TEKS UCAPAN YB PUAN TERESA KOK, MENTERI INDUSTRI UTAMA
MAJLIS PELANCARAN KOLABORASI KEMPEN SAYANGI SAWITKU BERSAMA MYDIN MOHAMED HOLDINGS BERHAD
5 SEPTEMBER 2019 DI MYDIN WHOLESALE HYPERMARKET, SUBANG JAYA


Yang Berbahagia Datuk Wira Dr. Haji Ameer Ali Mydin
Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad

Yang Berbahagia Datuk Dr. Kalyana Sundram
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Palm Oil Council

Yang Berbahagia Dato’ Joseph Lim Heng Ee
Pengasas dan Pengarah Urusan Global Green Synergy Sdn Bhd
Merangkap Ahli Lembaga Pengarah Malaysian Palm Oil Council

Ahli Lembaga Pengarah MPOC dan MYDIN Mohamed Holdings Berhad

Tetamu kehormat, wakil media, tuan-tuan dan puan-puan,

Selamat Tengahari dan Salam Sejahtera dan Salam Sayangi Sawitku.

Pertama sekali, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) terutamanya YBhg. Datuk Wira Dr. Ameer Ali Mydin atas sokongan yang telah diberi kepada Kementerian saya dalam menjayakan kempen Sayangi Sawitku. Saya juga teruja melihat ramai pengunjung Mydin USJ 1 dan saya berbesar hati kerana dapat bersama anda semua pada hari ini.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Kempen Sayangi Sawitku yang dilancarkan oleh Kementerian saya adalah bertujuan untuk menanam semangat kebanggaan dan penghargaan terhadap Minyak Sawit Malaysia dan sumbangannya kepada kesejahteraan dan ekonomi negara kita. Sejak pelancaran kempen ini pada Mac 2019, lebih ramai rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat telah tampil untuk menyuarakan sokongan terhadap industri sawit negara termasuk pemimpin utama negara, tokoh korporat, personaliti media, ketua masyarakat, pelajar dan lain-lain. Manakala industri lain seperti penerbangan, pelancongan dan hiburan juga turut serta bekerjasama menjayakan kempen ini melalui penajaan dan publisiti.

Dalam hubungan ini, saya berbesar hati kerana dapat berkolaborasi bersama Mydin yang merupakan rangkaian runcit yang paling besar di negara kita. Tahun ini juga adalah tahun yang sangat istimewa untuk Mydin kerana meraikan ulang tahun mereka yang ke-62. Untuk itu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Datuk Wira Dr. Ameer Ali Mydin atas kejayaan yang membanggakan ini. Bersama Mydin, kita akan menggiatkan promosi Kempen Sayangi Sawitku melalui rangkaian mereka di seluruh Malaysia.

Mengambil contoh Mydin USJ 1 ini, kita dapat lihat terpaparnya pelbagai poster dan maklumat mengenai minyak sawit dan juga kempen Sayangi Sawitku. Poster-poster seperti ini juga terpapar di rangkaian Mydin di seluruh Malaysia, dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang hinggalah ke Mutiara Rini, Johor juga di Kuala Terengganu, Terengganu dan Kubang Kerian, Kelantan. Kolaborasi bersama Mydin ini akan membantu dalam menyampaikan mesej positif berkenaan sawit Malaysia kepada orang ramai terutamanya pengunjung Mydin di seluruh Malaysia.

Selain itu, Karnival Kempen Sayangi Sawitku bersama Mydin juga dianjurkan dengan pelbagai aktiviti menarik serta interaktif dan saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menjemput tuan-tuan dan puan-puan untuk meluangkan masa di karnival ini untuk lebih mengetahui tentang minyak sawit Malaysia dan sumbangannya. Penyertaan dan sokongan anda dalam karnival ini secara tidak langsung akan membantu dalam menjayakan Kempen Sayangi Sawitku.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Untuk makluman, minyak sawit merupakan minyak sayuran nombor satu di dunia. Sejak 2005, minyak sawit telah menandingi minyak sayuran lain dari segi pengeluaran, perdagangan dan penggunaan. Jika dibandingkan dengan minyak sayuran yang lain, minyak sawit menyumbang 36% kepada pengeluaran minyak sayuran dunia, 59% perdagangan minyak sayuran dunia, dan 35% penggunaan minyak sayuran global pada tahun lepas. Malaysia sebagai pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia telah memberi sumbangan penting kepada dunia.

Keupayaan serbaguna (versatility) minyak sawit telah menjadikannya pilihan utama pengguna dan pemain industri dalam aplikasi makanan dan bukan makanan. Lebih 80% daripada keluaran minyak sawit digunakan untuk sektor makanan, sama ada kegunaan untuk isi rumah atau industri makanan. Disebabkan penggunaan minyak sawit sangat meluas, ia telah menjadi satu elemen penting dalam kehidupan harian kita.

Kebaikan minyak sawit dari aspek kesihatan telah dibuktikan secara saintifik melalui pelbagai kajian klinikal yang telah dijalankan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) serta institusi-institusi penyelidikan di seluruh dunia. Kajian-kajian tersebut menunjukkan minyak sawit adalah berkhasiat, kaya dengan Provitamin A beta karoten dan Vitamin E yang mampu meningkatkan tahap kesihatan. Minyak sawit juga bebas daripada lemak trans, kolestrol dan mempunyai kandungan asid oleik tinggi yang merupakan sumber nutrien yang baik.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Minyak sawit Malaysia terkenal dengan kualiti yang tinggi dan pengeluaran yang mampan. Kerajaan sentiasa memastikan kualiti-kualiti ini terjaga melalui polisi dan regulasi berkenaan kemampanan khususnya pensijilan MSPO bagi menjamin perkembangan dan daya saing industri sawit Malaysia.

Namun demikian, industri sawit negara kini berhadapan cabaran persepsi negatif dari aspek kemampanan terutamannya di negara-negara Barat seperti kempen anti minyak sawit yang mengaitkan industri sawit sebagai penyumbang kepada penebangan hutan dan kemusnahan biodiversiti.

Kerajaan melalui Kementerian Industri Utama dengan sokongan Kementerian-Kementerian dan agensi-agensi lain akan meneruskan usaha untuk melawan persepsi negatif dan langkah diskriminasi ke atas industri sawit negara melalui rundingan diplomatik serta pembentangan fakta saintifik berkenaan kemampanan industri sawit Malaysia. Melalui Kempen Sayangi Sawitku juga, Kerajaan ingin menggalakkan rakyat Malaysia bersama-sama mempertahankan industri sawit negara dan menjadi jurucakap sawit melalui pendekatan ‘from Malaysia, we speak to the world’.

Oleh itu, sekali lagi saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Mydin atas sokongan padu dalam menjayakan kempen dan karnival ini. Saya percaya inisiatif ini mampu memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia mengenai kebaikan dan khasiat minyak sawit serta cabaran yang dihadapi oleh industri sawit negara.

Dengan ini, saya dengan sukacitanya melancarkan Majlis Kolaborasi Kempen Sayangi Sawitku bersama Mydin.

Sekian, terima kasih.

Kementerian Industri Utama
5 September 2019