UCAPAN 2024

 

 

 

TEKS UCAPTAMA DAN PERASMIAN

OLEH

YB DATUK SERI JOHARI BIN ABDUL GHANI

MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI

SEMPENA

MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN KEBANGSAAN

INDUSTRI LADA MALAYSIA TAHUN 2024

(PKILM 2024)

PADA

15 MEI 2024 (RABU)

 

BERTEMPAT DI

SUNWAY PUTRA HOTEL KUALA LUMPUR, MALAYSIA

 

SALUTASI 

Hari ini saya mewakili YB Menteri untuk membaca teks ucapan beliau        bagi Majlis       Perasmian       Penutupan       Persidangan Kebangsaan Industri Lada Malaysia 2024. 

Terima kasih saudara dan saudari pengacara majlis.

Yang Berhormat Dato Anyi Ngau 

Pengerusi Lembaga Lada Malaysia

Yang Berhormat Dato Sri Doris Sophia Brodi Pengerusi Saraspice Sdn Bhd. 

Yang Berbahagia Dato’ Abdul Hadi bin Omar

Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik dan Pengurusan) 

Yang Berbahagia Dato’ Razali bin Mohamad 

Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi)

Yang Berusaha Encik Vincent Sawat

Ketua Pengarah Lembaga Lada Malaysia

Puan Firna Azura Ekaputri binti Marzuki

Executive Director of International Pepper Community

Pegawai – Pegawai Kanan di Kementerian Perladangan dan Komoditi;

Pegawai – Pegawai Kanan dan Kakitangan Lembaga Lada

Malaysia;

Ketua – Ketua dan Wakil Ketua Jabatan, Bahagian dan Agensi;

Para pemain industri lada; 

Persatuan – persatuan penanam lada;

Rakan – rakan media;

Seterusnya, tuan – tuan dan puan – puan para hadirin yang dihormati sekalian.

Salam Sejahtera dan Salam Malaysia MADANI!

  1. Terlebih dahulu saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada tuan - tuan dan puan – puan yang hadir menjayakan Persidangan Kebangsaan Industri Lada Malaysia Tahun 2024 yang berlangsung selama tiga (3) hari di Kuala Lumpur ini.
  2. Ucapan syabas dan terima kasih juga saya tujukan kepada penganjur iaitu Lembaga Lada Malaysia (MPB) di atas kejayaan penganjuran acara berprestij ini.
  3. Penganjuran Persidangan Kebangsaan Industri Lada Malaysia Tahun 2024 buat julung kalinya pada tahun ini telah mengangkat tema “Memantapkan Pertumbuhan Industri Lada” yang amat bersesuaian dan relevan dengan situasi semasa serta bertepatan dengan Dasar Agrikomoditi Negara 2030 (DAKN2030) untuk memajukan Agrikomoditi demi kemampanan dan kemakmuran bersama.
  4. Dengan menghimpunkan rantaian pemegang taruh sektor lada dari perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pengeksport, pengimport, industri makanan,        hotel, restoran dan kafe, persidangan ini bertujuan meningkatkan permintaan dan penggunaan lada serta memperkukuh dan memperluas sektor hiliran lada di peringkat pasaran tempatan mahupun antarabangsa.
  5. Persidangan ini menjadi platform untuk mendekati penggiat industri lada bagi mengukuhkan saluran pemasaran lada yang terjamin dan hubungan perdagangan yang harmoni di sepanjang rantaian pengeluaran sektor lada.
  6. Justeru, penganjuran Persidangan Kebangsaan Industri Lada Malaysia Tahun 2024 merupakan bukti komitmen Kerajaan melalui MPB ke arah pertumbuhan dan kemampanan industri lada tempatan yang berdaya saing sekaligus mampu menjana nilai berganda kepada ekonomi negara.

Hadirin sekalian,

  1. Malaysia merupakan negara pengeluar lada kelima terbesar di dunia dengan pengeluaran sekitar 31 ribu tan pada tahun 2023 dibelakang Viet Nam, Brazil, India dan Indonesia. Sejak kebelakangan ini, industri lada sama ada di peringkat tempatan mahupun global menghadapi situasi yang sedikit mencabar,       terutamanya       isu ketidakseimbangan antara bekalan dan permintaan yang telah menimbulkan tekanan yang besar terhadap harga lada.
  2. Pada tahun 2023, Malaysia telah mengeksport 5.8 ribu tan lada dengan nilai sebanyak RM149 juta, sedikit menurun berbanding 6.7 ribu tan dengan nilai RM180 juta pada tahun sebelumnya.
  3. Namun, statistik pada tahun       2023        menunjukkan 

penggunaan lada dunia kira – kira 291,000 tan metrik, iaitu peningkatan sekitar 40,000 tan metrik berbanding tahun sebelumnya.

