KENYATAAN MEDIA SUMBANGAN KEPADA PETUGAS BARISAN HADAPAN UNTUK MEMERANGI COVID-19
1 APRIL 2020
1. Industri getah merupakan antara 6 sektor komoditi utama di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) yang telah menyumbang eksport negara sebanyak RM30.9 billion pada tahun 2019.
2. Antara produk yang dihasilkan adalah sarung tangan (gloves), justeru seiring dengan usaha kerajaan, KPPK turut bersama meringankan beban petugas barisan hadapan (frontliner) dengan sumbangan sebanyak 2.5 juta sarung tangan getah kepada Kementerian Dalam Negeri untuk diagihkan kepada semua agensi di bawahnya.
3. Menteri Perusahaan Peladangan dan Komoditi YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali juga bersetuju memperuntukan sejumlah sejuta sarung tangan kepada petugas Jabatan Bomba dan Penyelamat di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
4. Tidak ketinggalan juga Angkatan Tentera Malaysia di bawah Kementerian Pertahanan akan menerima sumbangan sejuta sarung tangan getah yang akan diserahkan pada 2hb April 2020.
5. KPPK berharap sumbangan berkenaan mampu melancarkan lagi tugas penguatkuasaan anggota keselamatan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) sekaligus mampu menghentikan wabak COVID-19.
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi PUTRAJAYA 1 April 2020
KENYATAAN MEDIA SUMBANGAN KEPADA PETUGAS BARISAN HADAPAN UNTUK MEMERANGI COVID-19
3 APRIL 2020
1. Pada 3 Mac 2020, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) telah menerima kunjungan Persatuan Pekilang Papan Lapis Malaysia (MPMA) di bawah industri komoditi perkayuan.
2. Perjumpaan tersebut adalah kunjungan hormat kepada Menteri Perusahaan Peladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali di samping memberikan sumbangan kewangan dalam usaha memerangi COVID-19.
3. MPMA memberikan sumbangan kewangan berjumlah RM500,000 menerusi MPIC untuk disampaikan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia, petugas barisan hadapan dan kepada rakyat yang terjejas menerusi pusat khidmat wakil rakyat dan NGO.
4. Sumbangan berkenaan adalah kutipan daripada 78 ahli/pekilang di bawah MPMA seluruh Malaysia dengan jumlah anggaran seramai 120,000 orang pekerja yang menghasilkan nilai eksport papan lapis berjumlah RM3.4 bilion pada tahun lepas. Antara pengimport papan lapis ini adalah Jepun, Timur Tengah, Amerika Syarikat, Eropah dan lain-lain negara.
5. MPIC berharap sumbangan daripada MPMA mampu meringankan lagi beban Kementerian Kesihatan Malaysia dan petugas barisan hadapan, sekaligus mampu menghentikan wabak COVID-19.
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi PUTRAJAYA 3 April 2020
Lampiran Maklumat MPMA Persatuan Pengkilang Papanlapis Malaysia 19D 19th floor, PGRM, Pudu Ulu, Cheras, KL
Senarai delegasi MPMA 1. Datuk Wira Sheikh Othman Rahman Pengerusi MPMA 2. Datuk Chua Hock Gee Timbalan Pengerusi MPMA 3. Encik Hoh Cheon Fatt @ Ho Khoy Lim Ketua Projek 4. Encik Tan Chong Yin Setiausaha Eksekutif 5. Encik Cheong Hok An Bendahari Persatuan
MISI EKONOMI DAN PROMOSI KE ARAB SAUDI PADA 22 – 26 APRIL 2019
1. Kementerian Industri Utama (MPI) akan mengadakan misi ekonomi dan promosi ke Arab Saudi mulai 22 – 26 April 2019 yang diketuai oleh YB Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, Timbalan Menteri Industri Utama. Delegasi yang akan disertai oleh pegawai kanan Kementerian dan agensi di bawah Kementerian akan mengadakan beberapa pertemuan dengan pemain industri sawit dan di Arab Saudi.
