TEKS UCAPAN YB DATUK SERI SHAMSUL ISKANDAR MOHD AKIN TIMBALAN MENTERI INDUSTRI UTAMA 
SESI DIALOG BERSAMA PEKEBUN KECIL SAWIT DAN MAJLIS BERBUKA PUASA
MASJID AL-ABIDIN, KAMPUNG AYER TAWAR MERLIMAU, MELAKA
JUMAAT, 31 MEI 2019


Yang Berusaha Tuan Haji Mohamad Nor Abdul Rahman
Timbalan Ketua Pengarah (Perkhidmatan)
Lembaga Minyak Sawit Malaysia

Tuan-tuan dan puan-puan,

Assalamualaikum, Salam Sejahtera dan Salam Sayangi Sawitku.

Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) atas usaha menganjurkan majlis sesi dialog bersama pekebun kecil sawit dan majlis berbuka puasa bersama pekebun kecil di sekitar Jasin pada petang ini. Saya berasa gembira kerana dapat bersama-sama dengan para pekebun kecil sawit dan juga penduduk kampung kawasan berhampiran dalam majlis yang cukup bermakna pada petang ini.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

2. Penanaman sawit secara komersial lebih 100 tahun lalu telah menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Kemajuan pesat industri sawit meliputi sektor perladangan, pengilangan dan pemprosesan telah menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih 4 juta penduduk termasuk lebih setengah juta pekebun kecil yang mengusahakan tanaman sawit. Pekebun kecil juga berperanan penting dan telah menyumbang hampir 40% pengeluaran minyak sawit negara pada tahun 2018. Penglibatan pekebun kecil persendirian dan peserta skim pembangunan tanah yang dikendalikan oleh agensi kerajaan juga telah menyumbang kepada peningkatan taraf sosioekonomi masyarakat luar bandar.

3. Melaka mempunyai jumlah keluasan tanaman sawit sebanyak 57,917 hektar dan daripada jumlah tersebut sebanyak 13,330 hektar atau 23% diusahakan oleh kira-kira 3,147 pekebun kecil. Kerajaan sememangnya memberi tumpuan penting kepada usaha memperkasa pembangunan pekebun kecil sawit bagi memastikan pengeluaran hasil yang tinggi serta berkualiti dan seterusnya meningkatkan pendapatan. Matlamat ini hanya dapat dicapai melalui penyertaan aktif pekebun kecil dalam melaksanakan Amalan Pertanian Baik (APB) dan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia atau Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) dalam penanaman sawit.

4. Pelaksanaan MSPO adalah satu langkah strategik bagi meningkatkan daya saing dan memperkukuhkan imej industri sawit negara selari dengan keutamaan negara-negara pengimport dan pengguna global yang semakin memberi tumpuan kepada kemampanan dan kualiti produk pertanian yang dihasilkan. Pensijilan MSPO ini akan melibatkan semua penggiat industri sawit termasuk pekebun kecil, pengusaha ladang dan pengilang buah sawit bagi memastikan minyak sawit Malaysia dihasilkan secara mampan.

5. Dalam memastikan hasrat ini tercapai, Kementerian bersama MPOB sedang giat mempertingkatkan penyertaan pekebun kecil persendirian melalui Kelompok Minyak Sawit Mampan atau SPOC bagi mematuhi prinsip-prinsip kemampanan pensijilan MSPO. Pekebun kecil yang menyertai SPOC akan dibantu oleh Pegawai TUNAS untuk melaksanakan Amalan Pertanian Baik bagi pensijilan MSPO kebun sawit secara berkelompok. Pensijilan MSPO dalam kalangan pekebun kecil akan menjamin peningkatan produktiviti dan kualiti hasil buah sawit yang seterusnya menyumbang peningkatan pendapatan pekebun kecil.

6. Saya dimaklumkan, MPOB telah menubuhkan 162 SPOC bagi menyelia pensijilan MSPO pekebun kecil persendirian di seluruh negara. Sehingga 30 April 2019, sebanyak 119 SPOC telah mendapat pensijilan MSPO yang melibatkan penyertaan 9,171 pekebun kecil dengan keluasan ladang sawit berjumlah 35,207 hektar. Bagi negeri Melaka pula, 2 SPOC telah berjaya mendapat persijilan MSPO yang melibatkan 588 pekebun kecil persendirian dengan keluasan 295 hektar.

