TEKS UCAPAN YANG BERHORMAT PUAN TERESA KOK, MENTERI INDUSTRI UTAMA 
SEMPENA MAJLIS PERHIMPUNAN MPI, BIL 6/2019 
BERTEMPAT DI DEWAN SAWIT, LEMBAGA MINYAK SAWIT MALAYSIA (MPOB), BANGI 
PADA 17 JULAI 2019 (RABU), JAM 10.30 PAGI - 12 TENGAH HARI


 

Salam Hormat, Salam Sejahtera dan Salam Sayangi Sawitku

Yang Berhormat Datuk Seri Shamsul Iskandar bin Mohd Akin
Timbalan Menteri Industri Utama

Yang Berbahagia Dato’ Dr. Tan Yew Chong
Ketua Setiausaha Kementerian Industri Utama

Yang Berbahagia Tan Sri-Tan Sri, Datuk Seri-Datuk Seri, Datuk-Datuk, Puan Sri-Puan Sri, Datin Seri-Datin Seri, Datin-Datin,

Para jemputan yang kita kasihi dan hormati, warga kementerian dan agensi serta rakan-rakan media,

Seterusnya tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

1. Terlebih dahulu dipanjatkan kesyukuran kepada Tuhan kerana dapat kita bersama-sama pada hari ini berkumpul bagi program Perhimpunan Kementerian Industri Utama (MPI) pada pagi yang indah dan damai ini.

2. Saya juga ingin merakam ucapan terima kasih kepada semua warga MPI dan agensi yang telah terlibat dan bertungkus-lumus dalam menjayakan semua aktiviti-aktiviti Kementerian selama ini.

3. Tidak lupa juga, saya mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang sudi menjadi tuan rumah bagi penganjuran perhimpunan kita pada bulan ini.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

4. Pencapaian sektor agrikomoditi pada bulan Januari – Mei 2019 mencatatkan jumlah nilai dagangan (total trade) sebanyak RM67.6 bilion, manakala imbangan dagangan (trade balance) adalah sebanyak RM36.0 bilion.

5. Pendapatan eksport produk-produk komoditi bagi tempoh tersebut adalah sebanyak RM51.8 bilion atau 12.8% daripada keseluruhan pendapatan eksport negara. Namun, nilai eksport komoditi mengalami penurunan sebanyak 4.1% berbanding tempoh yang sama tahun 2018 yang mencatatkan nilai sebanyak RM54.1 bilion.

6. Penurunan nilai eksport produk agrikomoditi ini disebabkan oleh faktor kejatuhan eksport produk utama seperti minyak sawit, oleokimia berasaskan sawit dan getah asli. Walaupun nilai eksport mengalami penurunan, kuantiti eksport produk-produk sawit telah meningkat sebanyak 9.8% kepada 11.7 juta tan.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

7. Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) dilaksanakan adalah untuk memastikan minyak sawit Malaysia dihasilkan melalui pengeluaran mampan. Persijilan MSPO akan menjadi mandatori menjelang 31 Disember 2019.

8. Dengan terlaksananya MSPO, diharap akan membantu industri sawit mendapatkan pengikitirafan minyak sawit yang mampan terutamanya dari negara-negara pengimport utama minyak sawit Malaysia seperti Jepun dan China buat masa ini.

Warga Kementerian, Agensi dan Majlis sekalian,

9. Kementerian melalui Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) dan MPOB sentiasa mengambil langkah-langkah proaktif bagi membantu pengusaha sawit mendapat pensijilan MSPO menjelang hujung tahun ini.
10. Antara usaha yang telah dan sedang diambil oleh MPOCC dan MPOB adalah dengan mengadakan sesi libat urus bersama pemegang taruh sawit, jelajah MSPO di seluruh negara, seminar dan pelbagai program-program lain bagi memberi kesedaran kepentingan MSPO dan juga bantuan teknikal mengenai cara-cara untuk mendapatkan pensijilan MSPO.

11. Pada masa ini, Kementerian bersama MPOB dan MPOCC sedang giat meneruskan usaha dengan menganjurkan Siri Jelajah MSPO ke seluruh negara bagi bertemu dengan pekebun kecil dan pengusaha sawit.

12. Program turun padang bertemu dengan pengusaha sawit di dalam sesi dialog MSPO telah diadakan baru-baru ini di Kota Belud, Sitiawan, Teluk Intan, Port Dickson, Johor Bahru, Bintulu dan Kuching untuk menerangkan mengenai kepentingan MSPO dan memberi galakan kepada pengusaha sawit untuk mendapatkan pensijilan MSPO.

13. Seperti dalam pertemuan baharu-baharu ini dengan Timbalan Ketua Menteri Sarawak yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas telah memberi jaminan bahawa kerajaan Sarawak akan memberi kerjasama penuh kepada kementerian kita untuk memastikan pekebun kecil di Sarawak mendapat pensijilan MSPO sepenuhnya menjelang tahun ini.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

14. Kerajaan sentiasa komited untuk meningkatkan penggunaan biodiesel di peringkat domestik mahu pun antarabangsa. Program biodiesel negara telah mula diperkenalkan pada tahun 2011 dengan kadar adunan B5 (adunan 5% biodiesel sawit dengan 95% diesel petroleum).

