ARKIB MEDIA

KENYATAAN MEDIA
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
DATUK SERI MAH SIEW KEONG


WOOD AND BIOFIBER INTERNATIONAL CONFERENCE 2017 (WOBIC2017)
21 NOVEMBER 2017, BANGI

1. Pada pagi ini, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong telah merasmikan persidangan antarabangsa, Wood and Biofibre International Conference 2017 (WOBIC 2017).

2. Persidangan ini dianjurkan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) bermula 21 sehingga 23 November 2017 di Hotel Bangi-Putrajaya, Bangi, Selangor.

3. Persidangan peringkat antarabangsa ini bertemakan “Lignocellulose for Future Bioeconomy” dan bertujuan untuk mengumpulkan hasil penyelidikan serta inovasi terkini berkaitan produk serta teknologi kayu, biofiber dan biojisim.

4. Persidangan ini telah menarik seramai hampir 200 peserta daripada 10 buah negara termasuk Kanada, Jepun, Belanda, Korea, China, Mesir, India, Indonesia, Tunisia dan Malaysia.

5. Penganjuran WOBIC 2017 ini juga melibatkan kerjasama pelbagai Kementerian termasuk Agensi di bawah MPIC seperti Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) serta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN).

6. Bagi tempoh Januari sehingga September 2017, sumbangan Industri Perkayuan kepada pendapatan eksport negara telah melebihi RM17 bilion, peningkatan sebanyak 6 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

7. Oleh yang demikian, penganjuran WOBIC 2017 ini adalah bukti komitmen berterusan Kerajaan untuk membangunkan industri perkayuan negara melalui sumber biomas kerana ia merupakan sumber pertumbuhan ekonomi baharu yang mesra alam.

8. Sebagai contoh, antara aspek yang diberi fokus oleh Kerajaan kini adalah pembangunan batang kelapa sawit (OPT).

9. Sepanjang tahun 2016, industri sawit negara telah menghasilkan 6.3 juta tan batang kelapa sawit kering yang berpotensi digunakan sebagai sumber alternatif bahan mentah bagi industri kayu.

10. Penggunaan OPT daripada sumber sawit mampu mengurangkan kebergantungan terhadap bahan mentah utama seperti kayu tropika dan kayu getah. Selain itu, ia juga dapat memastikan tanaman sawit digunakan sepenuhnya secara optimum.

11. Kesimpulannya, kerajaan berharap agar melalui penganjuran WOBIC 2017 serta kerjasama penyelidikan yang dijalankan dengan pihak UPM, sebuah pendekatan baharu bagi merancakkan pembangunan bahan mentah alternatif terutama OPT dapat dilaksanakan.

12. Kerajaan juga yakin bahawa produk biofiber dan bahan mentah alternatif seperti OPT dapat dimanfaatkan sebagai sumber ekonomi baharu dan menyeru semua pihak mengambil peluang ini dalam memacu pembangunan industri biomas negara.

 

EXPORT EARNING FROM COMMODITY SECTOR (JAN. – SEP. 2017)

 

 Jan. – Sep.

2016

(RM billion)

 Jan. – Sep.

2017

(RM billion)

 Different 

(%)
 Total Export

Commodity
 RM88 billion  RM105 billion

 Increase

18%

EXPORT OIL PALM, RUBBER AND TIMBER INDUSTRY

 

 Jan. – Sep.

2016

(RM billion)

 Jan. – Sep.

2017

(RM billion)

 Different

(%)

 Oil Palm  RM49 billion  RM58 billion  19%
 Rubber  RM18 billion  RM24 billion  35%
 Timber  RM16 billion  RM17 billion  6%

KENYATAAN MEDIA
YB DATUK SERI MAH SIEW KEONG
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI


CADANGAN PENUBUHAN JAWATANKUASA KHAS EKONOMI DAN TEKNIKAL SAWIT ANTARA MALAYSIA-EU 
23 NOVEMBER 2017

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong telah turut menyertai delegasi rasmi Kerajaan Malaysia ke Rundingan Tahunan antara Malaysia dan Indonesia ke-12 yang telah berlansung di Kuching, Sarawak pada 22hb November 2017.

2. Semasa mesyuarat tahunan tersebut, delegasi daripada Malaysia yang diketuai oleh YAB Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Razak telah membangkitkan isu berkenaan sekatan perdagangan yang sedang hangat dibahaskan oleh ahli-ahli parlimen Kesatuan Eropah (EU) terhadap minyak sawit.

3. Datuk Seri Mah Siew Keong menyifatkan kenyataan bersama yang oleh Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Republik Indonesia adalah lambang sebuah pendirian kukuh dan amat bertepatan waktu bagi mempertahankan kepentingan sektor sawit kedua-dua negara.

