Jata

UCAPAN PERASMIAN
YB DATUK WILLIE ANAK MONGIN
TIMBALAN MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN
KOMODITI


SEMPENA
PROGRAM JELAJAH AGRIKOMODITI
#KELUARGAMALAYSIA 2021 DI DUN LAYAR,
BETONG, SARAWAK


28 NOVEMBER 2021 (AHAD)
JAM 10.30 PAGI
GALERI B, ARAS UG,
KOMPLEKS PEJABAT KERAJAAN NEGERI
KAWASAN BANDAR BARU BETONG
JALAN SETIA RAJA
95700 BETONG, SARAWAK

 

SALUTASI:
Yang Berbahagia Dato Gerald Rentap Jabu
Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri N36 Layar


Puan Jenny George
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi)
Lembaga Lada Malaysia

Encik Vincent Sawat
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan),
Lembaga Lada Malaysia

Yang Berusaha Encik Richard Anak Michael Abunawas
Residen Bahagian Betong

Pegawai-pegawai Kementerian Perusahaan Perladangan dan
Komoditi (KPPK)

Ketua-Ketua Agensi di bawah KPPK Cawangan Sarawak

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian.

Selamat pagi, salam sejahtera dan Salam KeluargaMalaysia.

Namo berita nuan kaban?

1. Segala puji dan syukur kepada Yang Maha Esa kerana dengan limpah kurnia dan rahmatNya kita dapat bersama-sama menghadiri program Jelajah Agrikomoditi #KeluargaMalaysia 2021 khasnya di DUN Layar, Betong, Sarawak pada hari minggu ini.


2. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan merakamkan sekalung penghargaan serta ucapan tahniah kepada Jawatankuasa Penganjur MPB berserta rakan-rakan Agensi KPPK yang telah berjaya merealisasikan penganjuran Program Jelajah Agrikomoditi #KeluargaMalaysia 2021 di DUN Layar,Betong.


3. Saya ambil maklum bahawa jemputan asal program ini jatuh pada hari semalam, Sabtu, namun, ia terpaksa ditukar kepada hari ini, Ahad atas sebab-sebab lain yang tidak dapat dielakkan. Saya menyusun sepuluh jari memohon kemaafan sekiranya perubahan tarikh ini telah mengundang sebarang kesulitan kepada Yang Berbahagia Dato, tuan-tuan dan puan-puan sekalian.


4. Tidak nafikan, dalam kesibukan jadual tugasan harian saya sama ada di Putrajaya mahupun di kawasan Parlimen saya P198 Puncak Borneo, saya tetap nekad dan kuatkan semangat untuk mengharungi perjalanan hampir empat jam bersama isteri tercinta ke Betong yang merupakan bahagian pentadbiran ke-11 dan terbaharu di Sarawak ini. Niat saya hanya satu iaitu untuk merasmikan program ini selaras dengan konsep KeluargaMalaysia yang telah dilancarkan oleh YABPerdana Menteri di Kuching, Sarawak pada 23 Oktober 2021.


Tuan-tuan dan puan-puan,


5. Tujuan penganjuran Program Jelajah Agrikomoditi #KeluargaMalaysia 2021 adalah untuk menghebahkan mengenai potensi, sumbangan dan pencapaian sektor agrikomoditi dalam pembangunan negara. Selain itu,program ini juga memberi peluang kepada AgensiAgensi KPPK seperti MPB, Lembaga Minyak Sawit 5 Malaysia (MPOB), Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan Lembaga Koko Malaysia (LKM) untuk berinteraksi secara langsung serta berkongsi ilmu dan perkembangan terkini inisiatif Kerajaan berkaitan inovasi teknologi hasil kajian dalam pembangunan industri huluan dan hiliran kepada para pekebun, penanam dan peladang kita.


6. Untuk makluman semua, Program Jelajah Agrikomoditi #KeluargaMalaysia 2021 ini telah diilhamkan oleh Yang Berhormat Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin, Menteri KPPK. Program ini telah dan sedang giat diadakan di seluruh Malaysia sejak awal bulan November ini dan melibatkan penyertaan Agensi-Agensi KPPK yang merangkumi industri sawit, getah, kayu-kayan, koko, Lada dan kenaf.


7. Program Jelajah Agrikomoditi ini telah disasarkan kepada semua peringkat masyarakat dengan pelbagai pengisian menarik seperti program bual bicara, ceramah mengenai insentif dan skim bantuan di bawah sektor agrikomoditi, bengkel serta perkhidmatan kaunter oleh Agensi-Agensi yang terlibat.

