SIARAN MEDIA 2018

KENYATAAN MEDIA
YB DATUK SERI MAH SIEW KEONG
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI


PRESTASI PERDAGANGAN SEKTOR KOMODITI PADA TAHUN 2017

 

1. Pada tahun 2017, eksport sektor komoditi telah mencatatkan nilai tertinggi semenjak tahun 2011 (RM141.1 bilion) dimana pendapatan eksport produk-produk komoditi adalah sebanyak RM140.3 bilion atau 15% daripada keseluruhan pendapatan eksport negara. Nilai ini adalah peningkatan sebanyak 14.4% berbanding RM122.6 bilion yang direkodkan pada tahun 2016.

2. Sektor komoditi juga kekal sebagai net exporter terbesar dengan merekodkan imbangan dagangan sebanyak RM100.8 bilion berbanding sektor lain seperti elektrik dan elektronik sebanyak RM90.1 bilion dan petroleum dan gas sebanyak RM36 bilion.

3. Prestasi eksport bagi produk-produk komoditi pada tahun 2017 adalah seperti berikut:
(i) produk-produk sawit yang menyumbang sebanyak 55.5% kepada pendapatan eksport sektor komoditi, meningkat 14.6% kepada RM77.8 bilion;
(ii) produk-produk getah yang menyumbang sebanyak 23% kepada pendapatan eksport sektor komoditi, meningkat 30.2% kepada RM32.3 bilion;
(iii) produk-produk kayu kayan yang menyumbang sebanyak 16.6% kepada pendapatan eksport sektor komoditi, meningkat 5% kepada RM23.2 bilion;
(iv) produk-produk koko yang menyumbang sebanyak 4% kepada pendapatan eksport sektor komoditi, menurun 3% kepada RM5.6 bilion;
(v) produk-produk tembakau yang menyumbang sebanyak 0.8% kepada pendapatan eksport sektor komoditi, menurun 29.8% kepada RM1.1 bilion; dan
(vi) produk-produk lada yang menyumbang sebanyak 0.2% kepada pendapatan eksport sektor komoditi, menurun 37% kepada RM308.9 juta.

4. Disebalik cabaran yang dihadapi, Datuk Seri Mah Siew Keong mengiktiraf prestasi cemerlang ini sebagai hasil usaha kerasa daripada pelbagai pihak yang terlibat termasuklah pihak industri, pekebun kecil dan agensi kerajaan.

5. Datuk Seri Mah Siew Keong berharap agar usaha ini dapat diteruskan bagi mengukuhkan industri komoditi negara demi membela sumber pendapatan 1.2 juta pekebun kecil.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong melawat bilik gerakan minyak sawit  semalam sebagai sebahagian daripada persediaan pihak kementerian untuk misi ke Eropah dalam masa yang terdekat.


8hb Februari 2018

KENYATAAN MEDIA


SESI PERJUMPAAN YB MENTERI BERSAMA MALAYSIAN FURNITURE COUNCIL (MFC)
ISNIN, 8 JANUARI 2018

1. Pada hari ini, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Mah Siew Keong telah mempengerusikan mesyuarat bersama wakil-wakil daripada Malaysian Furniture Council (MFC) bagi mendapatkan maklum balas berkaitan isu-isu pembangunan sektor industri perabot.

2. Ketika mesyuarat tersebut, isu utama yang dibangkitkan oleh para pemain industri adalah berkenaan beberapa cadangan untuk memastikan bekalan bahan mentah mencukupi untuk industri hiliran perabot.

3. Sehubungan itu, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) telah memutuskan untuk terus mengekalkan larangan terhadap pengeksportan KGB.

4. Pelaksanaan larangan eksport ini adalah bertujuan untuk terus menggalakkan pembekal KGB untuk memberi keutamaan jualan kepada pasaran domestik dan turut dijangka dapat memberikan harga jualan kayu getah yang lebih baik buat para pekebun kecil getah.

5. Dalam hal ini, Kementerian menegaskan bahawa Kementerian akan terus komited untuk memastikan bekalan bahan mentah mencukupi untuk industri perabot, dimana 80% daripada bahan mentah adalah merupakan kayu getah.

6. Bagi mengawal dan memastikan bekalan bahan mentah terutama kayu getah bergergaji (KGB) mencukupi untuk industri perabot, Kementerian telah melaksanakan langkah penetapan kuota eksport nasional dan bulanan serta had pengeksportan bagi setiap syarikat.

7. Dalam mesyuarat tersebut, Kerajaan juga telah menegaskan bahawa jumlah bekalan bahan mentah adalah turut bergantung kepada jumlah penebangan pokok getah.

8. Keadaan cuaca yang tidak menentu telah mengakibatkan aktiviti penebangan pokok getah tidak dapat dijalankan dengan lancar dan menyebabkan bekalan kayu getah berkurangan.

9. Sehingga Oktober 2017, nilai eksport perabot berasaskan kayu dan rotan mencatatkan nilai sebanyak RM6.7 bilion, peningkatan sebanyak 7.9% berbanding tempoh sama tahun lalu.

DATUK SERI MAH SIEW KEONG
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
8 Januari 2018

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong (5 dari kiri) bersama wakil daripada Malaysian Furniture Council (MFC). Turut hadir adalah Presiden MFA, Datuk Chua Chun Chai (4 dari kiri), Ketua Setiausaha MPIC, Datuk K.Yogeesvaran (6 dari kiri), Ketua Pengarah MTIB, Dato’ Dr.Jalaluddin Harun (7 dari kiri) dan Penasihat MFA, Dr. Prof. Jega (8 dari kiri)

 

KENYATAAN MEDIA
PEMBAYARAN KETIGA BANTUAN MUSIM TENGKUJUH (BMT) KEPADA PEKEBUN KECIL DAN PENOREH GETAH

1. Kerajaan semasa pembentangan Bajet 2017 telah mengumumkan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) sebanyak RM200 pada November dan Disember 2017 serta Januari 2018 yang memanfaatkan seramai 440,000 pekebun kecil dan penoreh getah di seluruh negara.