4. Ketika persidangan tersebut, YAB Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Razak telah menegaskan bahawa Malaysia dan Indonesia bersedia dan bersetuju untuk menggunakan segala platform yang ada untuk memastikan bahawa tindakan ahli-ahli Parlimen EU tersebut dapat dikekang secara saksama.

5. Oleh yang demikian, Datuk Seri Mah Siew Keong menyeru ahli-ahli Parlimen Kesatuan Eropah untuk menilai semula pendirian mereka terhadap sektor sawit kerana tindakan untuk mendiskriminasikan sawit adalah bertentangan dengan komitmen EU terhadap prinsip perdagangan bebas World Trade Organisation (WTO) dan juga bakal menggugat hubungan baik antara EU dan negara-negara pengeluar minyak sawit dunia, terutamanya Malaysia dan Indonesia.

6. Dalam hal ini, selepas pertemuan khas bersama salah seorang ahli parlimen EU, MEP Daniel Hannan, di Kuala Lumpur pada tanggal 17hb November 2017, Datuk Seri Mah Siew Keong berhasrat untuk mengumumkan bahawa Kerajaan Malaysia bercadang untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Ekonomi dan Teknikal Sawit antara Malaysia-EU, yang turut bakal dianggotai oleh perwakilan khas daripada kedutaan negara-negara EU di Malaysia, bagi mengimbangi perbahasan berkenaan isu minyak sawit,

7. Penubuhan Jawatankuasa Khas tersebut adalah penting untuk memperkasakan peranan para perwakilan kedutaan negara-negara EU di Malaysia bagi memastikan bahawa maklumat yang disebarkan ke negara-negara EU adalah tepat dan tidak berat sebelah.

8. Cadangan penubuhan jawatankuasa khas tersebut juga membuktikan keterbukaan serta komitmen berterusan Kerajaan Malaysia untuk berkerjasama bersama negara-negara EU dalam isu-isu berkenaan pembangunan sektor sawit secara lestari dan mampan.

9. Kesimpulannya, Datuk Seri Mah Siew Keong menegaskan bahawa publisiti negatif berterusan berkenaan minyak sawit bakal merencatkan pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara yang bergantung kepada eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit.

10. Publisiti negatif ini akan menjejaskan permintaan terhadap minyak sawit global dan bakal memberikan impak negatif secara tidak lansung terhadap kejatuhan harga komoditi sawit dunia.

11. Oleh yang demikian, Kerajaan melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) serta agensi-agensi berkenaan sawit mengambil perhatian serius akan perkembangan semasa di Parlimen EU dan akan terus komited untuk membela kepentingan lebih daripada 650,000 para pekebun sawit dalam negara.


YB DATUK SERI MAH SIEW KEONG

MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI MALAYSIA
23 NOVEMBER 2017

Datuk Seri Mah Siew Keong bersama Ahli Parlimen Kesatuan Eropah, MEP Daniel Hannan, Pengerusi MPOB, YB Datuk Seri Ahmad Bin Hamzah dan Ahli Parlimen Simpang Renggam, YB Datuk Liang Teck Meng.

 

KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI


 

MAJLIS PELANCARAN DAN PERASMIAN SISTEM PRA-PEMBERSIHAN BAHAN MAKANAN TERNAKAN
OLEH YB DATUK SERI MAH SIEW KEONG, MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
DI KILANG 
SIME DARBY PLANTATION SDN BHD KERNEL CRUSHING 

SELASA, 25 APRIL 2017 

1. YB Datuk Seri Mah Siew Keong, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi telah melancar dan merasmikan sistem pra-pembersihan bahan makanan ternakan dan produk premium PURAFEX yang dihasilkan di Kilang kernel crushing milik Sime Darby Plantation Sdn Bhd yang terletak di Pulau Carey, Selangor.

2. Sistem pra-pembersihan bahan makanan ternakan dibangunkan dengan teknologi dan kerjasama antara Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Sime Darby Plantation Sdn Bhd serta telah beroperasi pada 14 Oktober 2016.  Teknologi yang dibangunkan membolehkan bahan makanan ternakan bagi industri penternakan ayam dan akua kultur terhasil.   

