KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus giat membantu pekebun kecil yang terkesan akibat penurunan dan ketidakstabilan harga getah dalam pasaran, menerusi kerjasama dengan negara pengeluar getah utama dunia berdasarkan kerangka Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa (ITRC).

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Siti Aminah Aching, berkata kerajaan sentiasa memahami serta mengambil maklum kegusaran rakyat berhubung isu harga getah yang rendah dan tidak menentu dalam pasaran.

Justeru pada peringkat antarabangsa, katanya, Malaysia bekerjasama dengan negara pengeluar getah utama dunia bawah kerangka ITRC untuk menstabilkan harga melalui pengurusan bekalan dan meningkatkan penggunaan getah asli dalam kalangan negara pengeluar.

"Pengenalan mekanisme harga getah untuk kesinambungan kehidupan pekebun kecil, pada peringkat antarabangsa berada di peringkat cadangan bagi memberi manfaat kepada pekebun kecil.

"Usaha ini adalah untuk membenarkan harga getah asli berada dalam julat harga yang telah ditetapkan untuk mengurangkan ketidaktentuan harga getah dunia," katanya pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai langkah diambil bagi memastikan harga getah dapat ditingkatkan, sesuai dengan kenaikan kos sara hidup.

Siti Aminah turut menjelaskan harga getah dipengaruhi pelbagai faktor, antaranya penawaran dan permintaan getah dunia.

Justeru, katanya, campur tangan daripada kerajaan adalah tidak mudah serta pada tahap minimum kerana industri getah negara adalah berorientasikan eksport dan pengeluaran negara juga hanya sekitar 3.3 peratus daripada jumlah pengeluaran dunia.

Beliau berkata, kerajaan melalui Lembaga Getah Malaysia (LGM) telah melaksanakan projek Program Transformasi Perusahaan Getah Negara (TARGET) melalui Konsep Koperasi Pekebun dan Pengusaha Ladang Getah Tempatan.

Katanya, usaha itu bertujuan meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah dengan cara memendekkan rangkaian bekalan dengan membabitkan pekebun getah dan rantaian industri getah.

"Projek itu dijangka menambah nilai getah, memberi pulangan dan pendapatan yang lebih baik kepada pekebun kecil getah.

"Hingga Ogos 2023, peserta program TARGET telah melepasi fasa inkubator dan seterusnya ke peringkat pemantauan bagi proses pembukaan pusat pengumpulan getah di lokasi bersesuaian," katanya. – BERNAMA

 

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/11/1176930/malaysia-bekerjasama-dengan-negara-pengeluar-utama-dunia-stabilkan

 

Sumber : Berita Harian