KEMENTERIAN INDUSTRI UTAMA MISI EKONOMI DAN PROMOSI SAWIT KE KESATUAN EROPAH (EU) DAN SWITZERLAND 28 SEPTEMBER – 6 OKTOBER 2018
1. YB Puan Teresa Kok, Menteri Industri Utama akan mengetuai Misi Ekonomi dan Promosi Sawit ke Kesatuan Eropah (EU) dan Switzerland pada 28 September hingga 6 Oktober 2018. Delegasi tersebut akan turut disertai oleh pegawai kanan Kerajaan daripada Kementerian Industri Utama, Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Majlis Minyak Sawit Malaysia dan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia.
2. Misi ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan Malaysia dalam mempromosikan minyak sawit dan produk berasaskan sawit kepada pasaran utama dan pada masa yang sama adalah bagi menangani sentimen anti-sawit di rantau tersebut. Misi ini juga diadakan bertujuan untuk memberikan maklumat yang jelas dan tepat kepada pihak berkepentingan berkenaan dengan EU Directive Energy Renewable II (EU RED II) termasuklah isu-isu mengenai penyahutanan, perubahan penggunaan tanah secara tidak langsung atau indirect land use change (ILUC) dan akses kepada pasaran EU bagi biobahan api daripada sumber minyak sawit.
3. Misi ini akan merangkumi Berne dan Geneva di Switzerland, Madrid di Sepanyol dan Brussels di Belgium.
4. Di Switzerland, YB Teresa Kok akan mengadakan pertemuan dua hala dengan Ahli Majlis daripada Federal Council of Switzerland dan akan menyertai Dialog Meja Bulat Minyak Sawit Malaysia di Bern. Beliau juga dijadualkan akan mengadakan sesi minum petang bersama diaspora Malaysia di Swtizerland.
5. Di Geneva, YB Menteri dan delegasi akan bertemu dengan pakar perdagangan dan wakil-wakil daripada negara pengeluar minyak sawit di WTO bagi membincangkan tentang isu dan perkembangan semasa minyak sawit serta potensi jalinan kerjasama antara mereka.
6. Pada tahun 2017, jumlah perdagangan minyak sawit dan produk berasaskan sawit di antara Malaysia dan Switzerland dicatatkan pada RM53.5 juta (USD 12.4 juta). Eksport sawit dan produk berasaskan sawit ke Switzerland pula adalah berjumlah RM25.5 juta (USD 5.9 juta).
7. Di Madrid, Sepanyol, YB Menteri akan memberikan ucaptama di European Palm Oil Conference (EPOC) 2018 dan ucapannya merangkumi perkembangan semasa dasar dan operasi minyak sawit mampan di Malaysia bagi menyokong Sustainable Development Goals (SDGs).
8. YB Teresa Kok juga akan menghadiri Panel Pakar European Palm Oil Alliance (EPOA) dan seterusnya dijadualkan untuk memberikan ucapan kepada ahli Spanish Alliance of Palm Oil dan Spanish Biodiesel Association dalam forum yang berasingan. Sepanyol telah muncul sebagai salah satu pengimport minyak sawit terbesar terutama sekali bagi keperluan tenaga boleh baharu.
9. Selain itu, YB Menteri juga akan mengadakan pertemuan dua hala dengan European Commision dan Council of EU di Brussels bagi membincangkan mengenai perkembangan semasa minyak sawit dan perundangan EU RED II. Potensi jalinan kerjasama antara Malaysia dengan EU juga akan turut dibincangkan dalam mencari penyelesaian untuk semua pihak.
10. Hubungan perdagangan antara Malaysia dengan EU adalah kukuh, terutama sekali bagi minyak sawit dan produk berasaskan sawit yang dicatatkan pada RM11.46 bilion (USD 2.67 bilion) pada tahun 2017. Pada tahun tersebut, nilai keseluruhan eksport minyak sawit Malaysia dan produk berasaskan minyak sawit ke EU adalah RM11.03 bilion (USD 2.57 bilion) iaitu meningkat sebanyak 7.5% berbanding RM10.26 bilion (USD 2.46 bilion) pada tahun sebelumnya.