  1. Potensi kegunaan komoditi lada dalam pelbagai bidang seperti bidang farmaseutikal   dan kosmeseutikal merupakan antara faktor yang mendorong kepada trend peningkatan       positif       terhadap permintaan      lada kebelakangan ini. 
  2. Trend permintaan lada dijangkakan terus meningkat merancakkan lagi aktiviti perdagangan lada dunia pada tahun ini dan dikenal pasti berterusan sehingga tahun hadapan.

Hadirin sekalian,

  1. Bagi memastikan industri lada negara terus kekal relevan dan berdaya saing di peringkat global, Kerajaan melalui MPB sedang melaksanakan beberapa program, projek dan juga bantuan yang lebih dinamik dan bersepadu.
  2. Menyedari akan hakikat kenaikan harga input pertanian dan keperluan untuk mengetengahkan lagi potensi pasaran lada tempatan di peringkat antarabangsa, Kerajaan turut menawarkan pelbagai insentif dan bantuan bukan sahaja kepada pekebun dan usahawan lada bagi merancakkan lagi perkembangan industri lada baik dari segi huluan mahupun hiliran.
  3. Antara bantuan yang ditawarkan ialah Skim Tanaman Lada Baharu (STLB) dan Skim Tanaman Lada Matang (STLM). Bantuan – bantuan ini ditawarkan kepada pekebun yang layak bagi meringankan beban kos yang ditanggung oleh pekebun lada. Di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12), Kerajaan telah menyediakan RM50 juta untuk memastikan usaha ini berjaya.

Hadirin sekalian,

  1. Kerajaan juga sedar akan potensi yang amat memberansangkan terhadap lada berkualiti premium pada masa ini. Oleh itu, MPB sedang melaksanakan Projek Pengeluaran Lada Premium (PPLP) di bawah RMK-12 dengan menyediakan peruntukkan sebanyak RM3 juta untuk memastikan usaha ini berjaya.
  2. Di samping itu, MPB turut membantu usahawan bimbingan melalui pemberian mesin dan kursus-kursus agropreneur dan keusahawanan bagi meningkatkan penglibatan usahawan hiliran yang berdaya saing, berinovasi dan dinamik dalam penghasilan produk hiliran lada. Sebanyak RM5 juta diperuntukkan oleh Kerajaan bagi tujuan ini.
  3. Pada masa yang sama, MPB juga sedang bergiat aktif dalam menerokai potensi pasaran baharu dalam memastikan rantaian permintaan dan bekalan yang berterusan. Antara pasaran yang dikenalpasti ialah pasaran di negara-negara Scandinavia seperti Sweden dan Finland yang mampu menawarkan harga yang lebih premium dan memberikan pulangan yang lumayan kepada industri lada negara.

Hadirin sekalian,

  1. Mengangkat tema “Memantapkan Pertumbuhan

Industri Lada”, persidangan PKILM 2024 dilihat menjadi platform perbincangan dan percambahan idea antara pemegang taruh di setiap peringkat sektor lada sekaligus menekankan keperluan dalam menangani cabaran semasa yang berlaku dalam industri lada.

  1. Di kala dunia menghadapi krisis ekonomi global yang meruncing, usaha ke arah mencapai kestabilan dan kemampanan sektor lada tanpa mengabaikan aspek kelestarian alam sekitar amat penting bagi menjamin kemakmuran ekonomi tempatan dan antarabangsa.
  2. Justeru, saya yakin bahawa kerjasama yang terbentuk daripada persidangan ini bukan hanya meninggalkan kesan berkekalan ke atas industri lada dunia tetapi juga menyumbang kepada matlamat yang lebih         luas terutamanya dalam aspek keselamatan makanan global.
  3. Kerajaan tekad meneruskan sokongan terhadap industri lada negara melalui agihan peruntukan yang diberikan bagi pelaksanaan program – program pembangunan yang pada akhirnya mampu memberikan limpahan hasil kepada ekonomi negara.

