TEKS UCAPAN YB PUAN TERESA KOK, MENTERI INDUSTRI UTAMA
DI MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN MPI BIL. 2/2019 & MAJLIS PENYAMPAIAN ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG LGM TAHUN 2018

DEWAN AUDITORIUM AKADEMI HEVEA MALAYSIA (AHM), STESEN PENYELIDIKAN LGM, SUNGAI BULOH
9.00 PAGI, 14 FEBRUARI 2019 (KHAMIS)


Terima kasih Saudara / Saudari Pengacara Majlis,

YB Datuk Seri Shamsul Iskandar bin Mohd Akin
Timbalan Menteri Industri Utama

YBhg Dato’ Dr Tan Yew Chong
Ketua Setiausaha
Kementerian Industri Utama

Timbalan-timbalan Ketua Setiausaha

Ketua-ketua Pengarah Agensi;
Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif Majlis dan semua warga MPI.

Selamat Pagi, Salam Sejahtera dan Salam Sayangi Malaysiaku.

1. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada warga Kementerian, Lembaga Getah Malaysia (LGM), wakil-wakil Agensi dan Majlis kerana hadir ke Perhimpunan Bulanan MPI kali ke – 2 bagi tahun ini.

2. Sebagai usaha mendekatkan lagi seluruh warga kerja MPI, setiap agensi MPI kini akan berpeluang untuk menganjurkan perhimpunan bulanan kita di premis masing-masing, dan terima kasih kepada LGM kerana menjadi tuan rumah kita pada majlis ini.

3. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan “Selamat Tahun Baru Cina” kepada semua. Semoga tahun baharu ini memberi lebih kejayaan dan kemakmuran kepada kita semua dalam menjalankan amanah untuk terus memperkasa industri komoditi negara.

PENCAPAIAN SEKTOR AGRIKOMODITI PADA TAHUN 2018

Hadirin sekalian,

4. Pada tahun 2018, sektor agrikomoditi telah mencatatkan jumlah nilai dagangan (total trade) sebanyak RM167.4 bilion, manakala imbangan dagangan (trade balance) adalah sebanyak RM88.2 bilion. Pendapatan eksport produk-produk komoditi pada tahun 2018 adalah sebanyak RM127.8 bilion atau 12.8% daripada keseluruhan pendapatan eksport negara.

5. Nilai pendapatan export negara menurun sebanyak 8.8% berbanding tahun 2017 yang mencatatkan nilai sebanyak RM140.1 bilion. Penurunan nilai eksport produk agrikomoditi ini disebabkan oleh faktor kejatuhan harga komoditi utama seperti minyak sawit mentah (CPO) dan getah asli (SMR20).

6. Walaupun begitu, nilai export sarung tangan getah terus kekal merekodkan peningkatan sebanyak 11.9% kepada RM17.7 bilion. Export ke Amerika Syarikat, iaitu pasaran utama bagi sarung tangan getah negara, meningkat sebanyak 11.4% kepada RM6.1 bilion.

7. Walaupun nilai export menurun, kuantiti eksport produk-produk sawit telah meningkat sebanyak 3.2% kepada 25.2 juta tan. Peningkatan kuantiti ini didorong oleh pertambahan permintaan daripada negara-negara pengimport utama seperti Kesatuan Eropah (EU), China, India, Pakistan dan Turki.

8. Selain itu, sehingga suku ketiga tahun 2018, aktiviti-aktiviti di peringkat huluan dan hiliran sektor agrikomoditi turut menyumbang sebanyak 7.5% atau RM23.4 bilion kepada jumlah keseluruhan KDNK negara.

CABARAN DAN FOKUS BAGI TAHUN 2019

9. MPI menyasarkan peningkatan eksport produk-produk komoditi pada tahun 2019 sebanyak 4.5% lebih baik berbanding tahun 2018. Mengambil kira cabaran di Kesatuan Eropah, MPI akan memberi tumpuan untuk meneroka pasaran-pasaran baharu seperti rantau Afrika dan Asia Barat selain mengukuhkan pasaran-pasaran sedia ada khususnya di India, Pakistan, Turki, China dan negara-negara ASEAN.

