2,571.16 satu tan.
Ini merupakan kali pertama cukai dinaikkan sejak Ogos tahun lepas, apabila cukai eksport sebanyak 4.5 peratus dikenakan. Mulai 1 Mei hingga 31 Dis tahun ini, kerajaan memberi pengecualian bebas cukai untuk eksport MSM bagi meningkatkan eksport minyak sawit dan memperluaskan ke pasaran baharu.
-- BERNAMA