mpi
KENYATAAN MEDIA


MENTERI INDUSTRI UTAMA YB TERESA KOK
AKAN MENGETUAI MISI EKONOMI, PROMOSI DAN PELABURAN MINYAK SAWIT
KE REPUBLIK CHINA DAN AMERIKA SYARIKAT
MULAI 21 - 28 OKTOBER 2018

1. YB Teresa Kok, Menteri Industri Utama, akan mengetuai satu Misi Ekonomi, Promosi dan Pelaburan Minyak Sawit ke Republik China dan Amerika Syarikat (AS) mulai 21 hingga 28 Oktober 2018.

2. Rombongannya terdiri daripada pegawai dari Kementerian Industri Utama, Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan Majlis Minyak Sawit Malaysia.

3. Misi ini bertujuan meneroka peluang pasaran, pelaburan dan menjalinkan kerjasama industri antara Malaysia dengan kedua-dua negara ini, pada masa yang sama menyediakan platform bagi Malaysia untuk membincang dan menangani isu-isu yang berkaitan perdagangan dan akses pasaran dengan negara-negara ini.

4. Di Nanjing, China, YB Teresa Kok akan merasmikan Pameran dan Seminar Perdagangan Minyak Sawit Malaysia-China (POTS) 2018. POTS China 2018, yang bertemakan "Pengembangan perdagangan dengan memaksimakan peluang menerusi Minyak Sawit Malaysia”, merupakan salah satu acara dinanti-nantikan memperlihatkan ramai antara pakar-pakar terkemuka dalam bidang minyak dan lemak

berkumpul. Acara ini juga memberi gambaran mengenai peluang perdagangan dan pelaburan dalam sektor minyak sawit.

5. YB Menteri juga akan melawat Pusat Penyelidikan & Pembangunan Global Wilmar serta River & Ocean Cereals and Oils Group Co. Ltd untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai operasi minyak dan lemak syarikat-syarikat ini di negara China.

6. Di San Francisco, Amerika Syarikat, beliau akan menjadi tetamu khas dalam acara "An Enchanted Evening with Martin Yan", iaitu majlis pelancaran siri televisyen baru Chef terkemuka Martin Yan bertajuk "Taste of Malaysia with Martin Yan" yang akan disiarkan dalam saluran KQED 9 di Amerika Syarikat.

7. Majlis pelancaran ini akan menampilkan jamuan lapan hidangan masakan klasik Malaysia di Restoran H.L. Peninsula di San Francisco Selatan. YB Teresa juga dijangka berinteraksi dengan penulis makanan untuk mempromosikan minyak sawit sebagai minyak masak semasa lawatan beliau di Amerika Syarikat.

8. Ketika beliau berada di sana, YB Menteri juga akan melawat Kilang Minyak dan Lemak Wilmar di Stockton, California, di samping bertemu dengan wakil-wakil Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

9. Untuk mengakhiri misinya, YB Teresa Kok akan bertemu dengan diaspora Malaysia di San Francisco.

10. Hubungan perdagangan antara Malaysia dengan Republik China adalah kukuh, terutamanya dalam minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit yang mencatat RM9.88 bilion bagi tahun 2017. Pada tahun tersebut, jumlah nilai eksport minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit Malaysia kepada Republik China adalah RM9.42 bilion, iaitu

peningkatan sebanyak 6.4% berbanding RM8.85 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

11. Nilai perdagangan antara Malaysia dengan Amerika Syarikat dicatatkan pada RM4.87 bilion pada tahun 2017. Jumlah nilai eksport produk berasaskan minyak sawit Malaysia ke Amerika Syarikat pada tahun 2017 adalah RM4.58 bilion, peningkatan sebanyak 16.2% berbanding RM3.94 bilion yang dicatatkan pada tahun 2016.

Kementerian Industri Utama Malaysia
20 Oktober 2018