ARKIB MEDIA

 jata

KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi


23 MAC 2020



Assalamualaikum dan salam sejahtera.


1. Seperti sedia maklum, negara kita sedang mengalami satu tempoh yang amat mencabar ketika ini berikutan penyebaran wabak COVID19 yang telah menjangkiti lebih 1,000 orang.

2. Kementerian amat memahami kesulitan yang dialami oleh seluruh rakyat Malaysia ketika ini. Kementerian juga sedar, golongan yang turut terkesan adalah hampir sejuta pekebun kecil sawit dan getah serta lebih 5 juta rakyat Malaysia yang bergantung pendapatan di sepanjang rantaian industri sawit dan getah negara.

3. Dalam hal ini, sepertimana yang saya maklumkan melalui kenyataan media pada 19 Mac 2020, Kementerian telah memberi kelonggaran kepada estet, kilang buah sawit dan kilang penapis sawit dan getah termasuk pekebun kecil sawit dan getah untuk terus menjalankan aktiviti dan beroperasi secara terkawal dengan beberapa syarat yang telah ditetapkan. Kelonggaran ini adalah untuk menjamin bekalan makanan dalam negara berasaskan sawit serta keperluan peralatan perubatan berasaskan getah tidak terganggu pengeluarannya selama tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

4. Atas keprihatinan kepada situasi yang berlaku, sukacita saya ingin mengumumkan bahawa:

4.1. Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) yangmempunyai keahlian melebihi 120 buah syarikat, telah berbesar hati untuk menyumbang peralatan dan barangan seperti alat bantuan pernafasan, test kit COVID-19, cecair pencuci tangan (hand sanitizer), topeng muka, pakaian perlindungan diri dan lain-lain peralatan perubatan bernilai RM5 juta kepada Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

4.2. Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia (MREPC), sebuah Majlis di bawah Kementerian saya dan Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA), bercadang untuk memberi sumbangan 21 juta sarung tangan getah perubatan bernilai RM3.5 juta kepada kepada Kementerian Kesihatan Malaysia dan agensi Kerajaan lain seperti PDRM, Imigresen dan Bomba;

5. Sumbangan mereka adalah untuk mengurangkan bebanan Kerajaan dalam mengharungi tempoh yang sukar ini. Ia juga adalah sebagai tanda solidarity ahli-ahli persatuan untuk berdiri teguh di belakang kepimpinan Kerajaan.

6. Bagi menjamin urusan penyampaian yang cepat dan berkesan kepada sasaran bantuan, mekansime agihan akan dilaksanakan oleh MPOA dan MARGMA kepada KKM dan Agensi di bawah KKM

7. Bagi pihak Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, saya amat berterima kasih kepada MREPC serta semua ahli Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia dan Persatuan Minyak Sawit Malaysia atas sumbangan berkaitan.

8. Semoga sumbangan ini akan menjadi pemangkin dan pencetus semangat kepada mereka yang terlibat terutamanya para doktor, jururawat dan petugas-petugas di hospital untuk terus menyumbang bakti kepada rakyat dan negara.


Sekian, terima kasih.

YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi

Putrajaya 23 Mac 2020

 

get

KENYATAAN MEDIA
LEMBAGA GETAH MALAYSIA


 MAKLUMAN OPERASI JUAL/BELI GETAH DAN PREMIS PELESEN GETAH

1. Adalah dimaklumkan bahawa Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) dan Lembaga Getah Malaysia (LGM) telah menerima banyak aduan yang menyatakan terdapat premis pembeli getah (rubber dealer) tidak beroperasi ketika ini walaupun arahan telah diberi untuk semua premis ini dibuka pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sebagai langkah keselamatan, arahan untuk beroperasi pada ketika ini masih tertakluk kepada langkah-langkah keselamatan yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu pemakaian peralatan keselamatan diri seperti topeng muka, sarung tangan dan juga penggunaan sanitizer.

2. Pihak Kementerian ingin mengingatkan semua Pelesen Getah untuk beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh PKP untuk memastikan industri getah negara terus beroperasi, untuk kebaikan semua peringkat dari pekebun kecil, pemproses getah, pengilang produk getah sehingga peringkat pengguna. Ini juga sejajar dengan arahan Menteri Pertahanan (Menteri Kanan) pada 23 Mac 2020 dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat harian Majlis Keselamatan Negara.

3. Kegagalan beroperasi akan menyebabkan tindakan terpaksa diambil atas premis yang tutup, termasuk penarikan semula lesen oleh Lembaga Getah Malaysia.

