YB PUAN TERESA KOK, MENTERI INDUSTRI UTAMA KENAIKAN PARAS HARGA PENGAKTIFAN (PHP) BAGI INSENTIF PENGELUARAN GETAH (IPG)
1. YB. Lim Guan Eng, Menteri Kewangan Malaysia, ketika sesi Penggulungan Belanjawan 2019 Peringkat Dasar di Dewan Rakyat pada Rabu, 21 November 2018 telah mengumumkan kenaikan Paras Harga Pengaktifan (PHP) bagi Insentif Pengeluaran Getah (IPG) daripada RM2.20 kepada RM2.50 bagi sekilogram getah (cuplump) di peringkat ladang.
2. Kementerian Industri Utama (MPI) amat bersyukur dan mengucapkan terima kasih atas pengumuman yang tepat pada masanya. Pengumuman ini menunjukkan penghargaan Kerajaan terhadap kepentingan dan sumbangan para pekebun kecil getah kepada ekonomi negara serta membela nasib dan kebajikan golongan berkenaan. Kenaikan PHP daripada RM2.20 kepada RM2.50 sekilogram ialah langkah jangka pendek menangani kejatuhan harga getah pada ketika ini.
3. Dengan peningkatan PHP sebanyak RM0.30 daripada kadar sebelum ini, para pekebun kecil akan menikmati yang lebih baik bagi setiap kilogram getah yang dihasilkan berdasarkan harga getah semasa. Kerajaan akan menyediakan peruntukan tambahan bersesuaian pada tahun 2019 sebagai tambahan kepada RM50 juta yang diumumkan dalam Bajet 2019.
4. Justeru, mulai 1 Januari 2019 IPG akan diaktifkan dengan kadar baharu iaitu sekiranya harga getah (cuplump) di peringkat ladang jatuh di bawah PHP RM2.50 sekilogram dengan mengambil kira pengeluaran getah bagi bulan sebelumnya. Pemberian insentif ini diharap akan meringankan beban pekebun kecil getah dan membolehkan mereka terus menyumbang kepada pembangunan industri getah.
5. Pada masa yang sama, Kerajaan melalui Kementerian Industri Utama dan agensi-agensi lain yang berkaitan, akan terus menggembleng tenaga mengkaji dan melaksana langkah jangka panjang bagi membantu pekebun kecil getah dalam menghadapi impak kejatuhan harga komoditi.
KENYATAAN MEDIA YB DATUK SERI MAH SIEW KEONG MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
SEPANYOL BERPENDIRIAN TIDAK MENYOKONG DISKRIMINASI TERHADAP MINYAK SAWIT
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong telah menghadiri 3 mesyuarat bilateral bersama wakil-wakil kerajaan negara Sepanyol dalam rangka Misi Khas Rundingan Sawit Malaysia - Kesatuan Eropah (EU).
2. Mesyuarat bilateral tersebut telah diadakan bersama H.E Danial Navia Simon (Setiausaha Negara Kementerian Tenaga), H.E Maria Poncela Garcia (Setiausaha Negara Kementerian Perdagangan Antarabangsa) dan En. Jaimie Haddad (Kementerian Pertanian, Perikanan dan Alam Sekitar) di Madrid, Sepanyol.
3. Dalam semua mesyuarat bilateral tersebut, Datuk Seri Mah Siew Keong telah menyuarakan kebimbangan serta pendirian teguh Kerajaan Malaysia berkenaan resolusi EU untuk mengharamkan penggunaan minyak sawit daripada perundangan _Renewable Energy Directive_ (RED) menjelang tahun 2021.
4. Datuk Seri Mah Siew Keong menegaskan bahawa Kerajaan Malaysia menentang ketidakadilan melalui resolusi parlimen EU yang mendiskriminasikan minyak sawit berbanding minyak sayuran yang lain dan resolusi tersebut bakal menjejaskan sumber pendapatan serta menekan 650,000 pekebun kecil sawit di Malaysia.
5. Dalam hal ini, perwakilan daripada Kerajaan Sepanyol telah memaklumkan bahawa pendirian rasmi kerajaan Sepanyol adalah untuk tidak menyokong sebarang tindakan mendiskriminasikan minyak sawit.
6. Pendirian Kerajaan Sepanyol tersebut adalah kerana adaptasi resolusi ini bakal memberikan kesan buruk terhadap industri biodiesel di Sepanyol dan ianya juga adalah tidak sejajar dengan undang-undang perdagangan bebas menurut World Trade Organization (WTO).