Kementerian Industri Utama Malaysia 28 September 2018
KENYATAAN MEDIA YB DATUK SERI MAH SIEW KEONG MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
RESOLUSI KESATUAN EROPAH BERKENAAN SAWIT: MALAYSIA MENGALU-ALUKAN SOKONGAN TERBUKA PERANCISz
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia, Datuk Seri Mah Siew Keong telah mengadakan pertemuan bersama Menteri Pertahanan Perancis, H.E Florence Parly di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia, Kuala Lumpur. Pertemuan tersebut turut dihadiri oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein Onn.
2. Semasa pertemuan tersebut, Menteri Pertahanan Perancis telah menyatakan pendirian negara Perancis untuk tidak menyokong polisi yang bersifat diskriminasi dan Kerajaan Perancis menghargai hubungan baik dua hala yang sedang dinikmati antara Malaysia dan Perancis.
3. Datuk Seri Mah Siew Keong mengalu-alukan sokongan tersebut dan berharap agar pendirian tersebut dapat diterjemahkan kepada penolakan Kerajaan Perancis terhadap Resolusi Parlimen Kesatuan Eropah yang melibatkan komoditi sawit pada sesi rundingan antara Majlis Menteri Negara-negara EU serta ahli Parlimen Kesatuan Eropah akan datang.
4. Walaupun eksport kelapa sawit ke Perancis hanyalah sekitar RM120 juta, sokongan terbuka daripada wakil Kerajaan Perancis terhadap industri sawit mampan adalah penting dan mampu memperbetulkan segala persepsi negatif dikalangan menteri-menteri daripada 28 buah negara Kesatuan Eropah yang akan mengambil bahagian dalam mesyuarat rundingan tersebut.
5. Daripada jumlah keseluruhan 751 orang ahli Parlimen Kesatuan Eropah, negara Perancis mempunyai bilangan wakil ahli parlimen Kesatuan Eropah ke-dua terbanyak selepas negara Jerman, iaitu seramai 74 orang berbanding 96 orang ahli parlimen daripada Jerman.
6. Dalam hal ini, Kerajaan Malaysia berharap agar wakil Kerajaan Perancis dapat memberikan pertimbangan serta sokongan yang sewajarnya dalam menyokong usaha Kerajaan Malaysia untuk membela dan menegakkan keadilan sosial bagi lebih 650,000 para pekebun kecil.
7. Bagi tempoh dari Januari hingga November 2017, Malaysia telah mengeksport barangan berjumlah RM5.3 billion ke Perancis daripada pelbagai sektor, terutamanya sektor barangan elektrik dan elektronik dan barangan berasaskan getah.
DATUK SERI MAH SIEW KEONG Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia 30 Januari 2018
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi menyambut ketibaan Menteri Pertahanan Perancis semasa sesi pertemuan di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia, Kuala Lumpur
YB Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Mah Siew Keong akan mengetuai Misi Ekonomi dan Teknikal Sawit, Kayu-Kayan dan Getah ke Iran dan India dari 5 hingga 9 Februari 2017. Delegasi misi ini terdiri daripada Pegawai-pegawai Kanan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC), Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Lembaga Getah Malaysia (LGM), Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) dan wakil-wakil sektor swasta.
2. Objektif misi ini adalah bertujuan untuk:
• menggalak dan memperkukuhkan eksport produk-produk sawit, kayu-kayan dan getah ke Iran dan India;
• memperkukuhkan jaringan perniagaan di antara sektor swasta Malaysia dengan sektor swasta di Iran dan India;
• merasmikan Pejabat Serantau MPOB dan Palm Oil Trade Fair and Seminar (POTS 2017) di Tehran, Iran serta Palm Oil Networking Seminar di Mumbai, India; dan
• mengadakan perbincangan dua hala dengan Menteri-menteri yang bertanggungjawab bagi Perdagangan, Pertanian dan Kesihatan di Iran.
