SIARAN MEDIA 2017

KENYATAAN MEDIA


APLIKASI MUDAH ALIH BMT DAN E-BANTUAN

1. Sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi pada 8hb September 2017, YB Datuk Seri Mah Siew Keong, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, telah melancarkan dua aplikasi mobil bagi memudahkan permohonan BMT oleh pekebun kecil dan penoreh getah seperti berikut:

(i) Aplikasi Mobil LGM BMT – dibangunkan oleh LGM untuk memudahkan pekebun kecil dan penoreh getah yang mempunyai telefon pintar untuk memohon bantuan BMT. Cara permohonan adalah mudah di mana pemohon hanya perlu memasukkan No. Kad Pengenalan sahaja; dan

(ii) Aplikasi Mobil eBantuan – dibangunkan oleh LGM untuk memudahkan pekebun kecil dan penoreh getah membuat semakan berkaitan bantuan kerajaan seperti BMT dan Insentif Pengeluaran Getah (IPG). Antara semakan yang boleh dilaksanakan adalah seperti berikut:

(a) Semakan IPG;

(b) Semakan kad Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G);

(c) Semakan pendaftaran BMT;

(d) Semakan permohonan BMT; dan

(e) Semakan bayaran BMT. 

2. Kesemua pekebun kecil dan penoreh getah sama ada individu atau pun terancang boleh menggunakan aplikasi Mobil eBantuan bagi menyemak permohonan mereka.

3. Melalui kemudahan ini yang disediakan oleh Kerajaan, Kementerian berharap para pekebun kecil dan penoreh getah dapat memohon BMT mulai 1 September 2017 sehingga tarikh tutup pada 31 Januari 2018.

4. Sehubungan itu, semua pekebun kecil dan penoreh getah yang layak tetapi belum berdaftar, disarankan berbuat demikian selewat-lewatnya pada 30 September 2017 di pejabat LGM yang berdekatan secepat mungkin bagi membolehkan mereka menerima bantuan tersebut.

5. LGM juga akan menjalankan sesi taklimat di beberapa kawasan pengusahaan getah di seluruh negara, yang pertamanya bertempat di SMK Bandar Putra Segamat, Johor, pada 11hb September 2017 dan bermula jam 9.00 pagi. Para pekebun kecil dan penoreh getah adalah dijemput untuk hadir ke sesi taklimat tersebut untuk sebarang pertanyaan atau masalah berkenaan dengan kelayakan dan permohonan BMT. 

 

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Putrajaya
8 September 2017

 

KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI


MESYUARAT JAWATANKUASA KEBANGSAAN PEMBANGUNAN OPT BIL 1/2017
ISNIN, 9 OKTOBER 2017

 

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Mah Siew Keong, telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Pembangunan Batang Kelapa Sawit (OPT) yang pertama. Mesyuarat ini bertujuan untuk menyelaras dan menetapkan gerak kerja pembangunan Jawatankuasa Kebangsaan Pembangunan OPT secara komprehensif.

2. Hasil daripada mesyuarat tersebut, kerajaan telah meluluskan struktur rasmi Jawatankuasa Kebangsaan Pembangunan Batang Kelapa Sawit yang bakal melibatkan penyertaan rasmi daripada 18 agensi kerajaan merentasi kementerian, 4 pemain industri perkayuan, dan 3 pihak institusi pengajian tinggi awam dalam negara.

3. Dalam hal tersebut, YB Datuk Seri Mah Siew Keong telah mengalu-alukan penglibatan Institusi Pengajian Awam Tempatan (IPTA) seperti UPM, UiTM dan UTHM dalam jawatankuasa OPT dan berharap penglibatan aktif pihak IPTA dalam jawatankuasa ini dapat merancakkan aktiviti dan meningkatkan keberkesanan penyelidikan (R&D) dalam sektor perkayuan bernilai tambah.

4. Hasil daripada mesyuarat ini juga, satu Pelan Pembangunan OPT yang komprehensif bakal diwujudkan sebagai dasar dan panduan dalam membangunkan produk-produk berasaskan batang sawit pada masa hadapan, terutamanya dalam sektor perabot, kayu panel dan kayu berasaskan batang sawit.

5. Dengan adanya Struktur Organisasi serta Pelan Pembangunan OPT yang holistik, kerjasama semua pihak, akan dapat merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan OPT sebagai sumber bahan mentah baru.