8. Sektor perladangan mahupun agrikomoditi boleh menjana pendapatan lumayan. Justeru itu, penganjuran program ini juga diharapkan dapat menarik minat masyarakat terutamanya golongan belia untuk menceburi bidang kerjaya dan keusahawanan berasaskan agrikomoditi. Secara tidak langsung, ia dapat memberi pendedahan dan maklumat berguna kepada anak-anak muda dan seterusnya mendorong mereka untuk terlibat secara aktif dalam sektor agrikomoditi. Saya menyeru kepada semua hadirin sekalian untuk membantu KPPK menyampaikan kesedaran dan pesanan ini kepada ahli-ahli keluarga dan jiran-jiran tetangga kita mengenai manfaat sektor agrikomoditi dan peluang keuntungan jika kita berbakti kepada tanah.


Hadirin sekalian,


9. Ramai orang yang menganggap pekerjaan di sektor agrikomoditi terutamanya di sektor perladangan sebagai pekerjaan kelas bawahan dan 3D iaitu Dirty, Difficult and Dangerous. Namun, hakikat sebenarnya ialah sektor ini berupaya untuk menjana pendapatan yang lumayan dan berpotensi tinggi untuk terus berkembang jauh. Di kala kita berdepan dengan pandemik COVID-19, sektor agrikomoditi terus menjadi penyumbang kedua terbesar kepada pendapatan eksport negara.


10. Sepertimana kita sedia maklum, Sarawak merupakan wilayah yang mempunyai keluasan tanaman sawit paling besar di Malaysia. Sehingga bulan September 2021, jumlah keluasan tanaman sawit di Sarawak adalah sebanyak 1.6 juta hektar, iaitu bersamaan lebih kurang 28% daripada keseluruhan keluasan sawit di Malaysia.


11. Sarawak juga telah mencapai peratusan pensijilan Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) melebihi 90% di mana sebanyak 1.5 juta hektar telah berjaya dipersijilkan. Ini adalah satu pencapaian yang sangat membanggakan kepada penduduk Sarawak. Tahniah dan syabas kepada tuan-tuan dan puan-puan yang terlibat

12. Seterusnya, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan agar para pekebun kecil sawit kita dapat menyertai Koperasi Pekebun Sawit Mampan (KPSM). Penubuhan koperasi ini merupakan salah satu inisiatif Kerajaan dalam meningkatkan tahap sosioekonomi pekebun kecil sawit. Ianya juga dapat menyatukan dan memperkasakan pekebun kecil selain meningkatkan keupayaan dan daya saing dalam pasaran sedia ada. Sehingga 30 September 2021, sebanyak 69 KPSM telah ditubuhkan di seluruh negara iaitu 24 koperasi di Semenanjung, 27 koperasi di Sabah dan 18 koperasi di Sarawak. Suka saya umumkan bahawa salah satu koperasi tersebut adalah KPSM Daerah Betong Berhad. Ayuh, marilah kita sertai dan rebut peluang menjadi ahli koperasi ini.


Tuan-tuan dan puan-puan,


13. Salah satu program utama yang sedang dilaksanakan Lembaga Koko Malaysia (LKM) adalah Program Pembangunan Kluster Koko yang menggunakan konsep Farm to Table. Program yang dilaksanakan di Sarawak ini adalah dikenali sebagai program SARA Cocoa Cluster.

14. Untuk makluman, Kompleks SARA Cocoa Cluster yang terletak di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Koko LKM, Kota Samarahan akan menempatkan kemudahan pemprosesan biji koko kering tempatan wilayah Sarawak dengan kapasiti 50 tan setahun.


15. Di samping itu, Koperasi Kluster Koko Sarawak Berhad (3KQ) juga telah ditubuhkan untuk menjalankan aktiviti bagi menjana pendapatan seperti aktiviti jual-beli biji koko kering dan coklat. Saya berharap sebarang keuntungan yang dijana oleh koperasi ini dapat dikongsikan dengan para petani dan pengusaha koko yang menganggotai koperasi demi peningkatan pada pendapatan mereka.


16. Dalam hal ini juga, saya menyeru agar pekebun kecil koko untuk menumpukan perhatian kepada pengeluaran biji koko berkualiti dan berperisa unik (single origin) melalui bahan tanaman koko terpilih, Good Agriculture Practice (GAP) dan teknik pemprosesan biji koko basah yang betul. Biji koko premium dijangka dapat dijual dengan harga tinggi berbanding biji koko biasa.


Tuan-tuan dan puan-puan,


17. Kerajaan Persekutuan sentiasa menyokong usaha Kerajaan Negeri Sarawak dalam pembangunan industri getah terutamanya sektor pemprosesan dan produk hiliran di Sarawak. Memandangkan pembangunan industri getah di Sarawak adalah di bawah kuasa
Kerajaan Sarawak, KPPK melalui LGM akan membantu memberikan khidmat nasihat teknikal, R&D dan juga perkhidmatan pengujian produk-produk getah.


