http://www.kosmo.com.my/niaga/afjets-hasilkan-bahan-bakar-sawit-1.925797
Sumber: kosmo.com | FATTAH MOHD. SAPIAI | 28 Jun 2019 3:00 AM


 
Ahmad Kadim menunjukkan hasil minyak sawit yang akan dibekalkan untuk menjana elektrik di Jepun ketika ditemui baru-baru ini.

SHAH ALAM - Afjets Property Sdn. Bhd. (Afjets Property), berjaya menghasilkan bahan bakar daripada minyak sawit yang dikenali sebagai RBD Palm Oil Gen serta mewujudkan kerjasama untuk membekalkan dua juta tan produk berkenaan bagi penjanaan tenaga elektrik di Jepun setiap tahun.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Kadim Abdul Majid berkata, kerajaan Jepun melalui Kementerian Perdagangan, Ekonomi dan Industrinya telah bersetuju menggunakan bahan bakar tersebut melibatkan tempoh konsesi selama 20 tahun bermula 2020.

Katanya, rancangan Afjets Property untuk menghasilkan bahan bakar daripada minyak sawit telah dijalankan sejak 2006 dan ia semakin giat dilaksanakan selepas Jepun mula menggantikan penggunaan tenaga nuklear kepada tenaga boleh diperbaharui dan lebih lestari.

“Selepas menghantar sampel minyak sawit yang dihasilkan, ternyata mereka sangat ber¬puas hati dengan kualitinya.

“Tambahan pula, Malaysia mempunyai kelebihan sebagai pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia dan memiliki kemampuan untuk memberikan komitmen, ditambah hubungan baik yang sedia terjalin antara kedua-dua negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Kosmo! di ibu pejabatnya di Shah Alam baru-baru ini.

Mengulas mengenai kemampuan dan kapasiti syarikat untuk membekalkan produk yang diminta, Ahmad Kadim memberitahu, pihaknya telah menghantar kertas cadangan kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) untuk menjadi pembekal utama minyak sawit kepada Afjets Property untuk penghasilan bahan bakar tersebut.

Difahamkan Felda memiliki kira-kira 450,000 hektar tanaman kelapa sawit yang mana sehektar tanaman boleh menghasilkan 19 tan kelapa minyak sawit.

“Disebabkan itu Afjets Pro¬perty memilih untuk bekerjasama dengan Felda kerana kemampuannya untuk menjadi pembekal bagi tempoh yang lama dan pada masa sama, turut memberi pendapatan kepada institusi tersebut.

“Bagi peringkat permulaan dan sebaik sahaja Jepun bersedia dengan stesen jana kuasa elektrik biomas, Afjets Pro¬perty akan meminta bekalan kelapa sawit antara 1.2 juta hingga 1.5 juta tan setahun de¬ngan bayaran sebanyak RM125 juta sebulan kepada Felda,” ujarnya.