3. Semasa di Iran dari 5 hingga 7 Februari 2017, YB Datuk Seri Mah Siew Keong akan mengadakan perbincangan dua hala dengan sektor swasta di Iran, termasuk Tehran Timber Importers dan pengimport-pengimport utama produk-produk sawit serta kayu-kayan. Ini adalah bertujuan untuk menggalakkan eksport produk-produk sawit, kayu-kayan dan getah di samping memperkukuhkan jaringan sektor swasta. Selain itu, YB Datuk Seri Mah Siew Keong akan merasmikan POTS Iran 2017 yang bertujuan antara lain, menyampaikan maklumat-maklumat terkini mengenai khasiat nutrisi minyak sawit.
4. YB Datuk Seri Mah Siew Keong juga akan mengadakan perbincangan dua hala bersama Menteri-menteri Iran termasuklah TYT Mahmoud Hojjati, Menteri Pertanian dan TYT Mohamad Reza Ne’matzadeh, Menteri Industri, Perlombongan dan Perdagangan. Perbincangan dua hala ini akan tertumpu kepada antara lain, isu-isu berkaitan dengan keselamatan dan khasiat nutrisi minyak sawit dan lain-lain bidang untuk memperkukuhkan perdagangan dua hala.
5. Semasa lawatan ke India pada 8 Februari 2017, YB Datuk Seri Mah Siew Keong akan merasmikan Palm Oil Networking Seminar dan mengadakan perbincangan dua hala bersama The Solvent Extractor’s Association of India. Perbincangan-perbincangan tersebut akan memberi fokus kepada bidang-bidang untuk memperkukuhkan perdagangan minyak sawit. YB Datuk Seri Mah Siew Keong juga akan mengadakan perbincangan dua hala dengan Ketua Menteri Maharastra untuk meninjau bidang-bidang kerjasama.
6. Bagi tempoh Januari - November 2016, jumlah perdagangan dua hala Malaysia-Iran adalah bernilai RM2.59 bilion. Jumlah eksport bagi tempoh ini adalah bernilai RM1.97 bilion di mana eksport produk-produk komoditi telah menyumbang RM1.55 bilion (78.7% daripada jumlah eksport). Produk-produk komoditi utama yang dieksport ke Iran bagi tempoh Januari – November 2016 adalah minyak sawit bernilai RM1.21 bilion, produk-produk kayu-kayan bernilai RM33.76 juta dan produk-produk getah bernilai RM268.94 juta.
7. Dalam kes India, bagi tempoh Januari - November 2016, jumlah perdagangan dua hala Malaysia-India adalah bernilai RM44.18 bilion. Jumlah eksport bagi tempoh ini adalah bernilai RM29.24 bilion di mana eksport produk-produk komoditi telah menyumbang RM9.57 bilion (32.7% daripada jumlah eksport). Produk-produk komoditi utama yang dieksport ke Iran bagi tempoh Januari – November 2016 adalah minyak sawit bernilai RM7.8 bilion, produk-produk kayu-kayan bernilai RM1.42 bilion dan produk-produk getah bernilai RM279.53 juta.
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi 5 Februari 2017
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI (MPIC)
PERUTUSAN TAHUN BAHARU 2017
YB DATUK SERI MAH SIEW KEONG
Putrajaya, 5 Januari 2017 - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) bersama-sama dengan agensinya akan terus berusaha untuk mengukuhkan sumbangan industri komoditi negara kepada eksport dan memastikan harga yang stabil agar lebih sejuta pekebun kecil di seluruh negara meraih pendapatan yang stabil. MPIC yakin langkah-langkah strategik yang telah disusun atur sepanjang tahun 2017 akan berupaya mengekalkan momentum pertumbuhan industri komoditi negara yang terdiri daripada produk-produk sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada dan kenaf.
2. Pada tahun 2016, pendapatan eksport sektor komoditi dan harga komoditi utama seperti sawit dan getah telah meningkat. Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2016, pendapatan eksport sektor komoditi adalah sebanyak RM99.2 bilion, meningkat 2% berbanding tempoh yang sama tahun 2015. Sektor ini juga telah menyumbang 15.6% daripada jumlah eksport barangan negara. Prestasi positif ini adalah hasil kerja dan usaha bersama semua pihak dalam mengharungi cabaran sepanjang tahun 2016.
