KENYATAAN MEDIA KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI MALAYSIA – VIETNAM DAGANGAN KOMODITI 25 OGOS 2017
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC), YB Datuk Seri Mah Siew Keong menzahirkan ucapan tahniah kepada Negara dan Rakyat Vietnam bersempena Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan Yang Ke 72 pada 2 September 2017.
2. Bagi pihak Kerajaan Malaysia, YB Datuk Seri Mah Siew Keong telah menghadiri majlis sambutan makan malam sempena Hari Kemerdekaan Vietnam ke-72, anjuran Kedutaan Vietnam di Malaysia yang bertempat di Kuala Lumpur pada tanggal 24 Ogos 2017.
3. Malaysia dan Vietnam di bawah kerangka Perjanjian Dagangan ASEAN (ATIGA) melahirkan persefahaman serta komited dalam meningkatkan tahap hubungan dagangan di kalangan negara anggota di mana merangkumi pertambahan dalam hubungan perdagangan, pengurangan kos dalam menjalankan perniagaan, pewujudan pasaran, ruang dan peluang yang lebih luas dengan mengambil kira skala pasaran yang lebih meluas bagi negara anggota (ATIGA).
4. Jumlah dagangan dua hala dalam komoditi antara Malaysia dan Vietnam mencatatkan nilai RM4.37 billion pada tahun 2016, menunjukkan peningkatan sebanyak 1.9% berbanding RM4.29 billion yang dicatatkan pada tahun 2015.
5. Nilai eksport produk komoditi Malaysia ke Vietnam adalah RM2.73 billion pada tahun 2016 dengan eksport produk berasaskan sawit telah mencatatkan sebanyak RM1.84 billion merangkumi 67% daripada jumlah eksport berasaskan komoditi Malaysia ke Vietnam.
6. Prestasi hubungan dagangan dua hala antara Malaysia dan Vietnam telah menunjukkan peningkatan yang membanggakan iaitu 21.2% yang dicatatkan pada pertengahan tahun 2017 kepada RM2.34 billion dibandingkan dengan RM1.93 billion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada tahun 2016.
7. Dalam tempoh Januari ke Jun 2017, jumlah eksport berasaskan produk komoditi ke Vietnam berjaya mencatat sebanyak RM1.52 billion, iaitu peningkatan sebanyak of 22.6% dibandingkan dengan nilai RM1.24 billion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada tahun lepas.
8. Pencapaian yang baik dalam jumlah eksport produk komoditi ke Vietnam pada pertengahan tahun 2017 dipacu oleh peningkatan eksport produk komoditi berasaskan sawit menokok sebanyak 27.4% dan produk komoditi berasaskan getah bertambah sebanyak 32.6%.
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Malaysia 25 Ogos 2017
YB Datuk Seri Mah Siew Keong, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) mengucapkan tahniah kepada H.E. Le Quy Quynh, Duta Vietnam ke Malaysia dan seluruh rakyat Vietnam sempena ulangtahun Kemerdekaan ke 72 Vietnam bagi pihak Kerajaan Malaysia.
KENYATAAN MEDIA KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG TAHUN 2016 “PRODUKTIVITI DIJULANG, PRESTASI TERBILANG”
Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2016 Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) yang bertemakan “Produktiviti Dijulang, Prestasi Terbilang” telah dirasmikan oleh YB Datuk Seri Mah Siew Keong, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.
2. Seramai 21 orang penjawat awam Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi telah menerima anugerah tersebut. Semua penerima APC ini telah melalui proses akhir penilaian oleh panel pembangunan sumber manusia yang diketuai oleh Ketua Bahagian masing-masing. Penghargaan ini adalah merupakan insentif yang diberikan oleh MPIC kepada mereka yang telah menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang sepanjang tahun 2016 serta sumbangan tenaga, masa dan komitmen ke atas kerja-kerja yang diamanahkan.
3. Dalam tempoh Januari hingga Februari 2017, sektor komoditi dan produk berasaskan komoditi telah menyumbang sebanyak RM22.84 bilion dari jumlah pendapatan eksport negara, meningkat sebanyak 28.5 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2016. Sektor komoditi juga telah menyumbang 16.1 peratus jumlah eksport barangan di Malaysia dalam jangka masa tersebut. Beliau merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan ucapan terima kasih kepada seluruh warga MPIC dan agensi-agensinya atas sumbangan mereka kepada pencapaian ini.