4. Arahan ini akan berkuatkuasa sepanjang tempoh PKP sehingga 14 April 2020, ataupun sehingga makluman baharu oleh pihak Kementerian.

25 Mac 2020
Lembaga Getah Malaysia

MPIC

KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

YB DATO’ DR MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

25 MAC 2020 (RABU), PUTRAJAYA


HUBUNGAN PERDAGANGAN DAN INDUSTRI MINYAK SAWIT MALAYSIA – INDIA DIJANGKA BERTAMBAH BAIK
DENGAN KEPUTUSAN KERAJAAN TIDAK MEMPERBAHARUI 5 PERATUS DUTI IMPORT

 

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

1. India sememangnya merupakan pengimport utama minyak sawit Malaysia dengan sejarah hubungan yang telah diwujudkan sejak 6 dekad yang lalu. Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, beberapa siri peristiwa telah mencetuskan tren kejatuhan signifikan dalam eksport minyak sawit Malaysia ke India. Antaranya pengenalan duti import 5 peratus ke atas produk minyak sawit ditapis dari Malaysia bermula pada 4 September 2019. Dalam hal ini, Malaysia menyambut baik tindakan India untuk tidak memperbaharui arahan tersebut pada 4 Mac 2020.

2. Bagi pihak YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kabinet Malaysia, kami mengalu-alukan serta mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan India atas keputusan ini. Kerajaan baharu melihat langkah Kerajaan India ini sebagai positif yang menandakan keterbukaan untuk mewujudkan semula hubungan rapat dari aspek perdagangan dan budaya yang telah lama terjalin di antara kedua-dua negara. Bagaimanapun, Malaysia juga mengakui bahawa kedua-dua negara perlu berbincang lebih lanjut mengenai beberapa isu termasuk notifikasi sekatan eksport minyak sawit ke India dan ketidakseimbangan perdagangan yang berpihak kepada Malaysia.

3. Apabila keadaan pandemik COVID-19 telah pulih, saya akan mengetuai delegasi Malaysia ke India untuk membincangkan hala tuju strategik yang berkaitan dengan perdagangan, khususnya dalam sektor komoditi demi manfaat kedua-dua negara. Saya sangat yakin dengan sejarah hubungan rapat antara kedua-dua negara, usaha Malaysia akan diterima baik oleh Kerajaan India.

4. Dalam hal ini, YAB Perdana Menteri Malaysia bersedia untuk bertemu dengan TYT Perdana Menteri India, Narendra Modi untuk mengeratkan lagi hubungan baik antara kedua-dua negara.

5. Saya juga turut berdoa agar keadaan pandemik COVID-19 yang kini dialami oleh seluruh dunia segera pulih dan rakyat dapat menjalani kehidupan seperti biasa.

 

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut sila hubungi:
Puan Siti Hajar Zulkefle
Pegawai Komunikasi Strategik II
Unit Komunikasi Korporat
Tel: 03 - 88873381 / 017-3915951
Faks: 03-8887 8205

 

 

KENYATAAN MEDIA
SUMBANGAN DANA BANTUAN KEMANUSIAAN COVID-19  DARI SEKTOR PERKAYUAN


VIP di gambar YBM 2 : Dari kiri, YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Low Kian Chuan, Pengerusi Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) dan Goh Chee Yew, Presiden Malaysian Timber Association (MTA)

 

1. Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) telah melancarkan Dana Bantuan Kemanusiaan COVID-19 dengan kerjasama 7 persatuan dan lebih 100 syarikat perkayuan seiring dengan usaha tindak balas kemanusiaan di dalam memerangi COVID-19. Ini adalah sebagai langkah untuk meringankan beban kerajaan bagi membendung penularan wabak penyakit COVID-19.

2. MTC mensasarkan kutipan sebanyak RM1 juta dan setakat hari ini telah berjaya mengumpul sebanyak RM895,550.00

3. Sumbangan ini akan disalurkan untuk membekalkan keperluan Kementerian Kesihatan, badan-badan barisan hadapan yang memerlukan untuk memerangi gejala COVID-19 dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk disampaikan terus kepada rakyat yang sedang kesusahan kerana Perintah Kawalan Pergerakan.

4. MTC akan teruskan dengan kempen kutipan dana ini sehingga mencapai sasaran RM1 juta. Lebih daripada 100 syarikat perkayuan dan 7 persatuan menunjukkan sikap prihatin membantu barisan hadapan dan golongan terjejas walaupun perniagaan mereka terutama industri kecil dan sederhana (IKS) turut terkesan dengan wabak COVID-19 ini. Manakala, 30 syarikat lain yang menyumbang adalah dari sektor perabot dan 71 syarikat dari sektor perkayuan yang lain.

