KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI


MESYUARAT JAWATANKUASA KEBANGSAAN PEMBANGUNAN OPT BIL 1/2017
ISNIN, 9 OKTOBER 2017

 

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Mah Siew Keong, telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Pembangunan Batang Kelapa Sawit (OPT) yang pertama. Mesyuarat ini bertujuan untuk menyelaras dan menetapkan gerak kerja pembangunan Jawatankuasa Kebangsaan Pembangunan OPT secara komprehensif.

2. Hasil daripada mesyuarat tersebut, kerajaan telah meluluskan struktur rasmi Jawatankuasa Kebangsaan Pembangunan Batang Kelapa Sawit yang bakal melibatkan penyertaan rasmi daripada 18 agensi kerajaan merentasi kementerian, 4 pemain industri perkayuan, dan 3 pihak institusi pengajian tinggi awam dalam negara.

3. Dalam hal tersebut, YB Datuk Seri Mah Siew Keong telah mengalu-alukan penglibatan Institusi Pengajian Awam Tempatan (IPTA) seperti UPM, UiTM dan UTHM dalam jawatankuasa OPT dan berharap penglibatan aktif pihak IPTA dalam jawatankuasa ini dapat merancakkan aktiviti dan meningkatkan keberkesanan penyelidikan (R&D) dalam sektor perkayuan bernilai tambah.

4. Hasil daripada mesyuarat ini juga, satu Pelan Pembangunan OPT yang komprehensif bakal diwujudkan sebagai dasar dan panduan dalam membangunkan produk-produk berasaskan batang sawit pada masa hadapan, terutamanya dalam sektor perabot, kayu panel dan kayu berasaskan batang sawit.

5. Dengan adanya Struktur Organisasi serta Pelan Pembangunan OPT yang holistik, kerjasama semua pihak, akan dapat merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan OPT sebagai sumber bahan mentah baru.

6. Penubuhan Jawatankuasa ini adalah bertujuan untuk menggalakkan penggunaan OPT sebagai sumber bahan mentah baharu dalam pembuatan produk perkayuan bernilai tambah.

7. Pada masa ini, industri perkayuan berdepan dengan isu kekurangan bekalan bahan mentah memandangkan sumber dari hutan semula jadi bagi pengeluaran kayu (log production) semakin berkurangan.

8. Selain itu, kayu getah bergergaji (KGB) yang merupakan 80% bahan mentah kegunaan industri perabot juga semakin berkurangan. Adalah dianggarkan sebanyak 850,000 m3 (KGB) diperlukan setahun bagi industri hiliran.

9. Di Malaysia keluasan tanaman sawit adalah seluas 5.7 juta hektar yang mana keluasan tanam semula adalah dianggarkan 84,000 hektar setahun. Daripada keluasan tanam semula ini, bekalan OPT yang berpotensi dihasilkan adalah sebanyak 19 juta meter padu setahun.

10. Bekalan OPT ini boleh dijadikan bahan mentah kepada produk perkayuan seperti papan lapis, perabot, kayu bergergaji dan sebagainya. Potensi yang boleh dijana dari penghasilan produk kayu berasaskan OPT ini dijangkakan bernilai sebanyak RM1bilion hingga RM2 bilion setahun.

11. Sehingga kini sebanyak RM24 juta melalui aktiviti penyelidikan dan pembangunan oleh MTIB dengan kerjasama pelbagai pihak terutama industri telah dibelanjakan bagi tujuan pembangunan OPT. Hasilnya, terdapat beberapa buah kilang yang telah mengaplikasikan teknologi dan temuan-temuan hasil penyelidikan yang dijalankan.

12. Walau bagaimanapun penglibatan pihak industri masih rendah dan boleh dipertingkatkan. Kementerian akan terus mencari idea-idea baru untuk menggalakkan penyertaan pelbagai pihak terutama industri dalam pembangunan OPT.

YB DATUK SERI MAH SIEW KEONG
Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi
9hb Oktober 2017

 

Gambar 1: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Mah Siew Keong mempamerkan contoh produk kayu berasaskan batang kelapa sawit ketika Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Batang Kelapa Sawit yang pertama.

Gambar 2: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Mah Siew Keong bersama ahli Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Batang Kelapa Sawit yang pertama.