KENYATAAN MEDIA
YB DATUK SERI MAH SIEW KEONG
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI


PROGRAM PEMIMPIN BERSAMA RAKYAT DAN PENYERAHAN BANTUAN MUSIM TENGKUJUH
KEPADA PEKEBUN KECIL DAN PENOREH GETAH OLEH YANG AMAT BERHORMAT PERDANA MENTERI MALAYSIA
DATARAN KEDA, TAMAN TERATAI, JALAN LANGGAR,
06500 ALOR SETAR, KEDAH
30 OKTOBER 2017 (ISNIN)

1. YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia akan melancarkan pembayaran Bantuan Musim tengkujuh di negeri Kedah Darul Aman pada 1 November 2017. Semasa lawatan tersebut, beliau akan merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Musim Tengkujuh Kepada Pekebun Kecil dan Penoreh Getah di Dataran KEDA, Taman Teratai, Jalan Langgar, Alor Setar, Kedah. Program ini diadakan sempena pembayaran Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) mulai pada 1 November 2017 di seluruh negara.

2. Kerajaan amat prihatin ke atas kebajikan para pekebun kecil dan penoreh getah di seluruh negara. Dalam Bajet 2018 yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri, Kerajaan akan meneruskan pemberian Bantuan Musim Tengkujuh dengan peruntukan sebanyak RM261 juta pada tahun 2018.

3. Antara acara yang disediakan semasa Program ini adalah penyampaian BMT secara simbolik kepada 10 orang pekebun kecil dan penoreh getah daripada kawasan Kedah, penyampaian Anugerah Pekebun Kecil Terbaik dan Pameran ‘Teknologi dan Inovasi Peningkatan Produktiviti Pekebun Kecil Getah’.

4. Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) ini telah pertama kali diperkenalkan Kerajaan semasa pembentangan Bajet 2017 sebanyak RM200 sebulan pada November dan Disember 2017 serta Januari 2018 bagi membantu para pekebun kecil dan penoreh getah di seluruh negara. Objektif pemberian BMT adalah bagi memastikan kebajikan para pekebun kecil dan penoreh getah terpelihara sewaktu musim tengkujuh.

5. Sehingga 13 Oktober 2017, seramai 500,730 pekebun kecil dan penoreh getah telah berdaftar untuk menerima BMT yang terdiri daripada 394,513 kebun matang dan 106,217 kebun tidak matang.

6. Sehubungan itu, MPIC dengan segala hormatnya menjemput orang ramai terutamanya para pekebun kecil dan penoreh getah untuk hadir ke Program Pemimpin Bersama Rakyat dan Penyerahan Bantuan Musim Tengkujuh Kepada Pekebun Kecil dan Penoreh Getah.

DATUK SERI MAH SIEW KEONG
Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi, Putrajaya.
30 Oktober 2017

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong beramah mesra bersama perwakilan Persatuan Kebangsaan Pekebun-pekebun Kecil Mlaaysia (NASH) selepas merasmikan Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan NASH 2017