TEKS UCAPAN
YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

 

Jata
SEMPENA
MAJLIS PEMETERAIAN PERJANJIAN PERSEFAHAMAN
KOLABORASI STRATEGIK PEMBANGUNAN INDUSTRI
BERASASKAN GETAH MELALUI GERAKAN KOPERASI


28 OKTOBER 2021 (KHAMIS)


Bismillahirrahmanirrahim,


Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh,


Salam Sejahtera & Salam Malaysia Prihatin


1. Alhamdulillah bersyukur saya ke hadrat Allah S.W.T dengan limpah kurniaNya pada hari ini dapat kita bersama-sama berkumpul di majlis yang penuh bermakna ini.


2. Pertama sekali, ucapan jutaan terima kasih kepada Yang Berhormat Tan Sri Noh bin Hj. Omar, Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi atas kesudian untuk hadir ke Majlis Pemeteraian Perjanjian Persefahaman Kolaborasi Strategik Pembangunan Industri Berasaskan Getah Melalui Gerakan Koperasi pada hari ini.


3. Saya juga ingin merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) atas perancangan dan usaha untuk mengadakan kolaborasi strategik pada hari ini.

4. Untuk makluman Tuan-tuan dan Puan-puan, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi bertanggungjawab dalam memperkukuhkan peranan dan sumbangan industri agrikomoditi perladangan kepada ekonomi negara.


5. Industri agrikomoditi negara terdiri daripada sawit, getah, kayukayan, koko, lada, kenaf dan tembakau adalah meliputi industri huluan, pertengahan dan hiliran. Pada masa ini, Malaysia dikenali sebagai negara pengeluar utama bahan mentah agrikomoditi seperti sawit dan getah sehinggalah kepada pengeluar produk-produk hiliran bernilai tambah tinggi yang berorientasikan pasaran.


Tuan-tuan dan Puan-Puan,


6. Pada tahun 2020, industri getah negara telah menyumbang sebanyak RM48.5 bilion kepada eksport negara. Industri hiliran memainkan peranan utama dengan menyumbang 84.4% daripada eksport industri getah.


7. Sehubungan itu, bagi memperkukuh industri huluan dan pertengahan getah, Kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan beberapa projek dan program termasuk Program Transformasi Perusahaan Getah Negara (TARGET).


8. Program TARGET ini bertujuan untuk menghimpunkan pekebun kecil, pengusaha ladang dan peniaga getah secara kecil-kecilan seterusnya beroperasi dalam kumpulan yang besar iaitu melalui penubuhan koperasi.

9. Koperasi ini akan membeli getah sekerap dari pekebun kecil yang akan dihimpunkan dan diproses menjadi getah krip. Selain itu juga, Koperasi turut akan membekalkan input-input pertanian kepada pekebun kecil dengan harga yang lebih murah dari harga pasaran runcit setempat kerana Koperasi membeli terus daripada pengilang dalam jumlah atau kuantiti yang besar.


10. Usaha yang dilaksanakan dalam program ini dijangka mampu meningkatkan pendapatan pekebun kecil melalui harga jualan yang lebih baik di samping memperolehi dividen tahunan hasil daripada keuntungan jualan getah krip.


Tuan-tuan dan Puan-Puan,


11. Pembangunan industri getah melalui gerakan koperasi mampu menggalak serta meluaskan penglibatan pekebun kecil dalam rantaian serta aktiviti nilai getah.


12. Secara tidak langsung, gerakan koperasi akan membantu pekebun kecil mendapat pulangan yang baik dan akan membimbing pekebun kecil menjadi usahawan yang berjaya.


13. Melalui inisiatif Kolaborasi Strategik ini, Kementerian melalui LGM akan:


(i) membantu gerakan koperasi yang terlibat menerusi khidmat nasihat teknikal;

(ii) memberikan latihan serta memindahkan teknologi hasil daripada penyelidikan dan pembangunan (R&D) LGM kepada gerakan koperasi;


(iii) memberi perkhidmatan sokongan yang berkaitan bagi setiap rantaian nilai industri getah yang diperlukan oleh koperasi; dan


(iv) melaksanakan perkara-perkara di bawah skop bidang kuasa LGM yang dapat membantu ke arah pelaksanaan program kolaborasi strategik ini.


14. Melalui kolaborasi ini juga, saya optimis bahawa penubuhan Koperasi merupakan satu wadah berkesan dalam mencapai objektif untuk mengukuhkan industri getah dan seterusnya membela nasib pekebun, pekerja, komuniti, belia terutama golongan B40.


15. Harapan saya adalah untuk melihat kerjasama strategik ini mampu merangsang pembangunan industri getah oleh pekebun kecil secara koperasi yang lebih kompetitif, berdaya tahan, progresif serta menyumbang kepada pembangunan negara.


16. Sekali lagi, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi di bawah pimpinan YB Tan Sri Noh bin Hj. Omar atas sokongan bagi menjayakan usahasama antara LGM dan SKM ini. Semoga usaha ini diberkati dan dilaksanakan dengan jayanya.

Sekian, wabillahitaufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi
wabarakatuh.