18. Selain itu, bagi memastikan nasib pekebun kecil getah terbela, Kerajaan juga akan melaksanakan Program Transformasi Perusahaan Getah Negara yang turut dikenali sebagai TARGET. Melalui program ini, pekebun getah berskala kecil akan dapat disatukan secara berkelompok dan diuruskan oleh koperasi. TARGET akan membantu pekebun kecil untuk mengeluarkan getah krip yang mampu memberikan pulangan harga yang lebih baik.

19. Menerusi pendekatan ini, saya yakin pendapatan pekebun kecil akan dapat dilipatganda menerusi pulangan dividen hasil daripada penyertaan dalam koperasi.


Tuan-tuan dan puan-puan,


20. Sebagai usaha KPPK ke arah pendigitalan perkhidmatan yang berterusan, saya dengan sukacitanya ingin memaklumkan bahawa MPB telah membangunkan aplikasi LadaGo yang akan dilancarkan secara rasmi pada hari ini.


21. Sesungguhnya, aplikasi ini sangat bermanfaat kepada pemegang taruh kerana ia dapat membantu pegawai pengembangan MPB serta pengusaha tanaman lada dalam pengurusan masalah penyakit dan nutrien pokok lada.


22. Untuk makluman, aplikasi LadaGo merupakan sebuah projek kerjasama antara MPB, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Swinburne University of Technology Sarawak yang menggunakan sistem kepakaran berasaskan Artificial Intelligence (AI).


23. Saya juga difahamkan bahawa aplikasi ini telah memenangi anugerah Outstanding Innovation Award dan Gold Award sempena Malaysia Technology Expo (MTE) 2021 yang berlangsung secara hibrid pada 25 hingga 29 Oktober 2021 yang lalu. Tahniah saya ucapkan kepada pasukan MPB atas penerimaan anugerah tersebut!


24. Selain aplikasi LadaGo, MPB turut membangunkan Sistem Permohonan Skim Bantuan Tanaman Lada Secara Online yang akan diintegrasikan bersama sistem pangkalan data e-Pekebun. Sistem ini bertujuan untuk memudahkan orang awam khususnya pekebun lada di seluruh Malaysia untuk membuat permohonan bantuan Skim Tanaman Lada Baharu dan Skim Tanaman Lada Matang secara dalam talian.


Tuan-tuan dan puan-puan,


25. Di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe12), Kerajaan Persekutuan melalui MPB akan terus membantu para pekebun lada melalui pelaksanaan Skim Tanaman Lada Baharu (STLB) iaitu untuk pekebun yang berminat menceburi penanaman lada
dan pelaksanaan Skim Tanaman Lada Matang (STLM) untuk membantu pekebun – pekebun lada sedia ada di seluruh negara menyelenggara tanaman lada yang berusia tiga tahun dan ke atas.


26. Pada tahun 2021, sebanyak RM5 juta telah diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada KPPK untuk melaksanakan Program Pembangunan Huluan Industri Lada oleh MPB. Daripada jumlah tersebut, hampir RM1 juta telah diperuntukkan kepada
pekebun–pekebun lada di Bahagian Betong di bawah STLB dan STLM.


27. Saya telah dimaklumkan oleh MPB terdapat beberapa orang pekebun lada akan menerima bantuan STLB dan STLM. Dan kesemua penerima ini merupakan pekebun lada dari kawasan DUN Layar, Betong.


28. Selain itu, program ini juga akan menyaksikan beberapa orang pekebun kecil tanaman sawit, getah dan koko menerima bantuan di bawah seliaan Agensi masing-masing.


29. Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan juga, KPPK sentiasa prihatin dan mengambil berat mengenai keluhan pekebun kecil berhubung kenaikan harga bahan input pertanian yang tinggi. Oleh itu, saya sendiri, secara peribadi, menyokong inisiatif penubuhan Jawatankuasa Bersama Berkenaan Isu Kenaikan Baja dan Racun yang diterajui oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam mengkaji dan menangani isu hangat ini ke arah menstabilkan harga bahan input pertanian di pasaran.


Hadirin sekalian,


30. Saya percaya dengan pelbagai strategi, usaha dan projek yang telah dirancangkan dan akan dilaksanakan kelak, sektor agrikomoditi mampu menyumbang dan merealisasikan visi KeluargaMalaysia untuk memulihkan negara dan mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi.

31. Sebelum saya berundur, terima kasih sekali lagi saya ucapkan kepada hadirin sekalian, barisan Jawatankuasa Penganjur MPB serta rakan-rakan Agensi lain yang telah sudi meluangkan masa untuk hadir dan bersatu-hati menjayakan program pada hari ini.

32. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Program “Jelajah Agrikomoditi #KeluargaMalaysia 2021” di DUN Layar, Betong, Sarawak” pada hari ini. Tuhan memberkati dan agi idup, agi ngelaban.


Sekian, terima kasih.