Hadirin sekalian,

  1. Sekali lagi saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada MPB atas kejayaan penganjuran Persidangan Kebangsaan Industri Lada Malaysia Tahun 2024 ini.
  2. Secara keseluruhannya, saya amat bangga dan segala pujian ditujukan kepada segala usaha yang dilakukan oleh MPB, dalam mengukuhkan sektor agrikomoditi lada negara dan sekaligus membuka mata kita semua bahawa Malaysia memiliki komoditi berkualiti taraf antarabangsa.
  1. Akhir kata, saya dengan sukacitanya merasmikan Persidangan Kebangsaan Industri Lada Malaysia Tahun 2024.

Sekian, terima kasih.

MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI

15 MEI 2024

TEKS UCAPAN

 

YB DATUK SERI JOHARI BIN ABDUL GHANI

MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI

 

SEMPENA

 

MAJLIS PELANCARAN ULANG TAHUN MSPO KE-10 DAN SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI

 

13 MEI 2024 | DOUBLETREE BY HILTON, KUALA LUMPUR

 

Pendahuluan

  1. Terlebih dahulu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada MSPO kerana menjemput saya untuk berucap pada majlis pelancaran sambutan ulang tahun MSPO ke-10 hari ini.
  1. Usaha MSPO untuk memartabatkan industri ini melalui pensijilan sawit mampan adalah satu langkah penjenamaan semula yang bersifat progresif dan sudah pasti akan meningkatkan tahap daya saing produk sawit keluaran kita.

Latar Belakang Industri Sawit

Hadirin sekalian,

  1. Industri sawit merupakan tonggak kepada pertumbuhan ekonomi negara. Malaysia merupakan pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia. Pada tahun 2023, kita telah mengeksport sekitar 80% (atau 14.8 juta tan) daripada 18.6 juta tan keluaran minyak sawit negara. Sektor ini juga menyumbang 3% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menjadi punca rezeki kepada 1 juta individu.
  1. Penghasilan minyak sawit adalah lebih efisien dan economical berbanding dengan minyak masak yang lain seperti soya, rapeseed dan sunflower. Semestinya, Malaysia memainkan peranan yang penting dalam memastikan keterjaminan makanan bagi seluruh penduduk dunia. Namun begitu, minyak sawit Malaysia telah menjadi sasaran kepada tuduhan-tuduhan berat sebelah serta dasar-dasar berunsurkan proteksionisme yang memihak kepada minyak masak lain.

 

MSPO Memberi Jaminan kepada Pengeluaran Minyak Sawit Mampan

Tuan-tuan dan puan-puan,

  1. Pihak Kerajaan mengambil serius isu kelestarian alam, dimana pembangunan ekonomi negara mestilah bergerak seiring dengan usaha memelihara alam sekitar. Negara kita juga komited dalam mencapai matlamat yang sejajar dengan agenda kemampanan, seperti mengekalkan litupan kawasan berhutan melebihi 50 peratus dan mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau (greenhouse gases) hingga 45 peratus menjelang 2030 antara lain.
  1. Mengambil kira hala tuju negara-negara pembeli minyak sawit, agenda kemampanan kian menjadi keutamaan dalam dasar-dasar mereka. Dasar-dasar ini, seperti EUDR, berperanan dalam mempengaruhi corak permintaan negara-negara lain terhadap minyak sawit mampan. Oleh yang demikian, penerapan amalan kemampanan mampu memberi nilai ekonomi (economic value) kepada produk sawit negara.
  1. Sejak MSPO diasaskan, ia telah berjaya dalam memastikan industri sawit negara mematuhi sepenuhnya amalan kemampanan sebagai sebahagian daripada komitmen untuk menangani isu perubahan iklim, pemeliharaan dan pemuliharaan biodiversiti, pelepasan gas rumah hijau (greenhouse gases), serta isu amalan buruh yang baik.
  1. Skim pensijilan MSPO dapat memberi jaminan kepada pembeli berkenaan pematuhan terhadap piawaian kemampanan antarabangsa. Pihak kerajaan akan terus gigih berusaha untuk memastikan MSPO mendapat pengiktirafan global yang sewajarnya supaya dapat memberi nilai tambah atau value-add kepada pengusaha-pengusaha yang diiktiraf MSPO. Saya yakin Malaysia mampu mengeluarkan produk sawit berkualiti tinggi dengan nilai yang premium sambil mengekalkan tahap daya saing yang tinggi.

