UCAPAN
YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
MAJLIS PELANCARAN APLIKASI RRIMniaga PERINGKAT NEGERI PERAK
DEWAN DATO’ MAHARAJALELA INSTITUT KEMAHIRAN BELIA NEGARA, SERI ISKANDAR PERAK

JUMAAT, 4 SEPTEMBER 2020


(VIP-VIP)

YB Dato’ Haji Ahmad Nazlan Idris
Pengerusi
Lembaga Getah Malaysia

Encik Mad Zaidi Mohd Karli
Timbalan Ketua Setiausaha
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi

YH Dato’ Dr Zairossani Mohd Nor
Ketua Pengarah
Lembaga Getah Malaysia

YBhg Tan Sri-Tan Sri, Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan serta para hadirin yang dihormati sekalian,

Salam Sejahtera dan Selamat Pagi,

Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan syabas kepada Lembaga Getah Malaysia (LGM) atas inisiatif menganjurkan MAJLIS PELANCARAN APLIKASI RRIMniaga pada pagi ini. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kepada semua yang hadir terutamanya pekebun-pekebun kecil getah yang merupakan tunjang ekonomi negara.
Tuan/Puan yang dikasihi sekalian,

2. Dalam pembangunan negara, Kerajaan sentiasa mengambil berat kepada setiap golongan masyarakat khususnya terhadap masalah dihadapi masyarakat luar bandar, termasuk pekebun kecil getah bagi meningkatkan taraf hidup dan secara tidak langsung dapat mengurangkan kadar kemiskinan. Dalam hal ini Kerajaan melaksanakan beberapa langkah termasuk pembangunan kawasan pertanian dan penyediaan infrastruktur agar penduduk luar bandar juga terbabit dalam arus pembangunan negara.

3. Industri getah turut memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negara. Pada tahun 2019, hasil pendapatan getah dan produk getah telah menyumbang sebanyak RM30.92 bilion kepada nilai pendapatan eksport negara manakala industri kayu dan perabot getah menyumbang sebanyak RM9.5 billion. Bagi tempoh 6 bulan pertama tahun ini, eksport getah asli dan produk getah telah meningkat sebanyak 18.3% kepada RM17.8 bilion daripada RM15.0 bilion pada tahun 2019. Sumbangan yang besar ini adalah hasil kerjasama semua pihak termasuk pekebun kecil getah sendiri.

4. Namun, pendapatan negara ini juga akan terjejas apabila harga getah tidak menentu. Untuk makluman semua, Kerajaan tidak dapat mengawal harga getah kerana ia dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti penawaran dan permintaan getah serta kadar pertumbuhan ekonomi dunia khususnya negara-negara pengguna getah utama. Di samping itu, ia juga dipengaruhi oleh dasar kewangan di negara-negara pengimport utama seperti China, Eropah dan Jepun.
5. Harga getah yang rendah pada masa kini pula disebabkan oleh penularan wabak COVID-19 yang menyebabkan negara-negara pengguna utama getah seperti China, terpaksa menangguhkan aktiviti-aktiviti ekonomi. Keadaan ini telah menyebabkan stok getah yang berlebihan di pasaran antarabangsa yang menyebabkan harga terus rendah. Kerajaan memahami kesan penurunan harga getah kepada pekebun kecil. Sehubungan dengan itu, Kerajaan mengambil pelbagai langkah jangka pendek dan jangka panjang bagi menstabilkan harga getah agar pendapatan pekebun kecil getah lebih terjamin.

