TEKS UCAPAN
YH DATO’ DR ZAIROSSANI MOHD NOR KETUA PENGARAH
LEMBAGA GETAH MALAYSIA
MAJLIS PELANCARAN APLIKASI RRIMNIAGA LEMBAGA GETAH MALAYSIA (LGM)
INSTITUT KEMAHIRAN BELIA NEGARA, SERI ISKANDAR, 4 SEPTEMBER 2020


YB Dato' Dr Mohd. Khairuddin Aman Razali Menteri
Perusahaan Perladangan dan Komoditi

En. Mad Zaidi bin Mohd Karli
Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan & Komoditi) Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi

Dif-dif Kehormat

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera Bismillahirrahmanirrahim,
1. Alhamdulillahi Rabbil A’lamin, Wa bihi Nasta’in. Selawat dan Salam ke atas Nabi Muhammad SAW, Rasul junjungan dan ikutan sepanjang zaman. Terlebih dahulu marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia-Nya, dapat kita bersama-sama hadir dalam MAJLIS PELANCARAN APLIKASI RRIMNIAGA pada pagi yang berbahagia ini. Dikesempatan ini juga, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada YB Dato’ Sri Dr Wee Jeck Seng, Timbalan

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, atas kesudian beliau untuk hadir merasmikan majlis.

2. Seterusnya ucapan terima kasih saya ditujukan kepada warga kerja LGM kerana telah bekerja keras untuk mengaturkan majlis ini, dan seterusnya memberi ruang dan peluang kepada saya untuk bertemu dengan warga getah di Negeri Perak. Terima kasih yang tidak terhingga juga saya ucapkan kepada semua para hadirin yang hadir, khususnya para pekebun kecil dan peraih getah kerana kesudian tuan-tuan dan puan-puan untuk meluangkan masa. Sesungguhnya kehadiran tuan-tuan dan puan-puan membuktikan kesungguhan kita untuk sama-sama melihat masa depan industri getah Negara yang lebih cemerlang.

Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan yang dikasihi sekalian,

3. Insentif Pengeluaran Getah (IPG) telah diperkenalkan oleh kerajaan bagi membantu pekebun kecil getah menangani impak kejatuhan harga getah ke atas pendapatan yang diperolehi. Maka, pendapatan tuan-tuan dan puan-puan akan terus terjamin disamping tetap menjalankan aktiviti penorehan getah bagi menyokong industri getah Negara. Dari tempoh Januari 2020 hingga Ogos 2020, LGM telah memproses sejumlah 537,424 permohonan tuntutan IPG di seluruh Negara. Untuk jumlah permohonan tersebut, sebanyak RM106.6 juta telah dibayar kepada pekebun kecil getah. Namun, LGM akan terus prihatin dan komited untuk memproses jumlah tuntutan yang lebih banyak pada satu-satu masa dengan sistem pemprosesan yang lebih telus, mudah dan cepat. Oleh yang demikian, sudah pasti lebih ramai golongan pekebun kecil getah dapat menikmati manfaat IPG dalam tempoh yang lebih singkat dan pantas tanpa karenah birokrasi yang tidak wajar.

4. Di peringkat LGM pula, kami senantiasa memberi penekanan dalam usaha penyelidikan dan inovasi. Ini kerana LGM percaya, cetusan idea- idea yang kreatif dan inovatif dapat meningkatkan kualiti dan produktiviti kepada organisasi dan seterusnya meningkatkan kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan. Dalam konteks sektor awam, sesuatu inovasi seharusnya dapat memberi manfaat kepada pihak awam iaitu rakyat atau public value serta dapat memberi nilai tambah kepada keadaan yang sedia ada. Pekebun kecil getah merupakan salah satu sumber inspirasi kami bagi penghasilan inovasi yang bermutu tinggi. Terbaru, aplikasi RRIMniaga telah diilhamkan bagi mencapai maksud peningkatan perkhidmatan ini.

5. Aplikasi RRIMniaga mempunyai kelebihan bagi pekebun kecil untuk membuat tuntutan IPG. Ini kerana ia dihubungkan terus dengan sistem data pekebun kecil bagi setiap aktiviti urus niaga getah yang dijalankan. Maka, pekebun kecil akan mendapat manfaat IPG tanpa melalui proses konvensional kerana ia mampu merekod transaksi pembelian secara automatik dan mengeluarkan resit pembelian secara elektronik. Bagi pencapaian inovasi aplikasi RRIMniaga ini, syabas saya ucapkan kepada warga kerja LGM kerana telah membuahkan hasil yang begitu bermakna dan signifikan. Saya berharap usaha anda semua tidak terhenti di sini, malah dilipat gandakan lagi untuk pembangunan penyelidikan yang akan datang.

6. Untuk para pekebun kecil getah pula, saya ingin menyeru agar tuan- tuan dan puan-puan yang masih belum membuat pendaftaran Permit Autoriti Transaksi-Getah atau PAT-G untuk melaksanakan pendaftaran dengan kadar segera agar manfaat IPG ini dapat dinikmati oleh tuan-tuan

dan puan-puan semua. Sukacita diingatkan bahawa tiada sebarang caj dikenakan untuk pendaftaran dan pengeluaran Kad Pat-G. Ia diberikan secara percuma.

7. Akhir kata, sekali lagi saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada YB Dato’ Sri Dr. Wee Jeck Seng, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi di atas kehadiran beliau untuk merasmikan MAJLIS PELANCARAN APLIKASI RRIMNIAGA ini. Tidak ketinggalan juga kepada Ahli Jawatankuasa Penganjur serta semua pihak yang terlibat dalam penganjuran majlis hari ini. Terima kasih atas sokongan tuan-tuan dan puan-puan semua.

Sekian, terima kasih.

Lembaga Getah Malaysia 3 September 2020