4. YB Datuk Seri Mah Siew Keong juga berkongsi berkenaan Majlis Sambutan 100 Tahun Kegemilangan Industri Sawit Negara yang akan diadakan dalam masa 21 hari lagi iaitu pada 18 Mei 2017. Majlis sambutan yang julung kali diadakan ini akan dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak di Ladang Tennamaram, Sime Darby, Bestari Jaya, Selangor. YB Datuk Seri Mah Siew Keong mengharapkan dengan perasmian Sambutan 100 Tahun Kegemilangan Industri Sawit Negara pada 18 Mei 2017 nanti merupakan titik permulaan industri sawit melangkah ke arah yang lebih cemerlang dan gemilang dengan peningkatan di dalam nilai eksport negara yang mencecah RM63 billion pada tahun 2016, dan dijangka mencatat angka RM70 billion pada tahun 2017. Ini mencerminkan sektor komoditi merupakan salah satu sektor yang mampu menjana hasil yang tinggi kepada kerajaan dan bukanlah sebagai sunset seperti yang digembar-gemburkan oleh golongan tertentu.
5. YB Datuk Seri Mah Siew Keong menyatakan rasa bangga beliau terhadap pegawai-pegawai MPIC yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dan berharap penganugerahan ini akan dapat menjadi pembakar semangat dan aspirasi kepada warga MPIC yang lain untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik pada tahun ini dan tahun yang mendatang.
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Malaysia 26 April 2017
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi hari ini telah mengadakan lawatan ke Premium Food Corporation Sdn Bhd, sebuah syarikat yang mengeluarkan santan sawit menggunakan teknologi yang dibangunkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB). Pengeluaran produk santan sawit akan meningkatkan penggunaan minyak sawit khususnya dalam pembuatan makanan.
2. Santan Sawit Khalis adalah produk yang dihasilkan melalui penyelidikan dan inovasi oleh MPOB. Produk ini telah berjaya dikomersilkan kepada Premium Food Corporation dan telah berjaya menembusi pasaran di pasaraya tempatan seperti Tesco, Giant dan Mydin.
3. YB Datuk Seri Mah Siew Keong dalam ucapannya telah menegaskan bahawa pengkomersilan inovasi dan penyelidikan adalah salah satu kunci utama untuk mengekalkan tahap kompetitif industri sawit negara. Sehingga kini, peratusan pengkomersilan inovasi dan penyelidikan oleh MPOB adalah pada tahap tertinggi di Malaysia, iaitu pada kadar sekitar 30%.
4. Sempena lawatan ke Premium Food Corporation Sdn Bhd, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi juga telah menyaksikan majlis pertukaran perjanjian pengkomersilan teknologi formulasi Santan Sawit Plus antara MPOB dan Premium Food Corporation Sdn Bhd.
5. Formulasi produk Santan Sawit Plus mempunyai keistimewaan dan kelebihan dari segi tempoh penyimpanan pada suhu bilik lebih 10 bulan. Di samping itu, santan sawit plus diperkaya dengan kandungan vitamin E semulajadi terutamanya tokotrienol.
6. Teknologi dan formulasi produk makanan termasuk Santan Sawit Plus yang dihasilkan oleh penyelidikan MPOB menyediakan peluang kepada Syarikat Industri Kecil dan Sederhana (IKS) tempatan bagi menceburi perniagaan dalam sektor sawit. Santan Sawit Plus mempunyai potensi pasaran yang luas dalam dan luar negara serta pulangan pelaburan dalam tempoh yang singkat iaitu selama dua tahun. Teknologi santan sawit juga telah dipaten di Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura dan Thailand dan telah berjaya mendapat pengiktirafan dan kejayaan dalam pertandingan inovasi dan teknologi dalam dan luar negara.
