Jata

TEKS UCAPAN
YB DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN BIN AMAN RAZALI
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI


MAJLIS PENYAMPAIAN MESIN VENTILATOR OLEH
YB MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
KEPADA HOSPITAL TUANKU JA’AFAR SEREMBAN (HTJS)

AUDITORIUM GEMILANG, HTJS, SEREMBAN, NEGERI SEMBILAN
15 OKTOBER 2020


 Bismillahirrahmanirahim...

Yang Berusaha Saudara Pengerusi Majlis

Yang Dihormati Dr. Zaleha Md. Noor
Pengarah
Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS)

Yang Berusaha Encik Ramzuz Mohd Rashid
Pengarah Pentadbiran dan Perhubungan Kerajaan, MPOA

Yang Dihormati Ketua-Ketua Jabatan

Pakar-pakar di HTJS

Semua Petugas Barisan Hadapan

Rakan-rakan media

Seterusnya tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

 

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

1. Terlebih dahulu, saya ingin menzahirkan penghargaan dan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada petugas perubatan dan kesihatan, khususnya di barisan hadapan di HTJS yang terdiri daripada pakar-pakar, pegawai perubatan, Ketua Jururawat, jururawat-jururawat dan semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung. Andalah semua ’Wira Yang Tak Didendang’ yang terbaik selaku #BARISANHADAPAN. Saya juga dimaklumkan HTJS merupakan hospital rujukan bagi seluruh Negeri Sembilan.

2. Sekalung penghargaan juga kepada petugas belakang tabir yang memainkan peranan penting dalam membendung penularan COVID-19 dan semua perkara berkaitan rawatan perubatan, kecemasan dan kesihatan di sini.

3. Tidak kurang jua saya ingin merakamkan jutaan ribuan terima kasih kepada ketua-ketua jabatan, rakan-rakan media, petugas-petugas pentadbiran, kewangan, keselamatan dan sebagainya yang sudi berkumpul pada hari ini.

Tuan-tuan dan puan-puan

4. Saya mewakili seluruh warga Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) merakamkan ribuan terima kasih kami kepada semua petugas barisan hadapan di HTJS, Seremban, Negeri Sembilan yang mempunyai Prinsip dalam Kerjaya iaitu Konsep Tiga I (3 i ):
I – IKHLAS
I – INTEGRITI
I – IHSAN

5. Sebagai tanda sokongan berterusan dan meringankan beban kerajaan, Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menerusi KPPK hari ini dengan penuh keikhlasan menyumbangkan seunit ICU ventilator model Elisa bernilai RM120,000 dan pelitup muka sebanyak 20,000 helai menjadikan jumlah nilai keseluruhan sumbangan adalah RM140,000.

6. MPOA juga telah menyalurkan beberapa sumbangan berupa peralatan perubatan seperti ventilator, kit ujian COVID-19, sanitasi tangan, pelitup muka, barangan kesihatan dan beg makanan kepada KKM termasuk beberapa buah hospital seperti Hospital Kuala Lumpur (10 April 2020), Hospital Serdang (26 Mac 2020), Hospital Selayang (4 Ogos 2020) dan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu Kelantan (13 September 2020) yang kesemuanya bernilai RM5.234 juta.

Tuan-tuan dan puan-puan,

7. KPPK menerusi jabatan/agensi di bawahnya sentiasa PRIHATIN dan bersama ANDA SEMUA bagi memastikan kelangsungan dalam membantu pihak hospital khususnya bagi membendung dan merawat pesakit COVID-19 di negara ini. Kami telah melancarkan Tabung PRIHATIN COVID-19 KPPK seawal Mac 2020. Pelbagai bantuan telah disalurkan oleh penyumbang terbesar sektor agrikomoditi negara khususnya pengeluar sarung tangan getah di Malaysia, sektor kayu-kayan dan jua MPOA.

8. Demi negara, bangsa dan anak-anak kita, marilah kita bersama-sama memastikan tahap kesihatan dan penularan COVID-19 dapat dibendung di Malaysia. Bermula dengan niat yang ikhlas, penuh integriti dan keihsanan, kita sama-sama memastikan komitmen kerajaan kekal utuh dalam mengawal penularan COVID-19 yang tanpa kita sedar atau tidak virus ini telah hidup, berakar umbi dan bertebaran di muka bumi Malaysia malah di seluruh dunia.

9. Akhir kata, saya menyeru kita semua memanjatkan doa supaya dapat bersama-sama meneruskan usaha yang baik ini untuk semua. Diharap sumbangan ini akan memberi manfaat kepada semua.

Sekian, terima kasih.

Kementerian Perusahaan Perladangan Dan Komoditi
Seremban, Negeri Sembilan
15 Oktober 2020