KENYATAAN MEDIA
YB DATUK SERI MAH SIEW KEONG
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI


CADANGAN PENUBUHAN JAWATANKUASA KHAS EKONOMI DAN TEKNIKAL SAWIT ANTARA MALAYSIA-EU 
23 NOVEMBER 2017

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong telah turut menyertai delegasi rasmi Kerajaan Malaysia ke Rundingan Tahunan antara Malaysia dan Indonesia ke-12 yang telah berlansung di Kuching, Sarawak pada 22hb November 2017.

2. Semasa mesyuarat tahunan tersebut, delegasi daripada Malaysia yang diketuai oleh YAB Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Razak telah membangkitkan isu berkenaan sekatan perdagangan yang sedang hangat dibahaskan oleh ahli-ahli parlimen Kesatuan Eropah (EU) terhadap minyak sawit.

3. Datuk Seri Mah Siew Keong menyifatkan kenyataan bersama yang oleh Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Republik Indonesia adalah lambang sebuah pendirian kukuh dan amat bertepatan waktu bagi mempertahankan kepentingan sektor sawit kedua-dua negara.

4. Ketika persidangan tersebut, YAB Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Razak telah menegaskan bahawa Malaysia dan Indonesia bersedia dan bersetuju untuk menggunakan segala platform yang ada untuk memastikan bahawa tindakan ahli-ahli Parlimen EU tersebut dapat dikekang secara saksama.

5. Oleh yang demikian, Datuk Seri Mah Siew Keong menyeru ahli-ahli Parlimen Kesatuan Eropah untuk menilai semula pendirian mereka terhadap sektor sawit kerana tindakan untuk mendiskriminasikan sawit adalah bertentangan dengan komitmen EU terhadap prinsip perdagangan bebas World Trade Organisation (WTO) dan juga bakal menggugat hubungan baik antara EU dan negara-negara pengeluar minyak sawit dunia, terutamanya Malaysia dan Indonesia.

6. Dalam hal ini, selepas pertemuan khas bersama salah seorang ahli parlimen EU, MEP Daniel Hannan, di Kuala Lumpur pada tanggal 17hb November 2017, Datuk Seri Mah Siew Keong berhasrat untuk mengumumkan bahawa Kerajaan Malaysia bercadang untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Ekonomi dan Teknikal Sawit antara Malaysia-EU, yang turut bakal dianggotai oleh perwakilan khas daripada kedutaan negara-negara EU di Malaysia, bagi mengimbangi perbahasan berkenaan isu minyak sawit,

7. Penubuhan Jawatankuasa Khas tersebut adalah penting untuk memperkasakan peranan para perwakilan kedutaan negara-negara EU di Malaysia bagi memastikan bahawa maklumat yang disebarkan ke negara-negara EU adalah tepat dan tidak berat sebelah.

8. Cadangan penubuhan jawatankuasa khas tersebut juga membuktikan keterbukaan serta komitmen berterusan Kerajaan Malaysia untuk berkerjasama bersama negara-negara EU dalam isu-isu berkenaan pembangunan sektor sawit secara lestari dan mampan.

9. Kesimpulannya, Datuk Seri Mah Siew Keong menegaskan bahawa publisiti negatif berterusan berkenaan minyak sawit bakal merencatkan pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara yang bergantung kepada eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit.

10. Publisiti negatif ini akan menjejaskan permintaan terhadap minyak sawit global dan bakal memberikan impak negatif secara tidak lansung terhadap kejatuhan harga komoditi sawit dunia.

11. Oleh yang demikian, Kerajaan melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) serta agensi-agensi berkenaan sawit mengambil perhatian serius akan perkembangan semasa di Parlimen EU dan akan terus komited untuk membela kepentingan lebih daripada 650,000 para pekebun sawit dalam negara.


YB DATUK SERI MAH SIEW KEONG

MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI MALAYSIA
23 NOVEMBER 2017

Datuk Seri Mah Siew Keong bersama Ahli Parlimen Kesatuan Eropah, MEP Daniel Hannan, Pengerusi MPOB, YB Datuk Seri Ahmad Bin Hamzah dan Ahli Parlimen Simpang Renggam, YB Datuk Liang Teck Meng.