KUALA LUMPUR, 26 Jun -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah hari ini susulan hasil pengeluaran dijangka meningkat bagi minggu-minggu akan datang.
Peniaga minyak sawit, David Ng berkata pengeluaran lebih tinggi akan memberi tekanan kepada inventori.
"Kami menetapkan paras sokongan pada RM2,300 satu tan dan rintangan pada RM2,450 satu tan,” katanya kepada Bernama hari ini.


Sementara itu, peniaga lain berkata kenaikan harga minyak mentah turut menjadikan MSM sebagai pilihan bahan mentah yang lebih menarik untuk biodiesel.
Harga minyak mentah meningkat hari ini, meneruskan kenaikan semalam didorong oleh keyakinan bahawa permintaan terhadap bahan api semakin pulih di seluruh dunia, katanya.
Minyak mentah Brent naik 0.93 peratus kepada US$41.43 setong.
Semasa penutupan pasaran, Julai 2020 susut RM39 kepada RM2,473 satu tan; Ogos 2020 turun RM32 kepada RM2,437 satu tan; September 2020 kurang RM27 kepada RM2,368 satu tan; dan Oktober 2020 menguncup RM20 kepada RM2,342 satu tan.
Jumlah dagangan meningkat kepada 43,672 lot daripada 36,679 ketika ditutup semalam manakala kepentingan terbuka menokok kepada 238,188 kontrak daripada 227,975 kontrak.
Di pasaran fizikal, Julai Selatan turun RM20 kepada RM2,500 satu tan.
-- BERNAMA

https://www.bernama.com/bm/pasaran/news.php?id=1854827
Sumber: bernama.com