TEKS UCAPAN YB TERESA KOK KEMENTERIAN INDUSTRI UTAMA 
PELANCARAN PROGRAM BIODIESEL B7 DI SEKTOR INDUSTRI SELURUH MALAYSIA DAN
SEMINAR KETIGA PELAKSANAAN PROGRAM BIODIESEL B7 DI SEKTOR INDUSTRI
DI AUDITORIUM, LEMBAGA PELABUHAN BINTULU, SARAWAK
PADA 29 JUN 2019


YBrs. Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir
Timbalan Ketua Pengarah (R&D)
Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB)

Dr. John Brian Anthony,
Pengerusi Lembaga Pelabuhan Bintulu

YBhg. Datuk Dr. Kalyana Sundaram
CEO Malaysian Palm Oil Council (MPOC)

dan semua hadirin dan hadirat dari badan-badan Kerajaan, persatuan-persatuan industri dan sektor swasta.

Selamat Hari Raya, Salam Sejahtera dan ‘Salam Sayangi Sawitku’.

2. Saya amat berbesar hati pada hari ini kerana dapat berada di kalangan pemain-pemain industri untuk berbicara mengenai biodiesel. Sarawak merupakan negeri pengeluar minyak sawit kedua terbesar di Malaysia selepas Sabah. Pada 2018, Sarawak telah menghasilkan 4.18 juta tan minyak sawit mentah (CPO). Dari segi jumlah kawasan penanaman sawit, Sarawak mempunyai keluasan terbesar iaitu sebanyak 26.9% daripada jumlah kawasan penanaman sawit di Malaysia. Sarawak dan Sabah telah menyumbang lebih daripada 50% daripada jumlah pengeluaran minyak sawit di Malaysia dan merupakan antara sumbangan yang besar kepada pertumbuhan agro-ekonomi negara.

3. Seperti yang anda semua sedia maklum, Kerajaan telah melaksanakan program B10 bermula pada Disember 2018 secara berfasa dan pelaksanaan mandatori bermula pada Februari 2019. Program Biodiesel bermula dengan B5 pada tahun 2011 dan seterusnya ditingkatkan kepada B7 menjelang akhir tahun 2014. Manakala sektor industri, Kerajaan telah bersetuju melaksanakan program B7 di seluruh negara secara mandatori mulai 1 Julai 2019. Pada hari ini, saya dengan berbesar hati akan merasmikan pelaksanaan program B7 di sektor industri untuk pertama kalinya.

4. Biodiesel sawit adalah bahan api hijau yang boleh diperbaharui dan mapan. Ia bukan sahaja memberikan kesan positif yang signifikan kepada alam sekitar, malahan dapat mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) serta penghasilan jejak karbon (carbon footprint) yang lebih hijau. Biodiesel sawit turut memberi impak positif yang luar biasa kepada industri, ekonomi, komersial dan juga kebajikan negara secara keseluruhannya. Dengan penggunaan biodiesel di rantau ini yang semakin meningkat, adalah suatu kerugian kepada Malaysia untuk tidak memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ada ini.

5. Malaysia menghasilkan hampir 20 juta tan minyak sawit mentah (CPO) setiap tahun. Oleh itu, kita mempunyai sumber bahan mentah yang mencukupi untuk menghasilkan biodiesel sawit yang diadun ke dalam diesel petroleum dan digunakan di dalam enjin diesel.

Tuan-tuan dan puan-puan,

6. Sektor industri di Malaysia hendaklah mula menggunakan adunan biodiesel sebagai bahan api hijau untuk mengurangkan jejak karbon dalam proses pengeluaran industri. Penggunaan sumber bahan api yang lebih bersih akan meningkatkan imej industri dari segi pengurangan pelepasan karbon. Berdasarkan data yang dikumpulkan melalui Analisis Kitaran Hayat (Life Cycle Analysis - LCA) oleh MPOB, pengurangan pelepasan GHG daripada penggunaan biodiesel sawit adalah 50% kurang berbanding dengan penggunaan diesel petroleum. Kadar adunan biodiesel yang lebih tinggi akan menyumbang kepada pengurangan asap dan penjanaan jelaga enjin diesel yang kini merupakan sumber pencemaran utama dalam sektor industri. Penggunaan biodiesel akan membantu sektor industri untuk mematuhi peraturan alam sekitar yang ketat seperti yang dikenakan oleh Jabatan Alam Sekitar.

7. Indonesia telahpun menggunakan adunan diesel B20 di seluruh negara untuk sektor pengangkutan tanpa sebarang laporan mengenai kegagalan enjin sejak Januari 2016. Penggunaan adunan diesel B20 telah diperkenalkan kepada sektor industri di Indonesia pada hujung tahun 2018. Malaysia yang baru bermula dengan adunan B7 di sektor industri tidak sepatutnya menghadapi sebarang isu berkaitan masalah teknikal. Colombia dan negeri-negeri tertentu di Amerika Syarikat juga telah menggunakan adunan biodiesel yang lebih tinggi tanpa menghadapi sebarang masalah teknikal.

8. Rentetan hasil kejayaan seminar pertama dan kedua yang telah diadakan di Ibu Pejabat FMM di Selangor pada 26 April 2019 dan di Pulau Pinang pada 13 Jun 2019, kami telah memutuskan untuk menganjurkan seminar ketiga ini di Malaysia Timur bagi mendekati pengguna diesel industri di Sarawak dan Sabah. Dalam seminar sebelumnya, peserta telah difahamkan bahawa biodiesel B7 boleh digunakan di sektor industri. Seminar pada hari ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran seluruh sektor industri kepada penggunaan diesel B7.

9. Saya ingin mengakhiri ucapan saya dengan menyampaikan suatu fakta yang penting. Pengenalan program B7 dalam sektor industri akan menggunakan biodiesel berasaskan sawit sebanyak 227,000 tan setiap tahun, sekaligus mengurangkan pelepasan 681,000 tan karbon dioksida (CO2) setara setahun. Malaysia haruslah meneruskan usaha bagi mengurangkan jejak karbon dan pencemaran alam sekitar. Melalui penggunaan sumber boleh diperbaharui seperti biodiesel berasaskan sawit, ianya akan menunjukkan kepada dunia akan komitmen Malaysia untuk mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals – SDG).

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada MPOB atas usaha mereka menganjurkan Seminar Ketiga Pelaksanaan Program Biodiesel B7 di Sektor Industri.

Akhir kata, saya dengan ini melancarkan Program Biodiesel B7 di Sektor Industri Seluruh Malaysia bermula 1 Julai 2019.

Terima kasih.

Kementerian Industri Utama
29 Jun 2019