Sempena 100 hari pertama sejak saya dilantik selaku Menteri Industri Utama (MPI), saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah memberi kepercayaan kepada kerajaan baharu Pakatan Harapan memimpin negara Malaysia yang kita cintai.

Saya juga merakamkan jutaan terima kasih kepada seluruh warga MPI, pemegang taruh (stakeholders) serta agensi dan majlis di bawahnya yang telah bersama-sama saya menerajui dan mengemudi Kementerian Industri Utama.

Pada hari pertama saya mengadakan sidang media setelah dilantik menjadi Menteri MPI, saya telah mengumumkan empat (4) fokus utama dalam memperkasakan sektor komoditi negara, iaitu:

i) Meningkatkan tahap kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan dengan memberi perhatian khusus kepada pendekatan mesra pelabur dan mesra perniagaan;
ii) Memelihara kebajikan rakyat yang terlibat dalam aktiviti-aktiviti sektor komoditi seperti pekebun kecil, pengusaha ladang, pengilang dan pekerja industri komoditi;
iii) Meningkatkan usaha untuk mengukuhkan pasaran sedia ada produk-produk komoditi serta meneroka pasaran-pasaran baharu; dan
iv) Memantapkan industri hiliran sektor komoditi dengan memperbanyakkan produk-produk nilai tambah tinggi yang dapat memenuhi keperluan dan kehendak pasaran antarabangsa.

Kita semua sedia maklum bahawa sektor komoditi terutamanya sawit dan getah telah menerima pelbagai cabaran domestik dan global seperti isu kemampanan, harga pasaran yang tidak konsisten, tekanan pasaran Eropah terhadap produk sawit, dan lain-lain. Cabaran-cabaran ini memerlukan satu pendekatan strategik yang komprehensif dan holistik bagi mengimbangi kelangsungan sektor ini.

Justeru, saya ingin berkongsi beberapa pelaksanaan dan perkembangan positif berkaitan industri komoditi sehingga Oktober 2018 iaitu seperti berikut:

i) Sempena lawatan kerja yang diketuai oleh YAB Perdana Menteri pada 17 hingga 24 Ogos 2018, Kementerian telah mengadakan misi untuk mengukuhkan pasaran komoditi kita di peringkat global. Saya telah menyertai lawatan rasmi ini dalam konteks melebar luas pasaran komoditi di negara China. Hasilnya beberapa perjanjian persefahaman (MoU) telah dimeterai seperti:

a. kerjasama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dengan Universiti Tsinghua, Beijing berhubung penggalakan dan promosi bio bahan api Malaysia di negara China.
b. MoU antara Lembaga Getah Malaysia (LGM) dengan Hainan State Farm Investment Holdings Group Co. Ltd berkaitan penggunaan teknologi penurapan jalan menggunakan getah (Rubberised Bitumen Road) dan penorehan getah mengggunakan teknologi automasi dan mekanisasi.
c. MOU antara Sime Darby Plantation Berhad dengan China National Cereals, Oils and Foodstuffs Corporation (COFCO) Group dalam pembangunan teknikal aplikasi untuk sektor hiliran minyak sawit dan produk-produk berasaskan sawit.

ii) Sebagai lanjutan daripada lawatan rasmi YAB Perdana Menteri ke negara China, saya telah mengetuai misi ekonomi, promosi dan pelaburan di Beijing dan Guangzhou, China. Delegasi yang terdiri daripada agensi-agensi di bawah MPI telah bertemu dengan pemain-pemain industri komoditi sektor swasta di negara China.

iii) Saya juga telah mengetuai misi ke Switzerland dan negara Kesatuan Eropah iaitu Sepanyol dan Belgium dari 28 September hingga 6 Oktober 2018. Misi ini bertujuan meningkatkan usaha promosi minyak sawit dan produk berasaskan sawit di Eropah.

Kami telah bertemu dengan Menteri-Menteri, Ahli-Ahli Parlimen, pegawai-pegawai atasan, industri serta NGO untuk menyampaikan hasrat negara dan memberi penjelasan berhubung pengurusan industri komoditi sawit serta pendirian Malaysia terhadap kempen anti sawit yang dimainkan di Eropah.

Saya telah memberi ucaptama di Malaysian Palm Oil Roundtable Dialogue di Bern, Switzerland dan di European Palm Oil Conference di Madrid, Sepanyol. Saya berharap satu momentum positif akan tercapai antara Malaysia dan Eropah dalam beberapa perkara penting berkaitan industri komoditi sawit.

iv) Berkenaan dengan pensijilan Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO), usaha telah dipertingkatkan lagi untuk mencapai pensijilan mandatori MSPO menjelang tahun 2020 di seluruh negara, termasuk negeri Sabah yang telah memberi komitmen penuh untuk melaksanakan MSPO.

v) Penggunaan bio bahan api berasaskan sawit perlu diperluaskan bukan sahaja untuk meningkatkan penggunaan minyak sawit dalam negara tetapi sebagai usaha mengurangkan pelepasan karbon. Sehubungan dengan itu, Kementerian merancang untuk meningkatkan adunan program biodiesel ke B10 (campuran 10% ester metil sawit (PME) dengan 90% petroleum diesel) bagi sektor pengangkutan, dan memperkenalkan program B7 (campuran 7% PME dengan 93% petroleum diesel) bagi sektor industri.

Jumlah eksport bagi sektor agri komoditi telah mencatat sebanyak RM84.9 bilion dalam tempoh Januari – Ogos 2018, dengan sumbangan sektor sawit sebanyak RM45.4 bilion atau RM53.5% daripada keseluruhan nilai eksport.

Ini diikuti dengan sektor getah (nilai eksport RM20.8 bilion) dan sektor perkayuan (RM14.6 bilion). Gabungan sektor komoditi yang lain seperti koko dan lada mencatat RM3.6 bilion. Negara menyaksikan penurunan kadar nilai eksport sebanyak 9.2% kepada RM84.9 bilion disebabkan harga pasaran komoditi dunia yang tidak menentu.

Dari aspek imbangan dagangan sektor agri komoditi bagi tahun ini sehingga 31 Ogos 2018, sektor komoditi telah mencatat imbangan dagangan berjumlah RM58.5 bilion. Daripada ini, sektor sawit dan produk berasaskan sawit telah menyumbang sebanyak RM39.1 bilion atau 66.8% daripada jumlah keseluruhan.

Manakala sektor perkayuan telah mengatasi sektor getah iaitu menyumbang sebanyak RM11.2 bilion berbanding dengan sektor getah (RM8 bilion). Gabungan sektor komoditi yang lain seperti koko dan lada mencatat angka imbangan dagangan sebanyak RM493.9 juta.

Maka, sektor komoditi berada di tangga kedua selepas sektor elektronik dan elektrik yang mencatat nilai imbangan dagangan sebanyak RM72.8 bilion.
Saya yakin dengan usaha-usaha yang telah dan sedang dijalankan ini, sektor komoditi akan terus maju ke hadapan dan kekal sebagai penyumbang eksport utama negara. Pada masa yang sama, ia mampu terus membela dan menjadi sumber pendapatan kepada lebih satu juta rakyat Malaysia yang berkecimpung dalam sektor ini.

 

KEMENTERIAN INDUSTRI UTAMA
10 Oktober 2018