ARKIB MEDIA

mpi
KENYATAAN MEDIA


 

YB TERESA KOK, MENTERI INDUSTRI UTAMA
TERHADAP KENYATAAN HISBAH MENGENAI PELANTIKAN TAN SRI MOHD BAKKE SALLEH SEBAGAI
PENGERUSI LEMBAGA MINYAK SAWIT MALAYSIA (MPOB)

Pengerusi MPOB baharu Tan Sri Mohd Bakke Salleh seorang berintegriti yang mampu membawa industri minyak sawit ke tahap lebih tinggi.

1. Saya terkilan dengan kenyataan oleh mantan Senator Datuk Ezam Mohd Nor sebagai Pengerusi HISBAH yang mengkritik pelantikan Tan Sri Mohd Bakke Salleh sebagai “keputusan yang salah”.

2. Meskipun Tan Sri Mohd Bakke merupakan pengerusi Lembaga Pengarah 1MDB pada satu ketika dahulu, beliau telah meletakkan jawatan kerana kecewa dengan salah laku dalam 1MDB, apabila pemindahan wang secara kontroversi dilakukan tanpa pengetahuan atau kelulusan lembaga pengarah.

3. Seperti dilaporkan media, beliau telah menunjukkan kemarahan dan ketidakpuashatian terhadap apa yang telah berlaku dalam 1MDB ketika memberi keterangan pada sesi pendengaran kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada tahun 2016.

4. Tan Sri Mohd Bakke adalah seorang yang berintegriti tinggi. Beliau merupakan tokoh korporat yang dihormati dengan pengalaman meluas dalam industri minyak sawit. Negara akan mendapat manfaat daripada kepemimpinan dan pengalaman beliau dalam mencapai matlamat Kerajaan membawa industri ke tahap yang lebih tinggi. Sumbangan beliau juga diakui oleh pemain industri yang memberi reaksi positif terhadap pelantikannya.

5. Saya berkeyakinan penuh terhadap kemampuan Tan Sri Mohd Bakke untuk memimpin MPOB di samping membantu Kerajaan meningkatkan usaha menangkis kempen anti-minyak sawit terhadap komoditi negara, dan dalam usaha meningkatkan prestasi industri minyak sawit.

6. Saya amat yakin beliau akan melaksanakan peranan baharunya di MPOB dengan penuh komitmen dan dedikasi.

TERESA KOK
MENTERI INDUSTRI UTAMA
7 Ogos 2018
Putrajaya

mpi
KENYATAAN MEDIA

MALAYSIA AKAN MENCALONKAN PAKARNYA UNTUK SERTAI PANEL ILUC SURUHANJAYA EROPAH

BRUSSELS, Belgium (Okt. 7, 2018): Malaysia akan mencalonkan pakar tempatan untuk menyertai panel Perubahan Kegunaan Tanah Secara Tidak Langsung (Indirect Land Use Change, ILUC) Suruhanjaya Eropah yang boleh memberi impak kepada penggunaan minyak sawit dalam campuran bio bahanapi di bawah Perintah Tenaga Boleh Baharu (Renewable Energy Directive, RED II) Eropah.

Menteri Industri Utama Teresa Kok menyambut baik inisiatif Suruhanjaya Eropah ini yang akan membenarkan perundingan diadakan antara pengeluar minyak sawit, termasuk pakar minyak sawit Malaysia mengenai prinsip-prinsip saintifik utama di bawah ILUC.

“Proses rundingan ini amat penting kerana kita tidak mahu minyak sawit kita didiskriminasi,” kata beliau yang mengetuai misi minyak sawit ke Switzerland, Sepanyol dan Belgium.

Kok disertai oleh pegawai atasan Kementerian Industri Utama, Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Majlis Minyak Sawit Malaysia, Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia.