10. Pada tahun ini juga, sektor agrikomoditi akan terus menjadi penyumbang penting kepada ekonomi serta pembangunan sosio-ekonomi negara. Selain daripada bergantung kepada tanaman utama seperti kelapa sawit, getah dan kayu, Malaysia perlu bergerak lebih jauh dalam mengeksploitasi potensi tanaman lain iaitu koko, lada dan kenaf. Ia juga tepat pada masanya untuk kita meneroka tanaman baharu yang boleh menyumbang kepada peningkatan pendapatan pekebun kecil dan ekonomi negara.

11. Selain itu, MPI akan memberi tumpuan untuk mengkaji semula Dasar Komoditi Negara, 2011-2020 bagi memastikan sektor agrikomoditi terus relevan dan berdaya saing di arena global. Strategi dan program sedia ada akan disemak semula di samping pengenalan kepada strategi baharu dan program intervensi termasuk pembaharuan institusi dan industri.

YBhg Datuk, Datin, Tuan dan Puan,

COUNCIL OF PALM OIL PRODUCING COUNTRIES

12. Malaysia melalui Kementerian Industri Utama, kini mempengerusikan Council of Palm Oil Producing Countries (CPOPC) atau Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit, bagi tempoh tahun 2019 hingga 2021. CPOPC yang ditubuhkan pada tahun 2015 dengan Malaysia dan Indonesia sebagai negara pengasas, telah menerima keahlian Colombia sebagai ahli ke-tiga pada November 2018.

13. Selaku pengerusi CPOPC, Malaysia akan bekerjasama dengan Sekretariat CPOPC untuk merangka tindakan susulan dan aktiviti bagi mengukuhkan peranan dan fungsinya demi kepentingan dan pembangunan industri sawit. Antaranya, adalah meluaskan keanggotaan CPOPC, kepada negara-negara seperti Thailand, Nigeria, Papua New Guinea, Cote D’ Ivoire, Honduras, Guatemala dan Brazil yang telah dikenalpasti berdasarkan kriteria keluasan tanaman sawit, eksport dan pengeluaran.

14. Mesyuarat Pegawai Kanan CPOPC yang ke-17 akan diadakan pada 27 Februari diikuti dengan Mesyuarat Peringkat Menteri yang ke – enam pada 28 Februari di Jakarta, Indonesia. Mesyuarat akan membincangkan, antara lain, peranan CPOPC dalam menangani tindakan-tindakan Negara Barat untuk menghentikan penggunaan minyak sawit seperti kempen anti-minyak sawit, penggubalan undang, polisi dan peraturan yang diskriminasi serta bersifat halangan bukan tarif, termasuk EU Renewable Energy Directive (RED) II dan klasifikasi Indirect Land Use Change (ILUC).

15. Untuk makluman juga, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita telah secara rasmi menyampaikan bantahan keras Malaysia terhadap tindakan Kerajaan Norway dan Peranchis untuk menghentikan pengunaan minyak sawit kerana minyak sawit dikaitkan dengan penyahhutanan.

16. Malaysia juga akan mempertimbangkan langkah-langkah untuk menghadkan import barangan dari negara-negara ini sekiranya mereka meneruskan tindakan yang mendiskriminasikan minyak sawit kita. Kita juga bersedia untuk bekerjasama dengan Indonesia, termasuk melalui CPOPC, untuk memfailkan aduan dengan Pertubuhan Perdagangan Antarabangsa (WTO) terhadap diskriminasi ke atas komoditi kita.

17. Begitu juga, Malaysia akan memanfaatkan kerjasama negara-negara ASEAN untuk menjaga kepentingan negara pengeluar minyak sawit di Asia Tenggara. Ini kerana kita berpendapat bahawa tindakan diskriminasi oleh negara-negara Europah adalah bertentangan dengan Pertubuhan Perdagangan Antarabangsa (WTO).

