TEKS UCAPAN YANG BERHORMAT PUAN TERESA KOK MENTERI INDUSTRI UTAMA 
SEMPENA PROGRAM PERHIMPUNAN BULANAN, MAJLIS RAMAH MESRA DAN SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI
KEMENTERIAN INDUSTRI UTAMA DI DEWAN SERBAGUNA ARAS G, MPI, PRESINT 2,PUTRAJAYA
PADA 18 JUN 2019 (SELASA) JAM 12 TENGAH HARI – 3 PETANG


Salam Hormat, Salam Lebaran Aidilfitri dan Salam Sayangi Sawitku

Yang Berbahagia Dato’ Dr Tan Yew Chong
Ketua Setiausaha Kementerian Industri Utama

Yang Berhormat/Yang Berbahagia Tan Sri-Tan Sri, Datuk Seri-Datuk Seri, Datuk-Datuk, Puan Sri-Puan Sri, Datin Seri-Datin Seri, Datin-Datin,

Para jemputan yang kita kasihi dan hormati, warga kementerian serta rakan-rakan media yang sentiasa menyokong dan memberikan publisiti yang baik,

Seterusnya tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

PENDAHULUAN

1. Terlebih dahulu dipanjatkan kesyukuran kepada Tuhan kerana dapat kita bersama-sama pada hari ini berkumpul bagi program Perhimpunan Bulanan serta meraikan majlis Ramah Mesra dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat Kementerian Industri Utama.

2. Semempena bulan Syawal ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada semua yang hadir terutama para jemputan termasuk dari kementerian-kementerian, agensi kerajaan dan majlis di bawah Kementerian Industri Utama serta stakeholders, persatuan-persatuan dan GLC berkaitan agri-komoditi yang sentiasa memberi sokongan kepada Kementerian selama ini.

3. Saya amat gembira melihat saudara saudari semua di sini dalam keadaan sihat dan ceria selepas kembali daripada cuti menyambut Aidilfitri yang lalu. Saya berharap cuti rehat sempena Hari Raya lalu telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh saudara saudari.

SEMANGAT KERJA BERPASUKAN

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian

4. Besarlah harapan saya agar majlis hari ini secara tidak langsung terus memekarkan semangat kerja berpasukan di organisasi kita ini. Kerja berpasukan mempunyai banyak kelebihan kerana ia saling bergantung dari segi keupayaan, kepakaran, kemahiran dan pengetahuan serta komitmen terhadap prestasi pasukan dan bersedia melaksanakan tugasan secara bersama.

5. Everyone plays a role towards achieving our collective vision, mission and goals. Anda semua berperanan penting dalam merealisasikan matlamat Kementerian Industri Utama.

PENCAPAIAN SEKTOR AGRIKOMODITI BAGI TEMPOH JANUARI-MEI 2019

Tuan-tuan dan puan-puan dihormati sekalian,

6. Sebentar tadi, kita telah melihat tayangan montaj yang memaparkan misi dan program gerak kerja Kementerian untuk memastikan kelangsungan agri-komoditi negara diperkasakan secara konsisten demi kebaikan negara dan rakyat kita.

7. Saya berterima kasih kepada YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Jemaah Menteri lain yang sangat membantu dan memberi sokongan padu terhadap setiap dasar dan agenda agri-komoditi terutama sawit dan getah yang berdepan dengan cabaran yang hebat dari aspek ekonominya.

8. Ini penting kerana dasar kerajaan baharu ini adalah memberikan tumpuan yang mesra perniagaan dan pelaburan bagi menjana pertumbuhan ekonomi.

