Jata
KENYATAAN MEDIA


LKM KOMITED BANTU TINGKATKAN PENDAPATAN PEKEBUN
DENGAN PENGHASILAN BIJI KOKO BERKUALITI TINGGI


1. Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Tuan Willie Mongin hari ini merasmikan Kursus Peningkatan Kualiti Koko Sarawak dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2019 di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Koko, Lembaga Koko Malaysia (LKM), Kota Samarahan, Sarawak.

2. Pada majlis yang sama, beliau turut menyaksikan penyerahan sijil projek siap Fasa 1 Pusat Pengumpulan Biji Koko bagi Pusat Pemprosesan Biji Koko dan Coklat (PPBKC) kepada LKM.

3. PPBKC merupakan sebahagian komponen di bawah SARA Cocoa Cluster di Sarawak. Program berupa game changer peringkat huluan koko ini dilaksanakan mengikut konsep farm to table dengan peruntukan sebanyak RM14 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-11.

4. Program SARA Cocoa Cluster ini melibatkan pembangunan tanaman koko di Sebuyau, Padawan, Asajaya, Kota Samarahan, Tebedu dan Serian dengan keluasan sebanyak 525 hektar melibatkan 526 petani, serta pembangunan kompleks pemprosesan dan pembuatan coklat di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Koko, LKM, Kota Samarahan.

5. SARA Cocoa Cluster juga telah mewujudkan koperasi yang akan menjalankan sebahagian aktiviti kluster dengan keahlian dibuka kepada pengusaha tanaman, usahawan coklat dan individu-individu yang terlibat dengan industri koko di Sarawak. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi berharap dengan kewujudan koperasi, ia akan mencapai matlamatnya iaitu untuk memastikan ahli- ahlinya menerima ganjaran hasil keuntungan khususnya daripada penjualan biji koko dan coklat.


KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Kota Samarahan, Sarawak
21 Disember 2020