MAJLIS PERASMIAN PROGRAM NEGARAKU SAWITKU SMK SULTAN ABDUL AZIZ TELUK INTAN, PERAK
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong telah merasmikan Program Negaraku Sawitku di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Aziz, Teluk Intan.
2. Dalam ucapan perasmian program tersebut, Datuk Seri Mah Siew Keong telah menegaskan kerajaan bakal melipat gandakan usaha untuk memupuk kesedaran berkenaan kepentingan industri sawit negara dikalangan seluruh rakyat Malaysia yang berbilang latar.
3. Sokongan kolektif yang berterusan daripada seluruh rakyat Malaysia mestilah dipupuk terlebih dahulu dikalangan kanak-kanak supaya mereka akan meneruskan kegemilangan industri ini, yang dijangkakan akan terus menjadi sumber utama ekonomi negara melampaui aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50).
4. Dalam hal ini, Datuk Seri Mah Siew Keong juga memaklumkan bahawa Kementerian sedang dalam proses mengubal transformasi industri sawit melalui Pelan TN50 dan oleh itu, sesi “engagement” bersama golongan muda adalah penting bagi memastikan industri sawit akan terus kekal relevan dan berdaya saing, disebalik cabaran hebat yang sentiasa mendatang.
5. Program ini merupakan program siri kedua selepas yang pertama telah diadakan di SMK Convent Kajang, Selangor dan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, program ini akan turut diperluaskan ke sekolah-sekolah lain sebagai usaha pihak Kementerian untuk meningkatkan pendedahan dan pengetahuan para pelajar kepada industri sawit.
6. Kerajaan melalui agensi-agensi berkenaan sawit seperti Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) juga menawarkan pelbagai latihan dan kursus kemahiran bertaraf sijil dan diploma bertujuan untuk melahirkan tenaga kerja yang terlatih untuk berkhidmat dalam industri sawit.
7. Industri sawit telah memberi banyak faedah dan manfaat kepada negara serta telah membuka banyak peluang pekerjaan yang merangkumi pekerjaan di sektor huluan dan hiliran sawit. Kemajuan pesat industri sawit telah menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih tiga juta penduduk Malaysia.
DATUK SERI MAH SIEW KEONG Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi 5 Mac 2018
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong bersama, Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Ahmad Kushairi melihat lukisan mural bertemakan sawit yang dilukis oleh pelajar SMK Sultan Abdul Aziz sempena program Negaraku, Sawitku.
KENYATAAN MEDIA KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
PELAKSANAAN SKIM EKSPORT MINYAK SAWIT MENTAH TANPA DUTI EKSPORT
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi akan melaksanakan Skim Eksport Minyak Sawit Mentah (Crude Palm Oil - CPO) Tanpa Duti Eksport bagi tempoh 3 bulan mulai 8 Januari hingga 7 April 2018.
2. Pelaksanaan Skim ini adalah bertujuan untuk mengurangkan stok minyak sawit dan mengukuhkan harga pasaran minyak sawit.
3. Dalam hal ini, harga CPO telah menunjukkan tren penurunan yang ketara semenjak Oktober 2017.
4. Pada bulan Disember 2017, harga purata CPO telah menurun kepada RM2.372.50 sepanjang tempoh minggu ketiga, manakala stok minyak sawit pada bulan November 2017 telah meningkat 16% kepada 2.56 juta tan ekoran peningkatan pengeluaran dan penurunan eksport minyak sawit. Peningkatan stok dijangka berterusan pada tahun 2018.
5. Oleh demikian, pelaksanaan Skim ini adalah satu langkah pre-emptive jangka pendek Kerajaan bagi menangani kejatuhan harga minyak sawit mentah supaya pendapatan pekebun keicl sawit tidak terjejas dan industri sawit negara terus berdaya saing.
