KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 

M A L A Y S I A 

 

SIARAN MEDIA

TREK KOMODITI KPK 2023

MEDIUM TURUN PADANG DEKATI PEKEBUN KECIL DAN PEMAIN INDUSTRI AGRIKOMODITI

 

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof menyempurnakan sesi ‘flag-off’ perasmian program Trek Komoditi 2023 anjuran Kementerian Perladangan dan Komoditi di lokasi pokok getah pertama di Tanah Melayu bertempat di Kuala Kangsar, Perak, hari ini. 

Bertemakan “Memacu Kemampanan Komoditi Negara Demi Kesejahteraan Rakyat”, program ini menjadi medium turun padang Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri KPK, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof bersama pihak pengurusan tertinggi KPK untuk menyantuni pekebun kecil dan pemain industri sektor komoditi secara langsung. Idea penganjuran program ini merupakan cetusan hasrat murni YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof untuk menterjemah komitmen padu kerajaan menerusi KPK serta agensi di bawahnya bagi menjamin kesejahteraan pekebun kecil di lapangan menerusi sesi dua hala untuk memperoleh maklum balas secara dua hala tentang situasi semasa yang mereka lalui. 

Pada tahun 2022, keseluruhan pekebun kecil sektor Agrikomoditi berjumlah seramai 801,002 orang yang mana 335,264 orang berada di Semenanjung, 101,177 orang di Sabah dan 131,960 orang di Sarawak. 

Pekebun kecil dalam sektor sawit adalah berjumlah 446,061 orang, terdiri daripada pekebun persendirian seramai 213,460 manakala pekebun kecil tersusun pula berjumlah 232,601 orang. Di bawah kategori pekebun kecil tersusun sektor sawit, 100,060 orang adalah di bawah FELDA, 89,440 orang di bawah FELCRA,14,389 orang bersama RISDA manakala 28,712 orang lagi di bawah kategori Lain-lain. 

Sektor getah meliputi 310,797 orang, sektor koko diwakili oleh 5,317 orang, 38,182 orang adalah daripada sektor lada sementara sektor kenaf merekodkan 645 orang.

Bermula dengan pelaksanaan siri pertama meliputi Zon Utara Semenanjung pada 10 hingga 12 Jun 2023, program turun padang Kementerian untuk mendekati pekebun kecil di lapangan ini bakal diteruskan ke wilayah Borneo melibatkan zon Sabah dan Sarawak pada Julai dan Ogos kelak.

Semasa di Kuala Kangsar, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof berkesempatan bersemuka dengan para pekebun kecil getah di situ untuk memperoleh maklum balas berhubung situasi semasa yang dihadapi berikutan kejatuhan harga getah di pasaran dunia.

Semasa pembentangan Bajet 2023, Kerajaan telah bersetuju untuk meningkatkan paras harga pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dari RM2.50 kepada RM2.70 dengan peruntukan sebanyak RM350 juta bagi menjamin kelangsungan para pekebun kecil getah. Sehingga Mei 2023, bilangan pekebun kecil getah negeri Perak yang telah berdaftar dengan PAT-G dan aktif membuat tuntutan IPG adalah seramai 17,259 orang dengan keluasan kawasan bertanam getah berjumlah 24,423 hektar.

Usai ‘flag-off’, rombongan Trek Komoditi yang diketuai oleh beliau kemudiannya melawat ke Kilang Delano Furniture Industries Sdn. Bhd. yang merupakan salah sebuah kilang perabot kayu tempatan di Sungai Bakap, Pulau Pinang bagi meninjau secara langsung proses penghasilan perabot.

Pemilihan lokasi ‘flag-off’ di kawasan Pokok Getah Pertama Malaya Kuala Kangsar ini memberi makna tersendiri terhadap sektor komoditi getah negara memandangkan pokok getah tersebut telah dibawa dari Brazil oleh Sir Henry Wickham semasa ekspedisi ke Tanah Melayu pada 1876.

Setakat ini, keluasan tanaman getah di negeri Perak seluas 39,796.10 hektar dengan bilangan pekebun kecil getah seramai 21,682 orang. Sebanyak 47% kawasan getah di negeri Perak terdiri daripada pekebun kecil individu, 22% adalah di bawah Rancangan FELDA, 14% adalah ladang milik agensi kerajaan, 5% adalah di bawah Rancangan FELCRA dan 5% adalah milik ladang swasta. 

Daerah Hulu Perak mencatatkan keluasan tanaman getah tertinggi dengan 37% daripada jumlah keluasan tanaman getah negeri Perak. Daerah Kuala Kangsar mencatat keluasan tanaman getah kedua tertinggi dengan 18% diikuti dengan Daerah Selama iaitu 10% daripada jumlah keluasan kawasan tanaman getah negeri Perak. 

Selaras dengan fokus keutamaan Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN 20230) bagi pemerkasaan pekebun kecil, KPK akan terus komited bagi menjamin kelangsungan hidup golongan ini yang merupakan tunjang kejayaan kepada kemajuan sektor komoditi negara menerusi pelbagai inisiatif seperti agihan bantuan dari masa ke semasa. 

KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 

10 JUN 2023