6. Penubuhan Jawatankuasa ini adalah bertujuan untuk menggalakkan penggunaan OPT sebagai sumber bahan mentah baharu dalam pembuatan produk perkayuan bernilai tambah.

7. Pada masa ini, industri perkayuan berdepan dengan isu kekurangan bekalan bahan mentah memandangkan sumber dari hutan semula jadi bagi pengeluaran kayu (log production) semakin berkurangan.

8. Selain itu, kayu getah bergergaji (KGB) yang merupakan 80% bahan mentah kegunaan industri perabot juga semakin berkurangan. Adalah dianggarkan sebanyak 850,000 m3 (KGB) diperlukan setahun bagi industri hiliran.

9. Di Malaysia keluasan tanaman sawit adalah seluas 5.7 juta hektar yang mana keluasan tanam semula adalah dianggarkan 84,000 hektar setahun. Daripada keluasan tanam semula ini, bekalan OPT yang berpotensi dihasilkan adalah sebanyak 19 juta meter padu setahun.

10. Bekalan OPT ini boleh dijadikan bahan mentah kepada produk perkayuan seperti papan lapis, perabot, kayu bergergaji dan sebagainya. Potensi yang boleh dijana dari penghasilan produk kayu berasaskan OPT ini dijangkakan bernilai sebanyak RM1bilion hingga RM2 bilion setahun.

11. Sehingga kini sebanyak RM24 juta melalui aktiviti penyelidikan dan pembangunan oleh MTIB dengan kerjasama pelbagai pihak terutama industri telah dibelanjakan bagi tujuan pembangunan OPT. Hasilnya, terdapat beberapa buah kilang yang telah mengaplikasikan teknologi dan temuan-temuan hasil penyelidikan yang dijalankan.

12. Walau bagaimanapun penglibatan pihak industri masih rendah dan boleh dipertingkatkan. Kementerian akan terus mencari idea-idea baru untuk menggalakkan penyertaan pelbagai pihak terutama industri dalam pembangunan OPT.

YB DATUK SERI MAH SIEW KEONG
Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi
9hb Oktober 2017

 

Gambar 1: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Mah Siew Keong mempamerkan contoh produk kayu berasaskan batang kelapa sawit ketika Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Batang Kelapa Sawit yang pertama.

Gambar 2: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Mah Siew Keong bersama ahli Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Batang Kelapa Sawit yang pertama.

KENYATAAN MEDIA

YB DATUK SERI MAH SIEW KEONG

MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI


 

SESI KONSULTASI BERSAMA INDUSTRI BERKENAAN CADANGAN PELAKSANAAN PENGUATKUASAAN PELESENAN TEMBAKAU DAN KELUARAN TEMBAKAU 

17 FEBRUARI 2017 (JUMAAT)

 

1. Pada 15 Februari 2017 (Rabu), saya telah mempengerusikan sesi konsultasi untuk mendapatkan maklum balas daripada pelbagai pihak terutamanya industri tembakau dan wakil pengedar serta peruncit berhubung pelaksanaan penguatkuasaan pelesenan bagi tembakau dan keluaran tembakau sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Akta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara 2009 [Akta 692]. 

2. Sesi konsultasi bersama pihak-pihak yang berkepentingan telah diadakan sejak 2011. Sesi yang diadakan pada hari ini adalah sesi kick-off pada tahun ini dan ia akan diteruskan ke seluruh negara selaras dengan konsep public engagement. Semua maklum balas yang diterima akan diteliti dengan sewajarnya.  

3. Cadangan pelaksanaan pelesenan bagi tembakau dan keluaran tembakau ini adalah bertujuan bagi mengawal selia industri ini dalam menangani pengedaran keluaran tembakau yang tidak sah di dalam pasaran. Berdasarkan maklumat Gabungan Pengilang Tembakau Malaysia (GPTM), dianggarkan jumlah bilangan pengedar rokok di selurah Malaysia adalah 80,000 pengedar.  

4. Aktiviti kawal selia industri akan ditingkatkan bagi memastikan aktiviti pengedaran keluaran tembakau tidak sah dapat dibendung. Sekiranya masalah ini tidak dapat dikawal, adalah dikhuatiri keluaran tembakau seperti rokok tidak sah ini bukan sahaja menjejaskan pendapatan negara malah turut mengundang masalah kesihatan, sosial dan jenayah. 

