ARKIB MEDIA

KENYATAAN MEDIA
YB DATUK SERI MAH SIEW KEONG
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI


 

LAWATAN KE GETAHINDUS (M) SDN BHD
TANGKAK, JOHOR
ISNIN, 11 SEPTEMBER 2017

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Mah Siew Keong telah melawat Getahindus (M) Sdn. Bhd pada petang ini. Lawatan ini bertujuan untuk memberi peluang kepada YB Menteri untuk mengetahui dengan lebih terperinci mengenai pemprosesan getah asli keluaran Getahindus (M) Sdn. Bhd.

2. Ketika lawatan tersebut, YB Datuk Seri Mah Siew Keong telah mengumumkan bahawa Malaysia akan mengambil bahagian dalam Persidangan Tripartite Getah Antarabangsa yang dijadualkan akan berlangsung pada tanggal 15hb September 2017 di Bangkok, Thailand.

3. Deligasi Malaysia ke persidangan tersebut akan diketuai oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Mah Siew Keong serta bakal turut dihadiri oleh Menteri Pertanian Thailand, H.E General Chatchai Sarikulya dan Menteri Perdagangan Republik Indonesia, H.E. Drs. Enggartiasto Lukita.

4. Agenda utama yang bakal dibawakan oleh Kerajaan Malaysia adalah berkenaan isu kestabilan harga pasaran getah dunia yang telah menjadi kebimbangan para pemain industri getah negara, termasuk lebih 450,000 para pekebun kecil getah.

5. Malaysia merupakan pengeluar getah asli kelima terbesar di dunia pada tahun 2016 dengan jumlah pengeluaran sebanyak 0.67 juta tan di belakang Thailand, Indonesia, Vietnam dan China.

6. YB Datuk Seri Mah Siew Keong turut menegaskan bahawa antara isu utama yang dihadapi oleh industri pemprosesan atau mid-stream sektor getah termasuklah kekurangan bekalan bahan mentah dan keperluan pematuhan piawaian kualiti bagi bahan mentah import.

7. Dalam hal ini, kerajaan telah merancang pelbagai program untuk meningkatkan produktiviti dan pengeluaran getah asli dalam negara seperti program Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dan peningkatan infrastruktur Lateks. 

8. Selain daripada itu, Industri sarung tangan getah juga digalakkan untuk menggunakan lateks tempatan dalam pembuatan produk mereka dan mengurangkan import dari negara jiran. 

9. YB Datuk Seri Mah Siew Keong turut memaklumkan bahawa kerajaan telah menyasarkan bahawa kawasan tanaman getah akan ditingkatkan menjelang tahun 2020. Keluasan kawasan torehan disasarkan meningkat kepada 1 juta hektar berbanding 670,000 hektar pada masa sekarang. 

10. Melalui usaha berterusan kerajaan melalui Lembaga Getah Malaysia (LGM) dalam bidang R&D serta automasi, kadar produktiviti juga dijangka akan meningkat daripada 1.2 tan/hektar kepada 2.0 tan/hektar dalam usaha memastikan bekalan bahan mentah yang berterusan untuk kegunaan industri.

11. Syarikat Getahinduss (M) Sdn. Bhd. telah ditubuhkan pada 1988 di Tangkak, Johor dan merupakan syarikat industri pemprosesan getah asli yang mengeluarkan lateks pekat dan lain-lain jenis getah asli untuk dijadikan bahan mentah bagi penghasilan produk-produk getah seperti sarung tangan getah, belon, kondom, Kateter, puting bayi dan alat mainan. 

12. Pada ketika ini, kilang Getahindus mempunyai pengeluaran lateks lebih kurang 3000 metrik tan sebulan dan dibekalkan kepada industri tempatan sebanyak 40% dan selebihnya ke pelbagai negara seperti Eropah, Amerika, China, Australia. 

 

YB DATUK SERI MAH SIEW KEONG
Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi, Putrajaya
11 September 2017

 

KENYATAAN MEDIA
YB DATUK SERI MAH SIEW KEONG
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI


 

SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-10 LEMBAGA LADA MALAYSIA DAN PESTA LADA TAHUN 2017
DI HOTEL IMPERIAL & BOULEVARD SHOPPING MALL, KUCHING
13 OKTOBER 2017

1. Sebentar tadi saya telah merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Lembaga Lada Malaysia (MPB) dan Pesta Lada 2017 yang telah dianjurkan dengan jayanya oleh MPB. Saya berasa amat berbesar hati melihat kehadiran dan sambutan yang diberikan oleh warga MPB khususnya dan orang awam amnya yang datang dari pelusuk negeri di Sarawak untuk bersama-sama memeriahkan program yang akan diadakan selama tiga (3) hari bermula hari ini sehingga 15 Oktober 2017.