15. Pada ketika ini, kadar adunan yang terdapat di stesen minyak di seluruh negara adalah pada kadar B10 (adunan 10% biodiesel sawit dengan 90% diesel petroleum) di bawah Program B10 di sektor pengangkutan.

16. Program B10 ini dilaksanakan secara mandatori pada 1 Februari 2019 akan menggunakan sebanyak 534,000 tan biodiesel setahun. Manakala, Program B7 di sektor industri telah dilaksanakan buat pertama kali pada 1 Julai 2019 akan menggunakan sebanyak 227,000 tan biodiesel setahun.

17. Susulan Kementerian Industri Utama berjaya melaksanakan Program B10 di sektor pengangkutan, MPI berhasrat untuk meningkatkan kadar adunan ini kepada B20 pada tahun 2020 dan B30 seawal tahun 2021. Manakala, Program B7 di sektor industri akan ditingkatkan ke B10 menjelang 2025.

18. Dalam kunjungan saya di Beijing, China pada awal Julai lalu turut memperlihatkan MPOB memeterai perjanjian kerjasama tiga pihak bersama Universiti Tsinghua dan TUS Deqing Bionergy Ltd. Co. yang akan melaksanakan projek rintis penggunaan bio-diesel sawit melibatkan 180 kenderaan berat di Zhaoqing, Wilayah Guandong, China selama setahun.

19. Projek rintis ini diharap akan menghasilkan data bagi menyakinkan pihak berkuasa China untuk menerima pakai biodiesel sawit dalam sektor pengangkutan dengan lebih menyakinkan.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

20. Awal bulan ini, kementerian kita telah membuat Pameran Produk Koko di Parlimen yang telah mendapat sambutan yang baik dikalangan para Menteri dan ahli parlimen yang lain. Usaha sebegini haruslah diteruskan untuk mempromosikan produk agrikomoditi dan produk downstream komoditi kita. Jika kita sendiri tidak mempromosikan produk kita, ia menjadi sukar untuk masyarakat luar mengenali and mengetahui mengenai khasiat dan kebaikan produk tempatan.

21. Saya juga ingin menyentuh mengenai kontroversi sekolah antarabangsa yang menggunakan klip anti kelapa sawit “Rang-tan” daripada NGO Greenpeace. Saya telah dikritik kerana menegur sekolah tersebut yang menggunakan video tersebut yang telah dilarang oleh negara UK kerana ianya berunsur politik dan tidak sesuai untuk kanak-kanak. Insiden ini membuatkan saya sedar bahawa kita hendaklah mempertingkatkan usaha kita untuk menyebarkan infomasi mengenai usaha penambahbaikan industri minyak sawit yang kita sedang lakukan.

22. Selain itu, selepas Mesyuarat Peringkat Menteri Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) kali ke-7 yang berlaku semalam, Malaysia dan Indonesia komited untuk mencabar Akta Perwakilan Kesatuan Eropah (EU) yang menyekat penggunaan minyak sawit dalam biobahan api menerusi pihak Badan Penyelesaian Pertikaian Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) serta saluran lain yang bersesuaian. Kumpulan Kerja CPOPC-EU akan ditubuhkan yang berperanan sebagai platform baharu dan respon terhadap akta tersebut.

Tuan-tuan and puan-puan sekalian,

23. Saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada warga kementerian dan agensi yang telah menunjukkan prestasi terbaik dalam pencapaian Sijil Petunjuk Prestasi Utama (KPI) HRMIS 2018 dan juga penglibatan dalam Majlis Bersama Jabatan (MBJ) 2018.

24. Saya dimaklumkan pelaksanaan HRMIS di MPI serta semua agensi di bawah kementerian ini telah berjaya mendapat penarafan lima (5) bintang dalam KPI HRMIS Tahun 2018 daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang telah disampaikan oleh YBhg. Datuk Borhan bin Dolah, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) pada 25 April 2019 lalu.

25. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada agensi yang diberikan penghargaan oleh JPA bagi tujuan melaksanakan mesyuarat MBJ dalam tempoh sukuan yang telah ditetapkan. Sijil-sijil ini diberikan atas komitmen yang telah diberikan dalam memenuhi kriteria pelaksanaan mesyuarat tersebut. Tahniah saya ucapkan kepada Agensi-agensi :

• Lembaga Minyak Sawit Malaysia
• Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia
• Lembaga Koko Malaysia
• Lembaga Lada Malaysia
• Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara

26. Saya akhiri dengan serangkap pantun ;

Bila memandang ke muka laut,
Nampaklah sampan mudik ke hulu,
Bila terkenang mulut yang menyebut,
Budi yang baik diingat selalu.

Sekian, terima kasih.