TEKS UCAPAN
YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
PADA
MAJLIS PERASMIAN
SAMBUTAN HARI BULUH DUNIA (WBD 2021)
20 SEPTEMBER 2021
Yang Berhormat Datuk Willie Anak Mongin
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Yang Berhormat Dato’ Sri Dr. Wee Jeck Seng
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Yang Berbahagia Datuk Ravi Muthayah
Ketua Setiausaha
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK)
Yang Berusaha Tuan Haji Mahpar Atan
Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB)
Yang Berbahagia Dato’ Mohd Ridza Awang
Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM)
Yang Berusaha Dr. Ismail Haji Parlan
Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)
Yang Berusaha Tuan Haji Hashim Haji Bojet
Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak
(PUSAKA)
Yang Berbahagia Dato' Dr Marzalina Mansor
Presiden Malaysian Bamboo Society (MBS)
Pegawai-pegawai Kanan Kementerian, Wakil-wakil Agensi Kerajaan dan
Industri,
YBhg. Dato’-Dato’, Datin-Datin, Rakan-rakan Media,
Tuan-tuan dan Puan-puan para hadirin yang dihormati sekalian.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Selamat Pagi
Pertamanya, saya amat berbesar hati dan merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur iaitu Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) kerana menjemput saya bagi merasmikan sambutan Hari Buluh Dunia Malaysia 2021 (WBD 2021) pada hari ini. Saya juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada MTIB di atas usaha dan inisiatif dalam menganjurkan acara tahunan sambutan Hari Buluh Dunia dan tahun 2021 merupakan tahun yang ke-10 disambut di Malaysia.
2. Untuk makluman semua, sektor agrikomoditi telah menjana pendapatan eksport Negara sebanyak RM152 bilion pada tahun 2020. Agrikomoditi merujuk kepada aktiviti-aktiviti di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) yang merangkumi subsektor sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada serta kenaf. Walaupun Malaysia kini berdepan dengan pandemik COVID-19, sektor agrikomoditi terus menjadi penyumbang ke-2 terbesar kepada pendapatan eksport negara. Ini menunjukkan bahawa sektor ini mempunyai peranan yang
besar dalam pembangunan sosio ekonomi negara. Bagi tujuan ini, KPPK akan terus memberi fokus untuk memantapkan lagi usaha-usaha pembangunan dan kemajuan sektor agrikomoditi agar ia dapat mencapai sasaran yang telah ditetapkan.
3. Bagi industri perkayuan di Malaysia, industri ini telah menyumbang sebanyak RM22.02 bilion kepada pendapatan eksport Negara pada tahun 2020 iaitu penurunan sebanyak 2.1% berbanding nilai eksport yang dicatat pada tahun 2019. Penurunan ini berikutan permintaan dunia yang berkurangan kepada produk berasaskan kayu akibat pandemik COVID19. Produk berasaskan kayu dari Malaysia seperti papan lapis, kayu gergaji dan perabot serta produk buluh telah dieksport ke lebih 173 buah negara. Di antara aspek yang diberi penekanan oleh kerajaan bagi memastikan kelestarian industri perkayuan Negara adalah melalui pengurusan sumber secara mampan.
4. Buluh merupakan antara sumber hutan yang penting. Malaysia mempunyai lebih kurang 70 spesies buluh dan 45 daripada spesies tersebut merupakan spesies tempatan yang tumbuh secara semulajadi di kawasan hutan liar. Dari segi taburan penanaman, sebanyak 31% tanaman buluh terdapat di Semenanjung Malaysia, 45% di Sarawak dan 24% di Sabah. Di Semenanjung Malaysia sahaja, keluasan tanaman buluh adalah seluas 229,122.57 hektar. Buluh merupakan salah satu sumber bahan mentah yang penting. Walaupun dari segi sumbangan nilai eksport produk ini tidak besar jika dibandingkan dengan produk-produk perkayuan lain, namun ia merupakan sebahagian daripada sumber pendapatan utama kepada penduduk luar bandar.
5. Nilai eksport produk atau keluaran buluh dari Malaysia pada masa ini adalah masih rendah, jika dibandingkan dengan negara-negara lain. Bagi tahun 2020, nilai eksport produk buluh adalah bernilai RM8.28 juta, penurunan sebanyak 10 peratus jika dibandingkan dengan tahun 2019. Malaysia masih bergantung kepada pengimportan produk buluh dari negara-negara lain seperti China, Indonesia dan Vietnam. Nilai import produk buluh bagi tahun 2020 adalah RM76.67 juta. Pada masa kini, terdapat sebanyak 577 pengusaha yang terlibat secara langsung dalam industri berasaskan buluh di Malaysia merangkumi industri papan buluh, perabot, pembinaan, tekstil, perladangan, makanan dan arang serta kraftangan.