 

Kejayaan MSPO Sepanjang 10 Tahun

Hadirin sekalian,

  1. Sepanjang tempoh 10 tahun penubuhan MSPO, usaha Kerajaan dan pemain industri dalam meningkatkan taraf kemampanan industri ini telah membuahkan hasil. Setakat April 2024, 4.94 juta hektar atau 87.4% daripada keluasan tanaman sawit, 407 daripada 446 kilang sawit dan 151,152 pekebun kecil (66.0%) yang merangkumi 542,215 hektar telah dipersijilkan.
  1. Tambahan lagi, MSPO telah mendapat pelbagai pengiktirafan dan menandatangani beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) bersama pemegang taruh di negara-negara pembeli seperti Jepun, China, India, Mongolia dan Filipina. MSPO juga telah menandatangani MoU bersama Halal Development Centre (HDC) bagi mempromosi hasil sawit negara ke pasaran halal di seluruh dunia.
  1. Baru-baru ini, di dalam perbincangan dua hala antara pihak Kementerian dan pihak Kesatuan Eropah (EU) berkenaan isu European Union Deforestation-free Regulation (EUDR) dan MSPO, kita telah mendapat respon yang positif berkaitan usaha Malaysia untuk mengurangkan kadar penebangan hutan. Pihak Kesatuan Eropah (EU) juga memberi pengiktirafan yang bermakna atas komitmen Malaysia terhadap pengeluaran produk komoditi yang mampan.

MSPO Dikemaskini untuk Kekal Relevan

Tuan-tuan dan puan-puan,

  1. Dalam memastikan MSPO dapat terus memberi nilai tambah kepada industri sawit negara, MSPO mesti memberi perhatian kepada tiga perkara.
  1. Pertama, MSPO perlu bersifat dinamik dan bergerak seiring dengan keutamaan dunia yang kian berubah. Kementerian akan memastikan skim pensijilan MSPO sentiasa ditambah baik supaya dapat kekal relevan demi memenuhi piawaian kemampanan antarabangsa, terutamanya berkaitan elemen kebolehjejakan, bebas penebangan hutan, pemilikan sah ke atas tanah dan amalan buruh yang baik.
  1. Saya menyambut baik piawaian MSPO 2.0 yang merupakan satu inisiatif untuk meningkatkan kredibiliti pensijilan melalui penambahan beberapa elemen baharu seperti Nilai Pemuliharaan Tinggi (HCV), Penilaian Kesan Sosial (SIA), Pengiraan Gas Rumah Hijau (GHG) serta elemen bagi menangani isu buruh paksa dan kanak-kanak.
  1. Kedua, kita wajar mengadakan sesi libat urus yang efektif dengan pemegang taruh seperti pembuat dasar, persatuan pengguna, badan-badan bukan kerajaan (NGO), dan peniaga, bagi meningkatkan tahap kesedaran tentang inisiatif dan komitmen Malaysia. Melalui langkah ini, MSPO akan diiktiraf oleh komuniti perniagaan dan pengguna antarabangsa. MSPO mesti lebih aktif dalam melibatkan diri dalam mana-mana forum atau persidangan tempatan dan antarabangsa khususnya yang membincangkan isu-isu berkaitan kemampanan ataupun industri minyak masak dunia.
  1. Ketiga, kesemua minyak sawit yang dikeluarkan oleh pengusaha yang dipersijilkan oleh MSPO, mesti meletakkan logo MSPO pada produk minyak sawit yang dijual, baik di pasaran tempatan ataupun antarabangsa. Hal ini penting sebagai satu langkah untuk menjadikan MSPO sebagai badan pensijilan yang boleh dipercayai (credible) dan dipercayai dan seterusnya kerajaan boleh menjadi benteng pertahanan yang utama dalam menangani persepsi negatif terhadap industri sawit.
  1. Maka, MSPO akan melancarkan Pelan Tindakan Strategi MSPO 2024-2026, yang berteraskan tiga strategi utama:
    1. Pertama, membina skim pensijilan kemampanan yang teguh dan boleh dipercayai;
    2. Kedua, memastikan pematuhan pemain industri dan memberi nilai tambah kepada pensijilan MSPO; dan
    3. Ketiga, memperluaskan pengiktirafan dan penerimaan MSPO.