3. Industri palm kernel oil (PKO) selama ini berperanan sebagai pendokong kepada sektor pengeluaran bahan makanan ternakan.  Melalui PKO juga menghasilkan produk sampingan yang dikenali sebagai palm kernel cake (PKC) yang telah digunakan oleh pihak industri sebagai salah satu komponen dalam menghasilkan bahan makanan ternakan untuk kegunaan dalam sektor penternakan. Terdapat sebanyak 45 kilang seumpama ini beroperasi di Malaysia. Pada tahun 2016, Malaysia telah menghasilkan 2.17 juta tan PKC. Melalui kajian yang dijalankan oleh MPOB, penggunaan palm kernel cake (PKC) dalam sektor penternakan ayam mampu mencapai sehingga 25% manakala 80% bagi sektor penternakan lembu. 

4. Kualiti ternakan ayam terbukti lebih sihat dan kadar kandungan lemak yang lebih rendah dengan pemberian bahan ternakan makanan yang mengandungi (PKC).  Di samping itu, kadar kematian (mortality rate) yang dicatatkan oleh sektor penternakan ayam adalah di bawah 3% di mana lebih rendah daripada paras industri iaitu sekitar 4 hingga 5 %.   

5. Namun begitu, cabaran yang dihadapi oleh industri penternakan di Malaysia adalah kos pengeluaran yang perlu ditanggung.  Secara umum,  bahan makanan ternakan mewakili 25% daripada jumlah kos pengeluaran industri penternakan.  Keadaan ini lebih ketara  terutamanya kepada sektor penternakan ayam.  Pada masa kini, negara terpaksa import bahan makan ternakan yang mengandungi cereal daripada Argentina dan Brazil masing-masing bernilai  415 juta AS Dolar dan 321 juta AS Dolar yang dicatatkan pada tahun 2015.  

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
25 April 2017 

KENYATAAN MEDIA 

PROGRAM HELLO KOMODITI


BERTEMPAT DI DEWAN BANDARAN, TELUK INTAN, PERAK 

25 MAC 2017 (SABTU) 

Sebagai salah satu langkah untuk mendekati dan meraikan pekebun kecil, golongan belia dan usahawan komoditi,  Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) telah mengadakan program turun padang melalui penganjuran program Hello Komoditi di Dewan Bandaran Teluk Intan, Perak Pada 25 Mac 2017 (Sabtu).

2. Penganjuran Hello Komoditi ini telah menjadi pemangkin bagi menonjolkan perkembangan dan kemajuan terkini di sektor komoditi iaitu sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada dan kenaf kepada pelanggan dan stakeholders industri. Ini secara tidak langsung akan dapat meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat, terutamanya kepada kumpulan sasar iaitu pekebun kecil, para belia dan usahawan komoditi berhubung inovasi dalam sektor komoditi serta pelbagai kemudahan serta bantuan yang disediakan oleh Kerajaan. 

3. Di samping itu, penganjuran program ini juga dilihat dapat menarik lebih ramai orang awam menceburi untuk bidang kerjaya dan keusahawanan  berasaskan  komoditi serta seterusnya menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara dan juga  peningkatan pendapatan  pekebun kecil. 

4. Antara pengisian program Hello Komoditi ialah penganjuran seminar, pameran, demonstrasi masakan dan jualan produk komoditi, seminar berkaitan komoditi serta kaunter khidmat nasihat dari pelbagai agensi. 

5. Penganjuran Seminar Komoditi adalah disasarkan khusus kepada pekebun kecil, belia dan usahawan komoditi. Melalui seminar tersebut para peserta didedahkan dengan pelbagai maklumat mengenai bantuan dan bimbingan komoditi yang disediakan. Seminar ini telah dihadiri oleh seramai 500 orang peserta yang terdiri dari pekebun kecil, masyarakat dan belia tempatan dan Sebanyak tiga topik dibincangkan di dalam seminar iaitu:-

i. Bantuan dan insentif kepada pekebun sawit - MPOB;

ii. Seminar perlesenan dan pengredan sawit – MPOB,dan: 

iii. Peluang dan kerjaya dalam sektor perladangan dan komoditi - IMPAC.  

6. Selain dari seminar, aktiviti seperti pameran, demonstrasi dan jualan produk komoditi juga diadakan dengan melibatkan Agensi-agensi  di bawah seliaan MPIC iaitu :

i. Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) ;

ii. Lembaga Getah Malaysia (LGM) ;

iii. Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) ;

iv. Lembaga Koko Malaysia (LKM) ;

v. Lembaga Lada Malaysia (MPB) ; 

vi. Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) ; dan

vii. Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC).

7. Selain itu, pada sesi pagi sebentar tadi, YB Dato’ Seri Mah Siew Keong sempat melawat Pusat Khidmat 1Komoditi (1CSC) di Pejabat MPOB Cawangan Teluk Intan bertempat Bandar Baru, Teluk Intan. Pusat Khidmat 1Komoditi (1CSC) merupakan salah satu program transformasi di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC). 

