
KENYATAAN MEDIA
YB DATUK SERI SHAMSUL ISKANDAR MOHD AKIN, TIMBALAN MENTERI INDUSTRI UTAMA
PROGRAM BICARA KENAF DAN PENYERAHAN KUNCI RUMAH KENAFCRETE, LEMBAGA KENAF DAN TEMBAKAU NEGARA BERSAMA MASYARAKAT
DI KG. SOLOK PUNGGAI, AYER MOLEK, MELAKA
OKTOBER 2019 (JUMAAT), 3.00 PETANG
- Pada hari ini, 4 Oktober 2019, YB Timbalan Menteri Industri Utama telah menyempurnakan Program Bicara Kenaf dan Penyerahan Kunci Rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) menggunakan kenafcrete yang dianjurkan oleh Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) di Kampung Solok Punggai, Ayer Molek, Melaka.
- Program Promosi Kenaf ini diadakan untuk mempromosikan kepelbagaian produk dan inovasi berasaskan kenaf dengan kerjasama Agensi Kerajaan, Institusi Penyelidikan dan pihak swasta.
- Kementerian melalui LKTN akan terus meningkatkan kebolehpasaran produk dan meneroka pasaran baharu bagi industri hiliran, usaha berterusan akan dilaksanakan agar permintaan produk bernilai tambah berasaskan kenaf yang bersifat mesra alam sekitar (environmentally friendly) dapat digunakan secara meluas dalam pelbagai industri termasuklah pembinaan.
- Program Penyerahan Kunci Rumah PPRT pula merupakan salah satu program Corporate Social Responsiblity (CSR) yang dilaksanakan oleh Kementerian melalui LKTN dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk mempromosikan penggunaan IBS Kenaf bagi pembinaan rumah.
- Rumah dengan keluasan 600 kaki persegi ini hanya mengambil masa selama 30 hari untuk disiapkan dengan anggaran kos sebanyak RM55,000. Rumah yang dibina adalah rumah batu 3 bilik dengan keluasan 660 kaki persegi, menggunakan pelan yang telah diluluskan oleh KPLB. Ini membuktikan bahawa kenaf boleh digunakan dalam industri pembinaan terutama dalam pembinaan rumah mampu milik bagi golongan B40.
- Kementerian bersama-sama dengan LKTN akan terus memastikan pelbagai program dan inisiatif yang berkaitan dengan pembangunan industri kenaf dipertingkat. Ini penting agar industri kenaf dapat dibangunkan sebagai salah satu agri-komoditi bagi menjana pendapatan serta memberi manfaat kepada rakyat khususnya dan negara amnya.
KEMENTERIAN INDUSTRI UTAMA
4 OKTOBER 2019