YB DATUK SERI MAH SIEW KEONG Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi 27 Februari 2017
KENYATAAN MEDIA KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
IBU SEGALA BAJET: PENGIKTIRAFAN DAN SUNTIKAN SEMANGAT KEPADA SEKTOR KOMODITI SABTU, 28 OKTOBER 2017
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) merakamkan sekalung penghargaan kepada YAB Dato' Sri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan atas pengiktirafan tinggi beliau terhadap sumbangan industri perladangan dan komoditi negara dalam pembentangan Bajet 2018 di Dewan Rakyat pada 27 Oktober 2017.
2. Pengiktirafan tinggi YAB Perdana Menteri ini telah dizahirkan melalui pengumuman bersejarah, jumlah peruntukan tertinggi kepada golongan pekebun kecil pertanian negara yang berjumlah RM6.5 bilion melalui Bajet 2018. Pengumuman ini bukan sahaja merupakan berita gembira yang bakal memanfaatkan lebih daripada 1.3 juta para pekebun kecil komoditi di seluruh negara, malah merupakan tanda penghargaan kerajaan terhadap sumbangan berterusan mereka selaku nadi ekonomi negara.
3. Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2017, eksport sektor komoditi negara telah mencatatkan peningkatan yang membanggakan sebanyak 21%, mencecah nilai RM93 bilion, berbanding tempoh yang sama bagi tahun lalu dan turut menyumbang 15% kepada jumlah keseluruhan eksport negara. Untuk tahun 2017, MPIC percaya bahawa eksport sektor komoditi akan melebihi RM130 billion.
4. Oleh yang demikian, MPIC percaya bahawa Belanjawan 2018 bakal memberikan suntikan semangat kepada sektor komoditi untuk terus menjadi penyumbang eksport bersih (net exporter) terbesar negara untuk tahun 2018 dan bakal kekal menjadi peneraju utama ekonomi negara melampaui agenda Transformasi Nasional 2050 (TN50).
5. Untuk itu, melalui pelbagai program dan inisiatif yang teliti, MPIC amat komited untuk meneruskan usaha-usaha memperkukuhkan pertumbuhan industri komoditi dan meningkatkan sumbangan sektor komoditi kepada pendapatan negara.
6. Bagi menyokong Petunjang Pertama Bajet 2018: “Merancak Pelaburan Perdagangan dan Industri”, antara peruntukan yang disediakan untuk melaksanakan program-program utama adalah seperti berikut:
(i) hampir RM460 juta diperuntukan bagi kebajikan pekebun-pekebun kecil getah melalui Program Bantuan Musim Tengkujuh yang akan memberi manfaat kepada 500 ribu pekebun kecil dan juga untuk program penanaman semula getah serta penyediaan kemudahan infrastruktur untuk pengeluaran latex.
(ii) sebanyak RM140 juta diperuntukkan bagi program pembangunan dan penanaman semula kelapa sawit termasuk promosi; dan
(iii) sejumlah RM100 juta disediakan sebagai pinjaman dengan 70% jaminan Kerajaan bagi mengautomasi pengeluaran perabot tempatan untuk tujuan eksport.
7. Selain daripada itu, MPIC juga komited untuk meneruskan program-program sedia ada yang bersifat mesra pekebun kecil di bawah peruntukan pembangunan berjumlah RM497.3 juta yang diumumkan melalui Bajet 2018. 8. Peruntukan pembangunan ini adalah meliputi pemberian pelbagai bantuan serta insentif, termasuk input pertanian dan menaik taraf jalan ladang untuk pekebun-pekebun kecil komoditi di seluruh negara.
9. Dalam hal berlainan, bagi meningkatkan usaha-usaha automasi dan mekanisasi disektor perladangan komoditi, MPIC turut menyambut baik dua insentif yang telah diumumkan melalui Petunjang Keenam: “Mempersiaga Revolusi Perindustrian Keempat dan Ekonomi Digital & Ekonomi Baharu” yang turut bakal meningkatkan daya saing dan kemampuan sektor hiliran komoditi negara. Insentif-insentif tersebut adalah;
(i) Pelanjutan tempoh pemberian insentif Elaun Modal dipercepatkan (Accelerated Capital Allowance) terhadap infrastruktur automasi bagi sektor pembuatan sehingga tahun 2020; dan
(ii) Pemberian insentif Elaun Modal Dipercepatkan (Accelerated Capital Allowance) sebanyak 200% untuk sektor pengilangan dan sektor perkhidmatan.