7. Kerajaan amat prihatin terhadap kos yang ditanggung oleh pekebun kecil bagi membiayai pelaksanaan pensijilan MSPO ini. Dalam hal ini, Kerajaan telah menyediakan insentif sebanyak RM30 juta bagi membantu pekebun kecil melaksanakan pensijilan MSPO. Bantuan ini merangkumi kos yuran pensijilan MSPO, latihan berkaitan MSPO, penyediaan rak penyimpanan bahan kimia, peralatan perlindungan diri dan dokumentasi.

8. Di samping itu, Kerajaan juga telah mengumumkan peruntukan dana tambahan berjumlah RM550 juta bagi skim pinjaman mudah untuk penanaman semula dan input pertanian dengan kadar faedah 2% setahun bagi mengurangkan beban pekebun kecil apabila menanam semula tanaman sawit yang berumur melebihi 25 tahun serta mengurangkan kos penyelenggaraan.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

9. Bagi menggalakkan penyertaan pekebun kecil dalam pengeluaran sawit mampan, Kementerian melalui MPOB telah menubuhkan Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM). Penyertaan pekebun kecil dalam KPSM dapat meningkatkan produktiviti tanaman sawit dan pendapatan melalui pelaksanaan Amalan Pertanian Baik dan menjalankan aktiviti ekonomi secara bersama yang menyumbang kepada peningkatan pendapatan. Antara aktiviti utama KPSM adalah jualan berkelompok buah tandan segar (BTS) secara terus ke kilang dengan tawaran harga yang lebih baik kepada pekebun kecil. Sehingga April 2019, sebanyak 56 buah KPSM telah ditubuhkan diseluruh negara.

10. Saya dimaklumkan, pada majlis petang ini juga akan diadakan penyampaian dana pinjaman mudah bernilai RM100,000 kepada setiap koperasi yang terpilih iaitu Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) dari Daerah Kuala Langat, Selangor dan KPSM Daerah Segamat, Johor. Untuk makluman, dana ini disediakan Kerajaan bagi membantu KPSM mengembangkan aktiviti perniagaan termasuk jual beli buah sawit daripada pekebun kecil secara terus ke kilang. Syabas dan tahniah diucapkan kepada ahli dan pengurusan KSPM Daerah Kuala Langat Berhad dan KPSM Daerah Segamat Berhad kerana terpilih.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

11. Kerajaan telah melaksanakan langkah-langkah bagi menstabilkan harga sawit dan sentiasa prihatin dalam membantu pekebun kecil yang terjejas pendapatan. Dalam hubungan ini, Kerajaan telah mengambil langkah-langkah memperluaskan pasaran minyak sawit dengan meneroka pasaran baharu meliputi negara Afrika dan rantau Asia Tenggara selain mengukuhkan pasaran sedia ada seperti China, India dan Pakistan.

12. Kerajaan juga telah melaksanakan penggunaan adunan biodiesel sawit daripada 7% kepada 10% bagi kegunaan semua kenderaan enjin diesel yang dibekalkan ke stesen minyak seluruh negara bermula 1 Februari 2019. Penggunaan biodiesel sawit dapat mengurangkan lebihan stok minyak sawit bagi menstabilkan harga sawit di pasaran.

13. Untuk makluman semua juga, Kerajaan juga telah melancarkan Kempen Sayangi Sawitku pada bulan Mac lalu bagi memupuk semangat kecintaan dan kebanggaan rakyat Malaysia terhadap industri sawit negara. Minyak sawit sememangnya telah terbukti berkhasiat dan mempunyai pelbagai guna yang menjadi pilihan pengguna di seluruh dunia. Penyelidikan yang dijalankan di dalam mahupun di luar negara telah membuktikan minyak sawit amat berkhasiat kepada kesihatan manusia.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati,

14. Sebelum saya akhiri ucapan, sekali lagi saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kepada tuan-tuan dan puan-puan yang sudi bersama-sama menjayakan program hari ini. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang masa dan tenaga bagi menjayakan majlis pada petang ini.

15. Saya yakin bahawa dengan penglibatan semua pihak khususnya pekebun kecil, usaha Kerajaan dalam melaksanakan penanaman sawit secara mampan dapat dicapai.

Dengan harapan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Sesi Dialog Bersama Pekebun Kecil Sawit pada petang ini.

Sekian, terima kasih.

Kementerian Industri Utama
31 Mei 2019