UCAPAN YB PUAN TERESA KOK, MENTERI INDUSTRI UTAMA
MAJLIS TAKLIMAT MSPO DAN SESI DIALOG BERSAMA PENANAM SAWIT SELANGOR
7 OGOS 2019 (RABU), 3.30 – 5.30 PETANG
DEWAN TAN SRI NOH OMAR,TG KARANG, SELANGOR


Yang Berhormat Puan Rozana Zainal Abidin
Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang

Yang Berusaha Encik Chew Jit Seng
Ketua Pegawai Eksekutif
Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC)

Yang Berusaha Dr. Ramle Moslim
Pengarah Bahagian Penyelidikan Integrasi dan Pengembangan
Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB)

Tuan-tuan dan puan-puan,

Selamat Petang, Salam Sejahtera dan Salam Sayangi Sawitku.

Terlebih dahulu, saya mengalu-alukan dan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada tuan-tuan dan puan-puan yang sudi meluangkan masa untuk sama-sama hadir menjayakan program ini. Sesungguhnya kehadiran dan penglibatan tuan-tuan dan puan-puan menunjukan minat dan komitmen dalam menyahut seruan Kerajaan bagi mendapatkan pensijilan MSPO. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MPOCC) selaku penganjur bersama kerana telah berjaya menganjurkan Taklimat Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan Sesi Dialog bersama penanam sawit dan pekebun kecil di Tg. Karang, Selangor ini.

Tuan-tuan dan puan-puan,

2. Industri sawit negara terus menghadapi pelbagai cabaran yang boleh menggugat pasaran produk sawit seperti isu alam sekitar yang mengaitkan penanaman sawit dengan kemusnahan hutan dan ancaman habitat hidupan liar. Selain itu, pengeluaran sawit sering dikaitkan dengan pengeluaran yang tidak mampan. Tohmahan ini telah menjejaskan imej minyak sawit negara dan pasaran di luar negara.

3. Oleh yang demikian, Kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkukuh imej industri sawit Malaysia. Ini meliputi pelaksanaan Pensijilan MSPO bagi memastikan penanaman sawit menepati peraturan alam sekitar dan Amalan Pertanian Baik yang boleh diterimapakai di peringkat antarabangsa. Pengeluaran minyak sawit secara mampan penting bagi perdagangan global minyak sawit kerana negara-negara maju memberi keutamaan pengeluaran minyak sawit yang dihasilkan secara mampan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

4. Saya dimaklumkan bahawa sehingga 30 Jun 2019, seluas
2.45 juta hektar atau 42% daripada 5.85 juta hektar tanaman sawit di Malaysia telah mendapat pensijilan MSPO. Pensijilan ini meliputi
2.06 juta hektar ladang dan 386,000 hektar pekebun kecil. Manakala, kilang buah sawit yang telah mendapat pensijilan MSPO adalah sebanyak 244 buah kilang atau 51% daripada keseluruhan kilang buah sawit di Malaysia. Selain itu, sehingga 30 Jun 2019, 124 daripada sejumlah 162 SPOC diseluruh negara telah mendapat pensijilan MSPO yang melibatkan penyertaan 12,000 pekebun kecil persendirian dengan keluasan kebun 44,000 hektar. Bagi Negeri Selangor pula, seluruh 11 SPOC telah berjaya mendapat sijil MSPO. Ini melibatkan bilangan pekebun kecil persendirian seramai 777 orang dengan keluasan 1,052 hektar. Walau bagaimanapun keluasan ini adalah masih sangat rendah iaitu hanya 2.3% daripada jumlah keluasan tanaman sawit pekebun kecil persendirian sebanyak 45,000 hektar di negeri Selangor.

5. Kerajaan amat prihatin terhadap kos yang ditanggung oleh pekebun kecil bagi membiayai pelaksanaan pensijilan MSPO. Dalam hal ini, Kerajaan menyediakan insentif kepada pekebun kecil persendirian seperti kos yuran pensijilan MSPO, latihan berkaitan MSPO, penyediaan rak penyimpanan bahan kimia dan peralatan perlindungan diri (PPE).