10. Kesimpulannya, bertepatan dengan tema Bajet 2018 ini, MPIC yakin program-program dan initiatif-inisiatif yang telah dirancang akan berupaya mengekalkan prestasi sektor perladangan dan komoditi sebagai penyumbang besar kepada pembangunan ekonomi negara dan pemangkin kepada peningkatan pendapatan rakyat luar bandar.
DATUK SERI MAH SIEW KEONG Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Putrajaya 28 Oktober 2017
KENYATAAN AKHBAR TAKLIMAT SKIM PENSIJILAN MINYAK SAWIT MAMPAN (MSPO)
29 APRIL 2017 (SABTU) HOTEL GRAND COURT, TELUK INTAN, PERAK
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Mah Siew Keong telah merasmikan sesi Taklimat Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) di Hotel Grand Court di Teluk Intan. Sesi taklimat ini yang julung kali diadakan di Teluk Intan telah dihadiri oleh lebih daripada 200 peserta yang terdiri daripada para pekebun kecil, pemilik estet, syarikat-syarikat perladangan dan kilang sawit.
2. Taklimat adalah bertujuan untuk menerangkan elemen-elemen penting di bawah MSPO yang merupakan skim pensijilan minyak sawit mampan negara. Selain itu, acara ini juga menyediakan landasan untuk mendapatkan maklumbalas berhubung dengan pelaksanaan MSPO dan lain-lain perkara yang berkaitan.
3. MSPO yang mula dilaksanakan pada tahun 2015 telah digubal dengan mengambil kira undang-undang dan peraturan-peraturan dalam negara termasuklah kriteria kemampanan. Langkah ini adalah bertujuan untuk meningkatkan imej minyak sawit negara dari perspektif kemampanan di samping memenuhi permintaan pasaran bagi minyak sawit yang disijilkan. Pada tahun 2016, Malaysia yang merupakan pengeluar kedua terbesar dunia telah mengeksport produk-produk sawit bernilai RM67.6 bilion dan menyumbang sebanyak 8.6% daripada keseluruhan eksport barangan negara.
4. Buat masa ini, tanaman sawit seluas 5.74 juta hektar juga dipelopori oleh para pekebun kecil di mana hampir 40% daripada tanaman ini adalah diusahakan oleh golongan ini. Di samping itu, industri sawit juga telah banyak menyumbang kepada pembangunan sektor pertanian dan meningkatkan pendapatan para penduduk luar bandar.
5. Bagi kawasan Teluk Intan, tanaman sawit adalah seluas 108,538 hektar dan diusahakan oleh lebih kurang 10,000 orang pekebun kecil sawit. Bagi membantu pekebun kecil mendapatkan pensijilan MSPO, Kementerian melalui Lembaga Minyak Sawit Negara (MPOB) telah mewujudkan SPOC Hilir Perak di kawasan ini.
6. Sehingga Mac 2017, jumlah kawasan tanaman sawit di seluruh negara yang telah disijilkan di bawah MSPO adalah seluas 245,754 hektar. Ini termasuk kawasan seluas 238,545 hektar syarikat-syarikat perladangan yang meliputi 74 buah estet, 3,868 hektar di bawah 2 kluster penanam sawit terancang (PKT) dan 3,341 hektar di bawah 15 Kluster Minyak Sawit Mampan (SPOC).
7. Taklimat seumpama ini akan diteruskan di seluruh negara pada tahun 2017 di mana tumpuan akan diberikan kepada kawasan-kawasan yang mempunyai kepadatan pekebun kecil yang tinggi. Ini termasuk taklimat di Johor pada bulan Mei (Segamat dan Kluang), Selangor pada bulan Jun (Shah Alam dan Bestari Jaya), Pahang, Kelantan, Terengganu dan Sarawak pada bulan Julai (Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu), Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Perak dan Sabah pada bulan Ogos (Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Lahad Datu).
8. Bagi memudahkan pensijilan di bawah MSPO, Kementerian telah pun menubuhkan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) pada tahun 2015. Selain itu, Kementerian juga akan mengkaji langkah-langkah yang bersesuaian termasuk insentif untuk menggalakkan dan mempercepatkan pensijilan di bawah MSPO.
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi 29 April 2017