Penutup

Tuan-tuan dan puan-puan,

  1. Sebelum saya mengakhiri ucapan, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada MSPO atas segala pencapaian sepanjang 10 tahun ini. Saya harap MSPO dapat terus menerajui industri ini dan pihak Kerajaan akan sentiasa memberikan kerjasama agar kita dapat menjulang imej industri sawit negara ke satu tahap yang lebih tinggi di persada antarabangsa.
  1. Saya juga ingin mengumumkan secara rasmi bahawa Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC), kini telah dijenamakan semula sebagai Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO). Penjenamaan kepada MSPO dilihat sebagai satu strategi pemasaran dan pemerkasaan jenama dan imej pensijilan MSPO di peringkat domestik dan antarabangsa. Semoga MSPO akan meneruskan kecemerlangan dan membantu menabur bakti kepada ekonomi serta kemajuan industri minyak sawit negara.
  1. Dengan lafaz Bismillahirahirrahmanirrahim saya dengan ini merasmikan pelancaran sambutan ulang tahun MSPO ke-10.

Sekian, terima kasih.

TEKS UCAPAN 

 

YANG BERHORMAT

DATUK SERI JOHARI BIN ABDUL GHANI

MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI (KPK)

 

BERSEMPENA

MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG 

(APC 2023) DAN 

SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI 2024 

LEMBAGA PERINDUSTRIAN KAYU MALAYSIA

(MTIB)

 

25 APRIL 2024 (KHAMIS)

9.30 PAGI

DEWAN PERSIDANGAN MTIB, 

TINGKAT 13, MENARA PGRM

Bismillahirrahmannirahim.

Yang Berhormat Datuk Chan Foong Hin 

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi

Yang Berusaha Encik Abdul Hadi Omar

Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik &

Pengurusan) Kementerian Perladangan dan Komoditi

Yang Berbahagia Dato' Razali Mohamad

Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan & Komoditi)

Kementerian Perladangan dan Komoditi

Yang Berhormat Datuk Larry Sng Wei Shien

Pengerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB)

Yang Berbahagia

Ahli-ahli Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB)

Yang Berusaha Ts. Dr. Mohd Nor Zamri Mat Amin

Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia

(MTIB)

Tuan-tuan dan Puan-puan para hadirin yang dihormati sekalian.

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

  1. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua. Setinggi-tinggi terima kasih diucapkan kepada pihak Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), atas kesudian menjemput saya untuk menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) MTIB bagi tahun 2023 dan bersempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada petang ini.

 

  1. Di kesempatan ini juga, saya bagi pihak Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), ingin merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada MTIB yang telah melaksanakan peranan dan fungsinya sebagai agensi peneraju dalam pembangunan industri perkayuan negara dengan cemerlang.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

3. Majlis kita pada hari ini akan meraikan 36 orang warga MTIB yang akan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MTIB hasil prestasi dan komitmen yang tinggi dalam melaksanakan kerja sepanjang tahun lepas. Seterusnya, MTIB akan melancarkan Polisi Keselamatan Siber (PKS) MTIB.

Hadirin sekalian,

 

  1. Sejak penubuhan MTIB yang telah menjangkau 50 tahun, sumbangan industri perkayuan kepada pendapatan eksport negara tidak boleh dinafikan. Di bawah sektor agrikomoditi, industri perkayuan merupakan penyumbang kedua terbesar dari segi KDNK dan ketiga terbesar dari segi pendapatan eksport negara. Pada tahun 2023, industri perkayuan di Malaysia telah menyumbang sebanyak 8 bilion kepada pendapatan eksport negara. Produk berasaskan kayu dari Malaysia telah dieksport ke lebih 173 negara di seluruh dunia.
  2. Namun begitu, sama seperti industri agrikomoditi yang lain, prestasi industri perkayuan juga terkesan akibat isu dan cabaran yang dihadapi baik di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa. Antara isu dan cabaran ini adalah seperti ketegangan geopolitik, dasar perlindungan perdagangan oleh negara pengimport, persepsi negatif serta persaingan dengan negara-negara pengeksport produk kayu di dunia. Susulan itu, nilai eksport kayu dan produk berasaskan kayu telah jatuh sebanyak 13.3% pada tahun 2023 berbanding dengan tahun sebelumnya manakala kuantiti pula telah menurun dengan kadar 4.2% pada tempoh yang sama.
  1. Justeru itu, saya amat menggalakkan KPK dan MTIB untuk terus bekerjasama dengan pihak industri dalam menangani cabaran-cabaran global. Ia bagi memastikan hala tuju pembangunan industri kayu negara adalah selari dengan sasaran yang telah ditetapkan. Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) 2021 – 2030 dan Pelan Strategik Industri Perkayuan Negara (NTISP) 2021-2025 telah menyasarkan agar nilai eksport industri perkayuan dapat mencapai RM28 bilion manakala nilai pasaran domestik mencapai RM20 bilion menjelang 2025.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

  1. Majlis kita pada hari ini juga akan menyaksikan pelancaran Polisi Keselamatan Siber MTIB yang baharu. Polisi ini berperanan sebagai langkah keselamatan untuk memastikan pengurusan keselamatan siber yang cekap.