7. Datuk Seri Mah Siew Keong mengalu-alukan komitmen daripada perwakilan Kerajaan Sepanyol dan berhujah jika pengharaman ini menjadi perundangan EU, sebarang bahan alternatif untuk menggantikan minyak sawit akan mengakibatkan peningkatan kos yang tinggi.
8. Peningkatan kos yang tinggi ini akhirnya bakal ditanggung oleh para pengguna dan turut bakal mengakibatkan kerugian tinggi terhadap pemain industri biodiesel di Sepanyol.
9. Dikalangan 28 buah negara EU, Sepanyol merupakan negara yang menggunakan feedstock bio bahan bakar berasaskan sawit terbesar dengan peratusan sebanyak 70% dan Sepanyol juga merupakan pengimport sawit kedua terbesar selepas Belanda dengan nilai tahunan hampir RM1 billion.
10. Selain daripada itu, perwakilan daripada Kerajaan Sepanyol turut memberikan jaminan bahawa Kerajaan Sepanyol tidak akan menyokong dan menerima sebarang cadangan yang bertentangan dengan perundangan yang ditetapkan oleh World Trade Organization (WTO).
11. Dalam pertemuan berasingan, Datuk Seri Mah Siew Keong turut mengadakan pertemuan khas bersama pengimport minyak sawit daripada negara Sepanyol di Madrid.
12. Semasa pertemuan tersebut, para pengimport sawit Sepanyol berharap agar Kerajaan Malaysia untuk terus menentang keras resolusi parlimen EU dan mereka bersedia untuk berkerjasama Malaysia untuk menangani persepsi negatif terhadap minyak sawit dikalangan pengguna.
13. Datuk Seri Mah Siew Keong menyimpulkan bahawa Malaysia menghargai sokongan daripada pelbagai pihak termasuklah daripada pihak pemain industri dan Malaysia akan terus komited untuk memastikan industri sawit akan mendapat layananan adil.
14. Misi Rundingan Sawit Malaysia - EU akan diteruskan dengan siri perjumpaan bersama wakil-wakil kerajaan dan serta Komisioner EU di Belgium, United Kingdom (UK), Jerman, Poland dan Italy.
DATUK SERI MAH SIEW KEONG Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia 13 Februari 2018
Madrid, Sepanyol
Gambar 1:
Mesyuarat bersama delegasi daripada Kementerian Tenaga Sepanyol yang diketuai oleh Setiausaha Negara Kementerian Tenaga, H.E Daniel Navia. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong mengetuai delegasi Malaysia yang turut dihadiri oleh Duta Malaysia ke Sepanyol, H.E Zainal Abidin Bakar.
Gambar 2:
Mesyuarat bersama delegasi daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa Sepanyol yang diketuai oleh Setiausaha Negara Kementerian Perdagangan Antarabangsa, H.E Maria Poncela Garcia. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong mengetuai delegasi Malaysia yang turut dihadiri oleh Duta Malaysia ke Sepanyol, H.E Zainal Abidin Bakar.
KEMENTERIAN INDUSTRI UTAMA MPI MEMPERKASA MODAL INSAN SEKTOR KOMODITI UNTUK MENGURANGKAN KEBERGANTUNGAN PEKERJA ASING
1. Sektor komoditi merupakan salah satu penyumbang terbesar kepada jumlah eksport bersih negara. Pada tahun 2017, eksport produk-produk berasaskan komoditi berjumlah RM140.3 bilion atau 15% daripada keseluruhan pendapatan eksport negara di mana 55% daripada jumlah ini iaitu RM77.8 bilion disumbangkan oleh sektor sawit.
2. Bagi tempoh Januari hingga ke Jun 2017, sektor komoditi telah mencatatkan nilai eksport berjumlah RM63.8 bilion, iaitu penurunan sebanyak 9% berbanding dengan RM70 bilion bagi tempoh yang sama tahun lalu.
3. Kementerian Industri Utama melalui IMPAC sedang memberi tumpuan terhadap usaha dalam membangun dan memperkasakan pembangunan modal insan terutamanya bagi meningkatkan bilangan tenaga kerja mahir dan separa mahir. Keperluan tenaga kerja tempatan yang berpengetahuan dan berkemahiran amat diperlukan di sektor perladangan bagi meningkatkan produktiviti dan meneruskan kelangsungan prestasi pendapatan eksport komoditi negara.