2. Selama sedekad penubuhan MPB tersebut, pelbagai cabaran telah ditempuhi dan begitu juga dengan kejayaan yang telah dicapai dan diraih oleh agensi ini. MPB memainkan peranan dan fungsi yang penting dalam usaha pihak kerajaan hendak meningkatkan taraf sosio-ekonomi penduduk di luar bandar.

3. Kementerian berkeyakinan bahawa MPB dapat menjulang industri lada negara ke tahap yang lebih tinggi melalui pelaksanaan program dan aktiviti yang bersepadu dan menyeluruh serta diiringi dengan sokongan yang padu daripada Kerajaan Persekutuan termasuk kerajaan negeri dan golongan pekebun kecil lada bagi menggalakkan lebih ramai golongan sasaran untuk mengusahakan tanaman lada dengan lebih giat lagi.
4. Sehingga kini, jumlah pekebun lada di Malaysia telah mencecah seramai 29,614 orang dan 98% daripadanya adalah terdiri daripada pekebun lada di Sarawak. Untuk tahun 2017, keluasan tanaman lada di Malaysia adalah dijangka akan mencecah 17,100 hektar dan jumlah pengeluaran lada kira-kira 31,000 tan metrik berbanding keluasan seluas 16,768 hektar pada tahun 2016 dengan jumlah pengeluaran sebanyak 29,245 tan metrik.

5. Untuk tahun 2016, eksport produk berasaskan lada keluaran negara adalah bernilai RM490 juta. Destinasi eksport produk berasaskan lada tersebut adalah seperti negara Jepun, China, Hong Kong, Korea Selatan, Taiwan dan Singapura. Produk berasaskan lada keluaran negara juga telah dieksport ke benua yang lain seperti ke Eropah, Amerika, Australia dan New Zealand. Jumlah eksport bagi tahun ini dijangkakan meningkat kepada 15,000 tan metrik berbanding sebanyak 12,199 tan mertrik untuk tahun 2016.

6. Nilai eksport lada negara bagi tempoh tujuh bulan pertama (Januari – Julai) tahun 2017 adalah sebanyak 5,851 tan metrik yang juga bernilai RM180.4 juta. Negara Jepun merupakan destinasi eksport utama dalam tempoh tujuh bulan pertama (Januari – Julai) tahun 2017. Sebanyak 1,580 tan lada (atau 27% daripada jumlah eksport lada) telah dieksport ke Jepun.

7. Sejurus selepas itu, saya turut berkesempatan untuk merasmikan Buku Resipi Lada bertajuk “Sarawak Pepper for Your Palate” yang mengandungi pelbagai jenis resipi masakan yang berasaskan lada. Buku resipi berkenaan mengandungi 25 resipi masakan tempatan dan antarabangsa dan telah dihasilkan dengan kerjasama oleh tiga (3) orang pakar kulinari daripada UCSI University.
8. Saya juga berkesempatan untuk merasmikan satu aplikasi yang dikenali sebagai “Dr. Lada”, iaitu aplikasi dalam talian hasil ciptaan sekumpulan pegawai penyelidik MPB. Aplikasi ini dibangunkan dengan tujuan untuk menyalurkan maklumat dan penyelesaian secara “maya” kepada para pekebun berkaitan penyakit-penyakit yang biasa menyerang tanaman lada. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada MPB kerana berjaya mengaplikasikan perkembangan teknologi pada masa kini demi kemudahan kepada kumpulan sasar. Dengan adanya aplikasi seperti ini, ianya sedikit sebanyak dapat menjimatkan masa serta dapat memberikan penyelesaian atau maklum balas segera kepada para pekebun yang memerlukannya.

9. Program pada hari ini akan diakhiri dengan lawatan ke tapak pameran yang menempatkan pelbagai aktiviti yang menarik seperti pameran, demo masakan, pertandingan dan lain-lain lagi. Saya amat gembira dan berbesar hati melihat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai yang berkunjung ke Pesta Lada 2017 kali ini.