 

  1. Dalam dunia yang kian hari kian didominasi oleh pendigitalan, saya menyambut baik usaha MTIB untuk mengemaskini dasar keselamatan sedia ada untuk menyesuaikan dengan keperluan dan persekitaran yang begitu dinamik. Penting juga bagi MTIB sebagai salah satu agensi utama dalam sektor perkayuan untuk melindungi pihak-pihak yang terlibat.

Hadirin sekalian,

  1. Komitmen yang tinggi dan peranan yang dimainkan oleh semua pihak amat penting bagi meningkatkan prestasi industri perkayuan negara. Anugerah Perkhidmatan Cemerlang ini melambangkan pengiktirafan MTIB kepada warga kerja MTIB yang telah membantu dalam memastikan industri perkayuan Malaysia terus kekal sebagai antara sektor utama negara.
  1. Akhir kata, tahniah dan syabas kepada semua para penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang serta pegawai yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung dalam penganjuran majlis pada pagi ini.
  1. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun 2023 dan Melancarkan Polisi Keselamatan Siber MTIB.

 

Sekian, Terima Kasih.

 

UCAPAN ALUAN 

 

TIMBALAN MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI 

YB DATUK CHAN FOONG HIN 

 

SD PLANTATION FUTURE FEST ‘24

Jumaat, 23 Februari 2024

MTU & Robotics Centre, Carey Island, Selangor

  • Yang Berbahagia Dato’ Razali Mohamad

Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi)

Kementerian Perladangan dan Komoditi

  • Yang Berbahagia Tan Sri Dr. Nik Norzrul Thani Nik Hassan

Pengerusi, Sime Darby Plantation Berhad

  • Yang Berbahagia Datuk Mohamad Helmy Othman Basha

Pengarah Urusan Kumpulan, Sime Darby Plantation Berhad

Dif-dif kehormat, Tuan-tuan, Puan-puan serta Wakil-wakil media,

Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani,

  1. Terlebih dahulu saya ingin menyampaikan Salam Hormat daripada Yang Berhormat Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Perladangan dan Komoditi yang tidak dapat hadir pada petang ini atas urusan rasmi bersama YAB Perdana Menteri.
  1. Saya mengucapkan syabas dan sekalung tahniah kepada Sime Darby Plantation atas penganjuran buat julung kalinya Program SD Plantation Future Fest ’24 (SDPFF’ 24). 
  1. Kementerian melalui Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC), amat berbesar hati dengan kerjasama Sime Darby Plantation dalam merealisasikan hasrat Kerajaan melahirkan modal insan berpengetahuan dan berkemahiran.
  1. IMPAC merupakan sebuah institusi induk yang dilantik sebagai Badan Peneraju Industri (Industry Lead Body) oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) bagi memperkasa agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam sektor perladangan dan komoditi.
  1. IMPAC dalam perkara ini telah memainkan peranan yang proaktif bersamasama pemegang taruh demi mewujudkan satu ekosistem yang dapat menarik minat generasi muda untuk memilih bidang pekerjaan di sektor agrikomoditi sebagai antara pilihan kerjaya yang menjamin masa hadapan.
  1. Melalui penggunaan mekanisasi dan automasi dalam operasi perladangan, sektor ini dilihat mampu menyediakan peluang pekerjaan bernilai tinggi (high value job) yang menjamin pendapatan yang kompetitif.
  1. Inisiatif Sime Darby Plantation dalam memodenkan sektor perladangan melalui projek kolaborasi penghasilan alat pemotong laser bersama Universiti Malaya perlu dicontohi bagi melestarikan sektor perladangan menerusi penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan yang berterusan.
  1. Saya turut dimaklumkan, Akademi Sime Darby Plantation telah diiktiraf sebagai Pusat Bertauliah oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) untuk menjalankan program TVET micro-credential bidang Operasi Mekanisasi Ladang Sawit. Syabas dan tahniah sekali lagi Sime Darby Plantation!
  1. Pada kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang menyokong usaha Kementerian ini untuk memaju dan mempertingkatkan daya saing industri perladangan dan agrikomoditi negara.
  1. Akhir kata, saya berharap semoga inisiatif kerjasama ini menjadi penanda aras dan lonjakan kepada pembangunan modal insan berkualiti yang mampan.

Sekian, terima kasih.