18. Dalam hal ini, kita juga perlu memastikan kita mencapai sasaran kemampanan minyak sawit eksport kita melalui pensijilan Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) menjelang 1 Januari 2020, iaitu tarikh kuatkuasa pelaksanakan mandatori pensijilan MSPO. Dengan ini, pihak Eropah tidak seharusnya mempunyai alasan lagi untuk menolak minyak sawit kita.

Para hadirin sekalian,

INTERNATIONAL TRIPARTITE RUBBER COUNCIL (ITRC)

19. Harga getah SMR 20 turut terjejas tahun lepas iaitu dengan harga purata RM5.44 sekilogram berbanding RM7.04 sekilogram pada tahun 2017. Harga terendah gred SMR 20 pula adalah pada paras RM4.97 sekilogram pada 21 November 2018.

20. Kedudukan harga getah yang rendah ini telah mendorong International Tripartite Rubber Council (ITRC), yang dianggotai oleh pengeluar getah asli utama dunia iaitu Thailand, Indonesia dan Malaysia, untuk mengenalpasti beberapa langkah dan cadangan bagi memperkukuh dan menstabilkan harga getah asli.

21. Maka, mesyuarat ITRC peringkat pegawai kanan di Putrajaya pada 13 Disember 2018 telah bersetuju untuk melaksanakan Supply Management Scheme, iaitu penetapan kuota penanaman dan pengeluaran getah, Demand Promotion Scheme, iaitu meningkatkan penggunaan getah domestik seperti pembinaan rubberised road, dan pelaksanaan Agreed Export Tonnage Scheme (AETS) pada awal tahun 2019 bagi mengelak harga getah terus rendah.

22. Oleh yang demikian, sukacita dimaklumkan bahawa Mesyuarat ITRC peringkat Menteri akan berlangsung pada bulan ini setelah ditangguh pada bulan Disember lepas. Tiga Menteri dari tiga negara anggota, termasuk saya, akan berjumpa pada penghujung Februari 2019 di Thailand untuk mengkaji dengan lebih mendalam dan mempertimbang langkah-langkah terbaik bagi menstabil dan memperkukuhkan harga getah global demi kesejahteraan pekebun kecil getah.

23. Malaysia berharap langkah AETS ini akan dilaksanakan dengan segera mungkin oleh ketiga-tiga negara agar memastikan pendapatan pekebun-pekebun kecil tidak terus terjejas. Kerjasama ketiga-tiga negara amat penting bagi menstabilkan harga.

YBhg Datuk, Datin, Tuan dan Puan,

24. Untuk mengakhiri ucapan, saya ingin memberi sedikit makluman mengenai Kempen Sayangi Sawitku atau Love MY Palm Oil Campaign yang dijalankan oleh Kementerian sepanjang tahun ini. Kita telah berjaya memperolehi sokongan serta penyertaan berbagai pihak swasta, termasuklah Malaysia Airports Holdings Berhad yang memaparkan bahan promosi minyak sawit kita di premis-premis lapangan terbang, serta syarikat-syarikat penerbangan Malaysia Airlines, Malindo Air dan AirAsia, institusi-institusi pengajian tinggi dan persatuan agen-agen pelancongan.

25. Dalam hal ini, saya ingin melihat penglibatan dan kerjasama pihak agensi dan lembaga di bawah Kementerian ini secara aktif dalam aktiviti kempen kita ini dengan mempromosikannya di majlis dan program masing-masing. Sukacita juga saya memaklumkan di sini bahawa Kempen Sayangi Sawitku akan dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita pada 24 Mac 2019 ini bertempat di Ladang East Sime Darby, Pulau Carey, Selangor.

26. Tuan-tuan dan puan-puan, hari ini kita juga berkesempatan untuk meraikan kejayaan 89 warga LGM yang akan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2018. Tahniah saya ucapkan dan semoga penghargaan ini mendorong anda dan kita semua di sini, untuk terus cemerlang dalam tugas masing-masing, demi kejayaan diri serta organisasi kita.

Sekian, terima kasih.