9. Bagi tempoh Januari hingga April 2019, sektor agrikomoditi telah mencatatkan jumlah nilai dagangan (total trade) sebanyak RM52.7 bilion, manakala imbangan dagangan (trade balance) adalah sebanyak RM27.7 bilion. Pendapatan eksport produk-produk komoditi bagi tempoh tersebut adalah sebanyak RM40.2 bilion atau 12.5% daripada keseluruhan pendapatan eksport negara. Nilai eksport komoditi mengalami penurunan sebanyak 7.5% berbanding tempoh yang sama tahun 2018 yang mencatatkan nilai sebanyak RM43.5 bilion.

10. Penurunan nilai eksport produk agrikomoditi ini disebabkan oleh faktor kejatuhan eksport produk utama seperti minyak sawit, oleokimia berasaskan sawit dan getah asli. Walaupun nilai eksport mengalami penurunan, kuantiti eksport produk-produk sawit telah meningkat sebanyak 4.6% kepada 8.9 juta tan.

11. Selain itu, pada suku pertama tahun 2019, aktiviti-aktiviti di peringkat huluan dan hiliran sektor agrikomoditi turut menyumbang sebanyak 6.0% atau RM20.7 bilion kepada jumlah keseluruhan KDNK negara.

PENCAPAIAN/PRESTASI POSITIF KEMENTERIAN INDUSTRI UTAMA

SEKTOR SAWIT

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati

12. Kita telah mendapatkan persetujuan semua Kerajaan Negeri untuk menyokong matlamat Kerajaan Persekutuan untuk menghadkan kawasan tanaman sawit demi kelestarian dan kemampanan industri minyak sawit negara. Kita juga telah mengadakan beberapa perjumpaan dengan Kerajaan Negeri termasuk Sabah dan Sarawak bagi mendapatkan kerjasama untuk mengatasi isu penyahhutanan yang dikaitkan dengan penanaman kelapa sawit.

13. Kementerian juga telah mendapat kelulusan Kabinet tahun ini bagi beberapa langkah yang dicadangkan bagi memastikan kelestarian penanaman kelapa sawit di negara iaitu:

(i) menghadkan peluasan kawasan tanaman sawit di negara kepada 6.5 juta hektar;
(ii) penanaman kelapa sawit tidak lagi dibenarkan di kawasan baharu tanah gambut. Peraturan-peraturan juga akan diperketatkan bagi penanaman sawit di kawasan tanah gambut yang sedia ada;
(iii) penukaran (conversion) penggunaan tanah Hutan Simpan Kekal (HKL) bagi aktiviti penanaman sawit atau tanaman pertanian lain dilarang; dan
(iv) mendapat persetujuan Kabinet bagi penyediaan peta rasmi bagi kawasan sawit di seluruh negara untuk capaian umum bagi memenuhi kehendak ketelusan.

14. Usaha ke arah meningkatkan penggunaan biodiesel sawit mesra alam melalui telah dilaksanakan melalui program B10 (adunan 10% biodiesel sawit dan 90% diesel petroleum) bagi sektor pengangkutan mulai Disember 2018, dan B7 untuk sektor industri secara mandatori bermula 1 Julai 2019. Program ini yang akan meningkatkan penggunaan minyak sawit secara domestik telah tertunda sejak tahun 2016.

15. Kempen “Sayangi Sawitku” untuk meningkatkan kesedaran dan apresiasi pengguna terhadap minyak sawit dan menggalakkan penggunaan minyak sawit domestik telah dilancarkan pada suku tahun pertama 2019. Semua pihak termasuk sektor swasta turut terlibat sama dalam menjayakan kempen ini.

16. Dalam mempertahankan minyak sawit daripada digugat oleh Delegated Act yang akan mengklasifikasikan minyak sawit mempunyai kadar Indirect Land Use Change (ILUC) yang berisiko tinggi, kita telah menghantar pasukan khas ke Brussels yang diketuai oleh Ketua Setiausaha (KSU) untuk mengemukakan pendirian rasmi Kementerian terhadap draf akta tersebut pada 8 Mac 2019.

