TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI FADILLAH BIN HAJI YUSOF
TIMBALAN PERDANA MENTERI DAN
MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI
BERSEMPENA
MAJLIS AMANAT TAHUN BAHARU
26 JANUARI 2023 (KHAMIS) 9.00 PAGI
DEWAN SERBAGUNA ARAS G, KPK


Bismilllahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullhi wabarakatuh, Selamat Pagi dan Salam Perpaduan.


Salutasi


1. Terlebih dahulu marilah kita memanjatkan rasa syukur ke hadrat ilahi diatas rahmatnya yang mengizinkan kita berkumpul bersama pada pagi ini. Saya amat menghargai peluang untuk bersama warga KPK bagi menyampaikan amanat tahun baharu ini, sebagai pembukaan bagi tahun 2023, dengan harapan agar kita semua dapat bergerak sebagai satu pasukan yang efisyen lagi efektif, menggalas amanah yang telah diberikan, dan melaksanakan tugasan demi kesejahteraan setiap pemegang taruh dalam industri ini dan demi meningkatkan lagi industri perladangan dan komoditi negara.


2. Saya kira masih belum terlambat untuk saya ucapkan selamat Tahun Baharu kepada semua yang hadir dan saya juga ingin rakamkan ucapan terima kasih atas sumbangan dan usaha gigih semua pihak diatas kejayaan tahun 2022. 

Warga kementerian yang saya kasihi sekalian,


SOROTAN PENCAPAIAN TAHUN 2022


3. Sebelum kita berbicara mengenai objektif dan matlamat bagi tahun 2023, wajarlah kita menoleh ke belakang seketika untuk melihat pencapaian kita pada tahun sebelum ini.


4. Pertama, saya dimaklumkan bahawa Dasar Agrokomoditi Negara (DAKN2030) telah dilancarkan pada 9 Mac 2022 dengan visi “Memajukan Agrikomoditi Demi Kemampanan dan Kemakmuran Bersama”. Dokumen ini menjadi landasan kepada penggubalan pelan strategik bagi lapan komoditi utama KPK. Kerangka dasar yang menyeluruh seperti ini adalah amat penting bagi menentukan hala tuju bagi mencapai matlamat jangka panjang setiap segmen industri agrokomoditi negara. Seperti lazimnya dengan kerangka dasar, ia mungkin terus diperincikan dan ditambahbaik mengambil kira perkembangan terkini dalam arena agrokomoditi, namun ia memberikan “road map” yang jelas bagi mengatur gerak kerja ke arah mencapai matlamat yang diinginkan.


5. Saya difahamkan juga bagi tahun 2022, Sektor Agrikomoditi telah mencatatkan jumlah nilai dagangan sebanyak RM268.1 bilion. Manakala, imbangan dagangan adalah sebanyak RM146.5 bilion.


6. Pendapatan eksport produk agrikomoditi pula adalah sebanyak RM207.3 bilion atau 13.4% daripada keseluruhan pendapatan eksport negara. Walaupun ada penurunan sedikit (1.1%) berbanding tahun sebelumnya, kita masih meletakkan keyakinan tinggi bahawa prestasi perdagangan ini akan kekal positif bagi tahun 2023. Dari segi sumbangan KDNK pula, bagi tempoh Januari - September 2022, sektor ini telah menyumbang kepada KDNK sebanyak RM61.3 bilion iaitu 5.5% dari keseluruhan KDNK Nasional. Ini adalah jumlah yang sangat signifikan, sekaligus meletakkan KPK sebagai sebuah komponen yang amat penting dalam pemerkasaan ekonomi negara dalam jangka panjang.


7. Perlu diingat, pada tahun 2022, sektor agrikomoditi adalah antara sektor terawal yang telah dibenarkan untuk beroperasi sepenuhnya bagi memacu semula pertumbuhan ekonomi
negara. Selain daripada hasil dagangan secara langsung, sumbangan sektor ini termasuklah dengan menyediakan pekerjaan kepada hampir 431 ribu orang pekerja . Jumlah ini tidak termasuk pekebun kecil persendirian dan tersusun yang dianggarkan berjumlah 728 ribu orang. Gambaran ini secara keseluruhannya menggariskan dengan jelas bahawa Sektor Agrikomoditi adalah penting dan signifikan kepada pembangunan ekonomi negara.


