Jata

KENYATAAN MEDIA


KERAJAAN MAHU PERSATUAN INDUSTRI BERPERANAN PASTIKAN
SYARIKAT SEKTOR PERLADANGAN DAN KOMODITI JAGA
KEBAJIKAN PEKERJA



1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) amat prihatin dan memandang serius terhadap insiden yang berlaku ke atas kebajikan pekerja asing di sebuah kilang sarung tangan getah seperti yang dilaporkan pada 21 Disember 2020 (Isnin).

2. KPPK mengutuk sekeras-kerasnya tindakan segelintir syarikat yang sengaja melanggar atau enggan mematuhi undang-undang dan peraturan sebaliknya hanya mementingkan keuntungan tanpa mengambil kira faktor keselesaan serta keselamatan pekerja yang merupakan penyumbang utama kepada keuntungan syarikat. Ini kerana tanpa pekerja-pekerja terbabit, syarikat dan industri tidak mungkin memperoleh keuntungan berlipat ganda lebih-lebih lagi semasa musim pandemik COVID-19 ini.

3. Sebagai majikan yang bertanggungjawab, adalah menjadi kewajipan bagi pihak syarikat untuk menjaga kebajikan para pekerja mereka dengan sebaik mungkin tanpa mengira sama ada mereka terdiri daripada pekerja tempatan atau pun pekerja asing.

4. Dalam hal ini, KPPK ingin menggesa pihak industri di semua sektor termasuklah sektor perladangan dan industri komoditi yang lain supaya sentiasa patuh kepada undang-undang perburuhan dan juga peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan bagi memastikan kebajikan serta keselamatan pekerja sentiasa terpelihara.

5. Kementerian turut berharap agar persatuan industri mengambil tanggungjawab mengingatkan semua ahli di bawah naungan masingmasing supaya sentiasa patuh kepada peruntukan undang-undang dan peraturan serta bekerjasama dengan kerajaan bagi menangani isu ini daripada terus berlarutan pada masa akan datang.

 


DATO' DR MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Putrajaya
22 Disember 2020