KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI


IBU SEGALA BAJET: PENGIKTIRAFAN DAN SUNTIKAN SEMANGAT KEPADA SEKTOR KOMODITI
SABTU, 28 OKTOBER 2017

1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) merakamkan sekalung penghargaan kepada YAB Dato' Sri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan atas pengiktirafan tinggi beliau terhadap sumbangan industri perladangan dan komoditi negara dalam pembentangan Bajet 2018 di Dewan Rakyat pada 27 Oktober 2017.

2. Pengiktirafan tinggi YAB Perdana Menteri ini telah dizahirkan melalui pengumuman bersejarah, jumlah peruntukan tertinggi kepada golongan pekebun kecil pertanian negara yang berjumlah RM6.5 bilion melalui Bajet 2018. Pengumuman ini bukan sahaja merupakan berita gembira yang bakal memanfaatkan lebih daripada 1.3 juta para pekebun kecil komoditi di seluruh negara, malah merupakan tanda penghargaan kerajaan terhadap sumbangan berterusan mereka selaku nadi ekonomi negara.

3. Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2017, eksport sektor komoditi negara telah mencatatkan peningkatan yang membanggakan sebanyak 21%, mencecah nilai RM93 bilion, berbanding tempoh yang sama bagi tahun lalu dan turut menyumbang 15% kepada jumlah keseluruhan eksport negara. Untuk tahun 2017, MPIC percaya bahawa eksport sektor komoditi akan melebihi RM130 billion.

4. Oleh yang demikian, MPIC percaya bahawa Belanjawan 2018 bakal memberikan suntikan semangat kepada sektor komoditi untuk terus menjadi penyumbang eksport bersih (net exporter) terbesar negara untuk tahun 2018 dan bakal kekal menjadi peneraju utama ekonomi negara melampaui agenda Transformasi Nasional 2050 (TN50).

5. Untuk itu, melalui pelbagai program dan inisiatif yang teliti, MPIC amat komited untuk meneruskan usaha-usaha memperkukuhkan pertumbuhan industri komoditi dan meningkatkan sumbangan sektor komoditi kepada pendapatan negara.

6. Bagi menyokong Petunjang Pertama Bajet 2018: “Merancak Pelaburan Perdagangan dan Industri”, antara peruntukan yang disediakan untuk melaksanakan program-program utama adalah seperti berikut:

(i) hampir RM460 juta diperuntukan bagi kebajikan pekebun-pekebun kecil getah melalui Program Bantuan Musim Tengkujuh yang akan memberi manfaat kepada 500 ribu pekebun kecil dan juga untuk program penanaman semula getah serta penyediaan kemudahan infrastruktur untuk pengeluaran latex.

(ii) sebanyak RM140 juta diperuntukkan bagi program pembangunan dan penanaman semula kelapa sawit termasuk promosi; dan

(iii) sejumlah RM100 juta disediakan sebagai pinjaman dengan 70% jaminan Kerajaan bagi mengautomasi pengeluaran perabot tempatan untuk tujuan eksport.

7. Selain daripada itu, MPIC juga komited untuk meneruskan program-program sedia ada yang bersifat mesra pekebun kecil di bawah peruntukan pembangunan berjumlah RM497.3 juta yang diumumkan melalui Bajet 2018.
8. Peruntukan pembangunan ini adalah meliputi pemberian pelbagai bantuan serta insentif, termasuk input pertanian dan menaik taraf jalan ladang untuk pekebun-pekebun kecil komoditi di seluruh negara.

9. Dalam hal berlainan, bagi meningkatkan usaha-usaha automasi dan mekanisasi disektor perladangan komoditi, MPIC turut menyambut baik dua insentif yang telah diumumkan melalui Petunjang Keenam: “Mempersiaga Revolusi Perindustrian Keempat dan Ekonomi Digital & Ekonomi Baharu” yang turut bakal meningkatkan daya saing dan kemampuan sektor hiliran komoditi negara. Insentif-insentif tersebut adalah;

(i) Pelanjutan tempoh pemberian insentif Elaun Modal dipercepatkan (Accelerated Capital Allowance) terhadap infrastruktur automasi bagi sektor pembuatan sehingga tahun 2020; dan

(ii) Pemberian insentif Elaun Modal Dipercepatkan (Accelerated Capital Allowance) sebanyak 200% untuk sektor pengilangan dan sektor perkhidmatan.

10. Kesimpulannya, bertepatan dengan tema Bajet 2018 ini, MPIC yakin program-program dan initiatif-inisiatif yang telah dirancang akan berupaya mengekalkan prestasi sektor perladangan dan komoditi sebagai penyumbang besar kepada pembangunan ekonomi negara dan pemangkin kepada peningkatan pendapatan rakyat luar bandar.

DATUK SERI MAH SIEW KEONG
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Putrajaya
28 Oktober 2017