SESI PERJUMPAAN YB MENTERI BERSAMA MALAYSIAN FURNITURE COUNCIL (MFC) ISNIN, 8 JANUARI 2018
1. Pada hari ini, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Mah Siew Keong telah mempengerusikan mesyuarat bersama wakil-wakil daripada Malaysian Furniture Council (MFC) bagi mendapatkan maklum balas berkaitan isu-isu pembangunan sektor industri perabot.
2. Ketika mesyuarat tersebut, isu utama yang dibangkitkan oleh para pemain industri adalah berkenaan beberapa cadangan untuk memastikan bekalan bahan mentah mencukupi untuk industri hiliran perabot.
3. Sehubungan itu, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) telah memutuskan untuk terus mengekalkan larangan terhadap pengeksportan KGB.
4. Pelaksanaan larangan eksport ini adalah bertujuan untuk terus menggalakkan pembekal KGB untuk memberi keutamaan jualan kepada pasaran domestik dan turut dijangka dapat memberikan harga jualan kayu getah yang lebih baik buat para pekebun kecil getah.
5. Dalam hal ini, Kementerian menegaskan bahawa Kementerian akan terus komited untuk memastikan bekalan bahan mentah mencukupi untuk industri perabot, dimana 80% daripada bahan mentah adalah merupakan kayu getah.
6. Bagi mengawal dan memastikan bekalan bahan mentah terutama kayu getah bergergaji (KGB) mencukupi untuk industri perabot, Kementerian telah melaksanakan langkah penetapan kuota eksport nasional dan bulanan serta had pengeksportan bagi setiap syarikat.
7. Dalam mesyuarat tersebut, Kerajaan juga telah menegaskan bahawa jumlah bekalan bahan mentah adalah turut bergantung kepada jumlah penebangan pokok getah.
8. Keadaan cuaca yang tidak menentu telah mengakibatkan aktiviti penebangan pokok getah tidak dapat dijalankan dengan lancar dan menyebabkan bekalan kayu getah berkurangan.
9. Sehingga Oktober 2017, nilai eksport perabot berasaskan kayu dan rotan mencatatkan nilai sebanyak RM6.7 bilion, peningkatan sebanyak 7.9% berbanding tempoh sama tahun lalu.
DATUK SERI MAH SIEW KEONG Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi 8 Januari 2018
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong (5 dari kiri) bersama wakil daripada Malaysian Furniture Council (MFC). Turut hadir adalah Presiden MFA, Datuk Chua Chun Chai (4 dari kiri), Ketua Setiausaha MPIC, Datuk K.Yogeesvaran (6 dari kiri), Ketua Pengarah MTIB, Dato’ Dr.Jalaluddin Harun (7 dari kiri) dan Penasihat MFA, Dr. Prof. Jega (8 dari kiri)
KENYATAAN MEDIA PEMBAYARAN KETIGA BANTUAN MUSIM TENGKUJUH (BMT) KEPADA PEKEBUN KECIL DAN PENOREH GETAH
1. Kerajaan semasa pembentangan Bajet 2017 telah mengumumkan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) sebanyak RM200 pada November dan Disember 2017 serta Januari 2018 yang memanfaatkan seramai 440,000 pekebun kecil dan penoreh getah di seluruh negara.
2. Objektif pemberian bantuan ini adalah bagi memastikan kebajikan para pekebun kecil dan penoreh getah terpelihara sewaktu musim tengkujuh. Peruntukan yang telah disediakan bagi tujuan tersebut adalah sebanyak RM261 juta.
3. Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan agensi-agensi berkaitan iaitu RISDA, FELDA, FELCRA, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dan Jabatan Pertanian Sarawak (JPS) telah mendaftarkan pekebun kecil dan penoreh getah dalam tempoh yang ditetapkan.
4. Permohonan BMT telah dibuka mulai 1 September 2017 sehingga 31 Januari 2018. Proses pembayaran BMT pertama telah dilaksanakan mulai pada 1 November 2017 dan seramai 275,605 orang pekebun kecil dan penoreh getah telah menerima bantuan tersebut. Manakala proses pembayaran BMT kedua telah dilaksanakan mulai pada 1 Disember 2017 dan sehingga 29 Disember 2017, seramai 283,258 orang pekebun kecil dan penoreh getah telah menerima bayaran BMT.
5. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta LGM sentiasa memastikan pelaksanaan pemberian BMT berjalan lancar dan disampaikan kepada kumpulan sasar yang ditetapkan.
6. Dalam hal ini, Datuk Seri Mah Siew Keong menyeru agar para pekebun kecil dan penoreh getah yang masih belum memohon bantuan BMT, untuk berbuat demikian selewat-lewatnya sebelum atau pada 31 Januari 2018 .
7. Bayaran ketiga BMT telah dibayar mulai pada 1 Januari 2018 di seluruh negara oleh LGM dan agensi-agensi berkaitan. Sehubungan itu, para pekebun kecil yang masih belum memohon BMT bolehlah berbuat demikian melalui kaedah-kaedah seperti berikut:
KENYATAAN MEDIA BELANDA BERIKAN KOMITMEN UNTUK TIDAK DISKRIMINASIKAN KELAPA SAWIT
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Mah Siew Keong telah mengadakan perbincangan dua hala dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa Belanda, TYT Sigrid Kaag pada 9 Februari 2018 di Kuala Lumpur.
2. Semasa pertemuan tersebut, YB Datuk Seri Mah Siew Keong telah membincangkan isu-isu berkaitan perkembangan serta kerjasama di antara Malaysia dan Belanda dalam industri sawit.
3. Berkenaan resolusi Parlimen Kesatuan Eropah (EU) berkaitan minyak sawit, Datuk Seri Mah Siew Keong menyifatkan pendirian Kerajaan Belanda untuk menentang diskriminasi terhadap minyak sawit adalah sebuah tindakan yang matang dan rasional.
4. Pendirian terbuka daripada wakil Kerajaan Belanda pada ketika ini adalah penting kerana Belanda merupakan negara pengimport minyak sawit terbesar di kalangan 28 negara-negara EU.
5. Daripada jumlah keseluruhan RM11 bilion eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit Malaysia ke semua negara EU tersebut, sebanyak RM6.3 bilion telah dieksport ke negara Belanda sepanjang tahun 2017.
6. Oleh yang demikian perjumpaan dan rundingan berterusan dua hala antara Malaysia dan Belanda perlu ditingkatkan bagi memastikan fakta-fakta yang tepat berkenaan industri sawit dapat disalurkan dengan effektif.
7. Datuk Seri Mah Siew Keong turut mengulangi pendirian teguh kerajaan Malaysia untuk menentang diskriminasi ini bagi memastikan kepentingan 650,000 pekebun kecil sawit di Malaysia terpelihara dan Malaysia tidak akan bertoleransi terhadap tindakan pihak tertentu yang bakal menindas punca pendapatan mereka.
8. Selain daripada itu, kedua-dua menteri juga bersetuju untuk memperkukuhkan kerjasama melalui Jawatankuasa Kecil Malaysia-Belanda mengenai Kelapa Sawit (Malaysia-Netherland Sub-Committee on Oil Palm - SCOP) dalam bidang-bidang yang mempunyai kepentingan bersama.
9. Semasa pertemuan tersebut juga, YB Datuk Seri Mah Siew Keong dan TYT Sigrid Kaag turut telah menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Perjanjian di antara Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan Wageningen Food and Biobased Research of The Netherlands berkenaan Optimisation of Sustainable Use of Oil Palm Biomass.
10. Kerjasama ini antara lain adalah untuk membangunkan program penyelidikan pengeluaran bahan nilai tambah seperti pembungkusan dan plastik bio dari batang pokok sawit.
YB DATUK SERI MAH SIEW KEONG Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia 9 Februari 2018
Datuk Seri Mah Siew Keong dan TYT Sigrid Kaag turut telah menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian di antara Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan Wageningen Food and Biobased Research of The Netherlands berkenaan Optimisation of Sustainable Use of Oil Palm Biomass.