4. Program Sayangi Komoditi, merupakan program yang dijalankan oleh IMPAC dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia dan Pejabat Pendidikan Daerah, Kementerian Pendidikan Malaysia. Antara objektif utama penganjuran program ini adalah untuk menghebahkan keperluan guna tenaga serta menggalakkan belia menceburi bidang latihan dan kerjaya di sektor perladangan dan komoditi. Program ini mensasarkan pelajar-pelajar sekolah menengah yang akan menamatkan sesi persekolahan, belia dan beliawanis yang berminat mengikuti latihan dan kerjaya di sektor perladangan dan komoditi dan pihak pengurusan industri dalam sektor perladangan dan komoditi.
5. Pada tahun 2018, program Sayangi Komoditi dilaksanakan di tiga zon iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Bagi zon semenanjung, sekolah yang dipilih bagi perasmian program adalah Sekolah Menengah Kebangsaan Selancar, Rompin Pahang. Sekolah-sekolah menengah dalam Daerah Rompin yang akan terlibat dengan program ini adalah SMK Perwira Jaya, SMK Chanis, SMK Perantau Damai, SMK Keratong, SMK Bandar Tun Razak dan SMK Muadzam Jaya. Program ini juga melibatkan pelajar-pelajar pra-diploma Politeknik Muadzam Shah, Rompin Pahang. Jumlah penyertaan adalah dianggarkan antara 300 hingga 400 peserta.
KENYATAAN MEDIA YB DATUK SERI MAH SIEW KEONG MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
KUALA LUMPUR, Malaysia - Menteri Perladangan Industri dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong mengeluarkan kenyataan berikut berkenaan perhimpunan aman yang dilakukan oleh para pekebun kecil kelapa sawit Malaysia untuk menyuarakan bantahan terhadap cadangan pengharaman biobahan api berasaskan minyak sawit oleh Parlimen Kesatuan Eropah.
“Kerajaan mengambil maklum bahawa para pekebun kecil telah berhimpun untuk membantah cadangan Kesatuan Eropah untuk mengharamkan biobahan api berasaskan minyak sawit dibawah Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui (RED).
Bantahan ini adalah bukti jelas kepada Parlimen Kesatuan Eropah (termasuk Majlis Kesatuan Eropah) dan Presiden Kesatuan Eropah bahawa para pekebun kecil Malaysia tidak berpuas hati dan tertindas dengan cadangan untuk mengharamkan biobahan api berasaskan minyak sawit di pasaran Eropah. Cadangan ini bakal mengancam kebajikan para pekebun kecil dan bertentangan dengan usaha berterusan Kerajaan Malaysia untuk melindungi kepentingan negara.
Kerajaan Malaysia menyifatkan cadangan pengharaman ini sebagai satu usaha Eropah untuk memperkenalkan "Aparteid Tanaman" terhadap 650,000 pekebun kecil sawit negara. Malaysia akan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk melindungi kebajikan lebih daripada 3.2 juta rakyat Malaysia yang bergantung hidup dengan sektor kelapa sawit.
Cadangan pengharaman ini adalah tidak adil kerana pesaing-pesaing minyak sayuran lain akan terus dibenarkan untuk terus digunakan dibawah RED, manakala minyak sawit akan dikecualikan menjelang tahun 2021. Ini adalah satu diskriminasi yang jelas. Saya menyeru pihak Kesatuan Eropah untuk berhenti mendiskriminasi sektor kelapa sawit.
Kerajaan Malaysia juga ingin mengingatkan rakan-rakan Kesatuan Eropah bahawa minyak sawit Malaysia memenuhi piawaian kemampanan yang ketat, dan juga berupaya untuk mendapatkan pensijilan daripada Skim Pensijilan Mampan Eropah terkemuka termasuklah daripada German ISCC (Pengsijilan Karbon dan Kemampanan Antarabangsa)."
DATUK SERI MAH SIEW KEONG Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia 16 Januari 2018
YB Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi menegaskan bahawa Bantahan Pekebun Kecil Sawit Bukti Bahawa Diskriminasi Sawit Mengancam Kebajikan Pekebun Kecil
SESI KONSULTASI BERSAMA INDUSTRI BERKENAAN CADANGAN PELAKSANAAN PENGUATKUASAAN PELESENAN TEMBAKAU DAN KELUARAN TEMBAKAU
17 FEBRUARI 2017 (JUMAAT)
1. Pada 15 Februari 2017 (Rabu), saya telah mempengerusikan sesi konsultasi untuk mendapatkan maklum balas daripada pelbagai pihak terutamanya industri tembakau dan wakil pengedar serta peruncit berhubung pelaksanaan penguatkuasaan pelesenan bagi tembakau dan keluaran tembakau sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Akta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara 2009 [Akta 692].