Rombongan ini telah mengadakan perjumpaan dengan beberapa pegawai tinggi Kesatuan Eropah di sini termasuk Encik Karmenu Vella, Pesuruhjaya Eropah untuk Alam Sekitar, Hal Ehwal Maritim dan Perikanan; Ketua Pengarah Alam Sekitar, Pendidikan, Pengangkutan dan Tenaga Majlis Kesatuan Eropah, Dr. Jaroslaw Pietras dan Pengarah Urusan (Asia Pasifik) European External Action Services, Encik Gunnar Wiegand.

ILUC secara amnya tidak disokong oleh pihak industri dan pakar akademik disebabkan ianya berdasarkan prinsip-prinsip yang belum dibuktikan. Sememangnya, asas bagi definisi konsep ILUC belum disahkan secara universal, termasuk di kalangan negara Kesatuan Eropah. Malaysia bimbang bahawa ini mungkin akan

menentukan penggunaan minyak sawit masa depan sebagai sebahagian daripada mandat RED II Kesatuan Eropah.

“Panel pakar Suruhanjaya Eropah akan melawat Malaysia pada akhir bulan ini untuk mengadakan perbincangan dengan pakar kita mengenai isu-isu ini. Pakar-pakar kita akan menyertai panel ini," kata Kok.

Menteri turut menegaskan bahawa amat penting bagi panel pakar Suruhanjaya Eropah berkenaan ILUC ini untuk melihat secara dekat amalan penanaman dan pemprosesan minyak sawit Malaysia supaya mereka menghargai kerumitan yang kita lalui dalam menghasilkan minyak sawit mampan.

Langkah ini dianggap positif memandangkan terdapat kebimbangan bahawa Suruhanjaya Eropah akan menggunakan kriteria ILUC untuk menyekat secara berperingkat minyak sawit dalam mandat Perintah RED II Suruhanjaya Eropah.

“Malaysia bersedia untuk mendengar dan berunding secara aktif dalam sebarang perbahasan mengenai ILUC. Walau bagaimanapun, kita menegaskan bahawa ILUC tidak sepatutnya menindas minyak sawit atau minyak sayuran lain.

"Sekiranya kriteria yang mentakrifkan ILUC tidak berlandaskan prinsip-prinsip saintifik yang diterima pakai, Malaysia akan menggunakan pelbagai forum rundingan dan perdagangan antarabangsa untuk mendapatkan hasil yang saksama bagi eksport minyak sawit kita," katanya.

Di Madrid, Sepanyol, Kok juga telah bertemu dengan Menteri Perdagangan Indonesia Bapak Enggartiasto Lukita untuk membincangkan cabaran bersama yang dihadapi minyak sawit di Eropah.

Kedua-dua pihak berpendapat bahawa tindakan-tindakan termasuk label "Tiada Minyak Sawit" pada produk, adalah satu diskriminasi.

Oleh itu, Malaysia dan Indonesia, sebagai negara pengeluar yang bergantung kepada eksport minyak sawit untuk KDNK yang sihat, bersetuju secara prinsip untuk bekerjasama dalam mempertahankan kepentingan minyak sawit dan mengatasi tanggapan negatif terhadap komoditi eksport ini.

"Sebagai pengasas Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (Council of Palm Oil Producing Countries, - CPOPC), kami berhasrat untuk mengukuhkan keanggotaan CPOPC dengan mendaftar negara-negara pengeluar minyak sawit lain sebagai ahli, dan menggunakan Majlis antarabangsa ini untuk menangani cabaran yang dihadapi di Eropah," katanya.

Kok turut menegaskan bahawa Kerajaan Malaysia akan terus berdialog dengan pelbagai institusi di Eropah untuk menangani isu penindasan minyak sawit.

Kementerian Industri Utama
7 Oktober 2018

YB Puan Teresa Kok, Menteri Industri Utama menyampaikan cenderahati kepada Encik Karmenu Vella, Pesuruhjaya Eropah Alam Sekitar, Hal Ehwal Maritim dan Perikanan sejurus selepas perjumpaan pada 5 Oktober 2018.

