mpi
KENYATAAN MEDIA

MALAYSIA AKAN MENCALONKAN PAKARNYA UNTUK SERTAI PANEL ILUC SURUHANJAYA EROPAH

BRUSSELS, Belgium (Okt. 7, 2018): Malaysia akan mencalonkan pakar tempatan untuk menyertai panel Perubahan Kegunaan Tanah Secara Tidak Langsung (Indirect Land Use Change, ILUC) Suruhanjaya Eropah yang boleh memberi impak kepada penggunaan minyak sawit dalam campuran bio bahanapi di bawah Perintah Tenaga Boleh Baharu (Renewable Energy Directive, RED II) Eropah.

Menteri Industri Utama Teresa Kok menyambut baik inisiatif Suruhanjaya Eropah ini yang akan membenarkan perundingan diadakan antara pengeluar minyak sawit, termasuk pakar minyak sawit Malaysia mengenai prinsip-prinsip saintifik utama di bawah ILUC.

“Proses rundingan ini amat penting kerana kita tidak mahu minyak sawit kita didiskriminasi,” kata beliau yang mengetuai misi minyak sawit ke Switzerland, Sepanyol dan Belgium.

Kok disertai oleh pegawai atasan Kementerian Industri Utama, Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Majlis Minyak Sawit Malaysia, Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia.

Rombongan ini telah mengadakan perjumpaan dengan beberapa pegawai tinggi Kesatuan Eropah di sini termasuk Encik Karmenu Vella, Pesuruhjaya Eropah untuk Alam Sekitar, Hal Ehwal Maritim dan Perikanan; Ketua Pengarah Alam Sekitar, Pendidikan, Pengangkutan dan Tenaga Majlis Kesatuan Eropah, Dr. Jaroslaw Pietras dan Pengarah Urusan (Asia Pasifik) European External Action Services, Encik Gunnar Wiegand.

ILUC secara amnya tidak disokong oleh pihak industri dan pakar akademik disebabkan ianya berdasarkan prinsip-prinsip yang belum dibuktikan. Sememangnya, asas bagi definisi konsep ILUC belum disahkan secara universal, termasuk di kalangan negara Kesatuan Eropah. Malaysia bimbang bahawa ini mungkin akan

menentukan penggunaan minyak sawit masa depan sebagai sebahagian daripada mandat RED II Kesatuan Eropah.

“Panel pakar Suruhanjaya Eropah akan melawat Malaysia pada akhir bulan ini untuk mengadakan perbincangan dengan pakar kita mengenai isu-isu ini. Pakar-pakar kita akan menyertai panel ini," kata Kok.

Menteri turut menegaskan bahawa amat penting bagi panel pakar Suruhanjaya Eropah berkenaan ILUC ini untuk melihat secara dekat amalan penanaman dan pemprosesan minyak sawit Malaysia supaya mereka menghargai kerumitan yang kita lalui dalam menghasilkan minyak sawit mampan.

Langkah ini dianggap positif memandangkan terdapat kebimbangan bahawa Suruhanjaya Eropah akan menggunakan kriteria ILUC untuk menyekat secara berperingkat minyak sawit dalam mandat Perintah RED II Suruhanjaya Eropah.

“Malaysia bersedia untuk mendengar dan berunding secara aktif dalam sebarang perbahasan mengenai ILUC. Walau bagaimanapun, kita menegaskan bahawa ILUC tidak sepatutnya menindas minyak sawit atau minyak sayuran lain.

"Sekiranya kriteria yang mentakrifkan ILUC tidak berlandaskan prinsip-prinsip saintifik yang diterima pakai, Malaysia akan menggunakan pelbagai forum rundingan dan perdagangan antarabangsa untuk mendapatkan hasil yang saksama bagi eksport minyak sawit kita," katanya.

Di Madrid, Sepanyol, Kok juga telah bertemu dengan Menteri Perdagangan Indonesia Bapak Enggartiasto Lukita untuk membincangkan cabaran bersama yang dihadapi minyak sawit di Eropah.

Kedua-dua pihak berpendapat bahawa tindakan-tindakan termasuk label "Tiada Minyak Sawit" pada produk, adalah satu diskriminasi.

Oleh itu, Malaysia dan Indonesia, sebagai negara pengeluar yang bergantung kepada eksport minyak sawit untuk KDNK yang sihat, bersetuju secara prinsip untuk bekerjasama dalam mempertahankan kepentingan minyak sawit dan mengatasi tanggapan negatif terhadap komoditi eksport ini.

"Sebagai pengasas Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (Council of Palm Oil Producing Countries, - CPOPC), kami berhasrat untuk mengukuhkan keanggotaan CPOPC dengan mendaftar negara-negara pengeluar minyak sawit lain sebagai ahli, dan menggunakan Majlis antarabangsa ini untuk menangani cabaran yang dihadapi di Eropah," katanya.

Kok turut menegaskan bahawa Kerajaan Malaysia akan terus berdialog dengan pelbagai institusi di Eropah untuk menangani isu penindasan minyak sawit.

Kementerian Industri Utama
7 Oktober 2018

YB Puan Teresa Kok, Menteri Industri Utama menyampaikan cenderahati kepada Encik Karmenu Vella, Pesuruhjaya Eropah Alam Sekitar, Hal Ehwal Maritim dan Perikanan sejurus selepas perjumpaan pada 5 Oktober 2018.