ARKIB MEDIA


KENYATAAN MEDIA
KERAJAAN PERLUASKAN PENANAMAN KENAF SECARA INTEGRASI DI PERAK


1. Kerajaan kini giat mempromosikan penanaman kenaf di seluruh negara dan Perak merupakan salah satu negeri yang berpotensi serta berminat untuk memperluaskan tanaman komoditi berkenaan. Program penanaman kenaf di negeri ini adalah bertujuan untuk mempromosikan komoditi itu sebagai sumber ekonomi dan pendapatan baharu kepada penduduk setempat dengan memberikan tumpuan kepada kawasan yang berpotensi untuk dibangunkan.

2. Bagi tahun ini, Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) mensasarkan tanaman kenaf di Perak seluas 80 hektar. LKTN telah mengenal pasti dua kawasan yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai projek perintis tanaman kenaf iaitu di Lambor, Perak Tengah dan Slim River, Muallim.

3. Usaha ini adalah antara komitmen Menteri Perusahaan Perladangan dan
Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali untuk mempopularkan kenaf sebagai komoditi masa hadapan apabila hari ini menyempurnakan Majlis Perasmian Penanaman Kenaf di Kg. Balun, Slim River diikuti Majlis Pelancaran Penuaian Kenaf di Kg. Lambor, Perak Tengah, Perak esok.

4. Projek perintis tanaman kenaf di Slim River, Muallim dilaksanakan dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Pengurusan Pondok Muallim melibatkan kawasan kelompok seluas 4 hektar. Potensi tanaman kenaf di sekitar kawasan projek perintis adalah seluas 20 hektar.

5. Sementara itu, Ladang Rakyat Kenaf Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) Lambor adalah projek perintis usahasama antara PPPNP dengan LKTN di tanah milik perbadanan itu seluas 563 hektar. Dianggarkan tanaman kenaf seluas 140 hektar dapat ditanam dalam satu-satu masa. Namun sasaran awal ialah penanaman di Lambor seluas 60 hektar secara berperingkat. Ia melibatkan 30
1

pekebun kecil dengan hasil keseluruhan projek adalah kira-kira sebanyak RM240,000 semusim. Sehingga 15 April 2021, seluas 5 hektar tanaman kenaf telah ditanam.

6. Konsep tanaman yang dijalankan adalah secara integrasi tanaman kelapa sawit dan kenaf. Kesesuaian umur pokok kelapa sawit adalah 2 tahun ke bawah. Nisbah keluasan tanaman kelapa sawit berbanding tanaman kenaf adalah 4:1. Pemilihan peserta bagi projek ini adalah dalam kalangan penduduk setempat bawah kategori penerima bantuan zakat (asnaf) Kerajaan Negeri Perak.

7. Kerjasama strategik antara LKTN dan PPPNP adalah untuk membangunkan industri kenaf di Perak di samping mempromosikan kenaf kepada masyarakat awam sebagai sumber ekonomi dan pendapatan boleh jana melalui industri kenaf. Pendekatan kerjasama ini juga merupakan salah satu strategi LKTN untuk memperkembangkan kawasan penanaman kenaf dan juga pembangunan industri hiliran kenaf ke seluruh Malaysia.

8. Menjadi harapan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi supaya usaha memperluaskan tanaman kenaf ini sebagai sumber ekonomi dan pendapatan yang baharu kepada penduduk setempat berterusan dengan galakan dan sokongan oleh LKTN sebagai agensi yang bertanggungjawab ke atas pembangunan komoditi itu.


DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Slim River, Perak
21 April 2021


KENYATAAN MEDIA

KERJASAMA ANTARA AGENSI, INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI DIPERGIATKAN BAGI PEMBANGUNAN INDUSTRI KOKO

22052021 01

22052021 02

26052021 01

26052021 02

 


KENYATAAN MEDIA

PENGARAH EKSEKUTIF KOMUNITI LADA ANTARABANGSA DI JAKARTA, INDONESIA AKAN DITERAJUI MALAYSIA MENGGANTIKAN VIETNAM


1. Malaysia akan mengambil alih giliran jawatan Pengarah Eksekutif Komuniti Lada Antarabangsa (IPC) yang beribu pejabat di Jakarta, Indonesia daripada Vietnam untuk tempoh selama tiga tahun mulai 5 Mei 2021. Keputusan tersebut dipersetujui oleh semua Ketua Perwakilan IPC negara anggota. Malaysia menyertai IPC pada 22 Mac 1972.
2. Puan Firna Azura Ekaputri Marzuki, pegawai Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah dipilih mewakili Malaysia sebagai Pengarah Eksekutif IPC yang baharu secara pinjaman untuk tempoh berkenaan. Beliau memulakan kerjaya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) pada tahun 2008 sebelum menjawat jawatan Ketua Penolong Setiausaha di KPPK. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (Pemasaran) dan Ijazah Sarjana
Pentadbiran Perniagaan Korporat dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
3. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengucapkan syabas dan tahniah kepada Puan Firna Azura Ekaputri dan berharap beliau dapat melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi serta amanah demi negara khususnya, bersama negara-negara pengeluar lada di seluruh dunia untuk memajukan sektor komoditi berkenaan.
4. IPC telah ditubuhkan pada tahun 1972 di bawah naungan Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu untuk Asia dan Pasifik (UNESCAP) dan merupakan sebuah organisasi antara Kerajaan dalam kalangan negara-negara pengeluar lada dunia. IPC yang berpusat di Jakarta, Indonesia diterajui oleh Pengarah Eksekutif dengan dianggotai lima negara iaitu India, Indonesia, Malaysia, Sri Lanka dan Vietnam manakala Papua New Guinea dan Filipina merupakan ahli-ahli bersekutu.
5. Pelantikan wakil dari Malaysia sebagai Pengarah Eksekutif IPC diharap dapat memberi manfaat dalam memperkasakan industri lada negara selain memperkukuhkan hubungan kepakaran dan penyelidikan yang terjalin sejak tahun 1972. Selain itu, ia juga demi memastikan kepentingan industri lada negara terus terpelihara bersama dengan negara-negara anggota IPC yang lain.

KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Putrajaya
29 April 2021