KENYATAAN MEDIA
YB DATUK SERI MAH SIEW KEONG
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI


PRESTASI PERDAGANGAN SEKTOR KOMODITI PADA TAHUN 2017

 

1. Pada tahun 2017, eksport sektor komoditi telah mencatatkan nilai tertinggi semenjak tahun 2011 (RM141.1 bilion) dimana pendapatan eksport produk-produk komoditi adalah sebanyak RM140.3 bilion atau 15% daripada keseluruhan pendapatan eksport negara. Nilai ini adalah peningkatan sebanyak 14.4% berbanding RM122.6 bilion yang direkodkan pada tahun 2016.

2. Sektor komoditi juga kekal sebagai net exporter terbesar dengan merekodkan imbangan dagangan sebanyak RM100.8 bilion berbanding sektor lain seperti elektrik dan elektronik sebanyak RM90.1 bilion dan petroleum dan gas sebanyak RM36 bilion.

3. Prestasi eksport bagi produk-produk komoditi pada tahun 2017 adalah seperti berikut:
(i) produk-produk sawit yang menyumbang sebanyak 55.5% kepada pendapatan eksport sektor komoditi, meningkat 14.6% kepada RM77.8 bilion;
(ii) produk-produk getah yang menyumbang sebanyak 23% kepada pendapatan eksport sektor komoditi, meningkat 30.2% kepada RM32.3 bilion;
(iii) produk-produk kayu kayan yang menyumbang sebanyak 16.6% kepada pendapatan eksport sektor komoditi, meningkat 5% kepada RM23.2 bilion;
(iv) produk-produk koko yang menyumbang sebanyak 4% kepada pendapatan eksport sektor komoditi, menurun 3% kepada RM5.6 bilion;
(v) produk-produk tembakau yang menyumbang sebanyak 0.8% kepada pendapatan eksport sektor komoditi, menurun 29.8% kepada RM1.1 bilion; dan
(vi) produk-produk lada yang menyumbang sebanyak 0.2% kepada pendapatan eksport sektor komoditi, menurun 37% kepada RM308.9 juta.

4. Disebalik cabaran yang dihadapi, Datuk Seri Mah Siew Keong mengiktiraf prestasi cemerlang ini sebagai hasil usaha kerasa daripada pelbagai pihak yang terlibat termasuklah pihak industri, pekebun kecil dan agensi kerajaan.

5. Datuk Seri Mah Siew Keong berharap agar usaha ini dapat diteruskan bagi mengukuhkan industri komoditi negara demi membela sumber pendapatan 1.2 juta pekebun kecil.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong melawat bilik gerakan minyak sawit  semalam sebagai sebahagian daripada persediaan pihak kementerian untuk misi ke Eropah dalam masa yang terdekat.


8hb Februari 2018

KENYATAAN MEDIA


SESI PERJUMPAAN YB MENTERI BERSAMA MALAYSIAN FURNITURE COUNCIL (MFC)
ISNIN, 8 JANUARI 2018

1. Pada hari ini, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Mah Siew Keong telah mempengerusikan mesyuarat bersama wakil-wakil daripada Malaysian Furniture Council (MFC) bagi mendapatkan maklum balas berkaitan isu-isu pembangunan sektor industri perabot.

2. Ketika mesyuarat tersebut, isu utama yang dibangkitkan oleh para pemain industri adalah berkenaan beberapa cadangan untuk memastikan bekalan bahan mentah mencukupi untuk industri hiliran perabot.

3. Sehubungan itu, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) telah memutuskan untuk terus mengekalkan larangan terhadap pengeksportan KGB.

4. Pelaksanaan larangan eksport ini adalah bertujuan untuk terus menggalakkan pembekal KGB untuk memberi keutamaan jualan kepada pasaran domestik dan turut dijangka dapat memberikan harga jualan kayu getah yang lebih baik buat para pekebun kecil getah.

5. Dalam hal ini, Kementerian menegaskan bahawa Kementerian akan terus komited untuk memastikan bekalan bahan mentah mencukupi untuk industri perabot, dimana 80% daripada bahan mentah adalah merupakan kayu getah.

6. Bagi mengawal dan memastikan bekalan bahan mentah terutama kayu getah bergergaji (KGB) mencukupi untuk industri perabot, Kementerian telah melaksanakan langkah penetapan kuota eksport nasional dan bulanan serta had pengeksportan bagi setiap syarikat.