6. Kerajaan telah melanjutkan tarikh permohonan insentif MSPO dari 30 Jun 2019 ke 31 Disember 2019 kepada semua pengusaha sawit. Kerajaan juga telah meningkatkan kadar insentif kos pengauditan MSPO daripada 70% kepada 100% dan memberi insentif baharu kos persediaan MSPO sebanyak 50% bagi estet berkeluasan 40.46 hingga 1000 hektar. Insentif bagi pekebun kecil tersusun juga akan ditingkatkan daripada RM10 se hektar kepada RM55 se hektar.

7. Bagi menggalakkan penyertaan pekebun kecil dalam pengeluaran sawit mampan, Kementerian melalui MPOB telah menubuhkan Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM). Penyertaan pekebun kecil dalam KPSM bertujuan meningkatkan produktiviti tanaman sawit dan pendapatan melalui pelaksanaan Amalan Pertanian Baik dan pelaksanaan aktiviti ekonomi yang menyumbang kepada peningkatan pendapatan. Pekebun kecil yang mematuhi peraturan pelesenan MPOB bolehlah memohon atau memperbaharui lesen untuk menjual buah sawit kepada peniaga dan pengilang secara percuma dan boleh dipohon atau diperbaharui di pejabat MPOB di seluruh negara atau melalui perkhidmatan on-line.

Tuan-tuan dan puan-puan,

8. Kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah bagi menstabilkan harga sawit dan sentiasa memberi keutamaan bagi membantu pekebun kecil yang terjejas dari segi pendapatan akibat kejatuhan harga. Antara langkah yang telah diambil adalah dengan memperluaskan pasaran minyak sawit dengan meneroka pasaran baharu meliputi negara Afrika dan rantau Asia Tenggara selain mengukuhkan pasaran sedia ada seperti di Republik Rakyat China, Negara Kesatuan Eropah, India dan Pakistan. Selain itu, Kerajaan juga telah melaksanakan penggunaan adunan biodiesel sawit daripada 7% kepada 10% bagi kegunaan semua kenderaan enjin diesel di sektor pengangkutan di seluruh negara bermula 1 Februari lalu dan adunan biodiesel sawit B7 secara mandatori di sektor industri bermula 1 Julai 2019.

9. Di samping itu, Kerajaan telah melancarkan Kempen Sayangi Sawitku bagi memupuk kecintaan dan kebanggaan rakyat kepada industri sawit dan penggunaan produk sawit untuk sektor makanan dan bukan makanan. Minyak sawit terbukti berkhasiat dan menjadi pilihan pengguna di seluruh dunia bagi penyediaan makanan. Penyelidikan MPOB dan kajian oleh pakar pemakanan di luar negara telah membuktikan akan khasiat minyak sawit kepada kesihatan manusia.

Pada hadirin sekalian,

10. Sebelum saya akhiri ucapan, sekali lagi saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kepada tuan-tuan dan puan-puan yang sudi meluangkan masa untuk menjayakan program pada hari ini. Saya juga mengambil peluang pada hari ini bagi mengadakan dialog bersama tuan-tuan dan puan-puan untuk mendapatkan maklum balas secara langsung berhubung masalah-masalah dihadapi dalam mendapatkan pensijilan MSPO. Saya cukup yakin bahawa penglibatan semua pihak terutama pekebun kecil dan pengusaha sawit dengan memanfaatkan bantuan yang diberikan oleh kerajaan dan kesediaan melaksanakan penanaman sawit secara mampan akan memberi pulangan hasil dan pendapatan yang lumayan kepada pengusaha sawit.

11. Akhir kata, saya dengan sukacitanya merasmikan Taklimat Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan sesi dialog bersama penanam sawit dan pekebun kecil di Tg. Karang, Selangor pada petang ini.

Sekian, terima kasih

Kementerian Industri Utama
7 Ogos 2019