2. Objektif pemberian bantuan ini adalah bagi memastikan kebajikan para pekebun kecil dan penoreh getah terpelihara sewaktu musim tengkujuh. Peruntukan yang telah disediakan bagi tujuan tersebut adalah sebanyak RM261 juta.

3. Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan agensi-agensi berkaitan iaitu RISDA, FELDA, FELCRA, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dan Jabatan Pertanian Sarawak (JPS) telah mendaftarkan pekebun kecil dan penoreh getah dalam tempoh yang ditetapkan.

4. Permohonan BMT telah dibuka mulai 1 September 2017 sehingga 31 Januari 2018. Proses pembayaran BMT pertama telah dilaksanakan mulai pada 1 November 2017 dan seramai 275,605 orang pekebun kecil dan penoreh getah telah menerima bantuan tersebut. Manakala proses pembayaran BMT kedua telah dilaksanakan mulai pada 1 Disember 2017 dan sehingga 29 Disember 2017, seramai 283,258 orang pekebun kecil dan penoreh getah telah menerima bayaran BMT.

5. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta LGM sentiasa memastikan pelaksanaan pemberian BMT berjalan lancar dan disampaikan kepada kumpulan sasar yang ditetapkan.

6. Dalam hal ini, Datuk Seri Mah Siew Keong menyeru agar para pekebun kecil dan penoreh getah yang masih belum memohon bantuan BMT, untuk berbuat demikian selewat-lewatnya sebelum atau pada 31 Januari 2018 .

7. Bayaran ketiga BMT telah dibayar mulai pada 1 Januari 2018 di seluruh negara oleh LGM dan agensi-agensi berkaitan. Sehubungan itu, para pekebun kecil yang masih belum memohon BMT bolehlah berbuat demikian melalui kaedah-kaedah seperti berikut:

(i) memohon secara on-line dengan capaian kepada Sistem BMT di LGM iaitu http://bmt.lgm.gov.my/Home/Application; atau

(ii) memohon melalui aplikasi mobil LGM BMT yang dimuat naik daripada Google Play Store; atau

(iii) menghantar borang BMT di mana-mana Pejabat LGM Wilayah/Negeri.

DATUK SERI MAH SIEW KEONG
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Putrajaya
8 Januari 2018


KENYATAAN MEDIA
BELANDA BERIKAN KOMITMEN UNTUK TIDAK DISKRIMINASIKAN KELAPA SAWIT


1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Mah Siew Keong telah mengadakan perbincangan dua hala dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa Belanda, TYT Sigrid Kaag pada 9 Februari 2018 di Kuala Lumpur.

2. Semasa pertemuan tersebut, YB Datuk Seri Mah Siew Keong telah membincangkan isu-isu berkaitan perkembangan serta kerjasama di antara Malaysia dan Belanda dalam industri sawit.

3. Berkenaan resolusi Parlimen Kesatuan Eropah (EU) berkaitan minyak sawit, Datuk Seri Mah Siew Keong menyifatkan pendirian Kerajaan Belanda untuk menentang diskriminasi terhadap minyak sawit adalah sebuah tindakan yang matang dan rasional.

4. Pendirian terbuka daripada wakil Kerajaan Belanda pada ketika ini adalah penting kerana Belanda merupakan negara pengimport minyak sawit terbesar di kalangan 28 negara-negara EU.

5. Daripada jumlah keseluruhan RM11 bilion eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit Malaysia ke semua negara EU tersebut, sebanyak RM6.3 bilion telah dieksport ke negara Belanda sepanjang tahun 2017.

6. Oleh yang demikian perjumpaan dan rundingan berterusan dua hala antara Malaysia dan Belanda perlu ditingkatkan bagi memastikan fakta-fakta yang tepat berkenaan industri sawit dapat disalurkan dengan effektif.

7. Datuk Seri Mah Siew Keong turut mengulangi pendirian teguh kerajaan Malaysia untuk menentang diskriminasi ini bagi memastikan kepentingan 650,000 pekebun kecil sawit di Malaysia terpelihara dan Malaysia tidak akan bertoleransi terhadap tindakan pihak tertentu yang bakal menindas punca pendapatan mereka.

8. Selain daripada itu, kedua-dua menteri juga bersetuju untuk memperkukuhkan kerjasama melalui Jawatankuasa Kecil Malaysia-Belanda mengenai Kelapa Sawit (Malaysia-Netherland Sub-Committee on Oil Palm - SCOP) dalam bidang-bidang yang mempunyai kepentingan bersama.

9. Semasa pertemuan tersebut juga, YB Datuk Seri Mah Siew Keong dan TYT Sigrid Kaag turut telah menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Perjanjian di antara Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan Wageningen Food and Biobased Research of The Netherlands berkenaan Optimisation of Sustainable Use of Oil Palm Biomass.

10. Kerjasama ini antara lain adalah untuk membangunkan program penyelidikan pengeluaran bahan nilai tambah seperti pembungkusan dan plastik bio dari batang pokok sawit.


YB DATUK SERI MAH SIEW KEONG
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia
9 Februari 2018

Datuk Seri Mah Siew Keong dan TYT Sigrid Kaag turut telah menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian di antara Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan Wageningen Food and Biobased Research of The Netherlands berkenaan Optimisation of Sustainable Use of Oil Palm Biomass.