KENYATAAN MEDIA
YB DATUK SERI MAH SIEW KEONG
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI


MISI EKONOMI KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI MALAYSIA
KE VIETNAM, 2 - 4 OKTOBER 2017

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Mah Siew Keong telah mengetuai delegasi Misi Ekonomi Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) ke Vietnam, yang berlansung pada 2hb Oktober 2017 sehingga 4hb Oktober 2017.

2. Misi ekonomi tersebut telah disertai oleh wakil-wakil agensi di bawah MPIC seperti Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Lembaga Getah Malaysia (LGM), Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia (MREPC) dan Lembaga Lada Malaysia (MPB).

3. Dalam rangka lawatan kerja tersebut, YB Datuk Seri Mah Siew Keong bersama delegasi Malaysia, telah mengadakan Kujungan Hormat terhadap Menteri Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Vietnam, Hon. Nguyen Xuan Cuong. Selain daripada itu, lawatan rasmi tersebut turut telah diisi dengan sesi dialog bersama Persatuan Lada Vietnam (Vietnam Pepper Association, VPA) dan sesi dialog bersama pemain-pemain industri minyak sawit di Vietnam.

4. Ketika sesi kunjungan hormat terhadap Menteri Pertanian serta Pembangunan Luar Bandar Vietnam di Hanoi, YB Datuk Seri Mah Siew Keong dan Hon. Nguyen Xuan Cuong telah menyatakan kesediaan untuk meningkatkan kerjasama bilateral Malaysia-Vietnam dalam aspek pembangunan sektor pertanian, terutamanya bagi sektor hiliran dalam penghasilan produk-produk berasaskan komoditi seperti Sawit, Getah dan Lada yang bermutu tinggi.

5. Dalam hal tersebut, selaku Pengerusi Majlis Tripartite Getah Antarabangsa (ITRC) untuk tahun 2017, Malaysia melalui Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, telah memanjangkan jemputan daripada negara-negara ITRC kepada Vietnam untuk menyertai ITRC sebagai ahli penuh bagi mengukuhkan lagi peranan serta fungsi ITRC dalam memacu kemampanan industri getah dunia. Sehingga hari ini, ITRC adalah terdiri daripada negara Malaysia, Thailand dan Indonesia.

6. Mengulas terhadap jemputan tersebut, Menteri Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Vietnam, telah berbesar hati untuk menerima jemputan daripada negara-negara ITRC dan memberikan komitmen bahawa Vietnam akan menghantar delegasi ke Malaysia bagi menghadiri Persidangan ITRC tahun hadapan di Kuala Lumpur, Malaysia.

7. Selain daripada itu, Vietnam turut telah memberikan komitmen serta kesedian untuk mengadaptasi resolusi-resolusi yang telah dicapai oleh negara-negara ahli ITRC pada persidangan yang lalu di Bangkok, Thailand seperti inisiatif untuk meluaskan penggunaan Getah Asli melalui pembinaan Jalan Berturap Getah (Rubberized Road), serta usaha untuk berkongsi kepakaran dalam pembangunan teknologi industri getah.

8. Menteri Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Vietnam turut menyatakan pengiktirafan Vietnam terhadap kepakaran Malaysia dalam aspek penyelidikan serta pembangunan teknologi pemprosesan produk berasaskan komoditi dan berharap agar Malaysia dapat berkongsi kepakaran tersebut bagi menambahkan nilai sektor pertanian negara Vietnam.

9. Mengulas terhadap kenyataan tersebut, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia telah mengalu-alukan hasrat Vietnam tersebut dan bersedia untuk meneliti cadangan lanjut yang bakal diajukan oleh pihak Vietnam bagi meningkat kolaborasi dalam bidang penyelidikan dan pembangunan teknologi, selari dengan aspirasi dan semangat serantau ASEAN bagi menjadikan ASEAN sebagai rantau satu komuniti yang inklusif.

10. Selain daripada itu, YB Datuk Seri Mah Siew Keong juga yakin bahawa perdagangan dua hala melalui sektor pertanian dan komoditi merupakan kunci utama untuk merealisasikan visi Malaysia dan Vietnam untuk meningkatkan nilai dagangan bilateral kepada USD15 bilion menjelang tahun 2020. berbanding sekitar USD12 bilion pada ketika ini.

11. Bagi tempoh Januari ke Julai 2017, jumlah dagangan bagi sektor komoditi dan produk berasaskan komoditi antara Malaysia-Vietnam telah mencatatkan peningkatan sebanyak 27% kepada RM2.8 bilion, berbanding tempoh yang sama untuk tahun 2016. Eksport sektor sawit telah mencatatkan peningkatan sebanyak 27% kepada RM1.3 bilion; dan sektor getah pula telah mencatatkan peningkatan sebanyak 29% kepada RM254 juta berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

12. Objektif lawatan rasmi deligasi MPIC ke Vietnam adalah untuk mengukuhkan posisi eksport komoditi Malaysia dalam pasaran Vietnam yang dijangka akan tumbuh dengan pesat dalam beberapa tahun akan datang. Di samping itu, lawatan rasmi ini turut mengintai peluang untuk meningkatkan kolaborasi strategik antara dua negara dalam pembangunan teknologi, terutamanya bagi industri sawit, getah dan lada.

YB DATUK SERI MAH SIEW KEONG
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI MALAYSIA
4HB OKTOBER 2017, HANOI, VIETNAM

Delegasi Misi Ekonomi MPIC diketuai oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia, YB Datuk Seri Mah Siew Keong (ke-4 dari kiri) bersama deligasi Vietnam yang diketuai oleh Menteri Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Vietnam, Hon. Nguyen Xuan Cuong (ke-5 dari kiri). Turut hadir adalah TYT Duta Besar Malaysia ke Vietnam, Tuan Zamruni Khalid (ke-3 dari kiri).