https://www.utusanborneo.com.my/2019/06/25/nilai-eksport-coklat-meningkat-sejak-2015
Sumber: utusanborneo.com.my

KULAI: Coklat buatan Malaysia diterima baik di luar negara apabila nilai eksport produk itu menunjukkan peningkatan sejak 2015.

Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Sim berkata nilai eksport coklat meningkat kepada RM1.03 bilion pada 2018 daripada RM868.60 juta pada 2017.

“Manakala bagi suku pertama tahun ini, ia mencatatkan RM233.42 juta,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pameran produk komoditi dan pelancaran produk koko di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, di sini semalam.

Beliau berkata, nilai eksport coklat berjumlah RM598.09 juta (2016) dan RM470.99 juta pada 2015.

Kok berkata buat masa ini, coklat negara dieksport ke 128 negara terutama Singapura, Indonesia, Amerika Syarikat, Jepun dan China.

Terdapat 51 syarikat pengeluar coklat di negara ini dengan antara jenama terkenal ialah Beryl’s, Fidani dan Harriston, katanya.

Beliau berkata coklat buatan Malaysia setanding produk antarabangsa, justeru rakyat negara ini digalakkan membeli serta mempromosikan produk buatan tempatan tersebut.

“Trend pengeluaran coklat sedang berkembang. Jadi, tibalah waktunya untuk warga Malaysia mempromosikan coklat kita. Kita kena sokong industri koko dan coklat negara kita,” katanya.

Selain itu Kok berkata industri koko secara khususnya menyumbang RM5.55 bilion kepada pendapatan eksport negara tahun lepas, yang didorong pembangunan pesat industri hiliran koko.

Beliau berkata kawasan penanaman koko di negara ini melibatkan seluas 12,000 hektar dengan penanaman utama di Ranau di Sabah, Kota Samarahan di Sarawak serta Jerantut dan Kuala Lipis di Pahang.

Tahun lepas, Malaysia muncul sebagai negara pemproses biji koko kedua terbesar di Asia dan ketujuh di dunia dengan menguasai 22 peratus pasaran produk berasaskan koko bagi rantau Asia dan Oceania. — Bernama