https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/11/628280/25-juta-tan-tambahan-minyak-sawit-untuk-pasaran-india-china
Sumber: bharian.com.my | Oleh Suhaila Shahrul Annuar | suhaila [DOT] shahrul [AT] bh [DOT] com [DOT] my
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Bohai Commodity Exchange (BOCE) Malaysia/ASEAN dengan Hakan Agro DMCC dan BOCE Global.
MoU itu berkaitan penembusan permintaan tambahan pasaran sebanyak 2.5 juta tan minyak kelapa sawit dari Malaysia ke India dan China.
Menerusi MoU berkenaan, Hakan Agro DMCC, sebuah syarikat yang menguruskan rantaian bekalan utama komoditi di Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang mempunyai rangkaian perniagaan luas di India, memberi komitmen untuk membeli lebih sejuta tan minyak kelapa sawit untuk pasaran India.
BOCE Global dari China pula sudah memohon kuota sejumlah 1.5 juta tan minyak kelapa sawit bagi pasaran China untuk tahun depan.
Pada majlis itu, BOCE Malaysia/ASEAN diwakili Pengerusinya, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan manakala Hakan Agro DMCC diwakili Pengarah Urusannya, Sudhakar Tomar dan BOCE Global diwakili Pengerusinya, Yan Dong Sheng.
Turut hadir, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Industri Utama, Teresa Kok.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Kok berkata menerusi MoU itu, Malaysia bakal mendapatkan penyertaan lebih besar dalam perdagangan global minyak sawit Malaysia.
“Pemeteraian ini adalah tanda Kementerian Industri Utama dan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) sedang memajukan kepelbagaian minyak sawit Malaysia secara agresif ke dalam pasaran baharu,” katanya.
Kok berkata, di samping tekanan oleh Kesatuan Eropah (EU) terhadap minyak sawit Malaysia dan perselisihan mengenai pembelian minyak sawit dari Malaysia ke India, perkembangan pemeteraian MoU ini amat dialu-alukan.
“Selain India dan China, saya yakin Malaysia akan mencari pasaran baharu dan alternatif bagi minyak sawit dengan pertumbuhan yang disasarkan di negara ASEAN, Afrika dan Asia Barat.
“Disokong oleh kenaikan harga minyak sawit baru-baru ini, industri bersedia untuk membuktikan bahawa pelbagai isu ini tidak mengganggu. Prestasi pasaran di India bagi Disember tahun ini juga dijangka meningkat sekurang-kurangnya 80 peratus berbanding berbanding tahun lalu berdasarkan statistik import India,” katanya.
Dalam pada itu, Khairuddin berkata BOCE Malaysia/ASEAN berazam untuk berfungsi secara proaktif bagi memasarkan atau memudahkan proses mengeksport produk Malaysia termasuk komoditi ke China secara terus.
“Selaras aspirasi ini, BOCE Global komited menandatangani MoU secara terus dengan agensi kerajaan dan swasta bagi memasarkan produk dan hasil komoditi negara untuk pasaran China dalam masa terdekat membabitkan bilangan yang besar.
“Pada minggu ini, platform perdagangan BOCE Malaysia/ASEAN mencapai rekod pertama perdagangan berjumlah RM4 bilion melalui kontrak bekalan daging ayam halal selama lima tahun,” katanya.