5. Pelaksanaan penguatkuasaan ini bakal menjadi satu mekanisme berkesan dalam mengawal selia industri tembakau negara terutamanya dalam pengedaran keluaran tembakau. Beberapa negara ASEAN seperti Brunei, Singapura, Thailand dan Vietnam juga telah melaksanakan pelesenan bagi pengedaran keluaran tembakau dan ia terbukti berkesan dalam menangani masalah ini. Langkah ini juga akan membolehkan pemantauan dibuat ke atas para peruncit rokok dan secara tidak langsung boleh mengurangkan masalah penjualan rokok tidak sah.  

6. Penguatkuasaan Peraturan ini adalah selari dengan komitmen Kerajaan di bawah protokol World Health Organization Framework Convention on Tobacco Control (WHO-FCTC). Protokol ini bertujuan untuk membendung penularan masalah yang berkaitan dengan kawalan tembakau termasuk rokok tidak sah.  

7. Pelaksanaan Peraturan ini bakal dapat memastikan Kerajaan mematuhi segala peruntukan di bawah protokol ini dan sekaligus menaikkan imej Malaysia sebagai sebuah negara yang memandang serius isu kawalan tembakau dan rokok di peringkat antarabangsa.  

8. Pelaksanaan penguatkuasaan Peraturan ini dijangkakan juga akan dapat mengurangkan penjualan dan penggunaan keluaran tembakau yang tidak sah serta dapat mengurangkan ketirisan pungutan cukai oleh Kerajaan.  

9. Adalah dimaklumkan bahawa LKTN telah menyediakan kemudahan infrastuktur, logistik serta sistem pelesenan disamping kesiapsiagaan kakitangan dalam menguatkuasakan peraturan ini. Selain itu, LKTN juga akan meneruskan aktiviti kawal selia industri tembakau. Pada masa sama, LKTN turut bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan yang berkaitan dalam usaha menangani kegiatan pengedaran tembakau dan keluaran tembakau tidak sah. 

10. Sesi konsultasi tersebut telah dihadiri oleh seramai 38 orang wakil-wakil daripada Pengilang Tembakau (Philip Moris, British American Tobacco, Ransmark Tobacco Company), Pengusaha Tembakau Tempatan, Persatuan Peruncit dan Restoran;  Badan Bukan Kerajaan (FOMCA & Persatuan Pengguna Pulau Pinang) serta wakil para Pengedar Rokok.

 

YB DATUK SERI MAH SIEW KEONG
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
17 FEBRUARI 2017 

YB Menteri bergambar bersama wakil industri sempena Sesi Konsultasi berkenaan Cadangan Pelaksanaan Penguatkuasaan Pelesenan Tembakau dan Keluaran Tembakau di bangunan MPIC, Putrajaya pada 15 Februari 2017.  Hadir sama YB Datuk Datu Nasron Datu Mansur (Timbalan Menteri MPIC), YB Dato' Haji Mohd Adhan Kechik (Pengerusi LKTN) dan YBhg Datuk M.Nagarajan (KSU MPIC).

 

 

KENYATAAN MEDIA

KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI


PELANTIKAN YBHG. DATO’ LEE YEOW CHOR, 

PENGERUSI MAJLIS MINYAK SAWIT MALAYSIA (MPOC) 

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi telah melanjutkan pelantikan YBhg. Dato’ Lee Yeow Chor sebagai Pengerusi Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) untuk tempoh dua (2) tahun, berkuatkuasa  22 Februari 2017.

2. YBhg. Dato’ Lee Yeow Chor adalah merupakan salah seorang penggiat industri sawit yang berpengalaman luas. Selain itu, beliau juga terlibat secara langsung dalam usaha-usaha menangani kempen anti minyak sawit dan memperkukuhkan pembangunan industri sawit menerusi program-program promosi dan misi-misi ekonomi ke negara-negara pengimport utama.

3. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi yakin YBhg. Dato’ Lee Yeow Chor akan dapat terus memimpin dan memantapkan misi MPOC sebagai badan utama dalam usaha mempromosi dan memperluaskan pasaran produk-produk sawit negara di pasaran antarabangsa.

YB Datuk Seri Mah Siew Keong, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi bergambar bersama YBhg. Dato’ Lee Yeow Chor, Pengerusi Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).  