Tuan/Puan yang dihormati sekalian,

6. Seperti yang dimaklumkan oleh YB Pengerusi LGM sebentar tadi, Insentif Pengeluaran Getah (IPG) adalah satu insentif yang akan diberikan kepada pekebun kecil getah bagi setiap kilogram getah yang dijual apabila purata harga bulanan getah sekerap berada di bawah paras RM2.50 sekilogram. Skim IPG ini akan membantu pekebun kecil menikmati harga getah tidak kurang daripada RM2.50 sekilogram. IPG yang diperkenalkan sejak tahun 2015 ini, mempunyai beberapa proses dan pekebun kecil perlu menghantar borang-borang berkaitan kepada LGM bagi mendapatkan IPG. Proses tuntutan ini sedikit sebanyak telah menyukarkan pekebun kecil untuk menikmati IPG.

7. Bagi mengatasi masalah ini, LGM telah membangunkan aplikasi RRIMniaga yang merupakan satu aplikasi telefon pintar yang digunakan oleh pelesen untuk merekodkan urus niaga getah. RRIMniaga dapat mempercepatkan proses tuntutan IPG daripada LGM. Kelebihan sistem RRIMniaga adalah ia berhubung terus dengan sistem IPG apabila urus niaga getah antara pekebun kecil dengan pembeli berlaku. Pekebun kecil akan mendapat manfaat IPG tanpa melalui proses manual kerana sistem RRIMniaga akan merekod transaksi pembelian dan mencetak resit pembelian secara elektronik. Bayaran IPG akan dimasukkan terus ke akaun bank pemohon yang layak.

8. Penggunaan RRIMniaga telah mendapat sambutan yang amat memberansangkan pada peringkat percubaan selama hampir 24 bulan. Bermula di Melaka pada tahun Jun 2018, ia kini telah berkembang ke negeri Kelantan, Pahang, Negeri Sembilan, Kedah, Perlis dan Perak. Melihat kepada kejayaan penggunaan RRIMniaga pada peringkat percubaan tersebut, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi telah mewajibkan supaya semua pelesen getah menggunakan aplikasi ini untuk semua transaksi jual beli getah bermula Januari 2021.

9. Bagi Negeri Perak, pengenalan RRIMNIaga telah dibuat bermula di Hulu Perak dengan taklimat pengenalan melibatkan 10 orang pelesen yang aktif di Hulu Perak pada Jun 2020. Sukacita dimaklumkan bahawa setakat 1 September 2020 ini, 40 pelesen di Negeri Perak telah menggunakan RRIMNiaga di Negeri Perak. Sasaran LGM ialah supaya semua 466 peruncit getah Negeri Perak telah maklum, dan mahir mengggunakan sistem RRIMniaga menjelang tempoh wajib guna pada 1 Januari 2021.

10. Ingin saya tekankan di sini bahawa penggunaan RRIMniaga tidak memerlukan sebarang perbelanjaan dari pekebun kecil getah. Semua peralatan RRIMniaga hanya diperlukan di peringkat pemborong getah melalui keperluan pelesenan bermula dari pelancaran RRIMniaga mulai hari ini.

11. RRIMniaga merupakan kejayaan penting bagi LGM dalam usaha untuk menyokong sektor huluan getah negara. Dengan usaha ini proses jual/beli getah akan dipermudahkan, dan proses tuntutan IPG bagi semua pihak yang berkelayakan akan dilakukan secara automatik dan atas talian. Penggunaan sistem RRIMniaga dilihat dapat meningkatkan bilangan pekebun kecil getah yang akan menerima manfaat IPG dari Kerajaan, sekaligus membantu menjaga kebajikan dan menjamin pendapatan mereka di kala harga getah yang rendah. Sehubungan itu, saya ingin mengucapkan syabas kepada LGM kerana telah berjaya membangunkan aplikasi RRIMniaga ini. Diharapkan LGM terus memacu kecemerlangan dalam menghasilkan lebih banyak produk-produk yang memberi manfaat kepada industri getah negara.

12. Akhir kata, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir memberi sokongan di majlis ini. Dengan lafaz Bismillah hirrahman nirrahim, saya dengan ini merasmikan Majlis Pelancaran RRIMniaga.

Sekian, terima kasih.

KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
4 September 2020