10. Saya berharap agar Pesta Lada ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi meraikan usaha dan penat-lelah pekebun-pekebun lada yang merupakan sebahagian daripada penyumbang kepada kejayaan Malaysia sebagai negara pengeluar lada ke-5 dunia. Pesta Lada ini juga dilihat dapat dijadikan menjadi platform oleh MPB untuk memperkenal dan mempromosikan lagi industri lada di negara ini kepada pihak umum dan juga antarabangsa.

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
13 Oktober 2017

 

Gambar 1: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC), YB Datuk Seri Mah Siew Keong menyempurnakan gimik pelancaran sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Lembaga Lada Malaysia dan Pesta Lada 2017. Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas (tiga dari kiri).

Gambar 2: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC), YB Datuk Seri Mah Siew Keong melancarkan Aplikasi Mudah Alih Bagi Tanaman Lada Hitam sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Lembaga Lada Malaysia dan Pesta Lada 2017.

KENYATAAN MEDIA 
YB DATUK SERI MAH SIEW KEONG
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI


KEPUTUSAN MAHKAMAH RAYUAN BELGIUM :
PENGGUNAAN LABEL “NO-PALM OIL”  ADALAH MENGELIRUKAN 
15 JUN 2017, KHAMIS, ROM, ITALI

 

1. YB Datuk Seri Mah Siew Keong selaku Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) telah tiba di Rom, Itali pada 14 Jun 2017 dalam rangka lawatan 2 hari membawa misi untuk mempromosi dan mengukuhkan platform komoditi terutamanya membabitkan hubungan perdagangan melibatkan sawit antara sektor awam dan swasta di negara Itali.

2. Dalam perbincangan meja bulat yang diadakan dengan pengeluar mentega coklat yang terkemuka di dunia dari Itali iaitu Ferrero,  YB Datuk Seri Mah Siew Keong telah membangkitkan kempen “No Palm Oil” yang dilancarkan oleh pihak anti sawit di negara Eropah telah mendatangkan cabaran yang besar kepada industri sawit dengan penglibatan hampir 1,600 produk makanan yang dipasarkan di segenap negara Eropah.  YB Datuk Seri Mah Siew Keong pada masa yang sama turut memuji dan mengucap tahniah kepada Ferrero di atas kepercayaan serta keyakinan menggunakan bahan yang berasaskan sawit selama ini dan kejayaan di atas keputusan Mahkamah Rayuan Belgium bahawa penggunaan label “No palm Oil” adalah mengelirukan tanpa disokong oleh fakta saintifik yang nyata dan salah di sisi undang-undang.

3. Pada 2 Jun 2017, Mahkamah Rayuan Belgium telah memutuskan rangkaian pasaraya Delhaize di Belgium telah membawa kekeliruan kepada pelanggan-pelanggan pasaraya dengan memberi maklumat dan fakta yang mengelirukan tentang minyak sawit  termasuk penggunaan label “Palm Oil Free” ke atas produk-produk yang diperagakan dalam rangkaian pasaraya berkenaan.

4. Keputusan Mahkamah Rayuan Belgium telah memutuskan bahawa dakwaan dan mesej yang disampaikan oleh  pasaraya Delhaize terhadap minyak sawit adalah “meragukan dan tidak objektif” kepada dakwaan kemudaratan kepada alam sekitar dan kesihatan. 

5. Pada masa yang sama, Mahkamah Rayuan Belgium juga menegaskan supaya  pasaraya Delhaize menghentikan serta-merta segala kenyataan dan dakwaan yang tidak berasas dengan niat yang buruk,  di samping menyalahi undang-undang Belgium.  Pasaraya berkenaan juga berisiko dikenakan denda maksima sehingga 1,000,000 EURO sekiranya gagal mematuhi perintah Mahkamah.

6. YB Datuk Seri Mah Siew Keong juga merakamkan penghargaan kepada pihak Ferrero dalam perjuangan melawan kempen pelabelan “No Palm Oil” dengan membawa ke muka pengadilan dan paling penting adalah penggunaan minyak sawit Malaysia sebagai bahan utama dalam penghasilan produk Ferrero walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai rintangan dan cabaran termasuk keputusan Mahkamah Belgium yang tidak memihak kepada Ferrero pada tahun 2013.