6. Pengecualian duti eksport akan diberhentikan lebih awal dari tempoh tiga bulan sekiranya stok minyak sawit menurun kepada paras 1.6 juta tan, yang merupakan paras stok yang bersesuaian untuk menstabilkan harga serta paras yang mencukupi untuk memenuhi keperluan industri sawit. 7. Skim ini terbuka kepada semua syarikat yang mempunyai lesen sah untuk mengeksport CPO. 8. Kementerian akan terus memantau tren harga pasaran dan stok minyak sawit serta akan terus melaksanakan langkah-langkah yang bersesuaian bagi memperkukuhkan harga minyak sawit di pasaran tempatan.
YB DATUK SERI MAH SIEW KEONG Menteri Perusahaan Peladangan dan Komoditi 5hb Januari 2018
KENYATAAN MEDIA KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI (MPIC)
PELANJUTAN PELAKSANAAN SKIM EKSPORT MINYAK SAWIT MENTAH TANPA DUTI EKSPORT
Skim Eksport Minyak Sawit Mentah Tanpa Duti Eksport telah dilaksanakan mulai 8 Januari 2018 hingga 7 April 2018 untuk mengurangkan stok minyak sawit dan mengukuhkan harga pasaran minyak sawit. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi akan melanjutkan pelaksanaan Skim Eksport Minyak Sawit Mentah Tanpa Duti Eksport sehingga 30 April 2018. Walau bagaimanapun, pengecualian duti eskport ini akan diberhentikan lebih awal sekiranya stok minyak sawit menurun ke paras 1.6 juta tan metrik.
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi 6 April 2018
MAJLIS PENYERAHAN INPUT PERTANIAN BERSEMPENA PROGRAM 'AMALAN PERTANIAN BAIK' PERKAMPUNGAN ORANG ASLI, KG. ERONG, TELUK INTAN
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) dan Lembaga Getah Malaysia (LGM) telah menganjurkan Majlis Penyerahan Input Pertanian bersempena Program 'Amalan Pertanian Baik' bertempat di Perkampungan orang asli, Kampung Erong, Teluk Intan.
2. Program ini adalah kesinambungan daripada program Getah Untuk Pribumi yang bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup golongan orang asli menerusi peluang penglibatan dalam sektor komoditi getah.
3. Program ini dirasmikan oleh YB Dato’ Seri Mah Siew Keong, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC). Turut hadir di Majlis ini adakah YB Tan Sri Dato Sri Dr Muhammad Leo Toyad, Pengerusi LGM, YBrs Dr Zairossani Mohd Nor, Ketua Pengarah LGM dan wakil pengurusan Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
4. Semasa ucapan perasmian, Datuk Seri Mah Siew Keong telah berkongsi bersama para pekebun serta penoreh getah yang hadir bahawa penanaman getah mempunyai potensi tinggi dan bakal terus berkembang.
5. Oleh kerana itu, kerajaan melalui LGM sedang giat menjalankan kajian berinovasi tinggi bagi menghasilkan klon-klon getah bermutu tinggi, berproduktiviti tinggi, lebih tahan penyakit serta mempunyai waktu matang yang lebih singkat.
6. Program ini memberi peluang kepada MPIC serta LGM untuk turun padang bertemu dengan pekebun kecil dan penoreh getah orang asli yang berkonsepkan “Touch Point Programme”. Ini merupakan usaha untuk membantu pekebun kecil getah dalam pengurusan tanaman getah secara bersistematik untuk meningkatkan produktiviti tanaman.
7. Taklimat ‘Amalan Pertanian Baik' atau Good Agricultural Practices (GAP) yang disampaikan oleh pihak LGM memberi pendedahan mengenai maklumat-maklumat berguna, teknologi terkini, teknik penjagaan, sistem torehan pokok serta input pertanian yang bersesuaian dalam pengurusan tanaman dan kebun getah milik mereka.
8. Dengan mempraktikkan amalan pertanian baik yang telah diajar, pekebun kecil getah akan dapat menikmati hasil getah hanya dalam tempoh yang singkat, iaitu selama 4 tahun. Ini akan menjadi sumber pendapatan baru bagi penduduk orang asli Kampung Erong, yang merupakan satu-satunya perkampungan orang asli di Parlimen Teluk Intan.