7. Dalam mesyuarat tersebut, Kerajaan juga telah menegaskan bahawa jumlah bekalan bahan mentah adalah turut bergantung kepada jumlah penebangan pokok getah.

8. Keadaan cuaca yang tidak menentu telah mengakibatkan aktiviti penebangan pokok getah tidak dapat dijalankan dengan lancar dan menyebabkan bekalan kayu getah berkurangan.

9. Sehingga Oktober 2017, nilai eksport perabot berasaskan kayu dan rotan mencatatkan nilai sebanyak RM6.7 bilion, peningkatan sebanyak 7.9% berbanding tempoh sama tahun lalu.

DATUK SERI MAH SIEW KEONG
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
8 Januari 2018

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong (5 dari kiri) bersama wakil daripada Malaysian Furniture Council (MFC). Turut hadir adalah Presiden MFA, Datuk Chua Chun Chai (4 dari kiri), Ketua Setiausaha MPIC, Datuk K.Yogeesvaran (6 dari kiri), Ketua Pengarah MTIB, Dato’ Dr.Jalaluddin Harun (7 dari kiri) dan Penasihat MFA, Dr. Prof. Jega (8 dari kiri)

 

KENYATAAN MEDIA
PEMBAYARAN KETIGA BANTUAN MUSIM TENGKUJUH (BMT) KEPADA PEKEBUN KECIL DAN PENOREH GETAH

1. Kerajaan semasa pembentangan Bajet 2017 telah mengumumkan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) sebanyak RM200 pada November dan Disember 2017 serta Januari 2018 yang memanfaatkan seramai 440,000 pekebun kecil dan penoreh getah di seluruh negara.

2. Objektif pemberian bantuan ini adalah bagi memastikan kebajikan para pekebun kecil dan penoreh getah terpelihara sewaktu musim tengkujuh. Peruntukan yang telah disediakan bagi tujuan tersebut adalah sebanyak RM261 juta.

3. Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan agensi-agensi berkaitan iaitu RISDA, FELDA, FELCRA, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dan Jabatan Pertanian Sarawak (JPS) telah mendaftarkan pekebun kecil dan penoreh getah dalam tempoh yang ditetapkan.

4. Permohonan BMT telah dibuka mulai 1 September 2017 sehingga 31 Januari 2018. Proses pembayaran BMT pertama telah dilaksanakan mulai pada 1 November 2017 dan seramai 275,605 orang pekebun kecil dan penoreh getah telah menerima bantuan tersebut. Manakala proses pembayaran BMT kedua telah dilaksanakan mulai pada 1 Disember 2017 dan sehingga 29 Disember 2017, seramai 283,258 orang pekebun kecil dan penoreh getah telah menerima bayaran BMT.

5. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta LGM sentiasa memastikan pelaksanaan pemberian BMT berjalan lancar dan disampaikan kepada kumpulan sasar yang ditetapkan.

6. Dalam hal ini, Datuk Seri Mah Siew Keong menyeru agar para pekebun kecil dan penoreh getah yang masih belum memohon bantuan BMT, untuk berbuat demikian selewat-lewatnya sebelum atau pada 31 Januari 2018 .

7. Bayaran ketiga BMT telah dibayar mulai pada 1 Januari 2018 di seluruh negara oleh LGM dan agensi-agensi berkaitan. Sehubungan itu, para pekebun kecil yang masih belum memohon BMT bolehlah berbuat demikian melalui kaedah-kaedah seperti berikut:

(i) memohon secara on-line dengan capaian kepada Sistem BMT di LGM iaitu http://bmt.lgm.gov.my/Home/Application; atau

(ii) memohon melalui aplikasi mobil LGM BMT yang dimuat naik daripada Google Play Store; atau

(iii) menghantar borang BMT di mana-mana Pejabat LGM Wilayah/Negeri.

DATUK SERI MAH SIEW KEONG
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Putrajaya
8 Januari 2018