17. Pelbagai usaha lain turut diambil. Ini termasuk membantu pekebun kecil mendapat pensijilan Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) menjelang 1 Januari 2020 melalui kerjasama dengan NGO di kawasan luar bandar dan meningkatkan sesi libat urus/bengkel. Kita juga menggerakkan usaha secara bersepadu di bawah kerangka kerja Council of Palm Oil Producing Countries (CPOPC) yang dianggotai oleh Indonesia dan Colombia untuk menangani isu-isu berkaitan industri sawit terutamanya tekanan dan kempen anti-sawit yang digerakkan secara sistematik oleh EU.

18. Dalam hal ini, perjumpaan secara berkala dengan duta-duta asing terutamanya daripada negara-negara Eropah bagi menerangkan kelestarian sawit Malaysia telah dan akan terus diadakan.

Tuan-tuan dan puan-puan
19. Malaysia telah menandatangani dokumen hasrat pembelian dengan syarikat China bagi mengeksport sebanyak 1.62 juta tan minyak sawit bernilai RM3.64 bilion ke Republik Rakyat China melibatkan empat buah syarikat Malaysia dan tiga (3) buah syarikat China.

20. Kunjungan YAB Perdana Menteri ke Republik Rakyat China (RRC), akhir April 2019 lalu, telah memberi satu rangsangan ekonomi yang muhibbah kepada negara kita di mana pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bagi pembelian minyak sawit tambahan sebanyak 1.9 juta tan (bermula 2019 - 2023) bagi anggaran nilai sebanyak RM4.56 bilion telah ditandatangani Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) di bawah kementerian ini dengan China Chamber of Commerce of Foodstuffs and Native Produce (CFNA).

21. Dalam tayangan montaj itu turut ada menunjukkan misi ekonomi dan promosi sawit ke Eropah membabitkan negara United Kingdom, Belgium, Jerman, Itali dan Vatican City pada 4 hingga 13 Mei 2019. Sewaktu saya di sana, kita turut menyediakan flyers pelbagai bahasa dan placard Sayangi Sawitku yang diedarkan kepada rakyat Malaysia serta pelajar yang berada di London serta Kedutaan Malaysia di Rome dan Berlin.

SEKTOR GETAH

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian

Antara inisiatif di bawah sektor getah termasuk:
22. Tindakan moratorium ke atas semua pembangunan hartanah LGM dan mengkaji semula fokus dan objektif utama LGM sebagai pusat Pembangunan dan Penyelidikan.

23. Mewakili Malaysia di International Tripartite Rubber Council (ITRC) dan menyakinkan Indonesia dan Thailand untuk melaksanakan Agreed Export Tonnage Scheme (AETS) Ke-6 selama 4 bulan bermula 1 April 2019 bagi meningkatkan harga getah asli.

24. Menggalakkan penggunaan getah dan teknologi tempatan melalui pelaksanaan pembinaan/penyelenggaraan jalan raya menggunakan teknologi Cuplump Modified Bitumen yang dipersetujui Kerajaan dengan memperuntukkan RM100 juta kepada KKR dalam Belanjawan 2019.

25. Mendapat persetujuan Kerajaan untuk meningkatkan paras harga pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah bagi getah sekerap (cuplump) daripada RM2.20/kg kepada RM2.50/kg bermula 1 Januari 2019 bertujuan membantu pekebun kecil disebabkan harga getah yang terlalu rendah.

SEKTOR KAYU-KAYAN

26. Pelbagai program dan keputusan dasar industri perkayuan negara di peringkat huluan dan hiliran sentiasa diberi perhatian agar kemakmuran hasil industri ini dapat dikongsi bersama. Antara perkara yang dilaksanakan adalah apabila Kerajaan memutuskan untuk mengeluarkan perabot daripada Jadual Kedua Perintah Kastam mulai 15 Mac 2019.