8. Selain itu, seperti yang diketahui warga KPK, bagi memastikan Sektor Agrikomoditi dilaksanakan secara mampan dan memenuhi tuntutan kemampanan pasaran import dan pengguna, KPK telah melaksanakan sistem pensijilan kemampanan bagi sektor sawit dan perkayuan. Bagi Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (Malaysian Sustainable Palm Oil – MSPO), 98% pensijilan MSPO telah dikeluarkan sehingga Disember 2022. Manakala bagi Sijil Kemampanan Perkayuan Malaysia (Malaysian Timber Certification Scheme - MTCS) 37 pensijilan Forest
Management Unit (FMU) telah dikeluarkan dengan dengan jumlah keluasan keseluruhan 5.80 juta hektar. Saya kira pencapaian ini sangat baik dan boleh dibanggakan.


9. Dalam memperkasa penyampaian perkhidmatan berpaksikan teknologi digital dalam Sektor Agrikomoditi pula, KPK telah mencapai 96.5% perkhidmatan digital secara End To End (E2E). Pencapaian ini lebih tinggi daripada sasaran yang ditetapkan di peringkat nasional iaitu 80%. Dengan adanya perkhidmatan E2E ini, penyampaian perkhidmatan Kementerian akan lebih mudah, cepat dan tepat secara dalam talian tanpa perlu berurusan secara bersemuka.

Warga KPK yang dihormati sekalian,

10. Melangkah masuk ke tahun 2023, kita semua sedia maklum bahawa rata-rata penganalisa meramalkan bahawa tahun ini mungkin agak mencabar. Ekonomi global dijangka mengalami kelembapan disebabkan oleh kadar faedah dan inflasi yang lebih tinggi yang akan menjejaskan pelaburan;  keadaan permintaan pasaran antarabangsa yang lembab, khususnya di pasaran Amerika Syarikat (US) dan Kesatuan Eropah (EU); serta konflik Rusia-Ukraine yang berterusan. Berikutan faktor-faktor itu, Bank Dunia menyasarkan unjuran pertumbuhan ekonomi global yang lebih rendah bagi tahun 2023, iaitu hanya sekitar 1.7% berbanding sasaran awal sebanyak 3%. Unjuran ini merupakan pertumbuhan ketiga terendah, iaitu selepas krisis ekonomi global tahun 2009 dan pandemik COVID-19 pada tahun 2020. Sebagai sebuah negara ekonomi terbuka, Malaysia dijangka akan turut berkesan dengan kemerosotan ekonomi global ini yang akan menurunkan anggaran pertumbuhan KDNK 2023 kepada 3.7% berbanding 4.7% yang disasarkan sebelum ini.


11. Walau bagaimanapun, dalam setiap kegawatan, ada peluang-peluang yang masih boleh direbut. Konflik Rusia- Ukraine umpamanya, walaupun menimbulkan kesan negatif secara amnya terhadap ekonomi global, secara positifnya, ia akan memberi ruang kepada peningkatan permintaan hasil agrikomoditi dan ekoran dari itu, harga pasaran dijangka
kekal tinggi. Namun begitu, kemampuan untuk memanfaatkan peluang ini terletak kepada keupayaan kita untuk terus meningkatkan produktiviti bagi memenuhi permintaan pasaran dan memanfaatkan sepenuhnya harga tinggi di pasaran global itu.


12. Saya sedar bahawa industri menghadapi kekangan untuk meningkatkan produktiviti dari segi kekurangan tenaga pekerja. Dianggarkan seramai 63,000 tenaga kerja asing masih diperlukan dalam Sektor Agrikomoditi terutamanya dalam perladangan sawit. Kekurangan tenaga kerja ini telah menyebabkan produktiviti hasil kelapa sawit terjejas dengan teruk dan negara mengalami kehilangan hasil pendapatan yang dianggarkan berjumlah RM20 bilion pada tahun 2022.


13. Ke arah menyelesaikan isu ini, suka saya nyatakan di sini bahawa Kerajaan telah bersetuju untuk memudahkan proses kemasukan pekerja asing dan melaksanakan Pelan Rekalibrasi PATI 2.0. Di samping itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan mengadakan perbincangan dengan negara sumber bagi memastikan kemasukan pekerja asing ini dapat dilaksanakan dengan lancar.


14. Selain dari itu dan dalam masa yang sama, kita juga berdepan dengan cabaran dalam bentuk usaha negara-negara tertentu khususnya di benua Eropah yang cuba menyukarkan
kemasukan minyak sawit ke negara masing-masing. Bukan hanya sekadar dengan melancarkan kempen anti minyak sawit, kini pihak EU telah menggariskan undang-undang baharu iaitu European Union Deforestation Free Regulation (EUDR) yang boleh dikatakan satu bentuk sekatan perdagangan yang menghalang Minyak Sawit dari menembusi pasaran mereka. Cabaran besar ini perlu kita hadapi secara proaktif, dan InshaAllah, saya akan bersama dengan KPK dalam kita mengatur langkah secara tersusun, teliti dan strategik bagi memperjuangkan agar hasil
agrokomoditi Malaysia dapat menembusi pasaran antarabangsa secara adil dan saksama. 