7. YB Datuk Seri Mah Siew Keong semasa dalam penggulungan perbincangan meja bulat sekali lagi menguatkan hujah beliau bahawa keputusan Mahkamah Rayuan Belgium pada kali ini telah diketengahkan untuk perhatian di kalangan ahli parlimen Eropah dalam beberapa sesi perbincangan yang telah diadakan pada awal minggu ini bertempat di Strasbourg, Perancis.

8. Tindakan Kerajaan Itali dalam memberi sokongan penuh ke atas usaha penghasilan minyak sawit mampan dengan menandatangani Deklarasi Amsterdam pada tahun 2015 telah mendapat pujian daripada YB Datuk Seri Mah Siew Keong.  Dalam pada itu, beliau juga menegaskan bahawa Malaysia juga sedang menggiatkan usaha ke arah pensijilan minyak sawit mampan (MSPO) secara mandatori ke atas  seluruh rantaian pengeluaran sawit di Malaysia menjelang tahun 2020.

9. Selain daripada perbincangan meja bulat bersama Ferrero dan pihak Italian Alliance of Sustainable Palm Oil (IASPO), YB Datuk Seri Mah Siew Keong juga berkesempatan mengadakan 2 mesyuarat dua hala antaranya bersama Barbara Degani, Timbalan Menteri Alam Sekitar dan  Ivan Scalfarotto, Timbalan Menteri Pembangunan Ekonomi. 


YB DATUK SERI MAH SIEW KEONG

MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 
15 JUN 2017

 

Gambar 1: YB Datuk Seri Mah Siew Keong, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) menyampaikan buku “Coffee Table on Malaysian Palm Oil 100 Years Anniversary” kepada En. Francesco Paolo Fulci, Presiden Syarikat Ferrero dengan diiringi oleh YBhg. Tan Sri Bernard Dompok (kanan) Duta Besar Malaysia ke Vatican.

Gambar 2: Perbincangan dua hala antara YB Datuk Seri Mah Siew Keong bersama Timbalan Menteri Pembangunan Ekonomi Itali, Ivan Scalfarotto.

KENYATAAN AKHBAR
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI


PENGUMUMAN INSENTIF BARU UNTUK PELAKSANAAN
SKIM PENSIJILAN MALAYSIAN SUSTAINABLE PALM OIL (MSPO)
ISNIN, 2 OKTOBER 2017

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Mah Siew Keong telah mengadakan sesi dialog bersama wakil-wakil daripada syarikat-syarikat perladangan pada 27 September 2017 (Rabu). Objektif dialog adalah bagi mendapatkan maklum balas serta pandangan mengenai Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO).

2. Sesi ini dihadiri oleh lebih daripada 120 pihak industri yang mewakili estet kecil dan sederhana di Semenanjung Malaysia. Mereka diberi taklimat mengenai ciri-ciri utama skim pensijilan Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) termasuk piawaian, keperluan serta prosedur pensijilan MSPO.

3. Dalam sesi dialog tersebut para peserta pada dasarnya memberi sokongan penuh terhadap usaha yang diambil oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) dan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) dengan mengambil kira beberapa perkara yang telah diusulkan.

4. Berikutan sesi dialog tersebut, YB Datuk Seri Mah Siew Keong mengumumkan bahawa Kerajaan akan menyediakan insentif kewangan untuk membantu mengurangkan kos memperolehi pensijilan MSPO. Insentif yang disediakan adalah seperti berikut:

a) untuk estet dengan keluasan tanaman melebihi 40.46ha hingga 1,000ha, 70% daripada kos pengauditan akan diberi;

b) untuk estet dengan keluasan 1,001ha dan ke atas, 30% daripada kos pengauditan akan diberi; dan

c) untuk kilang-kilang pemprosesan termasuk kilang buah sawit, kilang penapis dan kilang isirung sawit, 30% daripada kos pengauditan akan diberi.

Maklumat mengenai insentif boleh didapati di www.mpob.gov.my

5. Sehingga Ogos 2017, jumlah kawasan tanaman yang telah diberi pensijilan di bawah MSPO adalah 245,381 hektar. Kawasan tanaman ini merangkumi 237,509 hektar di bawah syarikat perladangan, manakala sejumlah 3,868 hektar adalah di bawah kategori pekebun kecil tersusun. Sejumlah 4,004 hektar adalah di bawah pekebun kecil persendirian. Setakat ini sebanyak 22 buah kilang telah mendapat pensijilan MSPO.

