Jata

KENYATAAN MEDIA

KPPK PERUNTUKAN RM23.85 JUTA UNTUK MENINGKATKAN SISTEM PENYAMPAIAN KEPADA RAKYAT

1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) komited memastikan usaha meningkatkan produktiviti dan prestasi penjawat awam. Dalam hubungan ini, sebanyak RM200,000 diperuntukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi Program Pembangunan Kepakaran Sumber Manusia di bawah ibu pejabat untuk meningkatkan kepakaran pegawai-pegawai di Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB). Latihan pembangunan pegawai yang berkemahiran tinggi perlu diberi keutamaan bagi selaras dengan Teras RMK-12: Menginstitusi Reformasi Sektor Awam untuk Memastikan Penyampaian Perkhidmatan Awam Yang Berkesan.

2. Berkaitan perbelanjaan tahun 2021, KPPK menolak dakwaan tidak berasas serta kurang cermat oleh Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad baru-baru ini bahawa kementerian tidak meletakkan keutamaan apabila memperuntukkan sebanyak RM23.85 juta untuk tujuan menaik taraf pejabat berbanding hanya RM200,000 untuk Program Pembangunan Kepakaran Sumber Manusia. Pada hakikatnya, peruntukan berkenaan adalah untuk pelaksanaan khidmat sokongan ibu pejabat termasuk sewaan bangunan kementerian di Putrajaya yang wajib dibayar berdasarkan kontrak berjumlah RM13.75 juta bermula pada tahun 2005.

3. Selain itu, sebanyak RM1.1 juta pula adalah untuk pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) termasuk Pembangunan Sistem Aplikasi Pengurusan Perlesenan Biobahan Api dan Platform Perkongsian Data Komoditi. Kedua-dua sistem terbabit bertujuan untuk meningkatkan sistem penyampaian kementerian serta agensi-agensi di bawah KPPK.

4. Peruntukan tersebut juga adalah untuk keperluan pelaksanaan projek sambung RMK-11 iaitu Projek Jalan Ladang Pekebun Kecil Persendirian (JLPK) berjumlah RM9 juta. Projek itu dilaksanakan di seluruh Malaysia bagi kemudahan dan sokongan infrastruktur kepada pekebun-pekebun kecil di bawah kementerian ini membabitkan sektor sawit, getah, lada, koko dan kenaf.

5. Sehubungan itu, keseluruhan sumber kewangan tersebut bukanlah untuk kerja-kerja menaik taraf pejabat kementerian, sebaliknya bertujuan membiayai bayaran sewaan, pembangunan ICT dan penyediaan infrastruktur pekebun kecil yang diperlukan untuk meningkatkan sistem penyampaian kementerian kepada rakyat.

6. KPPK menegaskan segala perancangan untuk kebaikan dan keuntungan rakyat sentiasa menjadi keutamaan kementerian dan berharap semua pihak dapat memberikan kerjasama yang berkesan dalam menjayakan pelaksanaannya demi merancakkan perancangan pembangunan ekonomi negara pada masa hadapan.

 

YB DATO' DR MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahana Perladangan dan Komoditi
Putrajaya
21 Disember 2020