Warga KPK yang dihormati sekalian,

15. Baru-baru ini semasa Sesi Pemukiman Jemaah Menteri, semua kementerian diarah menyediakan KPI bagi jangka masa pendek (100 hari), sederhana (2 tahun) dan panjang (5
tahun). KPK telah menetapkan KPI untuk jangka masa pendek (100 hari) seperti berikut:


 Memperkukuh nilai eksport Sektor Agrikomoditi dengan sasaran RM35 bilion;


 Meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat dalam Sektor Agrikomoditi dengan sasaran 55 ribu tan jualan buah tandan segar oleh pekebun kecil sawit melalui Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) dan 2,000 orang tenaga kerja mahir dalam Sektor Agrikomoditi dibangunkan;


 Meningkatkan akses pasaran agrikomoditi tempatan ke peringkat antarabangsa;


 Memodenkan Pengurusan Sektor Agrikomoditi dengan sasaran 6 Projek Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dikomersialkan;


 Memperkasa penyampaian perkhidmatan dalam Sektor Agrikomoditi berintensifkan teknologi digital dengan mencapai peratus perkhidmatan dalam talian Kementerian secara end to end (E2E) meningkat ke 98.5%; dan


 Penguatkuasaan pelesenan tembakau dan produk tembakau dengan mendaftar dan melesenkan sebanyak 15,000 premis secara dalam talian.


16. Berdasarkan kepada KPI yang telah disebutkan tadi, KPK telah merangka inisiatif Bajet 2023 untuk dilaksanakan bagi menyokong pencapaian KPI tersebut. Saya tidak akan huraikan satu persatu di sini dan saya percaya pihak YBhg. Datuk KSU akan dapat memastikan setiap perancangan itu diperincikan dan difahami oleh seluruh warga KPK agar kita dapat bergerak sehaluan dan secara berpasukan bagi merealisasikan dan memenuhi setiap KPI yang ditetapkan mengikut garis masa yang telah ditentukan.


17. Apa yang saya ingin tekankan di sini ialah, sama ada dalam menyiapkan projek-projek yang sedang berjalan, meneroka sektor baru, meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada semua pemegang taruh, menyumbang kepada keterjaminan makanan negara, mahupun mempertahankan sektor agrikomoditi dari serangan perspektif negatif dari pesaing-pesaing, semuanya hanya akan dapat kita lakukan dengan cemerlang apabila kita bertutur dengan satu nada, bergerak sebagai sebuah jentera yang ampuh, saling memahami peranan masing-masing
dalam menjalankan tugas dan berganding bahu sebagai sebuah organisasi yang bersatu padu.


18. Saya yakin setiap warga KPK memahami dan menyedari betapa pentingnya peranan setiap dari kita bagi merealisasikan bukan sahaja KPI yang ditetapkan, tetapi juga hasrat dan gagasan besar Kerajaan untuk meningkatkan kemajuan dan kemakmuran negara. All of us here have an important role to play, and if we do our work sincerely, professionally, skillfully and with the highest integrity, I believe we will collectively be able to deliver for the country not only results that we can truly be proud of, but also results that make a real difference to the lives of so many Malaysians.


Warga KPK yang dihormati sekalian,

19. Dalam sesi Amanat YAB Perdana Menteri pada 19 Januari lalu, YAB Perdana Menteri telah memperkenalkan konsep Negara MADANI yang merujuk kepada tatakelola yang adil dan berkesan sebagaimana yang telah dibuktikan dalam sejarah umat Islam di Madinah. Saya percaya tonggak konsep Madani yang diperkenalkan itu iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan Ihsan, berkait rapat dengan tugasan kita di KKM dan nilai-nilai itu perlu kita cerminkan dalam setiap inisiatif yang dilaksanakan ke arah mencapai objektif Kementerian yang pelbagai.


20. Saya menyeru supaya semua pihak beriltizam untuk terus berusaha keras dalam mencapai sasaran yang telah ditetapkan. Marilah kita bersama-sama menjayakan agenda negara, membina semula ekonomi bagi mencapai negara MADANI.


21. Akhir kata, saya berharap semua warga Kementerian, Agensi-agensi serta Majlis-majlis di bawah Kementerian bersedia untuk mendepani cabaran tahun 2023 yang dijangka akan lebih kompleks dan berliku. Saya amat yakin dengan keupayaan dan kebolehan seluruh warga KPK dalam menempuhi cabaran itu, dan saya doakan agar kita dapat bersama berusaha untuk menjayakan setiap objektif dan matlamat yang telah ditetapkan, demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.


Sekian, wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih.