mpi
KENYATAAN MEDIA


 

KESATUAN EROPAH MENGHALANG USAHA MALAYSIA
UNTUK MENCAPAI UN SUSTAINABLE DEVELOPMENT GOALS (SDGS)

MADRID, Sepanyol (Okt 5, 2018): YB Teresa Kok, Menteri Industri Utama, menyelar tindakan Kesatuan Eropah yang menghalang usaha Malaysia untuk mencapai UN Sustainable Development Goals (SDGs) melalui usaha berterusan mereka untuk mengeluarkan secara berperingkat minyak sawit daripada pasaran mereka.

Teresa Kok turut menyelar dakwaan yang menyatakan bahawa minyak sawit adalah punca kepada penyahutanan dan menekankan bahawa, “litupan hutan Malaysia melebihi 50% daripada kawasan litupan hutan yang sepatutnya, selaras dengan komitmen yang telah dibuat di peringkat antarabangsa dan jumlah ini tidak mampu ditandingi oleh negara-negara pengkritik.”

Beliau berkata, Malaysia telah mengambil pelbagai inisiatif termasuk melabur dalam usaha kemampanan serta mematuhi amalan mampan minyak sawit. “Walau bagaimanpun tindakan anti minyak sawit oleh EU memberi mesej kepada negara pengeluar minyak sawit bahawa usaha untuk melabur dalam inisiatif mampan tidak membuahkan hasil.”

“Kesatuan Eropah sepatutnya membantu negara-negara membangun dalam mencapai SDG dan bukannya mengenakan dasar dan peraturan yang membebankan seterusnya melemahkan usaha-usaha meraka ke arah mencapai SDG”, katanya dalam temuramah selepas menyampaikan ucaptama di European Palm Oil Conference pada hari Khamis, 4 Oktober 2018.

Dalam ucaptamanya, YB Teresa Kok menerangkan mengenai langkah kemampanan yang dilaksanakan oleh Malaysia dan membantah secara keras tuduhan terhadap minyak sawit di Eropah.

Beliau juga mengingatkan bahawa berdasarkan definisi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kemampanan sosial dan ekonomi adalah sama penting dengan kemampanan alam sekitar

Menurut beliau, Malaysia sebagai peneraju minyak sawit mampan dunia telah melaksanakan pelbagai langkah kawalan alam sekitar serta pada masa yang sama berjaya meningkatkan taraf hidup komuniti melalui aktiviti penanaman kelapa sawit.

“Malaysia mempunyai rantaian pengeluaran minyak sawit mampan yang dipersijilkan mengikut piawaian dan pematuhan undang-undang tempatan dan antarabangsa,” katanya. Tambah beliau, skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MPSPO) akan dimandatorikan di sepanjang rantaian pengeluaran minyak sawit menjelang 2020.

“Tambahan pula, syarikat-syarikat Malaysia telah melaksanakan sepenuhnya kriteria kemampanan yang diperlukan untuk memenuhi kriteria yang membebankan sepertimana yang ditetapkan oleh EU. Di samping itu, kita juga telah mengguna pakai persijilan International Sustainability and Carbon Certification dari Jerman dan Roundtable on Sustainable Palm Oil (RSPO) bagi eksport minyak sawit negara.” katanya.

Namun begitu, Malaysia pernah diancam dengan pembatalan import ke atas semua produk sawit susulan daripada usul Parlimen EU ke atas biobahan api sawit. “Untuk itu, sekiranya Kesatuan Eropah mencari jalan untuk mengeluarkan atau menyekat minyak sawit Malaysia, ia memberi isyarat kepada negara-negara membangun bahawa melabur dalam inisiatif mampan adalah sia-sia,” tambah beliau.

Di seminar tersebut, YB Teresa Kok turut melancarkan buku poket berkenaan Kegunaan Minyak Sawit terbitan Lembaga Minyak Sawit Malaysia dalam Bahasa Sepanyol.

Beliau mengetuai misi sawit ke Switzerland, Sepanyol dan Belgium dari 28 September hingga 6 Oktober 2018, yang turut disertai oleh pegawai kanan Kementerian, MPOB, Majlis Minyak Sawit Malaysia, Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia.

Sebelum ini, YB Teresa Kok dan delegasi telah menemui ahli-ahli Spanish Alliance for Sustainable Palm Oil dan Spanish Biodiesel Association yang telah melahirkan sokongan berterusan terhadap minyak sawit mampan Malaysia yang dipersijilkan dan menekankan kepentingan Sepanyol sebagai destinasi utama minyak sawit ke Eropah.

Namun, mereka juga risau terhadap kempen anti minyak sawit yang mengancam pasaran minyak sawit di Sepanyol. Mesyuarat tersebut berakhir dengan kesemua pihak memberi komitmen untuk menangani kempen anti minyak sawit melalui kerjasama dalam mempromosikan kebaikan serta pengeluaran mampan minyak sawit.

Kerajaan Sepanyol telah menolak usul Parlimen EU sebelum ini untuk mengharamkan biobahan api sawit memandangkan ia bertentangan dengan konvensyen Pertubuhan Perdagangan Dunia.

Sepanyol adalah pengimport penting minyak sawit Malaysia. Dari Januari hingga Ogos tahun ini, Sepanyol telah mengimport 259,701 tan minyak sawit Malaysia iaitu peningkatan sebanyak 46.8% berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Kementerian Industri Utama, Malaysia
5 Oktober 2018

YB Terasa Kok, Menteri Industri Utama menerima cenderahati daripada Frans Classen, Pengerusi European Palm Oil Alliance selepas menyampaikan ucaptama di European Palm Oil Conference di Madrid, Sepanyol pada 4 Oktober 2018