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia
21 Februari 2017

 

KENYATAAN MEDIA 

KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 


MISI EKONOMI DAN TEKNIKAL 

SAWIT, KAYU-KAYAN DAN GETAH  KE IRAN DAN INDIA 

5 – 9 FEBRUARI 2017

 

YB Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Mah Siew Keong akan mengetuai Misi Ekonomi dan Teknikal  Sawit, Kayu-Kayan dan Getah ke Iran dan India dari 5 hingga 9 Februari 2017. Delegasi misi ini terdiri daripada Pegawai-pegawai Kanan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC), Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Lembaga Getah Malaysia (LGM), Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) dan wakil-wakil sektor swasta. 

2. Objektif misi ini adalah bertujuan untuk:

• menggalak dan memperkukuhkan eksport produk-produk sawit, kayu-kayan dan getah ke Iran dan India;

• memperkukuhkan jaringan perniagaan di antara sektor swasta Malaysia dengan sektor swasta di Iran dan India;

• merasmikan Pejabat Serantau MPOB dan Palm Oil Trade Fair and Seminar (POTS 2017) di Tehran, Iran serta Palm Oil Networking Seminar di Mumbai, India; dan

• mengadakan perbincangan dua hala dengan Menteri-menteri yang bertanggungjawab bagi Perdagangan, Pertanian dan Kesihatan di Iran. 

3. Semasa di Iran dari 5 hingga 7 Februari 2017, YB Datuk Seri Mah Siew Keong akan mengadakan perbincangan  dua hala dengan sektor swasta di Iran, termasuk Tehran Timber Importers dan pengimport-pengimport utama produk-produk sawit serta kayu-kayan. Ini adalah bertujuan untuk menggalakkan eksport produk-produk sawit, kayu-kayan dan getah di samping memperkukuhkan jaringan sektor swasta. Selain itu, YB Datuk Seri Mah Siew Keong akan merasmikan POTS Iran 2017 yang bertujuan antara lain, menyampaikan maklumat-maklumat terkini mengenai khasiat nutrisi minyak sawit.  

4. YB Datuk Seri Mah Siew Keong juga akan mengadakan perbincangan dua hala bersama Menteri-menteri Iran termasuklah TYT Mahmoud Hojjati, Menteri Pertanian dan TYT Mohamad Reza Ne’matzadeh, Menteri Industri, Perlombongan dan Perdagangan. Perbincangan dua hala ini akan tertumpu kepada antara lain, isu-isu berkaitan dengan keselamatan dan khasiat nutrisi minyak sawit dan lain-lain bidang untuk memperkukuhkan perdagangan dua hala. 

5. Semasa lawatan ke India pada 8 Februari 2017, YB Datuk Seri Mah Siew Keong akan merasmikan Palm Oil Networking Seminar dan mengadakan perbincangan dua hala bersama The Solvent Extractor’s Association of India. Perbincangan-perbincangan tersebut akan memberi fokus kepada bidang-bidang untuk memperkukuhkan perdagangan minyak sawit. YB Datuk Seri Mah Siew Keong juga akan mengadakan perbincangan dua hala dengan Ketua Menteri Maharastra untuk meninjau bidang-bidang kerjasama. 

6. Bagi tempoh Januari - November 2016, jumlah perdagangan dua hala Malaysia-Iran adalah bernilai RM2.59 bilion. Jumlah eksport bagi tempoh ini adalah bernilai RM1.97 bilion di mana eksport produk-produk komoditi telah menyumbang RM1.55 bilion (78.7% daripada jumlah eksport). Produk-produk komoditi utama yang dieksport ke Iran bagi tempoh Januari – November 2016 adalah minyak sawit bernilai RM1.21 bilion, produk-produk kayu-kayan bernilai RM33.76 juta dan produk-produk getah bernilai RM268.94 juta.  

7. Dalam kes India, bagi tempoh Januari - November 2016, jumlah perdagangan dua hala Malaysia-India adalah bernilai RM44.18 bilion. Jumlah eksport bagi tempoh ini adalah bernilai RM29.24 bilion di mana eksport produk-produk komoditi telah menyumbang RM9.57 bilion (32.7% daripada jumlah eksport). Produk-produk komoditi utama yang dieksport ke Iran bagi tempoh Januari – November 2016 adalah minyak sawit bernilai RM7.8 bilion, produk-produk kayu-kayan bernilai RM1.42 bilion dan produk-produk getah bernilai RM279.53 juta. 

 

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
5 Februari 2017