6. YB Datuk Seri Mah Siew Keong mewakili Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak industri di atas penglibatan dan kerjasama dalam memberi pandangan serta cadangan yang bernas dalam usaha membawa industri sawit ke tahap lebih tinggi dan telus serta mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Kementerian Perusahaan Perladangan Dan Komoditi
2 Oktober 2017

Dari kiri Datuk M.Nagarajan, Pengerusi Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC), YB Datuk Datu Nasrun Bin Datu Mansur, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC), YB Datuk Seri Mah Siew Keong, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC), Datuk K.Yogeesvaran, Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC).

KENYATAAN MEDIA
YB DATUK SERI MAH SIEW KEONG
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI


 

MAJLIS SUMBANGAN SEJUTA SARUNG TANGAN GETAH KEPADA
JABATAN KESIHATAN PERAK
21 MEI 2017
DATARAN MENARA CONDONG, TELUK INTAN, PERAK

1. Datuk Seri Mah Siew Keong, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi hari ini merasmikan program sumbangan ‘1 Juta Sarung Tangan Getah Perubatan” anjuran Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia (MREPC) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Perak dan Hospital Teluk Intan.

2. Pada majlis tersebut, Datuk Seri Mah telah menyerahkan replika cek       1 juta sarung tangan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Perak, disaksikan oleh lebih 200 tetamu jemputan terdiri daripada warga pejabat kesihatan negeri. Acara ini yang berlangsung di Dataran Menara Condong Teluk Intan ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang awam yang telah turut menyertai saringan kesihatan dan program menarik lain yang disediakan oleh MREPC.

3. Sumbangan 1 juta sarung tangan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Perak akan disalurkan ke hospital, klinik kesihatan, klinik pergigian dan pusat penjagaan kesihatan di seluruh negeri Perak. MREPC berharap inisiatif ini akan membantu Jabatan Kesihatan Negeri Perak bagi meningkatkan tahap perkhidmatan kesihatan di seluruh negeri Perak. Sumbangan sarung tangan getah ini merupakan siri sumbangan MREPC yang kedua, selepas siri pertama yang berjaya dilaksanakan tahun lepas di Kuching, Sarawak. Sebanyak 1 juta sarung tangan getah telah diedarkan ke hospital dan klinik di Sarawak.

4. Barangan getah Malaysia kini dieksport ke lebih 195 negara di seluruh dunia dengan nilai eksport meningkat tiga kali ganda daripada RM5.4 bilion pada tahun 2000 kepada RM18.2 bilion pada tahun 2016. Daripada jumlah eksport pada tahun 2016, sebanyak 73% atau RM13.3 bilion disumbangkan oleh sarung tangan getah perubatan. 

5. Sejak dua dekad yang lalu, Malaysia kekal mendominasi eksport sarung tangan getah dengan menguasai lebih daripada 60% pasaran dunia. Bagi tempoh 2012 hingga 2016, eksport sarung tangan perubatan meningkat dengan kadar purata 6% setiap tahun. Momentum peningkatan ini dijangka akan berterusan pada tahun 2017 dengan jumlah eksport dijangka mencecah RM14.1 bilion.

6. Walau bagaimanapun, penggunaan sarung tangan getah per kapita di negara-negara Asia, masih berada pada tahap yang rendah iaitu sebanyak 5.5 pasang setahun secara purata berbanding 75 pasang di Amerika Syarikat dan 50 pasang di Eropah. Penggunaan sarung tangan getah di negara China kini berada pada tahap 3 pasang per kapita, manakala di Malaysia ia adalah 10 pasang setahun. Potensi pasaran untuk negara-negara Asia, khususnya negara China, adalah sangat besar.

7. Program kesedaran dan pendidikan merupakan antara langkah penting bagi meningkatkan penggunaan sarung tangan getah dalam negara. Ini bertujuan bagi menjaga keselamatan pesakit serta melindungi kakitangan kesihatan daripada jangkitan penyakit. Sehubungan itu, MREPC telah menjalankan pelbagai program menerusi “Glove Awareness Programme” (GAP) bagi meningkatkan kesedaran kakitangan kesihatan dan orang awam mengenai kepentingan penggunaan sarung tangan. Ini sekaligus dapat menambah kadar penggunaan per kapita di Malaysia dan di negara-negara Asia yang lain kepada tahap 50 pasang seperti di Eropah menjelang tahun 2050.

 

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
21 Mei 2017