LEMBAGA GETAH MALAYSIA MAKLUMAN PENGAKTIFAN INSENTIF PENGELUARAN GETAH (IPG) KEPADA PEKEBUN KECIL SEMENANGJUNG, SABAH DAN SARAWAK
Adalah dimaklumkan mulai Januari 2019, Insentif Pengeluaran Getah (IPG) akan diaktifkan sekiranya harga purata bulanan SMR 20 FOB berada di paras RM6.10 sekilogram atau harga di peringkat ladang (farmgate) berada di paras RM2.50 sekilogram ke bawah.
Pada bulan Januari 2019, harga purata peringkat ladang bagi cuplump adalah seperti berikut:
Semenanjung : RM 2.00 sekilogram;
Sabah : RM 1.70 sekilogram; dan
Sarawak : RM 1.80 sekilogram.
LGM ingin memaklumkan bahawa IPG TERAKTIF bagi bulan Januari 2019 di Semenanjung, Sabah dan Sarawak dengan bayaran seperti berikut:
Semenanjung : RM 0.50 sekilogram;
Sabah : RM 0.80 sekilogram; dan
Sarawak : RM 0.70 sekilogram.
Pekebun kecil boleh membuat tuntutan IPG berdasarkan kepada pengeluaran bulan Januari 2019 mulai 1 Februari 2019 hingga 28 Februari 2019.
YB PUAN TERESA KOK, MENTERI INDUSTRI UTAMA BERHUBUNG LAPORAN AKHBAR BERTAJUK "LUPAKAN SAWIT, TANAM BULUH" YANG DISIARKAN DI UTUSAN MALAYSIA PADA 3 MAC 2019
1. Saya ingin merujuk kepada laporan akhbar yang bertajuk “Lupakan Kelapa Sawit, Tanam Buluh” yang disiarkan di Utusan Malaysia pada 3 Mac 2019.
2. Tajuk laporan akhbar ini adalah tidak wajar walaupun isi kandungan laporan tersebut boleh diterima.
3. Dalam sidang akhbar sempena Majlis Pelancaran Projek The Valley @ Bentong, Pahang, 2 Mac 2019 semalam, saya ditanya oleh pemberita mengenai hasrat kerajaan untuk menghadkan perluasan penanaman kelapa sawit.
4. Justeru, saya menjelaskan bahawa tujuan kerajaan berbuat demikian adalah sebagai salah satu langkah bagi melawan sentimen anti minyak sawit di Eropah yang kini telah menjejaskan pengeksportan minyak sawit kita ke pasaran global khususnya negara-negara Eropah.
5. Sehubungan itu, Kementerian Industri Utama di bawah saya sedang mengambil langkah untuk melawan pengaruh kempen anti minyak sawit di Eropah yang mutakhir ini menjadi semakin kuat.
6. Saya juga memberitahu wartawan dalam sidang akhbar semalam bahawa harga minyak sawit Malaysia telah jatuh dengan agak teruk pada tahun lepas. Ini sekaligus menjejaskan pendapatan ramai pekebun kecil.
7. Oleh sebab itu, Perdana Menteri kita iaitu YAB Tun Dr Mahathir Mohamad telah menasihati rakyat, malahan termasuklah kementerian saya agar tidak terlalu bergantung kepada satu-satu jenis tanaman. YAB menegaskan adalah penting bagi negara kita untuk mengkaji kesesuaian penanaman tanaman alternatif bagi mempelbagaikan pendapatan pekebun kecil.
8. Buluh, nanas dan kelapa yang saya sebutkan semalam adalah sebagai cadangan alternatif kepada para pekebun kecil yang selama ini sangat bergantung hanya kepada tanaman kelapa sawit sebagai sumber pendapatan.
9. Kenyataan saya juga hanya merujuk kepada beberapa kawasan yang bersesuaian di Negeri Pahang yang kebetulannya mempunyai banyak buluh.
10.Pemilihan tanaman yang lain adalah bergantung kepada kesesuaian tempat. Ada tempat yang sesuai untuk tanam pokok kelapa, ada yang lebih sesuai untuk nenas atau pokok durian.
11.Dengan penjelasan ini, saya berharap kekeliruan dapat dirungkaikan.