2. Sesi konsultasi bersama pihak-pihak yang berkepentingan telah diadakan sejak 2011. Sesi yang diadakan pada hari ini adalah sesi kick-off pada tahun ini dan ia akan diteruskan ke seluruh negara selaras dengan konsep public engagement. Semua maklum balas yang diterima akan diteliti dengan sewajarnya.
3. Cadangan pelaksanaan pelesenan bagi tembakau dan keluaran tembakau ini adalah bertujuan bagi mengawal selia industri ini dalam menangani pengedaran keluaran tembakau yang tidak sah di dalam pasaran. Berdasarkan maklumat Gabungan Pengilang Tembakau Malaysia (GPTM), dianggarkan jumlah bilangan pengedar rokok di selurah Malaysia adalah 80,000 pengedar.
4. Aktiviti kawal selia industri akan ditingkatkan bagi memastikan aktiviti pengedaran keluaran tembakau tidak sah dapat dibendung. Sekiranya masalah ini tidak dapat dikawal, adalah dikhuatiri keluaran tembakau seperti rokok tidak sah ini bukan sahaja menjejaskan pendapatan negara malah turut mengundang masalah kesihatan, sosial dan jenayah.
5. Pelaksanaan penguatkuasaan ini bakal menjadi satu mekanisme berkesan dalam mengawal selia industri tembakau negara terutamanya dalam pengedaran keluaran tembakau. Beberapa negara ASEAN seperti Brunei, Singapura, Thailand dan Vietnam juga telah melaksanakan pelesenan bagi pengedaran keluaran tembakau dan ia terbukti berkesan dalam menangani masalah ini. Langkah ini juga akan membolehkan pemantauan dibuat ke atas para peruncit rokok dan secara tidak langsung boleh mengurangkan masalah penjualan rokok tidak sah.
6. Penguatkuasaan Peraturan ini adalah selari dengan komitmen Kerajaan di bawah protokol World Health Organization Framework Convention on Tobacco Control (WHO-FCTC). Protokol ini bertujuan untuk membendung penularan masalah yang berkaitan dengan kawalan tembakau termasuk rokok tidak sah.
7. Pelaksanaan Peraturan ini bakal dapat memastikan Kerajaan mematuhi segala peruntukan di bawah protokol ini dan sekaligus menaikkan imej Malaysia sebagai sebuah negara yang memandang serius isu kawalan tembakau dan rokok di peringkat antarabangsa.
8. Pelaksanaan penguatkuasaan Peraturan ini dijangkakan juga akan dapat mengurangkan penjualan dan penggunaan keluaran tembakau yang tidak sah serta dapat mengurangkan ketirisan pungutan cukai oleh Kerajaan.
9. Adalah dimaklumkan bahawa LKTN telah menyediakan kemudahan infrastuktur, logistik serta sistem pelesenan disamping kesiapsiagaan kakitangan dalam menguatkuasakan peraturan ini. Selain itu, LKTN juga akan meneruskan aktiviti kawal selia industri tembakau. Pada masa sama, LKTN turut bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan yang berkaitan dalam usaha menangani kegiatan pengedaran tembakau dan keluaran tembakau tidak sah.
10. Sesi konsultasi tersebut telah dihadiri oleh seramai 38 orang wakil-wakil daripada Pengilang Tembakau (Philip Moris, British American Tobacco, Ransmark Tobacco Company), Pengusaha Tembakau Tempatan, Persatuan Peruncit dan Restoran; Badan Bukan Kerajaan (FOMCA & Persatuan Pengguna Pulau Pinang) serta wakil para Pengedar Rokok.
YB DATUK SERI MAH SIEW KEONG MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 17 FEBRUARI 2017
YB Menteri bergambar bersama wakil industri sempena Sesi Konsultasi berkenaan Cadangan Pelaksanaan Penguatkuasaan Pelesenan Tembakau dan Keluaran Tembakau di bangunan MPIC, Putrajaya pada 15 Februari 2017. Hadir sama YB Datuk Datu Nasron Datu Mansur (Timbalan Menteri MPIC), YB Dato' Haji Mohd Adhan Kechik (Pengerusi LKTN) dan YBhg Datuk M.Nagarajan (KSU MPIC).