2. Pertemuan dengan pihak berkepentingan ini diadakan bagi membincangkan isu-isu semasa berkaitan perdagangan minyak sawit, meneroka peluang pasaran dan rakan dagangan baru serta memperkukuhkan jaringan rangkaian perdagangan untuk meningkatkan import minyak sawit dan produk kayu negara. Selain itu, pertemuan ini juga dapat memberi ruang bagi Malaysia menerangkan usaha-usaha yang telah dilaksanakan dalam memastikan pengeluaran minyak sawit mampan serta kebaikan minyak sawit kepada kesihatan.
3. Arab Saudi merupakan antara pasaran terbesar bagi eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit serta kayu dan produk kayu Malaysia dalam kalangan negara-negara Timur Tengah. Pada tahun 2018, nilai eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit serta kayu dan produk kayu ke Arab Saudi adalah sebanyak RM1.49 billion. Rantau Timur Tengah dilihat sebagai antara destinasi eksport produk komoditi yang berpotensi untuk dikembangkan dan seterusnya meningkatkan lagi syer pasaran produk komoditi di pasaran antarabangsa.
4. Misi ini merupakan salah satu langkah berterusan Kementerian untuk mempromosikan eksport produk komoditi. Aktiviti-aktiviti yang telah dirancang sepanjang misi ini termasuk persidangan, perbincangan dengan pihak industri dan lawatan kerja diharapkan dapat mempromosikan eksport industri komoditi negara dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan pendapatan negara.
LANGKAH AGREED EXPORT TONNAGE SCHEME (AETS) MULA MENAMPAKKAN KESAN POSITIF HARGA GETAH
1. Paras harga Standard Malaysia Rubber 20 (SMR20) FOB telah meningkat sebanyak 12.7% dari 521.0 sen/kilogram pada 31 Disember 2018 kepada 587.0 sen/kilogram pada 7 Mac 2019, selepas pelaksanaan AETS ke-6 diumumkan.
2. Pelaksanaan AETS ini telah dipersetujui semasa Mesyuarat Khas Peringkat Pegawai Kanan International Tripartite Rubber Council (ITRC) yang telah diadakan pada 4 dan 5 Mac 2019 di Bangkok, Thailand dengan dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan dari Thailand, Indonesia dan Malaysia. Mesyuarat ini merupakan susulan daripada keputusan yang telah dibuat oleh ketiga-tiga Menteri ITRC sewaktu Mesyuarat Khas Peringkat Menteri ITRC pada 22 Februari 2019 di Bangkok, Thailand.
3. Secara keseluruhannya, ketiga-tiga negara bersetuju untuk melaksanakan AETS selama empat (4) bulan dengan jumlah pengurangan eksport getah asli (NR) sebanyak 240,000 tan metrik. Malaysia akan melaksanakan AETS bermula dari 1 April 2019 hingga 31 Julai 2019 dengan jumlah eksport dihadkan kepada 357,535 metrik tan, iaitu pengurangan sebanyak 15,600 metrik tan.
4. Bagi memastikan pelaksanaan AETS yang berkesan, sebuah jawatankuasa pemantauan iaitu AETS Monitoring and Surveillance Committee telah ditubuhkan dan dianggotai oleh wakil badan pelaksana setiap negara anggota ITRC.
5. Program-program lain di bawah kerangka kerja ITRC seperti Demand Promotion Scheme dan Supply Management Scheme akan diteruskan dan ditambahbaik bagi meningkatkan penggunaan domestik NR dan mengimbangi permintaan dan penawaran NR global. Antara program yang dijangka akan memberikan impak kepada peningkatan penggunaan NR ialah Rubberised Road.
6. Thailand, Indonesia dan Malaysia yakin bahawa kerjasama ini dapat membantu memperkukuhkan lagi harga NR untuk kesejahteraan pekebun kecil getah di rantau ini.