3. Bagi tahun 2017, MPIC telah menyasarkan pertumbuhan pendapatan eksport dari 5% hingga 8% dengan mengukuhkan syer pasaran sedia ada dan juga penerokaan pasaran-pasaran baharu. Ini termasuk melalui rundingan perdagangan bebas dengan Iran dan meninjau pasaran-pasaran baru di negara-negara Asia Barat dan Eropah Selatan.
4. Selain itu, usaha berterusan juga akan dilakukan dengan tumpuan pelaburan kepada aktiviti-aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) ke arah penghasilan produk-produk hiliran bernilai tambah tinggi baharu dan pemantapan produk-produk sedia ada. Langkah ini adalah juga dapat meningkatkan kebolehpasaran dan daya saing produk-produk komoditi negara di pasaran global.
5. Tahun 2017 juga adalah sebuah tahun istimewa bagi Malaysia yang akan menyambut ulang tahun ke-100 pengkomersilan tanaman sawit negara. Untuk tempoh 100 tahun yang lalu, industri ini telah terbukti menyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi negara dengan penyediaan pelbagai peluang pekerjaan, pembangunan aktiviti-aktiviti perindustrian di peringkat huluan, pertengahan dan hiliran dan pelaburan sama ada dalam dan luar negara. Oleh yang demikian, MPIC akan terus berusaha untuk mengukuhkan lagi industri sawit ini supaya sumbangannya kepada negara akan terus kekal penting pada 100 tahun akan datang.
6. Dengan sumbangan yang begitu besar kepada pembangunan sosio-ekonomi negara, sektor komoditi adalah tulang belakang kepada pertumbuhan ekonomi negara semenjak dulu, kini serta untuk masa hadapan. MPIC yakin bahawa sektor ini akan terus menjadi pemangkin kepada kemajuan dan kesejahteraan negara pada tahun 2017 dan tahun-tahun seterusnya. Komoditi penjana ekonomi negara.
MAJLIS PERASMIAN PROGRAM NEGARAKU SAWITKU SMK SULTAN ABDUL AZIZ TELUK INTAN, PERAK
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong telah merasmikan Program Negaraku Sawitku di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Aziz, Teluk Intan.
2. Dalam ucapan perasmian program tersebut, Datuk Seri Mah Siew Keong telah menegaskan kerajaan bakal melipat gandakan usaha untuk memupuk kesedaran berkenaan kepentingan industri sawit negara dikalangan seluruh rakyat Malaysia yang berbilang latar.
3. Sokongan kolektif yang berterusan daripada seluruh rakyat Malaysia mestilah dipupuk terlebih dahulu dikalangan kanak-kanak supaya mereka akan meneruskan kegemilangan industri ini, yang dijangkakan akan terus menjadi sumber utama ekonomi negara melampaui aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50).
4. Dalam hal ini, Datuk Seri Mah Siew Keong juga memaklumkan bahawa Kementerian sedang dalam proses mengubal transformasi industri sawit melalui Pelan TN50 dan oleh itu, sesi “engagement” bersama golongan muda adalah penting bagi memastikan industri sawit akan terus kekal relevan dan berdaya saing, disebalik cabaran hebat yang sentiasa mendatang.
5. Program ini merupakan program siri kedua selepas yang pertama telah diadakan di SMK Convent Kajang, Selangor dan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, program ini akan turut diperluaskan ke sekolah-sekolah lain sebagai usaha pihak Kementerian untuk meningkatkan pendedahan dan pengetahuan para pelajar kepada industri sawit.
6. Kerajaan melalui agensi-agensi berkenaan sawit seperti Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) juga menawarkan pelbagai latihan dan kursus kemahiran bertaraf sijil dan diploma bertujuan untuk melahirkan tenaga kerja yang terlatih untuk berkhidmat dalam industri sawit.
7. Industri sawit telah memberi banyak faedah dan manfaat kepada negara serta telah membuka banyak peluang pekerjaan yang merangkumi pekerjaan di sektor huluan dan hiliran sawit. Kemajuan pesat industri sawit telah menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih tiga juta penduduk Malaysia.
DATUK SERI MAH SIEW KEONG Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi 5 Mac 2018
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong bersama, Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Ahmad Kushairi melihat lukisan mural bertemakan sawit yang dilukis oleh pelajar SMK Sultan Abdul Aziz sempena program Negaraku, Sawitku.