9. Inisiatif program ini selari dengan rancangan kerajaan melalui NKEA yang mensasarkan kawasan getah seluas 1.2 juta hektar menjelang tahun 2020. Ini digambarkan dalam Bajet 2018 yang memperuntukkan RM2.3 bilion untuk industri-industri sawah, pekebun kecil, penoreh getah dan nelayan.
10. Bersempena penganjuran ini juga, 63 orang pekebun kecil dan penoreh getah menerima bantuan peralatan pertanian berupa kasut but getah dan pam penyembur bagi kemudahan mereka dalam pengurusan tanaman dengan baik.
11. Seramai 200 orang peserta telah menghadiri program ini yang terdiri daripada pekebun kecil dan penoreh getah, persatuan pekebun kecil getah dan masyarakat sekitar Kampung Erong, Perak.
12. Menerusi pelaksanaan program sebegini, MPIC serta LGM berharap agar pekebun kecil dan penoreh getah dapat mempraktikkan amalan pertanian baik yang bersistematik agar dapat meningkatkan produktiviti tanaman yang seterusnya akan menambahbaik taraf hidup golongan orang asli, dan mengurangkan jurang pendapatan di antara penduduk luar bandar dan bandar.
DATUK SERI MAH SIEW KEONG MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 6 FEBRUARI 2018
Datuk Seri Mah Siew Keong bergambar bersama pekebun kecil dan penoreh getah yang menerima bantuan peralatan pertanian berupa kasut but getah dan pam penyembur semasa di Program 'Amalan Pertanian Baik' di Kampung Erong,Teluk Intan.Turut hadir di Majlis ini adalah Tan Sri Datuk Sri Dr Muhammad Leo Toyad (Pengerusi LGM) , Dr Zairossani Mohd Nor (Ketua Pengarah LGM), Datuk Mohd Azhar Jamaluddin (ADUN Changkat Jong), Datuk M Ramachandran (Ketua MIC Bahagian Teluk Intan) dan wakil pengurusan Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
YANG BERHORMAT PUAN TERESA KOK SUH SIM, MENTERI INDUSTRI UTAMA PERASMIAN PERSIDANGAN INDUSTRI GETAH KEBANGSAAN 2018 TH HOTEL, ALOR SETAR, KEDAH 10 JULAI 2018
1. YB Puan Teresa Kok Suh Sim, Menteri Industri Utama pada hari ini telah merasmikan Persidangan Industri Getah Kebangsaan 2018 anjuran Lembaga Getah Malaysia (LGM) dengan tema ‘Getah Kita, Masa Depan Kita’ bertempat di TH Hotel, Alor Setar, Kedah.
2. Turut hadir di majlis ini ialah YB Tuan Shamsul Iskandar bin Md. Akin, Timbalan Menteri Industri Utama, YBhg. Datuk Zurinah Pawanteh, Ketua Setiausaha Kementerian Industri Utama, Dr. Zairossani bin Mohd. Nor, Ketua Pengarah LGM dan YBhg. Dato’ Wan Ahmad Shabri Zainuddin Wan Mohamad, Ketua Pengarah RISDA
3. Objektif utama penganjuran persidangan kali ini adalah untuk menyampaikan maklumat terkini mengenai pemindahan teknologi, amalan pertanian baik dan membincangkan isu-isu semasa dalam industri getah. Persidangan ini juga merupakan medan perbincangan dua hala antara LGM dan golongan sasar untuk berbincang dan menyelesaikan isu-isu dari akar umbi secara terus.
4. Majlis ini dihadiri oleh 250 orang peserta termasuk pekebun kecil, pemproses, usahawan getah dan juga mereka yang terlibat secara langsung dalam industri getah.
5. Persidangan selama dua hari ini melibatkan sejumlah 25 sesi pembentangan kertas kerja yang menyentuh topik-topik berhubung penyelidikan, pembangunan, pengembangan teknologi dan usahawan dalam industri getah negara. Pembentang kertas kerja pula merupakan pakar-pakar industri getah daripada agensi penyelidikan dan pembangunan, agensi pelaksana kerajaan dan swasta serta pemproses dan pengilang produk berasaskan getah.