mpi
KENYATAAN MEDIA


 YB TERESA KOK, MENTERI INDUSTRI UTAMA
PROGRAM DAN INSENTIF KEMENTERIAN INDUSTRI UTAMA DI BAWAH BELANJAWAN 2019
3 NOVEMBER 2018

1. Kementerian Industri Utama (MPI) merakamkan ucapan tahniah kepada Kerajaan Pakatan Harapan pimpinan YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri di atas pembentangan Belanjawan 2019 bertemakan “Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera” oleh YB Tuan Lim Guan Eng, Menteri Kewangan di Dewan Rakyat pada 2 November 2018.

2. MPI akan memberi komitmen yang tinggi dalam usaha untuk terus memacu pertumbuhan industri agrikomoditi negara ke satu tahap yang lebih tinggi. MPI telah bersedia dengan program dan inisiatif untuk meneruskan usaha-usaha meningkatkan sumbangan sektor agrikomoditi kepada pengukuhan ekonomi negara berpaksikan 3 fokus Belanjawan 2019 berikut:

Pertama : Melaksanakan reformasi institusi;
Kedua : Memastikan kesejahteraan rakyat; dan 
Ketiga : Memupuk budaya negara keusahawanan.

3. MPI diperuntukkan sebanyak RM507 juta iaitu RM125.6 juta untuk perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM381.4 juta melalui Belanjawan 2019 ini. MPI menerima pengurangan sebanyak 50.7% berbanding peruntukan tahun 2018.

4. Melalui Strategi Ke 10 Belanjawan 2019 : Merebut Peluang Dalam Menghadapi Cabaran Global, Kerajaan menumpukan kepada usaha menambah nilai kepada sektor komoditi secara khusus melalui program-program berikut:

(i) Program Biodiesel B10 (campuran 10% kandungan minyak kelapa sawit) bagi sektor pengangkutan dan B7 untuk sektor industri akan dilaksanakan mulai 2019 yang bertujuan untuk melestarikan penggunaan sumber tenaga, menstabilkan harga minyak sawit dan seterusnya meningkatkan sumber pendapatan kepada pekebun kecil;

(ii) Peruntukan sebanyak RM30 juta bagi membantu pekebun kecil kelapa sawit mendapatkan pengiktirafan pensijilan Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO);

(iii) Peruntukan sebanyak RM100 juta bagi penggunaan teknologi Cuplump Modified Bitumen (CMB) dalam pembinaan jalan raya di kawasan pelabuhan dan perindustrian secara berperingkat. Langkah ini dijangka akan meningkatkan permintaan ke atas cuplump dan seterusnya meningkatkan harga komoditi tersebut yang akan memberi manfaat langsung kepada pekebun kecil dan penoreh getah di seluruh negara; dan

(iv) Peruntukan sebanyak RM50 juta untuk Insentif Pengeluaran Getah (IPG) bagi membantu mengurangkan kesan kejatuhan harga getah kepada pekebun kecil. Di bawah IPG, pekebun kecil getah akan menerima sokongan pendapatan jika harga getah jatuh di bawah RM2.20 sekilogram.

5. Dengan pertumbuhan ekonomi global pada tahap 3.7%, tahun 2019 dilihat sebagai tahun yang mencabar kepada sektor agrikomoditi. Namun demikian, MPI akan terus memberi tumpuan kepada sektor perladangan dan komoditi yang merupakan penyumbang besar kepada pembangunan ekonomi negara dan pemangkin kepada peningkatan pendapatan rakyat luar bandar.

Kementerian Industri Utama
2 November 2018