8. Objektif penubuhan 1CSC sebagai sebuah pusat setempat yang menawarkan perkhidmatan berkaitan perladangan dan komoditi. Perkhidmatan yang ditawarkan adalah seperti berikut: 

 (i) membolehkan pekebun kecil/orang ramai mendapatkan maklumat asas tentang tanaman komoditi;

(ii) membolehkan pekebun kecil/orang ramai membuat permohonan bantuan, insentif dan latihan;

(iii) menyediakan perkhidmatan penggunaan komputer bagi permohonan atas talian (online);

(iv) menerima permohonan dan aduan pekebun kecil/orang ramai untuk dikemukan kepada agensi berkaitan; dan

(v) membolehkan pekebun kecil/orang ramai mendapatkan maklumat berhubung permohonan pekerja asing.

9. Sebanyak tiga (3) pusat 1CSC telah ditubuhkan pada tahun 2016 di Sungai Petani, Kedah; Tawau, Sabah; dan Betong, Sarawak. Program Hello Komoditi ini telah dirasmikan oleh YB. Dato’ Seri Mah Siew Keong, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi. Majlis perasmian tersebut turut dihadiri oleh, YB Datuk Seri Hj. Ahmad bin Hamzah, Pengerusi MPOB, YB Datuk Mohd Azhar Jamaludin, Ahli Dewan Undangan Negeri Changkat Jong, dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian dan agensi di bawah MPIC serta ketua-ketua jabatan kerajaan tempatan. 

YB DATUK SERI MAH SIEW KEONG
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
25 MAC 2017

 

KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
 MALAYSIA – VIETNAM DAGANGAN KOMODITI 
25 OGOS 2017 

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC), YB Datuk Seri Mah Siew Keong menzahirkan ucapan tahniah kepada Negara dan Rakyat Vietnam bersempena Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan Yang  Ke 72 pada 2 September 2017.

2. Bagi pihak Kerajaan Malaysia, YB Datuk Seri Mah Siew Keong telah menghadiri majlis sambutan makan malam sempena Hari Kemerdekaan Vietnam ke-72, anjuran Kedutaan Vietnam di Malaysia yang bertempat di Kuala Lumpur pada tanggal 24 Ogos 2017. 

3. Malaysia dan Vietnam di bawah kerangka Perjanjian Dagangan ASEAN (ATIGA) melahirkan persefahaman serta komited dalam meningkatkan tahap hubungan dagangan di kalangan negara anggota di mana merangkumi pertambahan dalam hubungan perdagangan, pengurangan kos dalam menjalankan perniagaan, pewujudan pasaran, ruang dan peluang yang lebih luas dengan mengambil kira skala  pasaran yang lebih meluas bagi negara anggota (ATIGA).

4. Jumlah dagangan dua hala dalam komoditi antara Malaysia dan Vietnam mencatatkan nilai RM4.37 billion pada tahun 2016, menunjukkan peningkatan sebanyak 1.9% berbanding RM4.29 billion yang dicatatkan pada tahun 2015.

5. Nilai eksport produk komoditi Malaysia ke Vietnam adalah RM2.73 billion pada tahun 2016 dengan eksport produk berasaskan sawit telah mencatatkan sebanyak RM1.84 billion merangkumi  67% daripada jumlah eksport berasaskan komoditi Malaysia ke Vietnam. 

6. Prestasi hubungan dagangan dua hala antara Malaysia dan Vietnam telah menunjukkan peningkatan yang membanggakan iaitu 21.2% yang dicatatkan pada  pertengahan tahun 2017 kepada RM2.34 billion dibandingkan dengan RM1.93 billion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada tahun 2016.  

7. Dalam tempoh Januari ke Jun 2017, jumlah eksport berasaskan produk komoditi ke Vietnam berjaya mencatat sebanyak RM1.52 billion, iaitu peningkatan sebanyak of 22.6% dibandingkan dengan nilai RM1.24 billion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada tahun lepas. 

8. Pencapaian yang baik dalam jumlah eksport produk komoditi ke Vietnam pada pertengahan tahun 2017 dipacu oleh peningkatan eksport produk komoditi berasaskan sawit menokok sebanyak 27.4% dan produk komoditi berasaskan getah bertambah sebanyak 32.6%. 

 

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Malaysia
25 Ogos 2017

YB Datuk Seri Mah Siew Keong, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) mengucapkan tahniah kepada H.E. Le Quy Quynh, Duta Vietnam ke Malaysia dan seluruh rakyat Vietnam sempena ulangtahun Kemerdekaan ke 72 Vietnam bagi pihak Kerajaan Malaysia.