6. Bagi melonjakkan lagi pertumbuhan industri buluh di Malaysia, satu pendekatan yang radikal perlu dilakukan. Transformasi industri buluh perlu dilakukan dengan mewujudkan suasana yang kondusif untuk peralihan struktur industri daripada industri kecil-kecilan kepada industri hiliran yang mengeluarkan produk buluh yang bernilai tambah tinggi. Saya ingin menggesa agar semua pihak, khususnya yang terlibat secara langsung dengan pembangunan industri ini, untuk mengambil langkah proaktif bagi memastikan pembaharuan berlaku dalam rantaian pengeluaran daripada industri huluan sehinggalah ke peringkat hiliran, baik dari segi penghasilan bahan mentah sehinggalah kepada penghasilan produk akhir (finished products).
7. Dalam konteks ini, penghasilan produk buluh yang mempunyai nilai pasaran yang tinggi perlu diutamakan melalui pembangunan inovasi dan teknologi yang terkini serta pemerkasaan modal insan. Aspek ini sentiasa dipupuk di kalangan semua pihak seperti usahawan, profesional, penyelidik, perekabentuk, penggubal polisi serta pihak-pihak lain yang berkaitan. Saya yakin melalui program penyelidikan, pembangunan dan galakan yang berterusan, industri buluh berupaya mengoptimakan penggunaan sumber bahan mentah ini sebagai sumber alternatif dalam industri perkayuan.
8. Dalam menghadapi kekurangan sumber bahan mentah buluh, kerajaan telah mengambil inisiatif dengan pelaksanaan program pembangunan ladang buluh. Buluh memiliki tempoh matang yang singkat iaitu sekitar 3 hingga 5 tahun sahaja berbanding dengan pokok kayu. Buluh sesuai ditanam secara ladang dan penghasilan buluh secara mampan boleh dihasilkan sekiranya diurus dengan kaedah silvikultur yang terancang. KPPK melalui MTIB telah menyediakan kemudahan pinjaman mudah bagi penanaman buluh di bawah Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) untuk memastikan bekalan sumber bahan mentah buluh yang berterusan.
9. Pada hari ini, saya juga akan melancarkan Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh Malaysia 2021-2030 yang menekankan 5Teras Strategik iaitu;-
i) Pengukuhan Dasar dan Perluasan Sumber;
ii) Peningkatan Modal Insan, Kepakaran dan Kapasiti;
iii) Pengukuhan Inovasi, Teknologi dan Research, Development &
Commercialisation (R&D&C);
iv) Pemerkasaan Rantaian dan Jaminan Kualiti; dan
v) Pengukuhan Strategi Pemasaran dan Perkongsian Pintar.
Pelan tindakan yang digariskan ini merupakan kesinambungan kepada Pelan Tindakan terdahulu dan ia perlu dilaksanakan bagi membangun dan memajukan lagi industri buluh di Malaysia.
10. Untuk makluman semua, acara World Bamboo Day (WBD) disambut setiap tahun pada tarikh 18 September di peringkat antarabangsa. Ia telah diisytiharkan pada tahun 2009 di Thailand semasa penganjuran Kongres Buluh Sedunia oleh Organisasi Buluh Sedunia. Di Malaysia, penganjuran sambutan World Bamboo Day pada tahun 2021 ini merupakan sambutan yang ke-10 sejak sambutan pertama yang telah dianjurkan pada tahun 2012. Saya berbangga dengan pencapaian MTIB dengan sambutan World Bamboo Day tahun 2012, Malaysia telah mendapat pengiktirafan dari World Bamboo Organization (WBO) sebagai penganjur Hari Buluh Dunia terbaik di peringkat dunia dalam kalangan 26
buah negara yang menyambutnya.
11. Justeru itu, saya ingin menekankan sekali lagi bahawa pemain industri mesti meningkatkan usaha kita untuk memperluaskan export buluh. Saya sering tekankan kepada Pegawai-Pegawai Kanan MTIC dan agensi bahawa kita tidak mampu berlawan dari segi keluasan tanah dengan Negara-Negara yang lebih besar daripadas kita, tetapi kita wajib mencari pasaran khusus dan produk khusus yang menjadi keistimewaan dan nilai tambah yang boleh menarik minat negara luar untuk mengimport komoditi daripada Malaysia.
12. Akhir kata, saya ingin menyeru kepada semua yang terlibat di dalam industri buluh ini supaya kita sama-sama dapat memaju dan membangunkan industri buluh Negara. Saya sekali lagi ingin mengucapkan tahniah kepada pihak MTIB di atas penganjuran majlis pada pagi ini. SAYA DENGAN SUKACITANYA MERASMIKAN MAJLIS SAMBUTAN HARI BULUH DUNIA MALAYSIA TAHUN 2021 DAN MELANCARKAN PELAN TINDAKAN PEMBANGUNAN INDUSTRI BULUH MALAYSIA (2021-2030).
13. Sekian terima Kasih. Wassalamualaikum warahmatullahi
wabarakatuh.