Jata

PERUTUSAN IDUL ADHA

YB MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
DATO DR MOHD KHAIRUDDIN BIN AMAN RAZALI

 

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh


Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, walillahil hamd..


1. Segala puja dan puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, kaum keluarga dan para sahabat baginda sekelian.

2. Marilah kita merafakkan setingi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah jalla wa ‘ala yang memberi keizinan, taufik dan ‘inayahNya kepada kita bagi menyambut dan menghayati Idul Adha tahun ini walaupun dalam keadaan sukar lantaran pandemik COVID-19 yang belum reda. Kita masih dalam fasa pemulihan dan sedang menjalani norma-norma baharu kehidupan yang menjadi kunci kebebasan daripada pandemik ini. Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita untuk menghadapi ujian yang getir ini.

Saudara dan saudari yang dikasihi sekelian,

3. Idul Adha ini sentiasa berkait rapat dengan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan keluarganya. Hidup baginda dipenuhi ujian dan pancaroba tanpa henti. Dilempar ke dalam api yang marak semasa remajanya, isterinya nyaris dirampas oleh penguasa Mesir, diperintah supaya meninggalkan anak dan isteri tercinta di padang pasir yang kering kontang, diuji oleh Allah supaya menyembelih puteranya dan bermacam-macam ujian lagi. Peristiwa-peristiwa tersebut dipaparkan kepada kita bukan sia-sia. Sebaliknya untuk kita hayati dan contohi hati budi, ketabahan dan kesungguhan ketaatan Nabi Ibrahim AS dalam menghadapi bahtera kehidupan yang getir ini. Apa yang dicontohkan kepada kita adalah suatu ketulusan pengabdian yang sudah sampai ke kemuncaknya sehingga setiap titah perintah Allah dilaksanakan tanpa ragu dan gundah. Bagi kalangan umat Islam, inilah maqam ihsan yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW. Melaksanakan amalan dengan cara yang paling baik dan penuh keikhlasan.

4. Kehebatan pengorbanan Nabi Ibrahim AS itu bukan berkisar pada diri baginda sahaja, malahan setiap dugaan itu turut dikongsi tindakan dan perasaan oleh anak dan isteri baginda. Demikianlah kita melihat perjuangan mengharungi badai wabak COVID-19 ini. Perjuangan ini tidak akan berjaya dan berhasil jika tidak ditempuhi bersama oleh segenap lapisan masyarakat. Kita perlu berganding bahu memutuskan rantaian COVID-19 ini. Tanggungjawab ini bukan terletak atas bahu barisan hadapan negara daripada petugas kesihatan dan keselamatan sahaja. Kesedaran dan kecaknaan terhadap peri pentingnya mematuhi SOP adalah penting tidak kira siapa pun kita dan di mana kita berada. Tidak wajar menuding jari kepada pihak tertentu melanggar peraturan sedangkan diri sendiri juga tidak mahu mematuhinya. Setiap daripada kita punya tanggungjawab masing-masing. Lunaskanlah ia dengan penuh keinsafan dan kesungguhan.

5. Selain ujian kesihatan, kita juga diuji dengan kegawatan ekonomi. Kita semua terkesan dengan wabak yang melanda, setiap kita terjejas kehidupannya. Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua pihak yang terdiri daripada barisan hadapan, penjawat awam, relawan sama ada individu mahupun organisasi yang telah bertungkus lumus sejak lebih setahun yang lalu membantu golongan yang terjejas dari sudut kesihatan dan ekonomi. Setiap langkah yang diambil menuju ke arah pembaikan dan pemulihan perlu dilakukan secara berganding bahu. Kita perlu saling melengkapi. Tidak perlu wujud rasa dengki dan iri hati dalam memberi bantuan. Apa yang diperlukan adalah kebersamaan. Golongan yang kaya dan berada membantu mereka yang susah dan menderita. Mereka yang bergaji tetap berbelanja membantu ekonomi para peniaga dan penjaja. Jiran tetangga cakna dengan kesukaran orang-orang di sekelilingnya. Inilah semangat at-ta’awun ‘ala al-birr wa at-taqwa (bertolong-tolongan dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan). Kita saling melengkapi kekurangan bukan saling memecahkan perpaduan.

6. Dalam usaha membebaskan masyarakat dan negara daripada wabak COVID-19 ini, program vaksinasi merupakan salah satu ikhtiar yang telah diperakukan oleh pakar-pakar di bidang kesihatan. Kesungguhan orang ramai untuk mendapatkan vaksin adalah amat dipuji. Walaupun berlaku kesukaran di peringkat awal, namun kita sekarang berada di landasannya untuk mencapai sasaran program. Semoga hasrat mewujudkan imuniti kelompok akan tercapai dengan segera. Sekalung penghargaan dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dari kementerian terbabit, petugas kesihatan, keselamatan dan relawan serta orang ramai. Diharapkan agar tiada suara-suara sumbang yang menghalang atau menakut-nakutkan masyarakat untuk mendapatkan suntikan vaksin ini. Kecelaruan-kecelaruan yang ditimbulkan hanya akan merencatkan hasrat kerajaan untuk membebaskan kehidupan rakyat daripada cengkaman pandemik ini.

Saudara dan saudari,

7. Bersempena Idul Adha yang diraikan, saya, ahli keluarga dan juga keluarga besar warga Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi mengucapkan SELAMAT HARI RAYA IDUL ADHA 1442H. Semoga kita menjadi orang yang bersyukur atas nikmat yang diterima dan sudi berkongsi nikmat dengan golongan yang memerlukan. Semoga Allah terima amalan kita semua.

Wasallallahu ‘ala Sayyidina Muhammad wa ‘ala alihi wa sahbihi wasallam.
Wassalamu ‘alaikum warahmatuLlahi wabarakatuh.