27. Dasar Perindustrian Kayu Negara (NATIP) akan berakhir pada 31 Disember 2020. Oleh itu, Kementerian bersama Agensi dan Majlis akan merangka satu hala tuju baharu industri perkayuan negara bagi tahun 2021-2030. Sesi engagement dengan industri akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan input dan maklum balas industri dapat dimanfaatkan dalam memantapkan hala tuju baharu industri perkayuan.

SEKTOR KOKO

28. Bagi tempoh suku pertama tahun 2019, beberapa indikator industri koko telah mencapai sasaran melebihi daripada 25 peratus. Keluasan tanaman koko adalah seluas 15,005.57 hektar, pengeluaran biji koko pula sebanyak 289 metrik tan dan pengisaran biji koko berjumlah 79,722 metrik tan manakala perolehan eksport biji koko dan produk-produk koko adalah sebanyak RM1.439 bilion.

SEKTOR LADA

29. Pencapaian komoditi lada bagi tempoh suku pertama tahun 2019 juga menunjukkan perkembangan yang positif. Keluasan tanaman lada adalah seluas 17,477 hektar dan pengeluaran lada pula sebanyak 31,144 metrik tan. Perolehan eksport lada dan produk-produk koko adalah sebanyak RM31.14 juta.

30. Senario industri lada di peringkat global turut memperlihatkan trend yang positif berdasarkan harga pasaran semasa dan juga faktor penawaran dan permintaan. Pengeluaran lada dunia meningkat sebanyak 194,050 tan metrik (56%) iaitu 244,600 tan metrik pada tahun 2012 kepada 438,650 tan metrik pada tahun 2018. Trend tersebut juga dilihat mempunyai potensi besar untuk berkembang maju dan mempunyai peluang yang luas dalam meningkatkan prestasi melalui kerjasama serantau.

SEKTOR KENAF

31. Pada tahun ini pula, sejumlah RM7 juta nilai jualan telah disasarkan. Walaupun jumlahnya terlalu kecil jika dibandingkan dengan eksport komoditi lain, namun ia merupakan satu titik permulaan kepada industri ini untuk berkembang dengan lebih pesat pada masa hadapan.

32. Sebagai sebuah industri yang masih belum matang, Kerajaan prihatin dengan permintaan pemain industri kenaf yang memerlukan pelbagai insentif dan bantuan untuk memacu perkembangan industri ini.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian

33. Misi ekonomi dan promosi saya di luar negara yang terkini adalah ke RRC pada 26 Mei 2019 hingga 1 Jun 2019. Satu MoU antara Majlis Persijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) dan China Green Food Development Centre (CGFDC) mengenai Recognition on Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) Certification Scheme telah dimeterai pada 27 Mei 2019 di Beijing, RRC. Pengiktirafan oleh RRC ini akan memudahkan penerimaan MSPO oleh negara lain dan meningkatkan eksport minyak sawit negara ke RRC.

34. Semasa di Hangzhou, lawatan telah diadakan ke Zanyu Technology Group, Alibaba Headquarters serta mengadakan perjumpaan dengan pihak industri bagi meneroka rangkaian pasaran minyak sawit dan meningkatkan kerjasama sedia ada melalui platform e-Commerce.

PENUTUP

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian

35. Sebelum saya mengakhiri ucapan, di Aidilfitri inilah kesempatan terbaik sekali untuk saling melupakan semua perselisihan dan persengketaan seterusnya mengukuhkan kerjasama di antara individu dan bahagian serta agensi dan majlis. Ambillah peluang ini untuk kita saling bermaaf-maafan dan mengukuhkan lagi persahabatan yang sedia terjalin.

36. Saya sekali lagi ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin serta selamat menjamu selera kepada para jemputan sekalian dan seluruh warga Kementerian.

37. Sekian dari saya dengan serangkap pantun ;

Lemah gemalai tuan puteri,
Berkain cindai cantik sekali,
Pohon kemaafan di Aidilfitri,
Moga ukhuwah kekal abadi.