5. Pengerusi MTC, YBhg. Dato’ Low Kian Chuan menyerahkan mock cek bernilai RM895,550.00 yang dikumpul setakat hari ini kepada Menteri Perusahaan Peladangandan Komoditi, YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali di Sungai Tong, Terengganu.

6. Turut hadir ke majlis ini adalah Encik Goh Chee Yew, Presiden Persatuan Kayu Malaysia (MTA) yang juga Presiden Persatuan Perindustrian Kayu-Kayan Malaysia (MWIA).

7. Jumlah kutipan dari persatuan-persatuan perkayuan berjumlah RM 521,700.00 adalah seperti berikut:

• Majlis Kayu Kumai & Tanggam Malaysia (MWMJC) RM150,000.00 Majlis Perabot Malaysia (MFC) RM121,700.00;
• Persatuan Perindustrian Kayu-Kayan Malaysia (MWIA) RM100,000.00;
• Persatuan Pengusaha Kayu-Kayan dan Perabot Bumiputra Malaysia (PEKA) RM50,000;
• Persatuan Pengeksport Kayu Malaysia (TEAM) RM50,000.00 Persatuan Kayu Malaysia (MTA) RM50,000.00.

8. Seterusnya baki disumbangkan oleh lebih dari 100 syarikat perkayuan telah memberi sumbangan kepada tabung tersebut berjumlah RM123,850.00. Manakala, MTC telah menyumbang baki selebihnya sebanyak RM250,000.00 Kesemuanya ini menjadikan jumlah sumbangan sebanyak RM895,500.00.

 

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Putrajaya
30 Mac 2020

 

KENYATAAN MEDIA


PERMOHONAN BANTUAN MUSIM TENGKUJUH KEPADA
PEKEBUN KECIL DAN PENOREH GETAH BERMULA 1 SEPTEMBER
PUTRAJAYA, 1HB SEPTEMBER 2017

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Mah Siew Keong mengumumkan bahawa permohonan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) kepada pekebun kecil dan penoreh getah bermula pada tanggal 1hb September 2017.

2. YAB Dato' Sri Mohammad Najib Tun Razak telah mengumumkan sebelum ini bahawa bantuan keuwangan sebanyak RM200 setiap bulan untuk tempoh 3 bulan bermula pada November 2017 sehingga Januari 2018 akan diberikan kepada 440,000 pekebun kecil dan penoreh getah di seluruh negara bagi menghadapi musim tengkujuh akan datang.

3. Objektif pemberian bantuan ini adalah bagi memastikan kebajikan para pekebun kecil dan penoreh getah diseluruh negara akan terpelihara sewaktu musim tengkujuh melalui peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM261 juta.

4. Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) ini adalah inisiatif yang diperkenalkan buat pertama kali bagi meringankan bebanan keuwangan yang dihadapi oleh pekebun kecil dan penoreh getah apabila sumber pendapatan utama mereka bakal terjejas akibat cuaca hujan lebat yang berpanjangan sepanjang tempoh 3 bulan tersebut.

5. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) melalui agensi pelaksana, Lembaga Getah Malaysia (LGM) adalah komited untuk memastikan pelaksanaan BMT berjalan lancar, terutamanya melalui kaedah permohonan yang mudah serta mesra rakyat.

6. Dalam hal ini, selepas hadir di Majlis Sambutan Hari Kemerdekaan ke-60 bersama warga LGM bertempat di Menara Getah, Kuala Lumpur, YB Datuk Seri Mah Siew Keong telah mengadakan sebuah sesi taklimat khas bersama para pegawai pelaksana yang terlibat bagi mencuba sendiri proses permohonan BMT secara online dan manual.

7. Selain permohonan melalui online di (http://bmt.lgm.gov.my), pekebun kecil dan penoreh getah juga boleh hadir ke mana-mana pejabat LGM yang terdekat untuk memohon secara manual.

 

YB Datuk Seri Mah Siew Keong
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
1hb September 2017

YB Datuk Seri Mah Siew Keong mengambil kesempatan untuk mencuba proses permohonan BMT secara online dan manual semasa lawatan ke LGM. Turut hadir ialah Datuk Yogeesvaran (MPIC KSU) dan Puan. Zurinah Pawanteh (MPIC TKSU).